Home Blog Page 5

Anak Sheikh Muszaphar Khatam Al-Quran Pada Usia 5 Tahun, Bakal Masuk Darjah Satu Januari Depan

0

Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi berita gembira mengenai kejayaan anak lelakinya, Sheikh Eusoff yang berjaya khatam Al-Quran pada usia lima tahun.

Menerusi perkongsian di media sosial, Sheikh Muszaphar meluahkan rasa syukur atas pencapaian anaknya itu yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran keenam pada November ini.

Menurut beliau, Eusoff mengambil masa sedikit lebih lama untuk khatam Al-Quran berbanding saudara kembarnya, Emelia yang terlebih dahulu mencapai kejayaan tersebut.

Bagaimanapun, Sheikh Muszaphar tidak melihat perkara itu sebagai satu kekurangan, sebaliknya memahami bahawa Eusoff mempunyai personaliti yang lebih aktif dan gemar bermain.

“Eusoff lambat sikit khatam compared to Emelia. Mungkin sebab boy, banyak sangat main. More playful. But that’s okay,” kongsinya.

Sheikh Eusoff Khatam Al-Quran Sebelum Melangkah Ke Darjah Satu

Dalam pada itu, Sheikh Muszaphar turut memaklumkan bahawa kedua-dua anak kembarnya kini berusia lima tahun dan bakal melangkah ke alam persekolahan rendah pada Januari tahun hadapan.

Apa yang menarik, beliau turut berkongsi sasaran yang ditetapkan buat anak-anaknya menerusi pendekatan pendidikan Keedsflix, iaitu memastikan mereka berjaya khatam Al-Quran sebelum memasuki Tahun Satu.

“Anak-anak Keedsflix wajib khatam sebelum masuk alam persekolahan Darjah 1. That’s the goal,” jelasnya.

Perkongsian tersebut secara tidak langsung memperlihatkan penekanan Sheikh Muszaphar terhadap pendidikan agama sejak usia kecil, di samping memberi ruang kepada anak-anaknya untuk belajar mengikut kemampuan masing-masing.

Sheikh Muszaphar Tekankan Pendidikan Agama Sejak Kecil

Melalui perkongsian tersebut, Sheikh Muszaphar turut memperlihatkan bagaimana pendidikan agama menjadi antara perkara yang diberikan perhatian dalam membesarkan anak-anaknya.

Sasaran untuk memastikan anak-anak dapat menghabiskan bacaan Al-Quran sebelum memasuki Darjah Satu menjadi antara matlamat yang dikongsikan beliau menerusi pendekatan Keedsflix.

Anak Sheikh Muszaphar Khatam Al-Quran Pada Usia 5 Tahun, Bakal Masuk Darjah Satu Januari Depan

Perkara itu jelas dapat dilihat menerusi reaksi Sheikh Muszaphar yang tidak membandingkan pencapaian kedua-dua anak kembarnya secara negatif, sebaliknya menerima perbezaan tersebut dengan hati terbuka.

Bagi ibu bapa, pendekatan seperti ini juga boleh menjadi peringatan bahawa proses pembelajaran anak-anak tidak semestinya berlaku pada kadar yang sama, termasuk dalam pendidikan agama.

Tujuh Cahaya Mata Pelengkap Keluarga Sheikh Muszaphar

Untuk rekod, Sheikh Muszaphar mendirikan rumah tangga bersama Datin Dr Halina Mohd Yunos pada 10 Oktober 2010 dan hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata.

Mereka ialah Sophea Isabella, Sophea Natasha, pasangan kembar lelaki Sheikh Adam dan Sheikh Noah, pasangan kembar Sheikh Eusoff dan Sophea Emelia serta anak bongsu, Sheikh Muhammad.

Menariknya, Eusoff dan Emelia merupakan pasangan kembar kedua dalam keluarga berkenaan yang dilahirkan pada 20 November 2020.

Kehadiran dua pasangan kembar dalam keluarga ini turut menjadi antara perkara menarik mengenai kehidupan Sheikh Muszaphar dan Dr Halina sebagai ibu bapa kepada tujuh orang anak.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“This Is How Gen Z Works!” Anak Muda Bawa Isu Nelayan Kuala Linggi Hingga Dapat Perhatian PMX

0

Golongan Gen Z sering dikaitkan dengan gaya kerja yang pantas, berani dan mahukan hasil segera. Namun, siapa sangka pendekatan sama turut diterjemahkan dalam usaha memperjuangkan nasib komuniti nelayan di Kuala Linggi, Melaka.

Baru-baru ini, seorang anak muda mencuri perhatian menerusi perkongsiannya di media sosial selepas mendedahkan usaha membawa isu yang dihadapi komuniti nelayan Kuala Linggi sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut perkongsian tersebut, beliau pada awalnya telah mengadakan pertemuan bersama Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat yang mewakili komuniti nelayan Kuala Linggi.

Pertemuan berkenaan membangkitkan beberapa isu yang memerlukan perhatian dan tindakan daripada Kementerian Kewangan.

“This Is How Gen Z Works!” Anak Muda Bawa Isu Nelayan Kuala Linggi Hingga Dapat Perhatian PMX

Isu Nelayan Kuala Linggi Dibawa Kepada Kementerian Kewangan

Tidak mahu membiarkan perkara tersebut berlarutan, beliau mengambil inisiatif membawa isu berkenaan kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tuan Kamil Munim, pada keesokan harinya.

Menariknya, tindakan pantas itu membuahkan perkembangan positif apabila Kamil dilaporkan terus membawa perkara tersebut kepada perhatian Perdana Menteri.

Malah, menurut perkongsiannya, Anwar turut menurunkan tandatangan pada surat berkaitan bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan.

