Home Blog Page 7

Tiga Anak Muda Malaysia Raih Pengiktirafan, Terpilih Sebagai 100 Pemimpin Muda QECT 2026, Tahniah!

0

Baru-baru ini, tiga anak muda Malaysia meraih perhatian apabila terpilih menerima Anugerah 100 Pemimpin Muda Tabung Amanah Komanwel Ratu Elizabeth II (QECT) 2026. Pengiktirafan tersebut diberikan atas sumbangan mereka dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat menerusi bidang pendidikan, teknologi dan kesihatan.

Difahamkan, tiga individu berkenaan ialah Arissa Jemaima Ikram Ismail (29), dan Sarah Callista Ng Xue Qi (19), dari Kuala Lumpur serta Ho Wei Liang (27), dari Johor Bahru. Kejayaan mereka membuktikan bahawa golongan muda mampu memainkan peranan penting dalam menangani cabaran masyarakat melalui inisiatif yang berimpak.

Untuk pengetahuan, Sarah merupakan pengasas dan pengarah eksekutif ‘Hope2Kids’, sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan diri kanak-kanak kurang bernasib baik, termasuk mereka yang menetap di rumah kebajikan. Menerusi program ‘Letters of Hope’, beliau turut menghubungkan sukarelawan dari lebih 11 negara untuk menyampaikan mesej sokongan dan kata-kata semangat kepada golongan berkenaan.

Tiga Anak Muda Malaysia Raih Pengiktirafan, Terpilih Sebagai 100 Pemimpin Muda QECT 2026, Tahniah! Tiga Anak Muda Malaysia Raih Pengiktirafan, Terpilih Sebagai 100 Pemimpin Muda QECT 2026, Tahniah!

Selain memperjuangkan kebajikan kanak-kanak, Sarah juga aktif dalam pembangunan kepimpinan belia serta penganjuran sidang kemuncak akademik peringkat kebangsaan. Usaha tersebut mencerminkan komitmennya dalam membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk berkembang dan membina masa depan yang lebih baik.

Sementara itu, Ho Wei Liang atau lebih dikenali sebagai Liam, menerajui Tech4SDG dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong kelestarian alam sekitar dan memperluas akses pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Sepanjang penglibatannya, beliau dilaporkan telah membimbing lebih 1,200 anak muda serta menyelia lebih 80 projek teknikal, selain menyumbang kepada perbincangan antarabangsa berkaitan tadbir urus AI dan tindakan iklim, termasuk melalui penglibatan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagi Arissa Jemaima Ikram Ismail pula, beliau merupakan individu di sebalik ‘Doctors on Ground’, sebuah inisiatif yang berusaha meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti terpinggir. Sejak 2020, beliau telah mengetuai lebih 300 misi dan inisiatif kesihatan komuniti bagi membantu golongan yang memerlukan mendapatkan rawatan, di samping menyokong pembangunan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan.

Tiga Anak Muda Malaysia Raih Pengiktirafan, Terpilih Sebagai 100 Pemimpin Muda QECT 2026, Tahniah! Tiga Anak Muda Malaysia Raih Pengiktirafan, Terpilih Sebagai 100 Pemimpin Muda QECT 2026, Tahniah!

Untuk rekod, Anugerah QECT diasaskan oleh mendiang Ratu Elizabeth II bagi mengiktiraf dan menyokong pemimpin muda dari negara-negara Komanwel yang membawa perubahan dalam masyarakat. Bersempena ulang tahun ke-100 kelahiran baginda, pengiktirafan bagi tahun 2026 turut menampilkan individu yang menyumbang dalam bidang pendidikan, alam sekitar, makanan dan pertanian, kesihatan serta keterangkuman.

Majlis penyampaian anugerah berkenaan dijadualkan berlangsung di Istana St James, London, United Kingdom, pada Jun 2026. Pencapaian ketiga-tiga anak muda ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah menjadi inspirasi bahawa usia bukan penghalang untuk mencetuskan perubahan bermakna apabila usaha dan kepakaran dimanfaatkan demi kesejahteraan masyarakat.

Sumber: Berita Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sah! Miss Universe Malaysia 2026 & Lima Ratu Cantik Tidak Akan Bertanding Di Puerto Rico

Pertandingan ratu cantik Miss Universe ke-75 belum pun bermula, namun kontroversi telah menjengah apabila enam buah negara dari Asia Tenggara – Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia, Singapura dan Laos mengumumkan bahawa mereka sah tidak akan bertanding di Puerto Rico, tahun ini.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Miss Grand International yang mempunyai hak pemilikan terhadap organisasi kebangsaan Miss Universe di enam buah negara tersebut, keputusan untuk tidak menghantar keenam-enam wakil dibuat setelah berunding dengan organisasi dan wakil masing-masing.

Peserta Ratu Cantik Tidak Tarik Diri

Kongsinya lagi, keenam-enam wakil tersebut tidak menarik diri daripada bertanding, sebalik penyertaan mereka disekat disebabkan pertikaian yang berlaku antara JKN Universe LLC, pemilik organisasi Miss Universe dan pengasas Miss Grand International (MGI) merangkap pemilik Miss Universe Eastern, Nawat Itsaragrisil.

Sah! Miss Universe Malaysia 2026 & Lima Ratu Cantik Tidak Akan Bertanding Di Puerto Rico
Nawat Itsaragrisil.

Nawat menegaskan pihaknya telah memperolehi hak bagi kesemua enam francais negara secara sah melalui kontrak yang ditanda tangani sewaktu perjanjian.

