Home Blog Page 32

Lionel Messi Umum Bersara Dari Skuad Argentina Selepas 20 Tahun, Tamat Karier Antarabangsa Dengan 125 Gol

0

Legenda bola sepak dunia, Lionel Messi secara rasmi mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa pada usia 39 tahun, sekali gus menamatkan perjalanan luar biasa selama dua dekad bersama skuad kebangsaan Argentina.

Messi menerusi perkongsian di media sosial pada Isnin mengesahkan keputusan tersebut selepas merekodkan 207 penampilan dan 125 gol bersama La Albiceleste sejak melakukan debut pada tahun 2005.

Keputusan itu menyaksikan Messi meninggalkan skuad Argentina sebagai pemain dengan jumlah penampilan dan jaringan terbanyak dalam sejarah negara berkenaan.

Lebih istimewa, perjalanan antarabangsa Messi turut dihiasi kejayaan menjulang trofi Piala Dunia 2022 serta dua kejuaraan Copa América pada tahun 2021 dan 2024.

Beri Peluang Kepada Generasi Baharu

Lionel Messi Umum Bersara Dari Skuad Argentina Selepas 20 Tahun, Tamat Karier Antarabangsa Dengan 125 Gol

Dalam ucapan perpisahannya, Messi mengakui keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan bukan sesuatu yang mudah.

Bagaimanapun, pemenang lapan kali Ballon d’Or itu merasakan sudah tiba masanya untuk memberikan ruang kepada generasi baharu Argentina mengambil alih tanggungjawab dalam pasukan.

Sepanjang dua dekad menyarung jersi Argentina, Messi menegaskan dirinya telah memberikan segala-galanya kepada negara dan matlamatnya sejak awal hanyalah untuk memberikan kegembiraan kepada penyokong serta membuatkan rakyat Argentina berbangga menerusi bola sepak.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga, penyokong, barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan yang sentiasa berada di sisinya sepanjang perjalanan tersebut.

“Saya pergi dengan tenang dan penuh rasa bangga,” tulis Messi.

Selepas ini, Messi berkata dia akan menjadi salah seorang penyokong Argentina yang menyaksikan perjuangan pasukan tersebut dari luar padang.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Leo Messi (@leomessi)

Pemergian Bapa Kukuhkan Keputusan Messi

Messi turut mendedahkan ucapan persaraannya sebenarnya sudah ditulis pada 21 Julai lalu, dua hari selepas aksi final Piala Dunia 2026, namun memilih untuk tidak menerbitkannya ketika itu.

Pemergian bapanya, Jorge Messi pada 8 Ogos lalu kemudian mengukuhkan lagi keputusannya bahawa sudah tiba masanya untuk menamatkan karier antarabangsa.

Jorge merupakan antara individu terpenting dalam perjalanan karier Messi sejak kecil dan turut bertindak sebagai wakilnya selama bertahun-tahun.

Messi percaya Argentina kini mempunyai ramai pemain muda berbakat yang bersedia memikul tanggungjawab lebih besar bersama skuad kebangsaan.

Final Piala Dunia 2026 Jadi Aksi Terakhir

Aksi terakhir Messi bersama Argentina adalah pada final Piala Dunia 2026 apabila pasukan itu tewas tipis 0-1 kepada Sepanyol selepas perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Kekalahan tersebut menyaksikan Argentina terlepas peluang mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenangi mereka di Qatar empat tahun sebelumnya.

Dilahirkan di Rosario pada 24 Jun 1987, Messi melakukan penampilan sulung bersama skuad senior Argentina ketika berusia 18 tahun menentang Hungary pada 2005.

Lionel Messi Umum Bersara Dari Skuad Argentina Selepas 20 Tahun, Tamat Karier Antarabangsa Dengan 125 Gol

Pemilik Rekod Lapan Ballon d’Or

Selain kejayaannya bersama Argentina, Messi merupakan pemilik rekod lapan anugerah Ballon d’Or.

Di peringkat kelab, dia mencipta era gemilang bersama Barcelona sebelum menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada 2021 dan berhijrah ke Inter Miami pada 2023.

Walaupun perjalanan bersama Argentina sudah berakhir, Messi masih akan meneruskan karier di peringkat kelab bersama Inter Miami selepas menandatangani lanjutan kontrak sehingga musim Major League Soccer (MLS) 2028.

Selepas 207 penampilan, 125 gol, dua Copa América dan sebuah trofi Piala Dunia, persaraan Messi menutup salah satu bab paling ikonik dalam sejarah bola sepak antarabangsa.

Daripada seorang remaja berusia 18 tahun yang melakukan debut pada 2005 kepada kapten yang akhirnya menjulang Piala Dunia, nama Lionel Messi kekal sebagai antara figura terbesar yang pernah menyarung jersi Argentina.

Sumber : The Nation

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Genap Sedekad Bersama, Sultan Selangor & Tengku Permaisuri Norashikin Rai Ulang Tahun Perkahwinan Ke-10

Genap 10 tahun melayari bahtera rumah tangga, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin diraikan sempena ulang tahun perkahwinan mereka pada 31 Ogos, semalam.

Menerusi sebuah perkongsian di media sosial rasmi Selangor Royal, pasangan diraja berkenaan menerima ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena ulang tahun perkahwinan ke-10 yang turut disertai doa agar kedua-dua baginda sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT.

“Dengan segala hormat dan takzimnya, patik-patik sekalian merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat sempena Ulang Tahun Perkahwinan ke-10, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin,” titip perkongsian tersebut.

Genap Sedekad Bersama, Sultan Selangor & Tengku Permaisuri Norashikin Rai Ulang Tahun Perkahwinan Ke-10 Genap Sedekad Bersama, Sultan Selangor & Tengku Permaisuri Norashikin Rai Ulang Tahun Perkahwinan Ke-10

“Patik-patik sekalian sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan Duli-Duli Tuanku serta sentiasa berada dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala, bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kemuliaan dan kedaulatan,” tambahnya lagi.