“Semalam orang kampung suarakan, hari ini kita terus gerakkan penyelesaian.

“Kalau perlu sampai ke meja Perdana Menteri sekalipun, saya sanggup redah demi Kuala Linggi!” katanya.

Perkembangan ini memperlihatkan bagaimana isu yang disuarakan oleh komuniti setempat boleh diketengahkan kepada pihak berkaitan melalui usaha dan tindakan susulan yang pantas.

Walaupun butiran khusus mengenai isu yang dibangkitkan tidak diperincikan dalam perkongsian tersebut, usaha membawa suara masyarakat kepada pihak yang mempunyai kuasa membuat keputusan tetap menjadi perhatian.

“This Is How Gen Z Works!” Anak Muda Bawa Isu Nelayan Kuala Linggi Hingga Dapat Perhatian PMX

Anak Muda Hargai Tindakan Pantas Bantu Komuniti Nelayan

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kamil atas tindakan pantas dalam membantu mengetengahkan isu yang dihadapi komuniti nelayan berkenaan.

Beliau juga membuka ruang kepada penduduk dan komuniti nelayan Kuala Linggi yang memerlukan bantuan untuk menyuarakan masalah atau mendapatkan saluran sewajarnya.

Langkah tersebut turut memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk terus mengetengahkan perkara yang memerlukan perhatian, khususnya isu yang berkaitan dengan kehidupan dan kepentingan komuniti nelayan.

Bagaimanapun, perkembangan tersebut masih di peringkat tindakan susulan dan belum bermakna isu yang dibangkitkan telah diselesaikan sepenuhnya.

Sehubungan itu, tindakan lanjut daripada pihak berkaitan masih menjadi perkara penting bagi memastikan isu yang telah diketengahkan mendapat perhatian sewajarnya.

Perkembangan yang dikongsikan setakat ini lebih menjurus kepada usaha membawa isu tersebut kepada pihak atasan, manakala hasil penyelesaian sebenar masih bergantung pada tindakan susulan yang akan dilaksanakan.

“This Is How Gen Z Works!” Anak Muda Bawa Isu Nelayan Kuala Linggi Hingga Dapat Perhatian PMX

“This Is How Gen Z Works!” Semangat Anak Muda Bawa Perubahan

“This is how Gen Z works. KUALA LINGGI, THE NEW KL!” ujarnya mengakhiri perkongsian.

Ungkapan tersebut secara tidak langsung menyerlahkan semangat generasi muda yang mahu dilihat bukan sekadar lantang bersuara, malah bersedia mengambil tindakan untuk membawa perubahan kepada komuniti setempat.

Bagi komuniti nelayan Kuala Linggi, perkembangan tersebut sekurang-kurangnya memperlihatkan bahawa isu yang dibangkitkan telah dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk pertimbangan dan tindakan lanjut.

Namun, keberkesanan usaha berkenaan akhirnya tetap bergantung kepada perkembangan susulan serta sejauh mana isu yang diketengahkan dapat ditangani oleh pihak berkaitan.

Sumber : Facebook Mukhlis Mubin

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Filem KUDRAT 1968: High Council Catat Kutipan Tiket Awal RM3 Juta Sebelum Ditayangkan!

Belum pun lagi ditayangkan secara rasmi di pawagam, filem KUDRAT 1968: High Council sudahppun digelar sebagai filem yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia pada tahun ini setelah ia mencatatkan kutipan RM3 juta menerusi jualan tempatan tiket awal.

Tambah menarik, jualan tiket acara Mega Fans Screening yang dijadualkan berlangsung pada 31 Oktober ini juga habis terjual dalam tempoh hanya lima minit!

Sambutan luar biasa yang mula diperkatakan sejak minggu lalu itu sekaligus membuktikan fenomena yang tercetus sepanjang enam minggu (termasuk dua minggu manifesto) KUDRAT 1968 ditayangkan sebagai drama bersiri sebelum ini adalah benar belaka.

Menerusi perkongsian di akaun media sosial Astro Shaw, pihak produksi KUDRAT 1968: High Council menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada peminat yang benar-benar menyokong karya berkenaan.

“Alhamdulillah. Syukur untuk sokongan korang warga KUDRAT yang memang on tp! Beli tiket korang sekarang dan jom kita bermanifesto,” catatnya.

Filem KUDRAT 1968: High Council Catat Kutipan Tiket Awal RM3 Juta Sebelum Ditayangkan!

Barisan Pelakon KUDRAT 1968: High Council Buat Kemunculan

Isnin lalu, KUDRAT 1968: High Council membawakan sisi ramah mesra bersama pelakon-pelakon dalam satu acara sidang media secara tertutup bersama media.

Kehadiran bintang filem muda berkenaan termasuklah Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Evertts Gomes, Akmal Asyraf, Dai Fuad dan Chech Harith bersama-sama pengaahnya, Zulaikha Zakaria dan Khairi Asyraff sememangnya amat dinantikan memandangkan ramai yang ingin persoalan mereka dalam dunia High Council itu terjawab.

Persoalan Mengenai Abbas Dan Kuda Terus Jadi Perhatian

Antara yang paling mencuri perhatian tentunya persoalan mengenai Abbas dan Kuda, dua watak yang terus menjadi topik perbincangan dalam kalangan mereka yang mengikuti dunia High Council.

Tidak kurang juga nasib yang bakal menimpa watak-watak pelajar lain seperti Ghafar, Piji dan Pa.

Pelbagai teori, spekulasi dan perdebatan yang tercetus sebelum ini membuatkan ramai semakin tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang bakal berlaku kepada watak-watak berkenaan menerusi versi filem pula.