“MGI berdiri teguh menyokong keenam-enam jelitawan ini. Kemelut yang berlaku di pertandingan Miss Universe ke-75 ini tidak seharusnya menidakkan pencapaian wanita ini ataupun tanggungjawab yang mereka pikul demi negara masing-masing,” catatnya.

MGI turut menzahirkan penghargaan kepada peminat enam orang ratu cantik tersebut; Tharina Botes dari Thailand, Eunice Wong dari Malaysia, Vion Tan dari Singapura dan Quynh Anh Nguyen dari Vietnam di atas sokongan yang diberikan kepada mereka semasa bertanding di peringkat kebangsaan.

Sah! Miss Universe Malaysia 2026 & Lima Ratu Cantik Tidak Akan Bertanding Di Puerto Rico
(Dari Kiri) Eunice Wong dari Malaysia dan Tharina Botes dari Thailand.
Sah! Miss Universe Malaysia 2026 & Lima Ratu Cantik Tidak Akan Bertanding Di Puerto Rico
(Dari Kiri) Quynh Anh Nguyen dari Vietnam dan Vion Tan dari Singapura.

Sebagai info, wakil Miss Universe Indonesia dan Miss Universe Laos tidak sempat untuk diumumkan atau dipilih.

Bagi Eunice Wong yang mewakili Malaysia, perkembangan ini tentunya mengecewakan impiannya yang menantikan peluang muncul di pentas Miss Univers dan membawa nama negara di peringkat antarabangsa.

BACA: Eunice Wong Dinobat Miss Universe Malaysia 2026, Wakili Negara Ke Puerto Rico November Ini

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan MGI, keputusan tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai tindakan menarik diri secara sukarela oleh mana-mana peserta yang terlibat.

Miss Universe & Kontroversi Berpisah Tiada

Kontroversi bukan lagi satu perkara janggal dalam hal penganjuran Miss Universe. Pada edisi ke-74 tahun di Bangkok, Thailand; ia dicemari insiden penarikan diri dua orang juri serta insiden beberapa wakil negara yang keluar dari acara agihan selempang kepada semua peserta.

Insiden berkenaan menjadi antara episod kerapuhan penganjuran Miss Universe. Ia memperlihatkan bagaimana isu di sebalik tabir mampu membayangi perjalanan acara yang sepatutnya meraikan pencapaian wanita dari seluruh dunia.

Menjelang edisi ke-75, pengumuman enam peserta disekat daripada menyertai Miss Universe menimbulkan persoalan mengenai masa depan penganjurannya setelah negara-negara yang dianggap sebagai ‘powerhouse’ seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia tidak akan menghadirkan sokongan luar biasa terhadap wakil masing-masing.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“Doktor Cakap Normal” – Ikmal Amry Kongsi Pengalaman Lambat Akil Baligh Ketika Remaja

0

Pelakon popular, Ikmal Amry mencuri perhatian apabila berkongsi pengalaman peribadinya yang mengalami proses akil baligh agak lewat berbanding kebanyakan remaja lelaki seusianya.

Menerusi satu sedutan podcast Kita-Kita Aje! yang dikendalikan pengacara terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi atau lebih mesra disapa Pak Nil, Ikmal mendedahkan bahawa dirinya hanya mula mengalami perubahan fizikal yang ketara ketika berada di Tingkatan Lima.

Menurut pelakon berusia 32 tahun itu, keadaan tersebut pernah membuatkannya tertanya-tanya sehingga mengambil keputusan untuk mendapatkan penjelasan daripada doktor.

“Saya akil baligh Tingkatan Lima, Pak Nil. Dari kecil sampai Tingkatan Empat, saya tak mimpi. Saya pernah jumpa doktor juga tanya pasal benda ini dan doktor cakap benda itu normal,” kongsinya.

Ikmal Amry Kongsi Perubahan Fizikal Ketika Zaman Sekolah

“Doktor Cakap Normal” – Ikmal Amry Kongsi Pengalaman Lambat Akil Baligh Ketika Remaja

Lebih menarik, Ikmal memberitahu bahawa ketika berada di bangku sekolah menengah, penampilan fizikalnya masih kelihatan seperti kanak-kanak sekolah rendah, termasuk dari segi suara dan bentuk wajah.

Malah, ketika itu ketinggiannya hanya sekitar 160 sentimeter sebelum meningkat kepada 165 sentimeter sewaktu berada di Tingkatan Lima.

Apabila Pak Nil bertanya sama ada penampilannya ketika itu menyerupai murid Darjah Enam, Ikmal mengakui perkara tersebut.

“Ya, Darjah Enam sampai Tingkatan Tiga,” jawabnya ringkas.

Walaupun kebanyakan remaja lelaki mula menunjukkan perubahan ketara ketika memasuki alam sekolah menengah, terdapat juga individu yang mengalami perkembangan fizikal pada usia lebih lewat.

Perubahan Suara dan Wajah Selepas Akil Baligh

Bagaimanapun, perubahan fizikal Ikmal mula menjadi lebih ketara selepas dirinya melalui proses akil baligh.

Jelasnya, ketinggian badannya mula meningkat, suara semakin garau dan bentuk wajahnya turut berubah menjadi lebih matang.

“Lepas saya akil baligh, baru suara pecah. Baru muka ada shape. Kalau tak, muka saya bulat saja dulu,” katanya sambil menawarkan untuk menunjukkan gambar lamanya ketika berada di Tingkatan Lima.

Perubahan suara, pertumbuhan ketinggian dan perkembangan bentuk wajah merupakan antara perubahan fizikal yang lazim berlaku ketika remaja lelaki melalui proses kematangan.