Sepuluh tahun yang dilalui bersama pastinya menyimpan pelbagai kenangan serta pengalaman buat Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin, sekaligus menjadikan ulang tahun kali ini satu detik cukup bermakna buat pasangan diraja berkenaan.

Lebih istimewa, tarikh 31 Ogos bukan sahaja menjadi hari penting dalam kalendar negara menerusi sambutan Hari Kebangsaan ke-69, malah turut mempunyai nilai sentimental tersendiri buat kehidupan berumah tangga kedua-dua baginda.

Genap Sedekad Bersama, Sultan Selangor & Tengku Permaisuri Norashikin Rai Ulang Tahun Perkahwinan Ke-10

Sepanjang sedekad perkahwinan, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor sering menjadi perhatian menerusi pelbagai program serta acara rasmi yang dihadiri bersama, selain komitmen masing-masing dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan negeri Selangor.

Sempena ulang tahun istimewa Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor, ucapan tahniah dan doa turut mengiringi perjalanan rumah tangga pasangan diraja berkenaan agar terus dikurniakan kebahagiaan, kesihatan serta kesejahteraan dalam kehidupan mendatang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Prihatin Nasib Mangsa Banjir Nepal, Lee Know Stray Kids Sumbang 100 Juta Won

Penyanyi K-Pop sensasi, Lee Know Stray Kids baru-baru ini mencuri perhatian selepas menyumbangkan 100 juta Korea Won (kira-kira RM294,000) bagi membantu mangsa banjir besar di Nepal. Sumbangan tersebut disalurkan bagi menyokong usaha bantuan kepada kanak-kanak serta keluarga yang terjejas dan terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing akibat bencana berkenaan.

Difahamkan, Lee Know atau pemilik nama sebenar Lee Min-ho (28), menyerahkan sumbangan itu kepada World Vision pada 28 Ogos lalu serta berharap bantuan tersebut dapat digunakan untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan dan nutrisi, tempat perlindungan sementara, selain kemudahan air bersih serta sanitasi kepada penduduk yang terkesan.

“Saya berharap sumbangan kecil ini dapat memberikan sedikit kekuatan kepada mereka yang sedang melalui waktu sukar,” katanya menerusi sebuah kenyataan yang dikongsikan oleh JYP Entertainment.

Prihatin Nasib Mangsa Banjir Nepal, Lee Know Stray Kids Sumbang 100 Juta Won

Prihatin Nasib Mangsa Banjir Nepal, Lee Know Stray Kids Sumbang 100 Juta Won
Banjir yang melanda Nepal baru-baru ini.

Dalam pada itu, sumbangan tersebut bukanlah kali pertama Lee Know menunjukkan keprihatinannya terhadap golongan yang memerlukan. Beliau mula menaja kanak-kanak di luar negara menerusi World Vision sejak 2014 dan terus aktif menyokong pelbagai usaha kebajikan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, pada 2024, anggota Stray Kids itu menyumbangkan 100 juta Korea Won kepada program bantuan krisis makanan global World Vision yang memberi fokus kepada kanak-kanak di negara-negara termiskin dunia. Sumbangan berkenaan turut menjadikannya anggota termuda “Bob Pierce Honor Club”, sebuah kumpulan penderma yang telah menyumbang sekurang-kurangnya 100 juta Korea Won secara terkumpul.

Tidak berhenti di situ, beliau juga pernah menyumbangkan sejumlah 200 juta Korea Won pada 2025 kepada Samsung Seoul Hospital dan kumpulan penyelamat kucing, Nabiya Saranghae. Sumbangan tersebut masing-masing digunakan bagi membantu menampung kos rawatan dan penjagaan pesakit yang menghidap penyakit serius serta menyokong usaha menyelamat haiwan.

Prihatin Nasib Mangsa Banjir Nepal, Lee Know Stray Kids Sumbang 100 Juta Won

“Saya benar-benar berharap agar mereka yang terpaksa berpindah serta semua pihak yang terlibat dalam usaha bantuan dapat kembali menjalani kehidupan seharian dengan aman secepat mungkin,” ujarnya.

Selain usaha kebajikan secara peribadi, Lee Know bersama anggota Stray Kids yang lain turut menyumbang kepada operasi pemulihan susulan kebakaran hutan di wilayah Gyeongsang, Korea Selatan serta bantuan bencana kebakaran di Hong Kong pada tahun ini.

BACA: Lee Know Stray Kids Rai Hari Lahir Ke-27 Dengan Sumbangan 200 Juta Won Kepada Hospital & Pusat Perlindungan Haiwan

Dalam perkembangan lain, Stray Kids baru sahaja melancarkan EP berjudul ‘This & That’ pada 7 Ogos lalu turut mencatat pencapaian membanggakan apabila debut di kedudukan pertama Billboard 200, sekaligus menjadi album kesembilan berturut-turut kumpulan itu yang menduduki carta teratas berkenaan. Kini, Stray Kids sedang meneruskan siri jelajah bagi mempromosikan karya terbaru mereka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Malaysia100: Negara Yang Kita Wariskan Kepada Generasi Akan Datang Bermula Dengan Kita Hari Ini

Tiga puluh tahun mungkin kelihatan seperti tempoh yang masih jauh. Namun tanpa disedari, tempoh itu sebenarnya hanya bersamaan satu generasi.

Bayangkan anak-anak yang sedang membesar hari ini. Menjelang tahun 2057, ketika Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-100, mereka mungkin sudah menjadi ibu bapa, guru, doktor, usahawan, penjawat awam atau bahkan pemimpin negara.