 

Untuk korang yang juga ingin mencari jawapan terhadap pelbagai teori, spekulasi dan perdebatan mengenai watak-watak utamanya khususnya Abbas dan Kuda, jangan lepaskan peluang menonton KUDRAT 1968: High Council mulai esok, 29 Oktober 2026 di pawagam seluruh negara.

Buat warga KUDRAT yang sudah lama menantikan kemunculan filem ini, bersedialah untuk kembali ke dunia High Council dan saksikan sendiri jawapan kepada segala persoalan yang selama ini bermain di fikiran korang!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Pengasas ZXMOTO, Zhang Xue Catat Rekod Dunia, Berjaya Tunggang Motosikal Sejauh 40.74KM Di Atas Air!

 

Baru-baru ini, pengasas jenama motosikal China, ZXMOTO, Zhang Xue berjaya mencuri perhatian selepas mencipta rekod dunia Guinness World Records apabila menunggang motosikal sejauh 40.74 kilometer (km) di atas permukaan air terbuka. Pencapaian luar biasa itu sekaligus membuktikan bahawa impian yang kelihatan mustahil mampu direalisasikan menerusi usaha berterusan dan inovasi.

Memetik laporan China Daily, Zhang berjaya memecahkan rekod terdahulu sejauh 31.8km bagi jarak terjauh yang dilalui menggunakan motosikal yang diubah suai di atas air terbuka. Cabaran itu berlangsung di daerah autonomi Mayang Miao, wilayah Hunan, China, yang juga merupakan kampung halamannya.

Bagi menjayakan misi berkenaan, Zhang menggunakan motosikal MX450 yang diubah suai dengan struktur apungan serta sistem kalis air khas. Dia berjaya menamatkan cabaran selepas mengharungi enam pusingan, manakala pasukan penyelamat dan perubatan turut bersiap sedia sepanjang percubaan berlangsung.

Pengasas ZXMOTO, Zhang Xue Catat Rekod Dunia, Berjaya Tunggang Motosikal Sejauh 40.74KM Di Atas Air! Pengasas ZXMOTO, Zhang Xue Catat Rekod Dunia, Berjaya Tunggang Motosikal Sejauh 40.74KM Di Atas Air! Pengasas ZXMOTO, Zhang Xue Catat Rekod Dunia, Berjaya Tunggang Motosikal Sejauh 40.74KM Di Atas Air!

Lebih menarik lagi, kejayaan itu bukanlah sesuatu yang dicapai dalam sekelip mata kerana Zhang sudah mula mencuba untuk menunggang motosikal di atas air sejak berusia 22 tahun. Ketika itu, kesemua empat percubaannya berakhir dengan kegagalan apabila motosikalnya terjunam ke dalam air, dengan jarak terjauh hanya sekitar 20 meter.

Walau bagaimanapun, pengalaman lalu tidak membuatkan Zhang berputus asa untuk mengejar impiannya. Sebaliknya, beliau bersama pasukannya mengambil masa selama lima bulan untuk menambah baik struktur apungan, sistem kalis air dan keseimbangan kuasa motosikal sebelum melakukan percubaan terbaru.

Usaha keras tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila kejayaannya disahkan oleh pengadil rasmi Guinness World Records, Xiong Wen, di lokasi kejadian. Pencapaian itu menjadi bukti bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran kepada sesuatu impian, sebaliknya boleh menjadi ruang untuk belajar dan memperbaiki kelemahan.

Pengasas ZXMOTO, Zhang Xue Catat Rekod Dunia, Berjaya Tunggang Motosikal Sejauh 40.74KM Di Atas Air!
Pengasas ZXMOTO, Zhang Xue

Pengasas ZXMOTO, Zhang Xue Catat Rekod Dunia, Berjaya Tunggang Motosikal Sejauh 40.74KM Di Atas Air! Pengasas ZXMOTO, Zhang Xue Catat Rekod Dunia, Berjaya Tunggang Motosikal Sejauh 40.74KM Di Atas Air!Dalam perkembangan lain, Zhang turut dilantik sebagai duta pelancongan Huaihua sehari sebelum percubaan rekod dunia itu berlangsung. Beliau menerima pelantikan tersebut selepas bertemu pihak berkuasa tempatan yang berharap pengaruh serta pengalamannya dalam industri motosikal dapat membantu mempromosikan tarikan pelancongan dan produk tempatan.

Zhang turut menyatakan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh pihak berkuasa di kampung halamannya, selain berhasrat memperkukuh kerjasama industri demi menyumbang kepada pembangunan wilayah berkenaan. Kisahnya menjadi inspirasi bahawa kejayaan besar memerlukan kesabaran, keberanian untuk mencuba lagi dan kesungguhan untuk terus memperbaiki diri meskipun berdepan kegagalan berkali-kali.

Sumber: China Daily

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Yoo Jae Suk Bakal Terima Pengiktirafan Tertinggi Korea Selatan, Raih Penghormatan Selepas 35 Tahun Dalam Industri Hiburan

Personaliti televisyen terkenal Korea Selatan, Yoo Jae Suk baru-baru ini meraih perhatian peminat apabila bakal menerima anugerah kebudayaan tertinggi negara itu selepas 35 tahun berkecimpung dalam industri hiburan. Pengiktirafan berprestij tersebut bakal disampaikan menerusi Majlis Anugerah Kebudayaan Popular dan Seni Korea 2026 pada 29 Oktober ini.

Memetik laporan TenAsia, pengacara berusia 54 tahun itu telah dipilih sebagai penerima ‘Order of Cultural Merit’ bagi tahun ini. Keputusan berkenaan diluluskan dalam mesyuarat Kabinet selepas mendapat persetujuan Presiden Lee Jae Myung, namun gred khusus anugerah yang bakal diterimanya masih belum diumumkan.