Bagaimanapun, kadar perubahan tersebut berbeza mengikut individu, termasuk dari segi usia permulaan dan tempoh perkembangan.

“Doktor Cakap Normal” – Ikmal Amry Kongsi Pengalaman Lambat Akil Baligh Ketika Remaja

Pak Nil Berseloroh Ikmal Amry Nampak Lebih Muda

Perkongsian itu turut mengundang reaksi spontan Pak Nil yang berseloroh bahawa Ikmal masih kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya.

“Oh, nampak macam baru 21 saja,” ujar pengacara tersebut.

Mengulas mengenai perubahan fizikalnya yang berlaku sedikit lewat, Ikmal bagaimanapun menerima perkara itu secara positif dan menganggapnya sebagai satu rezeki.

“Lambat sikit saya, rezeki juga,” katanya.

Reaksi santai kedua-duanya menjadikan perkongsian mengenai pengalaman zaman remaja itu lebih menarik, terutama apabila Ikmal sendiri tidak keberatan menceritakan perubahan fizikal yang pernah dialaminya.

Malah, cara pelakon tersebut menerima pengalaman berkenaan memperlihatkan pandangan positifnya terhadap perubahan diri yang berlaku sepanjang proses membesar.

Sumber : Tiktok @kitakitaajepodcast

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Sam Edelman Buka Butik Baharu Di Suria KLCC, Raikan Gaya Feminin Menerusi Koleksi ‘She’s a Lady’

Baru-baru ini, jenama kasut ikonik dari Amerika Syarikat, Sam Edelman, memperluaskan kehadirannya di Malaysia menerusi pembukaan butik di Suria KLCC, Kuala Lumpur. Langkah ini sekaligus menandakan perkembangan terbaru jenama itu sejak memasuki pasaran tempatan pada September 2025 dengan terus memperkenalkan pilihan kasut yang menggabungkan estetika klasik dan sentuhan moden.

Antara yang menjadi tumpuan ialah beberapa rekaan eksklusif yang ditawarkan untuk tempoh terhad di butik Suria KLCC. Koleksi ini merangkumi ‘Hazel’, kasut stiletto yang menampilkan siluet feminin dengan potongan hadapan rendah dan lapisan dalaman berkusyen, memberikan keseimbangan antara penampilan elegan dengan keselesaan.

Bagi penggemar kasut yang lebih klasik, ‘Loraine’ dan ‘Loraine Weave’ mengetengahkan gaya loafer dengan perincian horsebit berwarna emas. Kedua-duanya hadir dengan karakter tersendiri, sama ada menerusi kemasan kulit licin atau tekstur anyaman. Sementara itu, ‘Michaela Mesh’ menawarkan kelainan menerusi rekaan Mary Jane bercorak ‘leopard’ yang dipadankan dengan kemasan kulit coklat.

Sam Edelman Buka Butik Baharu Di Suria KLCC, Raikan Gaya Feminin Menerusi Koleksi 'She’s a Lady' Sam Edelman Buka Butik Baharu Di Suria KLCC, Raikan Gaya Feminin Menerusi Koleksi 'She’s a Lady'

Selain pilihan eksklusif tersebut, Sam Edelman turut memperkenalkan koleksi Musim Luruh-Musim Sejuk 2026 bertemakan “She’s a Lady”. Koleksi ini menggabungkan tiga pendekatan gaya, iaitu Maximalist, Modern Boho dan Sharp Tailoring, yang diterjemahkan melalui variasi siluet, tekstur serta perincian pada setiap rekaan.

Antara pilihan dalam koleksi berkenaan ialah ‘Emma Dazzle Ballet Flat’ yang dihiasi perincian kristal, sesuai untuk mereka yang menyukai sentuhan berkilau pada kasut harian. ‘Finch Feather’ pula tampil dengan elemen bulu yang memberikan karakter lebih menonjol, manakala ‘Presley Kitten Heel Sandal’ membawa siluet bertumit rendah. ‘Sutton Mary Jane’ melengkapkan rangkaian ini menerusi material baldu berwarna ‘Avocado’.

Untuk gaya yang lebih versatil, beberapa rekaan signature jenama ini turut merangkumi ‘Alie Ballet Flat’ dan ‘Michaela Flat’ yang mudah dipadankan dengan pelbagai persalinan. ‘Hazel Pointed Toe Pump’ dan ‘Bianka Sling’ pula menawarkan pilihan dengan bentuk yang lebih kemas, manakala Bay Slide Sandal sesuai untuk penampilan santai.

Sam Edelman Buka Butik Baharu Di Suria KLCC, Raikan Gaya Feminin Menerusi Koleksi 'She’s a Lady'

Sam Edelman Buka Butik Baharu Di Suria KLCC, Raikan Gaya Feminin Menerusi Koleksi 'She’s a Lady'

Sam Edelman Buka Butik Baharu Di Suria KLCC, Raikan Gaya Feminin Menerusi Koleksi 'She’s a Lady'

Dari segi harga, rekaan eksklusif yang ditawarkan di Suria KLCC berada dalam lingkungan RM759 hingga RM819. Sementara itu, harga bagi beberapa pilihan daripada koleksi “She’s a Lady” bermula RM669 hingga RM819, bergantung pada rekaan. Perbezaan siluet dan perincian memberikan pilihan kepada peminat kasut untuk menyesuaikan gaya mengikut cita rasa masing-masing.