Jadi, satu persoalan besar wajar kita fikirkan dari sekarang: apakah bentuk Malaysia yang akan kita serahkan kepada mereka nanti?

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Yayasan Sinar Untuk Malaysia, Datuk Hussamuddin Yaacub, tampil membawa gagasan Legasi #Malaysia100 sebagai satu seruan untuk rakyat mula melihat masa depan negara dengan lebih jauh.

Menurut beliau, Malaysia yang bakal didiami generasi akan datang bukanlah sesuatu yang terbentuk secara tiba-tiba pada tahun 2057. Sebaliknya, wajah negara ketika itu sedang dibentuk menerusi keputusan, sikap dan tindakan masyarakat hari ini.

Malaysia100: Negara Yang Kita Wariskan Kepada Generasi Akan Datang Bermula Dengan Kita Hari Ini

2057 Tetap Akan Tiba

Dalam kenyataan media, Hussamuddin menyuarakan kebimbangan apabila masyarakat masih banyak menghabiskan masa dengan pertelingkahan berkaitan kaum, agama dan politik, sedangkan masa terus bergerak.

“2057 Tetap Akan Tiba, Sama Ada Kita Masih Ada Ataupun Sudah Tiada,” Katanya.

Atas kesedaran itu, beliau mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, ideologi politik mahupun latar belakang untuk menjadikan #Malaysia100 sebagai visi bersama.

Matlamatnya bukan sekadar membayangkan sebuah negara yang maju, tetapi memastikan generasi seterusnya menerima sebuah Malaysia yang lebih baik untuk didiami dan diteruskan.

Menurut beliau, perpecahan yang berlaku hari ini tidak seharusnya menjadi warisan kepada anak cucu. Begitu juga dengan isu rasuah, pecah amanah, kelemahan institusi dan ketidakadilan yang sekiranya tidak ditangani, berpotensi menjadi beban kepada generasi akan datang.

Perubahan Tak Semestinya Bermula Di Putrajaya

Menariknya, gagasan ini turut mengingatkan bahawa usaha membina masa depan negara bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pemimpin.

Sebaliknya, perubahan boleh bermula daripada tempat paling dekat dengan kehidupan kita iaitu rumah.

“Jangan Harap Malaysia 100 Bermula Di Putrajaya. Ia Harus Bermula Di Rumah Kita, Daripada Nilai Yang Ditanam Dalam Jiwa Anak-Anak Kita, Cara Bagaimana Kita Menyikapi Perbezaan Kaum, Agama Dan Budaya, Juga Cara Kita Memilih Pemimpin.”

Pesanan tersebut secara tidak langsung meletakkan peranan besar kepada ibu bapa dan keluarga dalam membentuk generasi masa depan.

Nilai seperti amanah, integriti, ihsan, rasa hormat serta keberanian untuk melakukan perkara yang benar perlu dipupuk sejak kecil.

Walaupun perkara yang diajarkan di rumah mungkin nampak kecil, nilai tersebut boleh menjadi pegangan yang dibawa oleh seseorang sepanjang kehidupannya.

Malaysia100: Negara Yang Kita Wariskan Kepada Generasi Akan Datang Bermula Dengan Kita Hari Ini

Negara Ini Ibarat Larian Berganti-Ganti

Hussamuddin turut menyamakan perjalanan membina negara dengan sebuah lari berganti-ganti.

Setiap generasi menerima baton daripada generasi sebelumnya. Walaupun generasi terdahulu mempunyai kekurangan dan tidak sempurna, mereka tetap memainkan peranan membawa Malaysia sehingga ke tahap yang dapat dinikmati oleh masyarakat hari ini.

Kini, baton itu berada di tangan generasi semasa.

Tanggungjawab kita adalah memastikan baton tersebut terus dibawa dan tidak terjatuh sebelum tiba masanya untuk diserahkan kepada generasi seterusnya.

“Baton Tidak Boleh Jatuh Sekiranya Kita Mahu Menang. Baton Itulah Nilai Kita Yang Perlu Dibawa Bersama, Setinggi Mana Pun Bangunan Kita Bina Dan Secanggih Mana Pun Teknologi Kita Ada Dalam Membina Malaysia 100 Tahun Merdeka.”

Bukan Sekadar Bangunan & Teknologi

Bagi Hussamuddin, kemajuan Malaysia tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan pembangunan fizikal, bangunan pencakar langit atau kecanggihan teknologi yang dimiliki.

Nilai kemanusiaan seperti ihsan, integriti dan amanah juga perlu bergerak seiring dengan pembangunan negara.

Tanpa nilai-nilai tersebut, sebuah negara mungkin kelihatan hebat dari luar, tetapi berdepan risiko menjadi rapuh dari dalam.

Sebab itu, perjalanan menuju tahun 2057 perlu dimulakan hari ini, bukannya menunggu sehingga masa semakin suntuk.

Malaysia100: Negara Yang Kita Wariskan Kepada Generasi Akan Datang Bermula Dengan Kita Hari Ini

Semua Orang Ada Peranan

Hussamuddin turut mengajak rakyat membayangkan keadaan Malaysia pada tahun 2057.

Bagaimanakah keadaan sekolah, hospital, jalan raya, alam sekitar, syarikat, sektor awam, sistem keadilan dan ekonomi negara ketika Malaysia mencapai usia 100 tahun kemerdekaan?

Persoalan tersebut mungkin kedengaran besar, namun sumbangan untuk merealisasikan masa depan itu tidak semestinya memerlukan seseorang mempunyai kuasa atau kedudukan tinggi.

Sebagai ibu bapa, kita boleh membesarkan anak dengan nilai yang baik.

Sebagai pekerja, kita boleh melaksanakan amanah dengan jujur.

Sebagai majikan, kita boleh memastikan layanan yang adil.

Sebagai anggota masyarakat, kita boleh belajar menerima dan menghormati perbezaan.