Untuk rekod, Majlis Anugerah Kebudayaan Popular dan Seni Korea merupakan program pengiktirafan kerajaan yang menghargai sumbangan individu dalam industri hiburan serta bidang kebudayaan. Penganjurannya dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan dengan kerjasama Korea Creative Content Agency.

Yoo Jae Suk Bakal Terima Pengiktirafan Tertinggi Korea Selatan, Raih Penghormatan Selepas 35 Tahun Dalam Industri Hiburan Yoo Jae Suk Bakal Terima Pengiktirafan Tertinggi Korea Selatan, Raih Penghormatan Selepas 35 Tahun Dalam Industri Hiburan

Bagi edisi tahun ini, kira-kira 31 pengiktirafan akan disampaikan menerusi empat kategori utama. Antaranya termasuk ‘Order of Cultural Merit’, Anugerah Penghargaan Presiden, Anugerah Penghargaan Perdana Menteri dan Anugerah Penghargaan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan.

Sekilas mengenai Yoo Jae Suk, beliau memulakan langkah dalam dunia hiburan pada 1991 menerusi Festival Komedi Kolej pertama anjuran KBS. Sejak itu, beliau berjaya membina nama sebagai antara pengacara paling berpengaruh di Korea Selatan menerusi pelbagai program hiburan popular.

Antara rancangan yang pernah dikendalikan oleh beliau termasuk ‘Infinite Challenge’, ‘Running Man’, ‘How Do You Play?’ dan ‘You Quiz on the Block’. Keupayaannya mengendalikan pelbagai format rancangan serta menghiburkan penonton menjadikan beliau antara figura yang cukup sinonim dengan industri hiburan Korea Selatan.

 

Yoo Jae Suk Bakal Terima Pengiktirafan Tertinggi Korea Selatan, Raih Penghormatan Selepas 35 Tahun Dalam Industri Hiburan

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa penghibur yang bermula sebagai pelawak turut menerima pengiktirafan sama atas sumbangan mereka kepada industri. Lee Kyung Kyu menerima ‘Order of Cultural Merit’ gred ketiga pada 2017, manakala Lim Ha Ryong memperoleh anugerah tersebut pada 2020.

Sementara itu, mendiang pelawak Jeon Yoo Sung dianugerahkan‘Order of Cultural Merit’ gred keempat secara anumerta pada tahun lalu. Dengan pencapaian terbaharu ini, Yoo Jae Suk bakal menyertai barisan penggiat seni yang diiktiraf atas sumbangan mereka, sekaligus mengukuhkan legasinya sepanjang lebih tiga dekad dalam dunia hiburan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Wanita Pertama Malaysia Raih PhD Elektrofisiologi Jantung, Dr. Suraya Hani Bukti Kejayaan Milik Mereka Yang Cekal

Bukan mudah untuk bergelar pakar dalam bidang perubatan jantung. Selain memerlukan latihan bertahun-tahun, bidang ini turut menuntut ketahanan mental, emosi serta komitmen yang tinggi demi memastikan pesakit menerima rawatan terbaik.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, seorang pakar perubatan tempatan berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama Malaysia memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang elektrofisiologi jantung.

Pakar Perunding Kardiologi di Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Suraya Hani Kamsani, 43, menerima pengiktirafan berkenaan daripada University of Adelaide, Australia, sekali gus membuktikan bahawa usaha dan dedikasi mampu membawa seseorang melangkah lebih jauh dalam bidang yang diceburi.

Kejayaan tersebut bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi buat dirinya, malah diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk menceburi bidang kepakaran kardiologi yang masih didominasi bilangan pakar terhad di Malaysia.

Wanita Pertama Malaysia Raih PhD Elektrofisiologi Jantung, Dr. Suraya Hani Bukti Kejayaan Milik Mereka Yang Cekal

Bermula Dengan Sarjana, Akhirnya Berjaya Tamatkan PhD

Mengimbas kembali perjalanan akademiknya, Dr. Suraya mengakui beliau sendiri tidak pernah menyangka mampu melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat PhD.

Menurutnya, pada awalnya beliau hanya merancang untuk menamatkan pengajian di peringkat sarjana di universiti berkenaan.

Namun, berdasarkan pengalaman klinikal serta penglibatannya dalam penyelidikan, beliau menerima peluang daripada penyelia untuk menaik taraf pengajian ke peringkat PhD.

“Ketika penyelia mencadangkan saya untuk menaik taraf pengajian ke PhD, saya agak bimbang tidak mampu memenuhi tuntutan pengajian yang lebih tinggi.

“Tetapi Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berjaya menamatkannya dengan sokongan keluarga, mentor dan rakan-rakan walaupun terpaksa membahagikan masa antara tuntutan kerja dan penyelidikan.

“Tempoh pengajian saya dilanjutkan selama dua tahun, menjadikan keseluruhan tempoh pengajian selama empat tahun untuk menamatkan PhD ini,” katanya.

Sepanjang perjalanan akademiknya, Dr. Suraya turut menghasilkan pelbagai penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi selain kerap membentangkan hasil penyelidikan di persidangan antarabangsa.

Elektrofisiologi Jantung, Bidang Kepakaran Yang Masih Terhad

Menurut Dr. Suraya, perjalanan untuk bergelar pakar kardiologi bukanlah sesuatu yang mudah kerana bidang berkenaan memerlukan latihan yang intensif serta komitmen yang besar.

Lebih mencabar, bilangan pakar kardiologi wanita, khususnya dalam subkepakaran elektrofisiologi jantung, masih kecil di Malaysia.

“Bidang ini menuntut tempoh latihan yang panjang dan komitmen yang besar. Bilangan pakar kardiologi wanita, khususnya dalam subkepakaran elektrofisiologi juga masih kecil.