Pembukaan butik baru ini menambah pilihan buat peminat fesyen yang ingin mengenali rangkaian Sam Edelman dengan lebih dekat. Daripada kasut rata dan loafer hingga kasut tumit tinggi serta sandal, koleksi yang ditawarkan memperlihatkan kepelbagaian rekaan yang boleh melengkapi gaya kasual mahupun penampilan lebih formal.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Kisah Adik Eerah Jual Burger Raih Perhatian PM Anwar Ibrahim, Terima Sumbangan Sebagai Tanda Sokongan

0

Kegigihan seorang anak istimewa yang dikenali sebagai Adik Eerah dalam mengusahakan perniagaan burger bersama bapanya di Kota Warisan, Sepang, mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas kisahnya tular di media sosial baru-baru ini.

Adik Eerah atau nama sebenarnya Jaheerah merupakan seorang individu kelainan upaya (OKU) kategori pembelajaran termasuk disleksia, namun keadaan itu tidak menghalangnya untuk berdikari dan membantu keluarga mencari rezeki.

Menerusi perkongsian di Facebook, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi memaklumkan beliau berkesempatan bertemu dan menyantuni Adik Eerah yang hadir bersama bapanya, Encik Nadzri.

Adik Eerah Bersama Bapa Usahakan Eerah Burger Sejak Lima Tahun Lalu

Kisah Adik Eerah Jual Burger Raih Perhatian PM Anwar Ibrahim, Terima Sumbangan Sebagai Tanda Sokongan

Menurut Farhan, Adik Eerah kini bersama bapanya mengusahakan perniagaan makanan dikenali sebagai Eerah Burger yang sudah beroperasi sejak lima tahun lalu.

Lebih membanggakan, perniagaan keluarga itu dilaporkan mampu mencatatkan jualan sehingga 100 biji burger sehari, sekali gus membuktikan kesungguhan Adik Eerah dalam membantu mengembangkan perniagaan berkenaan.

Pencapaian tersebut turut memperlihatkan bagaimana perniagaan kecil yang diusahakan bersama ahli keluarga mampu menjadi sumber pendapatan, selain membuka ruang kepada individu berkeperluan khas untuk melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi.

Dalam tempoh lima tahun mengusahakan perniagaan berkenaan, kerjasama antara bapa dan anak ini menjadi antara perkara yang menarik perhatian ramai selepas kisah mereka mendapat perhatian di media sosial.

Usaha menjalankan perniagaan makanan juga memerlukan komitmen dan kesungguhan, khususnya dalam memastikan operasi harian dapat diteruskan serta pelanggan menerima perkhidmatan yang baik.

“Meskipun merupakan insan OKU pembelajaran termasuk disleksia, semangat serta kesungguhan Adik Eerah membuktikan bahawa kekurangan bukanlah satu halangan untuk berjaya,” katanya.

PM Anwar Ibrahim Sampaikan Sumbangan Kepada Adik Eerah

Kisah Adik Eerah Jual Burger Raih Perhatian PM Anwar Ibrahim, Terima Sumbangan Sebagai Tanda Sokongan

Dalam pertemuan tersebut, Farhan turut menyampaikan sumbangan bagi pihak Perdana Menteri sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap usaha Adik Eerah serta keluarganya.

Sumbangan itu juga diharap dapat menjadi pembakar semangat buat Adik Eerah untuk terus berusaha dan mencapai kejayaan lebih besar pada masa hadapan.

Keprihatinan yang ditunjukkan itu turut memberi perhatian kepada usaha golongan OKU yang berusaha membina kehidupan lebih berdikari melalui bidang perniagaan.

Sokongan terhadap perniagaan kecil seperti Eerah Burger bukan sahaja penting dari sudut galakan moral, malah dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kemampuan individu berkeperluan khas untuk turut menyumbang kepada ekonomi keluarga.

“Terus maju, Adik Eerah. Semoga perniagaan keluarga ini terus berkembang maju dan diberkati sentiasa serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai lagi di luar sana,” ujarnya.

Kisah Adik Eerah Jadi Inspirasi Kepada Masyarakat

Kisah Adik Eerah bukan sahaja memperlihatkan semangat seorang anak muda yang gigih mencari rezeki, malah menjadi inspirasi bahawa individu OKU juga mampu berdikari dan mencipta kejayaan dengan sokongan keluarga serta peluang yang sewajarnya.

Kisah Adik Eerah Jual Burger Raih Perhatian PM Anwar Ibrahim, Terima Sumbangan Sebagai Tanda Sokongan

Penglibatan dalam perniagaan juga boleh menjadi salah satu ruang untuk mereka mempelajari kemahiran baharu, berinteraksi dengan masyarakat serta membina pengalaman yang berguna untuk masa hadapan.

Kejayaan sesebuah perniagaan tidak semestinya diukur berdasarkan saiz operasi atau jumlah keuntungan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi usaha, ketekunan dan kemampuan seseorang untuk terus berusaha menghadapi cabaran.

Dengan sokongan berterusan daripada keluarga dan masyarakat, diharapkan Eerah Burger dapat terus berkembang serta menjadi sumber rezeki yang memberi manfaat kepada keluarga berkenaan.

Sumber: Facebook Farhan Fauzi

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Luar biasa! Baru 4 Tahun, Gaeshwin Nair Cipta Rekod Dunia Selepas Kenal Pasti 44 Komponen Enjin Dalam Seminit

Pada usia baru empat tahun, seorang kanak-kanak dari Seremban, Negeri Sembilan, mencuri perhatian apabila berjaya meraih tiga pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menerusi kebolehannya mengenal pasti komponen enjin kenderaan.