Dan sebagai rakyat, kita boleh lebih bertanggungjawab terhadap setiap pilihan yang dibuat.

Legasi Itu Lebih Besar Daripada Harta

Hussamuddin turut menegaskan bahawa #Malaysia100 bukan miliknya, sebaliknya ia perlu menjadi milik bersama semua rakyat yang mempunyai impian untuk melihat generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang lebih baik.

Hakikatnya, legasi yang ditinggalkan kepada anak-anak bukan hanya rumah, harta atau wang simpanan.

Legasi juga merangkumi nilai yang kita tanam, peluang yang kita cipta, keamanan yang kita pertahankan, integriti yang kita junjung serta sebuah negara yang lebih kukuh untuk mereka teruskan.

Mungkin kita sendiri tidak sempat melihat Malaysia pada tahun 2057.

Namun, anak-anak dan cucu kita mungkin akan berada di sana.

Dan Malaysia yang mereka warisi nanti sedikit sebanyak akan menjadi cerminan kepada apa yang kita pilih untuk lakukan hari ini.

Malaysia100: Negara Yang Kita Wariskan Kepada Generasi Akan Datang Bermula Dengan Kita Hari Ini

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Anak Panglima Tentera Udara Bangga Ayah Pilih ‘Terbangkan’ Sendiri Jet Ketika Sambutan Hari Kebangsaan, “Terima Kasih…”

0

Aksi Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris mengetuai sendiri pertunjukan udara sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Putrajaya, semalam bukan sahaja mencuri perhatian rakyat Malaysia, malah turut menjadi detik membanggakan buat keluarganya.

Salah seorang anak beliau yang dikenali sebagai Farisha Emyra menerusi akaun Threads @farishaemyra tampil berkongsi rasa bangga dan terharu selepas melihat bapanya menerima begitu banyak penghargaan serta kata-kata positif daripada rakyat Malaysia.

Menurut Farisha, sebagai anak, dia dan adik-beradiknya sememangnya berbangga dengan figura yang mereka panggil Ayah itu. Namun, melihat orang ramai turut menghargai sumbangan bapanya menjadikan momen tersebut lebih bermakna buat seisi keluarga.

“Kami sebagai anak-anak pun sangat bangga dengan Ayah. Melihat begitu ramai rakyat Malaysia turut menghargai dan bangga dengan Ayah buat kami sekeluarga rasa lebih bersyukur dan terharu. Selamat Hari Kemerdekaan ke-69.”

Dalam satu lagi perkongsian, Farisha turut menzahirkan rasa syukur selain berterima kasih kepada orang ramai yang menitipkan kata-kata serta doa buat bapanya.

Anak Panglima Tentera Udara Bangga Ayah Pilih 'Terbangkan' Sendiri Jet Ketika Sambutan Hari Kebangsaan, "Terima Kasih..."

“MasyaAllah Alhamdulillah ya Allah 🥹🤍 Terima kasih atas setiap kata-kata & doa yang baik untuk Ayah. Semoga setiap doa baik yang kalian titipkan Allah balas kembali kepada korang dengan kebaikan yang berlipat kali ganda. Aminn 🤲🏻🇲🇾❤️”

Panglima TUDM Pilih Terbang Bersama Anak Buah

Terdahulu, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan mencuri perhatian ketika Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 apabila beliau memilih untuk berada di kokpit pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM dan mengetuai sendiri formasi pertunjukan udara di ruang udara Putrajaya.

Anak Panglima Tentera Udara Bangga Ayah Pilih 'Terbangkan' Sendiri Jet Ketika Sambutan Hari Kebangsaan, "Terima Kasih..."

Daripada berada di pentas utama sebagai antara pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, beliau sebaliknya memilih untuk bersama anak buahnya di udara bagi menjayakan segmen yang menjadi antara tarikan utama sambutan pada 31 Ogos lalu.

Lebih istimewa, ia merupakan tahun kedua berturut-turut Panglima TUDM itu mengetuai sendiri formasi udara sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Formasi tersebut melibatkan tiga lagi pesawat Sukhoi Su-30MKM, empat F/A-18D Hornet serta dua pesawat BAE Systems Hawk yang terbang melintasi ruang udara Putrajaya.

Keputusan Panglima TUDM itu nyata meninggalkan kesan kepada rakyat Malaysia apabila rakaman beliau di dalam kokpit serta pertunjukan pesawat pejuang berkenaan menjadi antara momen yang mendapat perhatian di media sosial.

Bagi Farisha dan keluarganya pula, penghargaan yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap bapanya tentunya menjadikan sambutan Hari Kebangsaan kali ini lebih istimewa.

Bukan sahaja berbangga melihat Ayah mengetuai pasukannya dari udara, mereka juga dapat menyaksikan sendiri bagaimana dedikasi beliau turut dihargai oleh rakyat Malaysia.

Anak Panglima Tentera Udara Bangga Ayah Pilih 'Terbangkan' Sendiri Jet Ketika Sambutan Hari Kebangsaan, "Terima Kasih..."

Detik Membanggakan Keluarga Panglima TUDM

Detik tersebut bukan sekadar memperlihatkan kehebatan aset udara negara kepada orang ramai, tetapi turut membawa makna tersendiri buat keluarga Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan.

Perkongsian Farisha memperlihatkan bagaimana penghargaan rakyat Malaysia terhadap tugas dan dedikasi bapanya turut dirasai oleh anak-anak serta ahli keluarga yang selama ini berada di belakang beliau.

Pada masa sama, keputusan beliau untuk sendiri berada di kokpit bersama anak buah ketika pertunjukan udara menjadi antara momen yang mencuri perhatian sepanjang sambutan Hari Kebangsaan Ke-69.