“Oleh itu, saya berharap penglibatan lebih ramai wanita dalam bidang ini dapat membawa kepelbagaian perspektif dan menjadi inspirasi kepada generasi doktor wanita yang akan datang,” ujarnya.

Untuk rekod, Dr. Suraya telah berkhidmat dalam bidang kardiologi di IJN selama 10 tahun.

Wanita Pertama Malaysia Raih PhD Elektrofisiologi Jantung, Dr. Suraya Hani Bukti Kejayaan Milik Mereka Yang Cekal

Rawat Gangguan Irama Jantung Dengan Teknologi Moden

Berkongsi mengenai bidang kepakarannya, Dr. Suraya menjelaskan bahawa perubatan dan rawatan penyakit jantung terbahagi kepada dua cabang utama, iaitu kardiologi yang memberi tumpuan kepada rawatan bukan pembedahan serta pembedahan kardiotorasik.

Kedua-dua cabang berkenaan turut merangkumi pelbagai subkepakaran yang lebih khusus.

“Antaranya, elektrofisiologi jantung, kardiologi intervensi, kegagalan jantung dan transplantasi serta pengimejan kardiovaskular.

“Bidang kepakaran saya ialah elektrofisiologi jantung yang memberi tumpuan kepada diagnosis dan rawatan gangguan sistem elektrik jantung yang menyebabkan irama jantung menjadi terlalu laju, terlalu perlahan atau tidak teratur.

“Pakar elektrofisiologi akan melakukan rawatan seperti ablasi kateter serta implantasi peranti jantung termasuk alat perentak jantung (pacemaker) dan defibrilator kardioverter implan (ICD),” kongsinya.

Dalam rutin hariannya, beliau bertanggungjawab melakukan pemeriksaan pesakit di wad, konsultasi pesakit luar serta penilaian dan diagnosis gangguan irama jantung.

Selain itu, beliau turut menjalankan prosedur elektrofisiologi seperti ablasi kateter dan implantasi peranti jantung bagi membantu merawat pesakit.

Teknologi PFA Bantu Rawatan Lebih Berkesan

Seiring perkembangan teknologi perubatan, rawatan penyakit jantung juga semakin maju dengan penggunaan kaedah yang lebih berkesan dan kurang invasif.

Dr. Suraya berkata, antara teknologi terkini yang digunakan dalam bidang elektrofisiologi jantung ialah ablasi medan elektrik berdenyut (pulsed field ablation, PFA).

Teknologi tersebut menggunakan medan elektrik berdenyut untuk merawat gangguan irama jantung, khususnya fibrilasi atrium.

“Teknologi dalam rawatan jantung juga semakin berkembang pesat, sekali gus membolehkan kami menawarkan rawatan yang lebih berkesan dan kurang invasif kepada pesakit.

“Antaranya, teknologi PFA yang menggunakan medan elektrik berdenyut untuk merawat gangguan irama jantung, khususnya fibrilasi atrium. Selain itu, teknologi perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) membolehkan peranti bersaiz kecil diimplan terus ke dalam jantung melalui saluran darah, tanpa memerlukan wayar perentak konvensional.

“Penggunaan teknologi terkini ini berpotensi memendekkan tempoh prosedur, meningkatkan kecekapan rawatan dan mengurangkan risiko komplikasi tertentu. Kemajuan ini turut menunjukkan bahawa rawatan elektrofisiologi di Malaysia mampu berkembang seiring pusat-pusat terkemuka di peringkat antarabangsa,” tuturnya.

 

Didikan Ibu Bapa Bentuk Semangat Cintakan Ilmu

Di sebalik pencapaian membanggakan tersebut, Dr. Suraya turut mengakui bahawa minatnya untuk terus menuntut ilmu banyak dipengaruhi oleh didikan keluarga sejak kecil.

Menurutnya, beliau dibesarkan dalam keluarga yang amat mementingkan pendidikan memandangkan kedua-dua ibu bapanya merupakan pesara guru.

“Sejak kecil saya sudah dididik untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu sentiasa memastikan saya membuat latihan tambahan dan menyiapkan kerja sekolah dengan tekun.

“Kalau pergi bercuti atau balik kampung, saya dan adik-beradik tetap kena bawa buku. Tiada istilah bercuti tanpa buku bagi kami.

“Oleh itu, saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa kerana hasil didikan mereka, saya menjadi seorang yang cintakan ilmu dan sentiasa bersemangat untuk terus belajar, khususnya dalam bidang perubatan jantung,” kata anak kedua daripada lima beradik ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Kosmo! Online

Anak Muda Malaysia Cipta Kejayaan! Nabil Azlan Raih Pingat Emas Kejohanan Sim Racing Asia-Pasifik 2026

0

Pelumba sukan elektronik (esports) negara, Nabil Azlan sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila berjaya meraih pingat emas dalam kategori Assetto Corsa pada Kejohanan Sukan Permotoran Asia-Pasifik (APMC) 2026 yang berlangsung di Litar Bira, Pattaya, Thailand, baru-baru ini.

Atlet berusia 24 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang sepanjang saingan yang berlangsung pada Sabtu lalu apabila berjaya mengungguli perlumbaan suku akhir dan separuh akhir sebelum meneruskan momentum kemenangan pada aksi final.

Kejayaan tersebut sekali gus menjadi pencapaian manis buat Nabil selepas sebelum ini membawa pulang pingat perak dalam kategori iRacing pada edisi APMC 2025.

Lebih membanggakan, kemenangan Nabil turut meneruskan rekod konsisten Malaysia dalam acara esports apabila kontinjen negara berjaya meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas pada setiap edisi kejohanan berkenaan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2023.