Kanak-kanak bernama Gaeshwin Nair itu membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menguasai sesuatu bidang apabila berjaya mencatatkan pencapaian luar biasa dalam dunia automotif.

Menurut laporan World of Buzz, Gaeshwin berjaya mengenal pasti sebanyak 44 komponen enjin kenderaan dalam tempoh hanya 60 saat pada 24 Julai 2026.

Keupayaan tersebut melayakkannya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR), selain dua pengiktirafan rekod dunia daripada International Book of Records dan Worldwide Book of Records.

Luar biasa! Baru 4 Tahun, Gaeshwin Nair Cipta Rekod Dunia Selepas Kenal Pasti 44 Komponen Enjin Dalam Seminit

Kenal Pasti 44 Komponen Enjin Dalam Masa 60 Saat

Menerusi pencapaian berkenaan, Gaeshwin menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records dalam kategori Most Automotive Engine Components Identified By A Child In One Minute.

Lebih membanggakan, kebolehannya turut mendapat pengiktirafan daripada dua badan rekod antarabangsa, sekali gus melengkapkan tiga pengiktirafan yang berjaya diraihnya.

Pencapaian itu bukan sahaja memperlihatkan daya ingatan luar biasa yang dimiliki Gaeshwin, malah membuktikan bahawa minat yang dipupuk sejak kecil berpotensi berkembang menjadi satu kelebihan tersendiri.

Ketika kebanyakan kanak-kanak seusianya masih dalam proses mengenali pelbagai perkara di sekeliling mereka, Gaeshwin sudah mampu memahami istilah berkaitan automotif yang kebiasaannya lebih dekat dengan golongan dewasa.

Luar biasa! Baru 4 Tahun, Gaeshwin Nair Cipta Rekod Dunia Selepas Kenal Pasti 44 Komponen Enjin Dalam Seminit

Mula Tunjukkan Keistimewaan Sejak Usia Setahun Setengah

Menurut ibu bapanya, Thynalan Mohan Das dan Gayathri Nair, bakat luar biasa Gaeshwin mula disedari ketika anak mereka itu baru berusia sekitar satu tahun setengah.

Pada usia tersebut, dia sudah mampu menyebut nama kesemua planet dalam sistem suria mengikut urutan yang betul.

Seiring dengan perkembangannya, minat Gaeshwin kemudian beralih kepada dunia automotif selepas ibu bapanya memperkenalkan kad imbas pendidikan yang memaparkan lebih 100 jenama kereta berserta negara asal masing-masing.

Apa yang mengagumkan, Gaeshwin berjaya mengenal pasti kesemua jenama tersebut dalam tempoh hanya satu hingga dua bulan.

Daripada sekadar mengenali jenama kenderaan, minatnya semakin berkembang apabila dia mula mempelajari pelbagai komponen enjin yang lebih kompleks.

Antara komponen yang dipelajarinya termasuklah aci engkol, pam minyak enjin, rod penyambung dan pelaras aci sesondol.

Luar biasa! Baru 4 Tahun, Gaeshwin Nair Cipta Rekod Dunia Selepas Kenal Pasti 44 Komponen Enjin Dalam Seminit

Ibu Bapa Sediakan Bahan Pembelajaran Mengikut Minat Anak

Melihat minat mendalam Gaeshwin terhadap dunia automotif, Thynalan dan Gayathri mengambil inisiatif menyediakan pelbagai bahan pembelajaran bagi membantunya meneroka bidang tersebut dengan lebih jauh.

Malah, mereka turut memberikan pendedahan kepada komponen enjin sebenar supaya Gaeshwin dapat memahami dengan lebih baik perkara yang dipelajarinya.

Pendekatan itu menunjukkan bagaimana pendedahan awal dan bahan pembelajaran yang bersesuaian mampu membantu kanak-kanak mengembangkan minat serta potensi mereka.

Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapanya tetap menitikberatkan keseimbangan dalam kehidupan Gaeshwin agar dia dapat menikmati zaman kanak-kanaknya seperti kanak-kanak lain tanpa terlalu dibebani tuntutan pencapaian.

Harap Jadi Inspirasi Kepada Ibu Bapa Lain

Bagi ibu bapanya, pencapaian yang diraih Gaeshwin bukan sekadar tentang pengiktirafan atau rekod yang berjaya dicatatkan, sebaliknya turut membawa mesej tentang kepentingan mengenal pasti keistimewaan setiap anak.

Mereka berharap perjalanan Gaeshwin dapat membuka mata lebih ramai ibu bapa untuk memberikan ruang kepada anak-anak meneroka perkara yang diminati, selain menyokong perkembangan bakat mereka sejak usia muda.

“Kami berharap perjalanan Gaeshwin dapat memberi inspirasi kepada ibu bapa lain untuk mengenal pasti kelebihan unik anak-anak mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk meneroka potensi masing-masing,” ujar mereka.

Luar biasa! Baru 4 Tahun, Gaeshwin Nair Cipta Rekod Dunia Selepas Kenal Pasti 44 Komponen Enjin Dalam Seminit

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: WOB

‘Along With The Gods’ Bakal Kembali Ke Layar Perak, Filem Ketiga Menyusul Selepas Hampir Sedekad

0

Khabar baik buat penggemar siri filem genre fantasi ‘Along With The Gods’! Selepas hampir sedekad menanti perkembangan terbaharu francais popular Korea Selatan itu, filem ketiganya yang berjudul ‘Along With The Gods: Life and Death’ akhirnya disahkan bakal diterbitkan, dengan penggambaran dijadualkan bermula pada penggal kedua tahun 2027.