Apatah lagi, sebagai Panglima TUDM, beliau memilih untuk mengetuai formasi tersebut dari udara bersama pasukannya, sekali gus memberikan pengalaman yang cukup istimewa kepada orang ramai yang menyaksikan persembahan berkenaan di Putrajaya.

Buat Farisha dan adik-beradiknya, rasa bangga itu tentunya lebih besar apabila melihat bukan sahaja keluarga mereka menghargai Ayah, malah rakyat Malaysia turut memberikan kata-kata positif dan doa kepadanya.

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 kali ini akhirnya meninggalkan kenangan tersendiri buat keluarga berkenaan apabila aksi seorang ayah di udara turut menerima penghargaan daripada rakyat Malaysia.

Sumber : Threads farishaemyra

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Legenda Hong Kong Andy Lau Terima Ijazah Doktor Kehormat, Kini Bergelar ‘Dr’ Selepas Empat Dekad Dalam Industri

Empat dekad berada dalam industri hiburan bukanlah satu perjalanan yang singkat. Namun bagi legenda Hong Kong, Andy Lau, tempoh panjang itu bukan sahaja dipenuhi kejayaan dalam bidang lakonan dan muzik, malah turut dihiasi pelbagai sumbangan kepada masyarakat.

Terbaharu, pencapaian luar biasa serta komitmen beliau terhadap masyarakat mendapat pengiktirafan apabila Hong Kong Baptist University (HKBU) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratankepada Andy pada 10 Ogos 2026.

Lebih menarik, di sebalik kisah kejayaan superstar berusia 60-an itu, terselit juga satu hubungan istimewa dengan Malaysia apabila isterinya, Carol Chu, merupakan bekas model kelahiran Pulau Pinang.

Legenda Hong Kong Andy Lau Terima Ijazah Doktor Kehormat, Kini Bergelar ‘Dr’ Selepas Empat Dekad Dalam Industri

Bukan Sekadar Pengiktirafan Dalam Dunia Seni

Anugerah yang diterima Andy dilihat sebagai penghormatan terhadap perjalanan panjangnya dalam dunia seni selain sumbangannya kepada masyarakat.

Sepanjang kerjayanya, Andy bukan sahaja mencipta nama sebagai pelakon dan penyanyi, malah turut aktif dalam pelbagai usaha kebajikan termasuk membantu mangsa bencana serta menyokong pendidikan kanak-kanak kurang berkemampuan di tanah besar China.

Justeru, pengiktirafan daripada HKBU itu membawa makna yang lebih besar daripada sekadar menambah satu lagi pencapaian dalam senarai panjang kejayaannya.

Ia menjadi simbol kepada perjalanan seorang anak seni yang telah mengabdikan sebahagian besar hidupnya untuk berkarya, memberi inspirasi dan meninggalkan kesan terhadap budaya popular Asia.

Presiden dan Naib Canselor HKBU, Profesor Alex Wai, menyifatkan Andy sebagai figura yang mencerminkan kecemerlangan, keazaman dan versatiliti, selain kekal rendah hati meskipun berada di puncak kejayaan.

Majlis penganugerahan tersebut turut menjadi ruang buat Andy berkongsi pengalaman hidup serta perjalanan kerjayanya bersama pengarah tersohor, Dr Ann Hui, menerusi sebuah diskusi inspirasi.

Legenda Hong Kong Andy Lau Terima Ijazah Doktor Kehormat, Kini Bergelar ‘Dr’ Selepas Empat Dekad Dalam Industri

Empat Dekad Sebagai Bintang Hong Kong

Andy mula melangkah ke industri hiburan Hong Kong pada awal 1980-an sebelum namanya semakin kukuh sebagai antara pelakon dan penyanyi paling berpengaruh di rantau tersebut.

Bagi generasi yang membesar ketika era kegemilangan hiburan Hong Kong, wajah Andy Lau pastinya tidak asing lagi.

Daripada drama televisyen, filem aksi dan kisah romantik sehinggalah lagu-lagu Cantopop, Andy berjaya membina peminat merentasi generasi.

Popularitinya juga mengangkat beliau sebagai salah seorang daripada Four Heavenly Kings, gelaran yang dikongsi bersama tiga lagi bintang besar iaitu Jacky Cheung, Aaron Kwok dan Leon Lai.

Legenda Hong Kong Andy Lau Terima Ijazah Doktor Kehormat, Kini Bergelar ‘Dr’ Selepas Empat Dekad Dalam Industri

Isteri Kelahiran Pulau Pinang

Walaupun kehidupan seninya sentiasa menjadi perhatian, Andy terkenal sebagai selebriti yang cukup berhati-hati dalam menjaga privasi keluarga.

Beliau berkahwin dengan Carol Chu atau Chu Lai-chien, seorang bekas model dan peserta pertandingan ratu cantik yang berasal dari Pulau Pinang.

Hubungan Andy dan Carol dikatakan terjalin untuk tempoh yang panjang secara tertutup sebelum pasangan itu dilaporkan mendirikan rumah tangga di Las Vegas pada 2008.

Kisah percintaan mereka juga jarang menjadi tatapan umum kerana kedua-duanya memilih untuk tidak terlalu mendedahkan kehidupan peribadi kepada media.

Dikurniakan Seorang Anak Perempuan

Hasil perkahwinan tersebut, Andy dan Carol dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hanna Lau, yang dilahirkan pada 2012.

Meskipun Andy merupakan antara superstar terbesar Asia, beliau tetap memilih untuk memastikan kehidupan keluarganya tidak terlalu terdedah kepada sorotan umum.

Pendekatan itu menjadikan kehidupan rumah tangga Andy dan Carol antara sisi peribadinya yang jarang dikongsikan kepada peminat.