Nabil Azlan Raih Emas Sim Racing Asia-Pasifik 2026

Anak Muda Malaysia Cipta Kejayaan! Nabil Azlan Raih Pingat Emas Kejohanan Sim Racing Asia-Pasifik 2026

Pencapaian Nabil dalam kategori Assetto Corsa menjadi antara kejayaan penting kontinjen Malaysia pada edisi kali ini, sekali gus meneruskan momentum positif negara dalam sukan permotoran elektronik.

Iqbal Suji Raih Tempat Keenam Pada Penampilan Sulung

Sementara itu, seorang lagi wakil negara dalam kategori Assetto Corsa, Iqbal Suji turut mencuri perhatian apabila berjaya menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan pada penampilan sulungnya di kejohanan tersebut.

Atlet berusia 28 tahun itu terlebih dahulu berjaya melepasi pusingan kelayakan untuk mara ke perlumbaan akhir sebelum menamatkan saingan di tempat keenam, sekali gus membuktikan kemampuannya bersaing dengan barisan pelumba simulasi terbaik dari rantau Asia-Pasifik.

Biarpun tidak berjaya menaiki podium, pencapaian tersebut tetap menjadi permulaan positif buat Iqbal yang pertama kali beraksi di pentas APMC.

Nasib Berbeza Buat Dua Wakil Negara Dalam Kategori iRacing

Anak Muda Malaysia Cipta Kejayaan! Nabil Azlan Raih Pingat Emas Kejohanan Sim Racing Asia-Pasifik 2026

Dalam kategori iRacing pula, Malaysia mempertaruhkan dua muka baharu iaitu Raja Amirul Syauqat, 22, dan Ethen Low, 16, yang masing-masing membuat penampilan sulung pada kejohanan berkenaan.

Raja Amirul berjaya melangkah ke perlumbaan akhir selepas mempamerkan prestasi meyakinkan pada pusingan sebelumnya, sekali gus memperoleh petak ketujuh di grid permulaan.

Bagaimanapun, hasratnya untuk mencatat keputusan lebih baik tidak kesampaian selepas terlibat dalam insiden pelanggaran dengan seorang pelumba Australia sehingga menyebabkannya tercicir ke kedudukan belakang.

Meskipun berusaha mengejar semula kedudukan termasuk bersaing sengit dengan pelumba berkenaan sepanjang beberapa pusingan, Raja Amirul akhirnya terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan keseluruhan.

Dalam pada itu, Ethen yang merupakan peserta termuda dalam disiplin esports pada kejohanan kali ini turut berdepan cabaran tersendiri.

Pelumba muda berusia 16 tahun itu berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum satu masalah ketika pertandingan menyebabkan impiannya untuk melangkah ke final terhenti.

Namun, kejayaan menempatkan diri dalam kelompok separuh akhir pada usia yang begitu muda tetap memberikan pengalaman berharga buat Ethen, khususnya apabila berpeluang menguji kemampuan menentang pelumba simulasi berpengalaman dari negara lain.

Anak Muda Malaysia Cipta Kejayaan! Nabil Azlan Raih Pingat Emas Kejohanan Sim Racing Asia-Pasifik 2026

Empat Wakil Negara Bersaing Dengan Peserta Lebih 15 Negara

Untuk rekod, keempat-empat atlet berkenaan dipilih mewakili Malaysia selepas berjaya menduduki dua tempat teratas dalam acara masing-masing pada sesi kelayakan kebangsaan yang mendapat pengiktirafan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

Mereka kemudiannya membawa cabaran negara menentang barisan atlet esports dari lebih 15 negara yang mengambil bahagian dalam kejohanan berprestij itu.

Penyertaan skuad negara di bawah naungan MAM turut mendapat sokongan Esports Integrated (ESI) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Malaysia Esports Accelerator Programme (MEAP).

Dianjurkan oleh Royal Automobile Association of Thailand (RAAT), APMC 2026 berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober lalu dengan menghimpunkan peserta dari seluruh rantau Asia-Pasifik untuk bersaing dalam lima disiplin sukan permotoran.

Sumber : BitAuto

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Bukan Mahu Normalisasi Buli, Pengarah ‘Kudrat 1968: High Council’ Jelas Mesej Di Sebalik Filem

0

Baru-baru ini, filem ‘Kudrat 1968: High Council’ terus menjadi perhatian menerusi penceritaan yang membawa penonton menyelami kehidupan pelajar sekolah berasrama, lengkap dengan konflik, persaingan dan pergolakan emosi. Namun, di sebalik jalan cerita yang penuh ketegangan, karya terbitan Astro Shaw itu turut menyelitkan mesej tersendiri tentang nilai kemanusiaan dan kesan di sebalik setiap tindakan.

Menurut pengarahnya, Zulaikha Zakaria, naskhah berkenaan bukan sekadar mahu memaparkan konflik antara watak, sebaliknya mengajak penonton memahami akibat yang boleh timbul daripada perbuatan mereka. Jelasnya, setiap perkembangan cerita dirancang bagi memperlihatkan kesan tindakan watak, sekaligus menepis tanggapan bahawa karya tersebut bertujuan mengagungkan budaya buli.

“Persepsi orang di luar sana adalah kami mempromosikan buli, tetapi setiap episod sebenarnya menunjukkan akibat serta-merta. Kita tunjuk apa yang berlaku, apabila anda bertindak begini, inilah padahnya,” katanya ketika menghadiri sesi tayangan media filem berkenaan.