Menurut Dexter Studio dalam satu kenyataan pada 20 Oktober, pengarah Kim Yong-hwa telah mengesahkan projek berkenaan sebagai karya terbarunya dan kini sedang giat melakukan persiapan sebelum produksi dimulakan. Selain itu, pihaknya turut kembali terlibat dalam pembikinan filem tersebut selepas memainkan peranan penting dalam merealisasikan dunia fantasi dua filem terdahulu.

Untuk rekod, ‘Along With The Gods’ merupakan antara francais filem Korea Selatan paling berjaya apabila kedua-dua filem terdahulunya berjaya meraih lebih 10 juta penonton setiap satu. Filem pertama, ‘Along With The Gods: The Two Worlds’ (2017), mencatatkan 14.41 juta penonton, manakala filem kedua, ‘Along With The Gods: The Last 49 Days’ (2018), meraih sekitar 12.28 juta penonton.

‘Along With The Gods’ Bakal Kembali Ke Layar Perak, Filem Ketiga Menyusul Selepas Hampir Sedekad
Antara babak dalam Along With The Gods: The Two Worlds (2017)
‘Along With The Gods’ Bakal Kembali Ke Layar Perak, Filem Ketiga Menyusul Selepas Hampir Sedekad
Antara babak dalam filem Along With The Gods: The Last 49 Days (2018)

“Siri ‘Along With The Gods’ merupakan projek penting yang membuktikan betapa luasnya penerimaan sesebuah filem apabila teknologi VFX Korea digabungkan dengan IP berkualiti tinggi,” kata wakil Dexter Studio. 

Mereka turut menyatakan komitmen untuk menghasilkan sebuah karya yang menggabungkan nilai hiburan dengan mutu artistik, sekaligus berpotensi mencipta kejayaan di pasaran antarabangsa.

Berbeza dengan dua filem sebelumnya yang memfokuskan penghakiman roh di tujuh neraka serta hubungan tiga malaikat maut yang terjalin selama seribu tahun, filem ketiga ini bakal memperkenalkan latar baharu dikenali sebagai Gucheon atau Sembilan Langit. Alam tersebut dihuni roh-roh yang masih terikat dengan perkara yang tidak dapat mereka lepaskan walaupun selepas kematian.

‘Along With The Gods’ Bakal Kembali Ke Layar Perak, Filem Ketiga Menyusul Selepas Hampir Sedekad

Difahamkan, kisah kali ini akan mengikuti perjalanan watak utama yang terperangkap antara kehidupan dan kematian ketika merentasi sembilan alam untuk mencari sebuah lagu yang tidak sempat dinyanyikannya. Bagaimanapun, nama watak berkenaan masih perlu disahkan kerana terdapat perbezaan ejaan dalam laporan awal yang diterbitkan.

Selain jalan cerita yang lebih segar dan baharu, tiga watak malaikat maut iaitu Gang-rim, Haewonmaek dan Deok-choon juga dijangka memainkan peranan penting dalam kesinambungan francais tersebut. Sementara itu, pelakon Ha Jung-woo dan Ju Ji-hoon dilaporkan telah memberikan persetujuan secara lisan untuk kembali membintangi filem berkenaan, namun barisan pelakon rasmi masih belum dimuktamadkan.

‘Along With The Gods’ Bakal Kembali Ke Layar Perak, Filem Ketiga Menyusul Selepas Hampir Sedekad ‘Along With The Gods’ Bakal Kembali Ke Layar Perak, Filem Ketiga Menyusul Selepas Hampir Sedekad

Dari segi produksi, Dexter Studio bakal mengendalikan keseluruhan proses pascaproduksi, termasuk kesan visual (VFX), penggredan warna digital, reka bentuk bunyi dan pencampuran audio. Pengalaman syarikat itu dalam membangunkan visual dunia akhirat bagi dua filem terdahulu dijangka menjadi antara elemen penting untuk menghidupkan sembilan alam Gucheon di layar perak.

BACA: Tan Sri Michelle Yeoh Terima Penghormatan Berprestij, Dinobat ‘Tokoh Perfileman Asia’ Di BIFF 2026

Kepulangan ‘Along With The Gods’ menerusi filem ketiga ini pastinya mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat yang sudah lama menantikan sambungan kisahnya. Filem ‘Along With The Gods: Life and Death’ juga dijangka mengulangi kejayaan dua filem terdahulu dan mencipta satu lagi fenomena pecah panggung apabila ditayangkan kelak.

Sumber: SBS Star

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Tak Perlu Beratur Di Kaunter, Ini 5 Langkah Mudah Mohon Gantian MyKad Menerusi MyGOV

Lebih mudah dan menjimatkan masa apabila rakyat Malaysia kini boleh memulakan permohonan penggantian MyKad secara dalam talian menerusi aplikasi MyGOV Malaysia tanpa perlu hadir ke kaunter untuk memulakan urusan tersebut.

Menurut Kementerian Digital dalam satu perkongsian di Facebook, kemudahan ini membolehkan orang ramai mengakses perkhidmatan penggantian MyKad secara digital melalui telefon pintar masing-masing.

“Kini, aplikasi MyGOV Malaysia memudahkan anda membuat permohonan gantian MyKad secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter untuk memulakan permohonan,” tulisnya.

