
Selepas hampir sedekad menetap di Terengganu, penyanyi Faizal mengakui dirinya semakin jarang mendapat perhatian media susulan kurang aktif dalam industri hiburan tanah air.
Bagaimanapun, juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4) itu menegaskan dia tidak pernah meninggalkan dunia nyanyian, malah masih menerima undangan persembahan sepanjang menetap di negeri kelahirannya itu.
Menurut Faizal, tempoh hampir 10 tahun di Terengganu menjadi antara sebab namanya kurang muncul di media arus perdana, sebelum mengambil keputusan untuk kembali menetap di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Sebelum ini, saya banyak menetap di Terengganu. Namun sekarang, saya sudah menetap di Kuala Lumpur. Saya baru sahaja berpindah. Jika ada yang bertanya ke mana saya menghilang, hampir 10 tahun saya di Terengganu.
“Sebab itulah saya jarang mendapat perhatian daripada pihak media. Bagaimanapun, saya tidak berhenti menyanyi. Saya banyak buat persembahan di Terengganu,” katanya.Tak Malu Jual Penapis Air, Pernah Sertai Askar Wataniah
Bercerita mengenai kehidupannya sepanjang kurang mendapat perhatian dalam industri hiburan, Faizal mendedahkan dia turut melakukan pelbagai pekerjaan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Jika sebelum ini dia lebih bergantung pada jemputan persembahan, penyanyi itu kini turut menceburi bidang perniagaan selain pernah berkhidmat sebagai askar wataniah.
“Saya juga ada melakukan beberapa pekerjaan lain. Dahulu, saya hanya menantikan jemputan persembahan sahaja. Kini, saya bukan hanya menyanyi.
“Saya juga menjual penapis air dan saya tak malu pun jual penapis air. Saya juga pernah terlibat sebagai askar wataniah.
“Jadi, tak pelik sekiranya orang bertanya ke mana saya menghilang selama ini. Memang saya jarang di kaca TV dan jumpa media. Bila buat bermacam-macam kerja, jadi kurang fokus di media sosial,” ujarnya.

Kembali Ke Kuala Lumpur Bukan Semata-mata Sertai GV13
Dalam pada itu, Faizal menjelaskan keputusannya untuk kembali menetap di Kuala Lumpur bukanlah semata-mata kerana penyertaannya dalam GV13.
Sebaliknya, dia kini sedang memberikan tumpuan untuk mengembangkan perniagaan sendiri menerusi penghasilan beberapa produk kesihatan.

“Saya sebenarnya berpindah ke Kuala Lumpur bukan kerana GV. Ketika ini, saya sedang mengusahakan produk sendiri. Ada bermacam-macam produk kesihatan yang saya keluarkan.
“Kini, saya aktif berniaga secara langsung di media sosial. Saya juga sudah mula mendapat beberapa jemputan persembahan sejak berpindah ke sini,” katanya.

Bakal Bersaing Di Pentas Gegar Vaganza 13
Terdahulu, Faizal merupakan antara nama yang diumumkan bakal berentap dalam GV13 bersama beberapa penyanyi lain, termasuk Mawi, Stacy, Firman, Vince, Zahid, Mila, Faizul dan Shahir.
Empat lagi peserta dijadualkan diumumkan pada konsert minggu pertama program realiti nyanyian tersebut.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