Bukan Mahu Normalisasi Buli, Pengarah ‘Kudrat 1968: High Council’ Jelas Mesej Di Sebalik Filem
Pengarah Kudrat 1968, Zulaikha Zakaria

Bukan Mahu Normalisasi Buli, Pengarah ‘Kudrat 1968: High Council’ Jelas Mesej Di Sebalik Filem

Zulaikha yang turut bertindak sebagai penulis skrip berkata, setiap babak dibangunkan dengan teliti supaya penonton dapat mengikuti perkembangan watak serta memahami kesan daripada keputusan yang dibuat. Menerusi pendekatan tersebut, pihak produksi berharap kisah yang dipaparkan dapat membuka mata penonton bahawa kekerasan bukan jalan penyelesaian, malah berpotensi membawa kesan buruk kepada semua pihak yang terlibat.

Sementara itu, penerbit merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menjelaskan bahawa filem berkenaan turut menyentuh faktor yang mempengaruhi pembentukan peribadi seseorang, khususnya dalam kalangan remaja. Latar belakang keluarga, jurang sosial dan konflik peribadi antara perkara yang diketengahkan bagi memberi gambaran lebih mendalam tentang bagaimana seseorang boleh terdorong melakukan tindakan agresif.

“Kami bukan sekadar menyentuh isu buli, tetapi turut memaparkan bagaimana seseorang pembuli itu boleh terbentuk,” katanya.

Bukan Mahu Normalisasi Buli, Pengarah ‘Kudrat 1968: High Council’ Jelas Mesej Di Sebalik Filem Bukan Mahu Normalisasi Buli, Pengarah ‘Kudrat 1968: High Council’ Jelas Mesej Di Sebalik Filem

Dalam pada itu, Zulaikha mengakui pembikinan ‘Kudrat 1968: High Council’ hadir dengan cabaran tersendiri apabila penggambaran siri dan filem perlu dilaksanakan secara serentak. Proses persediaan serta uji bakat pelakon dijalankan secara intensif, manakala kedua-dua format disusun dengan pendekatan berbeza bagi memberikan ruang kepada perkembangan emosi dan latar belakang watak untuk diterokai dengan lebih terperinci.

Untuk info, filem ‘Kudrat 1968: High Council’ diterajui Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Akmal Asyraf, Czech Harith dan Evertts Gomes, filem yang membawa slogan ‘Darah Kita Sama’ itu dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 29 Oktober ini. Naskhah tersebut turut menjadi prekuel kepada ‘Projek: High Council’ (2023) dan ‘Kahar: Kapla High Council’ (2024), selain berkait dengan drama empat episod berjudul sama yang ditayangkan menerusi beberapa platform penstriman.

Bukan Mahu Normalisasi Buli, Pengarah ‘Kudrat 1968: High Council’ Jelas Mesej Di Sebalik Filem

BACA: Salam Perkenalan; Kudrat 1968. Menampilkan Mierul Aiman Sebagai Kuda & Zarif Ghazzi Sebagai Abbas

Walaupun begitu, paparan konflik dan kekerasan dalam karya berkenaan sebelum ini mencetuskan perbincangan di media sosial, khususnya mengenai kebimbangan terhadap pengaruh kandungan sedemikian kepada penonton muda.

Dalam suasana isu keganasan di sekolah terus mendapat perhatian masyarakat, pendekatan penceritaan ‘Kudrat 1968: High Council’ turut membuka ruang untuk penonton menilai mesej di sebalik konflik yang dipaparkan, termasuk akibat yang perlu ditanggung apabila kekerasan dijadikan pilihan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Tegur Generasi ‘Strawberi’ Dalam Ceramah, Timbalan Mufti Pahang Terima Aduan SISPAA Hingga Diminta Beri Penjelasan

0

Niat menegur sikap generasi masa kini menerusi sebuah ceramah akhirnya mengundang situasi yang tidak dijangka apabila Timbalan Mufti Pahang, Datuk Dr. Badli Shah Alauddin, menerima aduan rasmi menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Perkara itu berlaku susulan ceramah beliau pada 18 Oktober lalu yang menyentuh mengenai isu generasi ‘strawberi’, iaitu istilah yang sering digunakan bagi menggambarkan golongan muda yang dianggap mudah tersinggung, sensitif terhadap kritikan dan kurang tahan menghadapi tekanan.

Bagaimanapun, teguran tersebut dilaporkan telah mencetuskan rasa kurang senang pihak tertentu sehingga membawa kepada aduan rasmi terhadap beliau.

Lebih mengejutkan, Badli Shah turut memaklumkan bahawa beliau diberikan tempoh tiga hari oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang untuk mengemukakan penjelasan bertulis berhubung pemilihan tajuk ceramah berkenaan.

Kecewa Teguran Berakhir Dengan Aduan Rasmi

Susulan kejadian itu, Badli Shah tidak menyembunyikan rasa kesalnya apabila isu yang dibangkitkan dalam ceramah tersebut akhirnya menjadi perkara yang perlu dijawab menerusi saluran rasmi.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan berkenaan sehingga mengakui semakin tawar hati untuk terus membincangkan isu generasi ‘strawberi’.

Tegur Generasi ‘Strawberi’ Dalam Ceramah, Timbalan Mufti Pahang Terima Aduan SISPAA Hingga Diminta Beri Penjelasan

Malah, ungkapan ‘saya menyampah’ yang dikaitkan dengan reaksi beliau turut mendapat perhatian selepas perkara tersebut dilaporkan beberapa portal berita tempatan.

Untuk rekod, istilah ‘generasi strawberi’ bukanlah sesuatu yang baharu dalam perbincangan masyarakat.

Ia lazimnya digunakan sebagai metafora bagi menggambarkan individu yang dilihat mudah terkesan dengan tekanan, teguran atau cabaran kehidupan, biarpun mempunyai pelbagai kelebihan dari segi pendidikan dan peluang.

Namun begitu, penggunaan istilah berkenaan juga sering mengundang perdebatan kerana dianggap sesetengah pihak sebagai satu bentuk pelabelan yang terlalu umum terhadap generasi muda.