Kini, selepas lebih empat dekad mencipta nama dalam dunia hiburan, pengiktirafan daripada HKBU seakan melengkapkan satu lagi bab penting dalam perjalanan Andy Lau, bukan sahaja sebagai legenda seni tetapi juga sebagai individu yang menggunakan pengaruhnya untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Legenda Hong Kong Andy Lau Terima Ijazah Doktor Kehormat, Kini Bergelar ‘Dr’ Selepas Empat Dekad Dalam Industri

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“Macam Sukan Olimpik Untuk Penyanyi” -Aina Abdul Kejar Masa, Mahu Beri Yang Terbaik Di Eurovision

Penyanyi dan komposer terkenal, Aina Abdul mengakui sedang berdepan cabaran tersendiri dalam membuat persiapan menjelang pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026.

Bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan yang dijadualkan berlangsung di Thailand pada November ini, Aina kini perlu memberikan perhatian penuh kepada penghasilan sebuah karya baharu termasuk merancang konsep persembahan dari awal.

Lebih mencabar, penyanyi lagu Kamu itu perlu memastikan semuanya dapat disiapkan dalam tempoh yang agak singkat.

“Macam Sukan Olimpik Untuk Penyanyi” -Aina Abdul Kejar Masa, Mahu Beri Yang Terbaik Di Eurovision

Pilih Lagu Dalam Bahasa Inggeris

Menurut Aina, dia telah membuat keputusan untuk menghasilkan sebuah lagu sepenuhnya dalam bahasa Inggeris untuk dipersembahkan di pentas Eurovision Song Contest Asia 2026.

“Saya ambil keputusan menghasilkan sepenuhnya lagu dalam bahasa Inggeris, cuma air lagu itu masih dalam perbincangan dengan Mac Chew.

“Saya berharap peminat di luar sana akan doakan dan memberi semangat yang positif untuk saya. Sekiranya doa kalian makbul, saya dikurniakan satu idea yang seronok.

“Persiapan menjelang Eurovision sangat memberi tekanan, agak susah untuk saya kerana mahu mengejar masa yang telah ditetapkan.

“Bulan November bakal bertanding, jadi saya perlu fikir untuk siapkan lagu baharu, konsep persembahan juga perlu diambil kira. Kalau pentas AJL, saya mempersembahkan lagu yang sedia ada. Tetapi Eurovision ini segalanya perlu dirancang dari awal,” katanya.

“Macam Sukan Olimpik Untuk Penyanyi” -Aina Abdul Kejar Masa, Mahu Beri Yang Terbaik Di Eurovision

Mahu Lagu Yang Benar-Benar Dekat Di Hati

Dalam masa yang sama, Aina menjelaskan bahawa dia mahu karya yang bakal dibawa ke pertandingan itu mempunyai kaitan rapat dengan dirinya.

Bagi penyanyi berkenaan, sebuah lagu perlu datang daripada jiwa kerana dia sendiri yang akan menyampaikan kisah di sebalik karya tersebut kepada penonton.

“Saya seorang yang apabila menyanyi, lagu itu mesti daripada hati saya. Kerana saya adalah individu yang perlu sampaikan cerita tentang lagu tersebut, jadinya lagu itu perlu lahir daripada saya.

“Alhamdulillah, saya ada pasukan yang sangat membantu dan lagu tersebut akan dibantu oleh Mac Chew. Sebab saya mahu membawa semangatnya juga,” katanya.

“Macam Sukan Olimpik Untuk Penyanyi” -Aina Abdul Kejar Masa, Mahu Beri Yang Terbaik Di Eurovision

Sudah Berkali-Kali Ubah ‘Air’ Lagu

Walaupun lagu tersebut masih dalam proses pembikinan, Aina mendedahkan dia telah beberapa kali melakukan perubahan terhadap ‘air’ lagu berkenaan.

Ia dilakukan kerana dia mahu memastikan hasil akhirnya benar-benar mencapai tahap yang diinginkan sebelum dipersembahkan di pentas pertandingan antarabangsa itu.

“Lagu tersebut masih lagi dalam proses, saya telah mengubah air lagu itu banyak kali sebenarnya. Sebab saya rasa ada yang kurang dan perlu diperbaiki.

“Saya anggap pertandingan Eurovision ini macam Sukan Olimpik untuk penyanyi. Saya perlu hasilkan lagu itu sebaiknya, saya beranggapan ramai yang menanti untuk dengarkan lagu ini,” tambahnya lagi.

Eurovision Song Contest Asia 2026 bakal berlangsung pada Sabtu, 14 November 2026, jam 9 malam di Thailand dan akan menghimpunkan penyanyi dari seluruh Asia.

Pertandingan berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta platform penstriman Tonton.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Nadhir Nordin Jelaskan Sebab Wajahnya Kerap Muncul Dalam Siaran Langsung Merdeka. “Saya Bukan Bayar RTM…”

Kemunculan seorang jejaka yang dikenali sebagai Nadhir Nordin secara kerap dalam siaran langsung Perbarisan & Perarakan Merdeka 2026 pada 31 Ogos, hari ini mendatangkan tanda-tanya mengenai siapakah gerangannya yang sebena.

Sebaik sahaja kamera berpaling daripada vidual perarakan yang berlangsung di Dataran Putrajaya pagi ini, pastinya wajah Nadhir akan muncul di skrin televisyen sambil  beraksi menepuk tangan, bersorak & cuba memeriahkan suasana.

Ia sedikit-sebanyak menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet yang keliru mengapa masa siaran Nadhir dikira panjang berbanding orang ramai yang turut berada di sekitar dataran.

Tidak terkecuali juga, ada warganet yang tampil mengecam Nadhir yang dianggap mereka ‘mencuri’ perhatian daripada barisan unit yang berarak.

Alamak, ke arah situ pula?

Nadhir Nordin Beri Penjelasan Mengenai Siaran Merdeka

Menerusi hantaran di media sosial, Nadhir menjelaskan bahawa dia bukanlah sengaja ingin mencipta sensasi negatif.