Tak Perlu Beratur Di Kaunter, Ini 5 Langkah Mudah Mohon Gantian MyKad Menerusi MyGOV

Tak Perlu Beratur Di Kaunter, Ini 5 Langkah Mudah Mohon Gantian MyKad Menerusi MyGOV

Bagi anda yang ingin menggunakan kemudahan ini, berikut ialah lima langkah untuk memulakan permohonan penggantian MyKad menerusi aplikasi MyGOV Malaysia:

  • Muat turun atau kemas kini aplikasi MyGOV Malaysia.
  • Log masuk ke akaun MyGOV anda.
  • Pilih menu Kelahiran & Pengenalan Diri, kemudian tekan Penggantian MyKad.
  • Isi maklumat yang diperlukan dan muat naik dokumen sokongan sekiranya diminta.
  • Hantar permohonan dan ikuti arahan seterusnya yang dipaparkan dalam aplikasi.

Melalui kemudahan ini, pengguna boleh memulakan permohonan secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter untuk langkah awal, sekaligus memudahkan urusan berkaitan penggantian kad pengenalan.

Tak Perlu Beratur Di Kaunter, Ini 5 Langkah Mudah Mohon Gantian MyKad Menerusi MyGOV

Selain itu, inisiatif ini juga selari dengan usaha memperluas penggunaan perkhidmatan digital bagi membolehkan orang ramai mengakses urusan kerajaan dengan lebih praktikal menerusi satu aplikasi.

Pada masa yang sama, Kementerian Digital menggalakkan orang ramai berkongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan agar lebih ramai mengetahui kemudahan permohonan penggantian MyKad melalui MyGOV Malaysia.

Sumber: Facebook Kementerian Digital

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Alasan Masalah Kewangan, Defendan Kes Saman Fitnah Christy Ng Gagal Hadir Mahkamah

0

Kes saman fitnah Christy Ng membabitkan usahawan fesyen terkenal itu kembali menjadi perhatian apabila seorang lelaki yang diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM180,000 kepadanya dilaporkan gagal menghadirkan diri ke prosiding Mahkamah Tinggi baru-baru ini.

Lelaki berkenaan, J. Vikneshvra Rau yang merupakan defendan dalam kes saman difailkan Christy bersama syarikatnya, Christy Ng Sdn. Bhd., dilaporkan tidak dapat hadir ke mahkamah atas alasan berdepan kekangan kewangan.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 26 Oktober 2026 sebagai tarikh baharu bagi mendengar permohonan komital terhadap defendan yang didakwa gagal mematuhi perintah mahkamah untuk menerbitkan permohonan maaf secara terbuka dalam akhbar.

Hakim Arziah Mohamed Apandi menetapkan tarikh tersebut selepas dimaklumkan mengenai ketidakhadiran defendan oleh peguam Foong Cheng Leong yang mewakili pihak plaintif.

Peguam berkenaan menjelaskan bahawa beliau telah menghubungi Vikneshvra pada pagi prosiding, namun lelaki itu memaklumkan tidak dapat menghadirkan diri disebabkan masalah kewangan.

Bagaimanapun, hakim menegaskan bahawa mahkamah perlu mendengar penjelasan daripada defendan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan berhubung permohonan komital dibuat.

Malah, pihak plaintif turut dimaklumkan bahawa mereka boleh memohon waran tangkap sekiranya defendan sekali lagi gagal menghadirkan diri pada prosiding yang dijadualkan berlangsung 26 Oktober ini.

Alasan Masalah Kewangan, Defendan Kes Saman Fitnah Christy Ng Gagal Hadir Mahkamah

Sudah Mohon Maaf Di Threads, Namun Didakwa Gagal Patuhi Perintah Mahkamah

Terdahulu, pada 13 Februari lalu, Mahkamah Tinggi telah merekodkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap Vikneshvra selepas dia gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman fitnah yang dikemukakan.

Menerusi keputusan tersebut, mahkamah turut menghalang defendan daripada menerbitkan sebarang kenyataan berunsur fitnah selanjutnya terhadap Christy dan syarikatnya.

Selain itu, lelaki berkenaan diarahkan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi penerbitan dalam akhbar serta akaun media sosial miliknya.

Walaupun Vikneshvra dilaporkan telah memuat naik permohonan maaf menerusi platform Threads pada 19 Mac lalu, dia didakwa masih belum melaksanakan sepenuhnya arahan mahkamah untuk menerbitkan permohonan maaf dalam akhbar, termasuk The Star dan Harian Metro.

Keadaan tersebut mendorong Christy dan syarikatnya mengambil tindakan lanjut sehingga mahkamah memberikan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap defendan pada 15 September lalu.

Ganti Rugi RM180,000 Dalam Kes Saman Fitnah Christy Ng

Alasan Masalah Kewangan, Defendan Kes Saman Fitnah Christy Ng Gagal Hadir Mahkamah

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Tinggi pada 30 Julai lalu turut menganugerahkan ganti rugi keseluruhan sebanyak RM180,000 kepada Christy dan syarikatnya selepas proses penilaian ganti rugi dijalankan.

Daripada jumlah tersebut, RM140,000 diberikan kepada Christy secara peribadi, manakala baki RM40,000 dianugerahkan kepada Christy Ng Sdn. Bhd.

Defendan turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM10,000 berserta faedah, selain mematuhi arahan berhubung penerbitan permohonan maaf secara terbuka.

Secara keseluruhannya, jumlah ganti rugi yang diperintahkan mahkamah merangkumi dua pihak plaintif, iaitu Christy sebagai individu dan syarikatnya. Perintah berhubung permohonan maaf pula menjadi antara perkara yang masih mendapat perhatian dalam prosiding susulan kes berkenaan.