Aduan SISPAA Terhadap Timbalan Mufti Pahang Cetus Perbincangan

Dalam hal ini, penggunaan istilah generasi ‘strawberi’ menjadi antara perkara yang mendapat perhatian kerana tafsirannya boleh berbeza mengikut pengalaman dan pandangan setiap individu.

Bagi sesetengah pihak, teguran sedemikian mungkin dilihat sebagai satu bentuk peringatan supaya golongan muda lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan. Namun, terdapat juga pandangan bahawa penggunaan label tertentu boleh menimbulkan salah faham sekiranya dianggap mewakili keseluruhan generasi.

Perbezaan pandangan ini menjadikan isu berkenaan bukan sekadar berkisar tentang kandungan ceramah, tetapi turut menyentuh persoalan bagaimana masyarakat menerima kritikan dan menyampaikan ketidakpuasan hati melalui saluran rasmi.

 

Penjelasan Bertulis Berhubung Ceramah

Permintaan supaya Badli Shah mengemukakan penjelasan bertulis dalam tempoh tiga hari turut menjadi perhatian kerana ia melibatkan seorang Timbalan Mufti negeri yang menyampaikan pandangan menerusi ceramah.

Walau bagaimanapun, permintaan untuk memberikan penjelasan tidak semestinya membawa maksud sebarang kesalahan telah diputuskan atau tindakan tatatertib akan dikenakan.

Setakat maklumat yang dilaporkan, belum dapat dipastikan kandungan khusus aduan yang dikemukakan atau sama ada sebarang tindakan lanjut akan diambil terhadap beliau.

Perkembangan ini sekali gus memperlihatkan bagaimana isu generasi ‘strawberi’ boleh mencetuskan perbincangan lebih luas mengenai kebebasan menyampaikan teguran, sensitiviti masyarakat dan kepentingan memahami konteks sesuatu kenyataan sebelum membuat penilaian.

Sumber: Siakap Keli, SAYS Seismik.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Cekal Lawan Leukemia, Norhafiza Genggam Ijazah PNGK 3.57 Demi Balas Pengorbanan Ibu Bapa

Kejayaan menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.57 menjadi detik paling bermakna buat Norhafiza Aini Ramzi, yang terus tabah melawan leukemia demi membalas pengorbanan ibu bapanya.

Graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu membuktikan bahawa penyakit bukan penghalang untuk mencapai kejayaan, meskipun terpaksa berdepan cabaran kesihatan yang menjejaskan kekuatan fizikalnya sepanjang pengajian.

Malah, dalam keadaan tertentu, Norhafiza memerlukan bantuan kerusi roda untuk bergerak susulan kesan rawatan yang dilaluinya.

Disahkan Menghidap Leukemia Ketika Menuntut Di Universiti

Anak ketiga daripada lima beradik yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu disahkan menghidap kanser darah jenis Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) pada Mac lalu ketika sedang mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengurusan Operasi Maritim dengan Kepujian.

Menurut Norhafiza, penyakit berkenaan mula menunjukkan tanda-tanda apabila dia mengalami demam berpanjangan, lebam pada tubuh serta keletihan melampau.

Keadaan itu mendorongnya mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Teluk Intan sebelum disahkan menghidap penyakit berkenaan.

Berita tersebut pastinya mengubah perjalanan hidupnya, namun Norhafiza memilih untuk terus kuat dan tidak menjadikan penyakit itu sebagai alasan untuk mengalah.

Pengorbanan Ibu Bapa Jadi Pembakar Semangat

Di sebalik perjuangan melawan penyakit, Norhafiza mengakui pengorbanan kedua-dua ibu bapanya menjadi sumber kekuatan terbesar untuknya terus bertahan.

Bapanya yang bekerja sebagai pesawah dan ibunya sentiasa memberikan sokongan tanpa mengenal erti penat, termasuk menguruskan keperluan rawatan serta membawanya ke hospital setiap bulan untuk menjalani kemoterapi.

Malah, kedua-dua insan itu turut berusaha mendapatkan bantuan bagi menampung kos ubat-ubatan sepanjang proses rawatan.

Segala pengorbanan tersebut membuatkan Norhafiza semakin bersemangat untuk kembali sihat, sekali gus membalas jasa ibu dan bapanya yang sentiasa berada di sisi ketika dia berdepan ujian kehidupan.

Cekal Lawan Leukemia, Norhafiza Genggam Ijazah PNGK 3.57 Demi Balas Pengorbanan Ibu Bapa

Kemoterapi Beri Kesan Kepada Pergerakan Harian

Norhafiza kini menjalani kitaran kemoterapi kelima dan mengakui rawatan berkenaan memberi kesan terhadap kekuatan fizikalnya.

Keadaan itu turut menyebabkan pergerakan hariannya menjadi terbatas, termasuk ketika melakukan aktiviti yang sebelum ini mampu dilakukan dengan mudah.

Bagaimanapun, sokongan keluarga dan rakan-rakan banyak membantu membina semangatnya untuk terus berjuang menghadapi penyakit tersebut.

Pengalaman menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) ketika menuntut di UMT juga menjadi antara faktor yang membentuk disiplin serta ketahanan dirinya untuk berdepan ujian yang lebih besar.

Kejayaan Genggam Ijazah Jadi Hadiah Buat Ibu Bapa

Walaupun masih menjalani rawatan, Norhafiza berjaya menamatkan pengajian dengan PNGK 3.57, sekali gus membuktikan kesungguhan dan semangatnya untuk mencapai cita-cita.

Bagi dirinya, kejayaan menggenggam ijazah bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya menjadi simbol pengorbanan ibu dan bapanya yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.