Sebaliknya, dia hanyalah menjalankan tugasnya selaku sebahagian daripada kru siaran langsung berkenaan dan halikatnya, berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Ramai yang tanya, ramai mesej saya cakap berapa saya bayar RTM untuk keluarkan muka saya banyak kali?

“Saya bertugas. Teknikal ni haa (merujuk kepada pas tugasannya). Saya diberikan ear-piece paling ‘gedabak’ yang pernah saya pakai selama ini sebab ini ‘tarik’ jauh lah. Kalau saya duduk jauh pun ‘dia’ boleh dengar command daripada penerbit.

“Ya Allah. Saya bukan bayar RTM. Saya bertugas,” ujarnya.

Tugas Nadhir Nordin Untuk Buat Penonton ‘Havoc’

Nadhir Nordin Jelaskan Sebab Wajahnya Kerap Muncul Dalam Siaran Langsung Merdeka. “Saya Bukan Bayar RTM…”

Nadhir Nadhir yang juga merupakan pengacara bagi program-program terbitan RTM seperti Pastikan Sahih, KOPIeKONOMI, Panorama, Selamat Malam Malaysia dan Ronda-Ronda Ramadan turut sempat berseloroh; sebagai antara petugas muda di RTM, tugasan sebegini sudah lali buatnya walaupun adakalanya terasa seperti dijadikan ‘tikus makmal’.

“Inilah job saya yang paling mudah sepanjang saya menjadi pengacara. Saya ditugaskan (dan) diletakkan bersama dengan penonton untuk bersorak. Untuk havoc. Memang part saya adalah P.O.V (Point of View).

“Jadi penerbit akan kata, ‘Okay, Nadhir. Standby. P.O.V. Nadhir kena panggil penonton-penonton pandang dekat kamera dan buat riuh. (Ketawa) Akhirnya berjayalah.

“Ini kali pertama saya buat. Saya selalu jadi mangsa tikus makmal,” guraunya.

Dalam erti kata lain, apabila kamera menghala ke arahnya, Nadhir sememangnya perlu mengajak orang ramai di sekelilingnya untuk memberikan reaksi, bersorak dan memeriahkan suasana siaran.

Ia bukan sekadar aksi spontan untuk mendapatkan perhatian, sebaliknya merupakan sebahagian daripada arahan penerbit yang diterimanya menerusi ear-piece sepanjang bertugas.

Hakikatnya, tugas P.O.V itulah yang menyebabkan wajah Nadhir kerap terpampang di kaca televisyen ketika kamera mahu merakamkan reaksi penonton dan kemeriahan sambutan di sekitar Dataran Putrajaya.

Haa, tak baik tuduh Nadhir terpaksa bayar RTM untuk muncul sekerap itu di kaca televisyen. Hehe…

Daripada sekadar ditugaskan untuk mengajak penonton bersorak, akhirnya ramai pula yang tertanya-tanya siapakah jejaka yang wajahnya asyik muncul setiap kali kamera memberikan fokus kepada orang ramai.

Jika selepas ini korang ternampak wajah Nadhir sewaktu dia mengendalikan program RTM yang lain, jangan lupa pula untuk tag namanya dalam hantaran media sosial lagi ya!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Remaja, MY (@majalahremaja)

Anak Muda Malaysia Cipta Nama Di Rusia, Muhammad Ammar Juara Dunia Bidang Welding

0

Anak muda Malaysia, Muhammad Ammar Azli berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa selepas meraih Gold Medal dalam bidang Welding pada The Finals of the Professional Skills Championship (Professionals 2026) di Kaluga, Persekutuan Rusia.

Ammar yang merupakan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai berjaya membuktikan kemampuan anak muda tempatan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pertandingan yang berlangsung dari 19 hingga 27 Ogos 2026.

Penyertaan Ammar hadir selepas The Federal Institute for the Development of Vocational Education and Training (FIDVET), Persekutuan Rusia menjemputnya sebagai peserta negara dalam bidang Welding untuk menyertai pertandingan tersebut.

Anak Muda Malaysia Cipta Nama Di Rusia, Muhammad Ammar Juara Dunia Bidang Welding

Muhammad Ammar Azli Raih Gold Medal Di Rusia

Lebih membanggakan apabila keputusan pertandingan memihak kepada Muhammad Ammar Azli apabila beliau berjaya mendapat tempat pertama sekali gus membawa pulang pingat emas dalam bidang Welding.

Bukan itu sahaja, Ammar turut menerima pengiktirafan Diploma Welding Technologies daripada FIDVET, Persekutuan Rusia atas pencapaiannya dalam pertandingan tersebut.

Kejayaan itu bukan sahaja menjadi pencapaian membanggakan buat Ammar, malah turut mengangkat nama Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) serta Malaysia di peringkat antarabangsa.

Anak Muda Malaysia Cipta Nama Di Rusia, Muhammad Ammar Juara Dunia Bidang Welding

Buktikan Kemahiran Anak Muda Malaysia

Kemenangan Ammar dalam bidang Welding membuktikan bahawa kemahiran teknikal yang dimiliki anak muda Malaysia mampu bersaing dengan bakat-bakat dari negara lain.

Di sebalik kejayaan tersebut, penghargaan turut diberikan kepada Pakar Negara, Hanapiah Abdullah atas bimbingan serta kepakaran yang dicurahkan sepanjang persediaan Ammar sehingga berjaya meraih pencapaian berkenaan.

Ia sekali gus menjadi bukti bahawa laluan TVET bukan sekadar menawarkan kemahiran praktikal kepada golongan muda, malah berpotensi membuka ruang untuk mereka mencipta nama di peringkat dunia.

Pencapaian Muhammad Ammar Azli juga boleh menjadi inspirasi kepada pelajar institusi kemahiran lain untuk terus mengasah bakat dan tidak memandang rendah terhadap potensi bidang teknikal dan vokasional.