Prosiding Komital Ditetapkan Pada 26 Oktober 2026

Prosiding komital yang dijadualkan itu berkaitan dakwaan kegagalan defendan mematuhi perintah mahkamah, khususnya arahan menerbitkan permohonan maaf secara terbuka dalam akhbar.

Walaupun permohonan maaf telah dibuat menerusi Threads, isu yang dibangkitkan pihak plaintif adalah berhubung pelaksanaan sepenuhnya perintah mahkamah seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

Bagaimanapun, sebarang tindakan lanjut masih tertakluk kepada pertimbangan mahkamah selepas mendengar penjelasan daripada defendan berhubung ketidakhadiran serta dakwaan kegagalan mematuhi perintah tersebut.

Kini, tumpuan terarah kepada prosiding pada 26 Oktober ini bagi menentukan tindakan selanjutnya terhadap defendan berhubung dakwaan kegagalannya mematuhi perintah mahkamah.

Sumber: Kosmo! Online

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Kerajaan Arah Penjawat Awam Henti Guna Waze Serta-Merta, Aplikasi Tempatan TuJu Jadi Alternatif

0

Aplikasi navigasi popular, Waze kini menjadi perhatian selepas kerajaan mengarahkan semua penjawat awam di Malaysia menghentikan penggunaannya berkuat kuasa serta-merta atas faktor keselamatan siber dan perlindungan data.

Keputusan tersebut dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Selasa.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, larangan berkenaan melibatkan semua anggota perkhidmatan awam susulan kebimbangan terhadap aspek keselamatan maklumat dan data pengguna.

Menerusi surat edaran kepada semua ketua jabatan, beliau menegaskan bahawa setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu memastikan arahan tersebut disampaikan serta dilaksanakan dengan segera.

“Dalam hal ini, semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan hendaklah memastikan keputusan ini dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing termasuk agensi dan jabatan berkaitan untuk dilaksanakan segera,” katanya.

Surat edaran berkenaan turut disahkan oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

Kerajaan Arah Penjawat Awam Henti Guna Waze Serta-Merta, Aplikasi Tempatan TuJu Jadi Alternatif

Mengapa Waze Dilarang?

Larangan tersebut dikaitkan dengan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna memandangkan Waze mempunyai kaitan dengan Israel.

Terdahulu, Anwar menjelaskan bahawa penggunaan aplikasi berkenaan berpotensi menimbulkan risiko keselamatan data kerana tertakluk kepada undang-undang negara tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah memperkukuh keselamatan siber negara, khususnya dalam kalangan penjawat awam yang terlibat secara langsung dengan urusan pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun, setakat pengumuman tersebut, arahan menghentikan penggunaan Waze hanya melibatkan penjawat awam dan bukannya larangan menyeluruh terhadap orang awam.

TuJu, Aplikasi Navigasi Tempatan Jadi Pilihan

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut menggalakkan rakyat Malaysia beralih kepada aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Aplikasi tersebut diketengahkan sebagai alternatif kepada Waze bagi membantu pengguna merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat berkaitan laluan jalan raya.

Langkah menggalakkan penggunaan aplikasi tempatan itu juga dilihat selari dengan usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap platform luar negara, selain memperkukuh aspek keselamatan serta kedaulatan data digital.

Keselamatan Siber dan Perlindungan Data Turut Diberi Perhatian

Pada masa sama, mesyuarat JKSN turut membincangkan beberapa agenda penting lain termasuk pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, ancaman kecerdasan buatan (AI) autonomi serta persediaan menghadapi risiko teknologi komputer kuantum.

Perbincangan mengenai keselamatan siber ini turut memperlihatkan kepentingan perlindungan maklumat digital, khususnya apabila aplikasi navigasi digunakan untuk merekodkan lokasi, laluan perjalanan dan maklumat berkaitan pergerakan pengguna.

Kerajaan Arah Penjawat Awam Henti Guna Waze Serta-Merta, Aplikasi Tempatan TuJu Jadi Alternatif

Dalam konteks pentadbiran kerajaan, aspek keselamatan data menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian bagi mengurangkan risiko pendedahan maklumat sensitif melalui penggunaan aplikasi digital.

Bagaimanapun, tahap keselamatan sesuatu aplikasi perlu dinilai berdasarkan ciri perlindungan data, dasar privasi serta kaedah pengendalian maklumat pengguna, dan bukan semata-mata negara asal pembangunnya.

Alternatif Navigasi Tempatan Untuk Pengguna Malaysia

Penggunaan aplikasi navigasi tempatan turut membuka peluang kepada pengguna untuk mengenali pilihan lain yang tersedia bagi membantu urusan perjalanan harian.

Selain mendapatkan panduan arah, pengguna juga boleh mempertimbangkan aspek ketepatan maklumat jalan raya, kemudahan penggunaan serta perlindungan privasi sebelum memilih aplikasi navigasi yang bersesuaian.

Bagi penjawat awam, pematuhan terhadap arahan dan pekeliling rasmi jabatan masing-masing tetap menjadi keutamaan dalam memastikan penggunaan teknologi digital selaras dengan dasar keselamatan yang ditetapkan.

Keputusan ini sekali gus mencetuskan perhatian terhadap isu keselamatan data dalam penggunaan aplikasi digital harian, khususnya apabila maklumat lokasi dan pergerakan pengguna menjadi antara aspek penting yang perlu dilindungi.

Bagi pengguna yang sudah terbiasa menjadikan Waze sebagai teman perjalanan, perkembangan ini turut membuka ruang untuk mengenali alternatif navigasi tempatan seperti TuJu.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.