Anak Muda Malaysia Cipta Nama Di Rusia, Muhammad Ammar Juara Dunia Bidang Welding

Persediaan Ke WorldSkills Competition Shanghai 2026

Perjalanan Ammar di pentas antarabangsa bagaimanapun belum berakhir apabila tumpuan seterusnya terarah kepada WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026 di China.

Kejayaan di Rusia tentunya menjadi pengalaman cukup berharga buat Ammar dalam meneruskan persediaan bersama Kontinjen Negara sebelum berdepan peserta-peserta kemahiran terbaik dunia di Shanghai nanti.

Daripada IKBN Wakaf Tapai ke Kaluga, Rusia dan seterusnya menuju pentas WorldSkills Competition Shanghai 2026, pencapaian Ammar menjadi inspirasi bahawa bidang kemahiran juga mampu membawa anak muda Malaysia pergi jauh.

Tahniah, Muhammad Ammar Azli!

Sumber : Facebook ILKBS, Laman Rasmi IKBN Wakaf Tapai

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Legenda Di Sebalik Suara Optimus Prime, Peter Cullen Meninggal Dunia Pada Usia 85 Tahun

0

Buat peminat Transformers yang membesar mendengar suara garau dan penuh karisma Optimus Prime, satu suara yang cukup dekat dengan dunia francais itu kini dilaporkan telah pergi buat selama-lamanya.

Pelakon suara legenda dari Kanada, Peter Cullen dilaporkan meninggal dunia pada usia 85 tahun di kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Rabu.

Menurut laporan The Hollywood Reporter yang memetik ejennya, Kevin Motley, pemergian Cullen turut disahkan menerusi kenyataan keluarganya.

Cullen dilaporkan menghembuskan nafas terakhir dengan tenang sambil ditemani insan tersayang.

Keluarganya turut menggalakkan para peminat untuk terus mengenang legasi Cullen dengan mengamalkan nilai-nilai yang cukup dekat dengannya seperti belas kasihan, integriti, kesetiaan serta khidmat kepada komuniti.

Lebih 40 Tahun Peter Cullen Menjadi Optimus Prime

Legenda Di Sebalik Suara Optimus Prime, Peter Cullen Meninggal Dunia Pada Usia 85 Tahun

Nama Peter Cullen sememangnya sukar dipisahkan daripada Optimus Prime, watak ketua Autobots yang cukup ikonik dalam dunia Transformers.

Cullen pertama kali meminjamkan suaranya kepada karakter berkenaan menerusi siri animasi The Transformers yang ditayangkan dari tahun 1984 hingga 1987.

Menariknya, suara penuh wibawa Optimus Prime itu sebenarnya mempunyai kisah peribadi yang cukup bermakna buat Cullen.

Beliau pernah berkongsi bahawa inspirasi di sebalik suara tersebut datang daripada abangnya, Larry Cullen, seorang anggota Marin Amerika Syarikat yang pernah berkhidmat dalam Perang Vietnam.

Cullen melihat abangnya sebagai seorang figura hero dan sifat itulah yang kemudiannya cuba diterjemahkan menerusi Optimus Prime.

Hubungan Cullen dengan karakter berkenaan juga begitu kuat sehingga kematian Optimus Prime dalam filem animasi The Transformers: The Movie pada tahun 1986 mencetuskan reaksi besar dalam kalangan penonton.

Sambutan tersebut akhirnya menyaksikan Optimus Prime kembali pada tahun berikutnya.

Kembali Bersama Transformers Selepas Dua Dekad

Selepas hampir dua dekad tidak memainkan karakter berkenaan, Cullen kembali sebagai suara Optimus Prime menerusi filem live-action arahan Michael Bay, Transformers pada tahun 2007.

Legenda Di Sebalik Suara Optimus Prime, Peter Cullen Meninggal Dunia Pada Usia 85 Tahun

Kemunculan semula itu memperkenalkan suaranya kepada generasi peminat yang baharu.

Beliau kemudiannya terus menghidupkan Optimus Prime dalam enam lagi filem francais tersebut dengan penampilan filem terakhirnya menerusi Transformers: Rise of the Beasts pada tahun 2023.

Malah, persembahannya menerusi musim pertama siri animasi Transformers: Prime turut melayakkan Cullen menerima pencalonan Daytime Emmy Award.

Biarpun Optimus Prime menjadi karakter yang paling sinonim dengannya, kerjaya Peter Cullen sebenarnya jauh lebih luas.

Peminat Disney mungkin turut mengenali suaranya menerusi karakter Eeyore, si keldai murung daripada dunia Winnie the Pooh.

Cullen mula memainkan watak Eeyore menerusi The New Adventures of Winnie the Pooh pada tahun 1988 sebelum meneruskannya dalam pelbagai produksi Disney selepas itu.

Antara kredit menarik lain sepanjang kerjayanya termasuk menyumbangkan suara bagi karakter utama dalam pembikinan semula King Kong pada tahun 1976 serta K.A.R.R. dalam siri Knight Rider.

Lebih menarik, Cullen juga merupakan individu yang menghasilkan bunyi klik ikonik makhluk Predator untuk filem Predator lakonan Arnold Schwarzenegger pada tahun 1987.

Daripada sebuah siri animasi era 1980-an hinggalah ke layar perak moden, suara Peter Cullen telah menemani beberapa generasi peminat selama lebih empat dekad.

Bagi jutaan peminat Transformers, Optimus Prime mungkin sebuah karakter fiksyen. Namun suara Peter Cullen yang memberikannya jiwa, ketegasan dan sifat kepimpinan menjadikan karakter itu sebagai salah satu ikon budaya pop paling dikenali sehingga hari ini.

Sumber : MalayMail

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.