Home Blog Page 33

Aina Abdul Kecewa Budaya Saling Menjatuhkan -“Sepatutnya Kita Meraikan Sesama Artis”

Bagi penyanyi Aina Abdul, kritikan terhadap persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) bukanlah sesuatu yang asing, apatah lagi apabila media sosial menjadi ruang terbuka untuk orang ramai memberikan pandangan.

Namun, apa yang lebih mengecewakan pelantun lagu Sadis itu apabila kecaman bukan sahaja datang daripada netizen, malah turut disuarakan oleh segelintir rakan dalam industri seni.

Menurut Aina, dia sememangnya menyedari mengenai kritikan yang dilemparkan terhadap persembahannya, namun memilih untuk tidak membiarkan perkara berkenaan mengganggu fokusnya dalam berkarya.

Aina Abdul Kecewa Budaya Saling Menjatuhkan -“Sepatutnya Kita Meraikan Sesama Artis”

“Kenapa kita perlu hidup dalam masyarakat penuh kebencian?”

Aina mengakui sempat membaca beberapa komen yang diberikan terhadap persembahannya dan mempersoalkan budaya saling menjatuhkan yang masih berlaku dalam kalangan penggiat seni.

“Saya memang nampak perkara seperti itu dan sempat membaca beberapa komen. Bagi saya, kenapa kita perlu hidup dalam masyarakat penuh kebencian? Sepatutnya kita meraikan sesama artis.

“Kita sama-sama melalui kesusahan. Kita tahu perjalanan sebagai anak seni bukan setiap hari indah dan penuh warna-warni. Kita tahu sendiri betapa sukarnya berada dalam industri ini.

“Kalau kecaman datang daripada netizen, mungkin mereka tidak mengetahui kehidupan sebenar kita. Tetapi apabila perkara itu datang daripada rakan industri, kadang-kadang saya tertanya-tanya, kenapa perlu begitu negatif?” katanya kepada Kosmo! Online.

Walaupun meluahkan rasa kecewa, Aina menegaskan kenyataannya itu tidak ditujukan kepada mana-mana individu.

Sebaliknya, dia berharap setiap penggiat seni dapat meneruskan kehidupan dan kerjaya masing-masing tanpa mewujudkan permusuhan hanya disebabkan perbezaan pandangan.

 

“Seni kami, untuk kami”

Dalam masa sama, penyanyi berkenaan memilih untuk terus bekerja dan mengekalkan perspektif positif kerana percaya setiap karya yang dihasilkan mempunyai kelompok peminatnya sendiri.

“Saya tidak tujukan perkara ini kepada sesiapa. Saya cuma berharap mereka gembira dengan apa sahaja perkara yang sedang dilakukan.

“Saya akan teruskan kerja dan kekal berfikiran positif kerana saya tahu apa yang saya buat mungkin bukan untuk mereka, tetapi untuk peminat saya yang menghargai seni.

“Bak kata abang Noh Salleh, ‘seni kami, untuk kami’. Jadi, saya akan terus berjalan dengan prinsip itu,” ujarnya.

Buat Aina yang pernah bergelar juara Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37), pengalaman berdepan kritikan sebegitu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.

Namun, dia memilih untuk melihatnya sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup dan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku.

Aina Abdul Kecewa Budaya Saling Menjatuhkan -“Sepatutnya Kita Meraikan Sesama Artis”

Tak perlu tahu siapa kawan atau lawan

Menurut Aina, kehidupan mengajarnya bahawa tidak semua orang yang hadir dalam perjalanan seseorang akan kekal sebagai kawan.

Bagaimanapun, perkara lebih penting baginya adalah bagaimana seseorang itu memilih untuk bertindak apabila berdepan situasi sedemikian.

“Itulah kehidupan. Kita tidak akan pernah tahu siapa sebenarnya kawan kita. Saya harap semua orang yang membaca kisah ini dapat mengambil sedikit pengajaran.

“Tidak kira siapa kita jumpa dalam hidup, kita tidak tahu sama ada dia kawan atau lawan. Tetapi perkara paling penting bukan untuk mengetahui siapa kawan atau lawan.

“Kalaupun akhirnya kita sedar seseorang itu bukan kawan seperti disangka, jangan sambung perkara negatif itu. Simpan sahaja, ketepikan dan teruskan perjalanan,” jelasnya.

“Berbuat baiklah”

Pada masa sama, Aina mengingatkan orang ramai supaya lebih bijak dalam menggunakan media sosial, khususnya ketika memberikan komen atau menyuarakan pandangan terhadap orang lain.

Baginya, kemajuan teknologi sepatutnya menjadikan masyarakat lebih matang dalam memilih perkataan dan bukannya membuka ruang untuk menyemarakkan kebencian.

“Berbuat baiklah. Kita sudah berada pada tahun 2026. Sepatutnya kita lebih matang, tahu perkara betul untuk dilakukan dan tahu memilih kata-kata yang baik,” ungkapnya.

Sebelum ini, persembahan Aina di pentas AJL40 mencetuskan pelbagai reaksi dalam media sosial apabila gaya persembahannya menerima kritikan daripada netizen serta beberapa rakan industri.

Antara komen yang diterima termasuk dakwaan bahawa persembahan tersebut terlalu berlebihan, malah ada yang berpandangan pendekatan less is more lebih sesuai untuk sesebuah persembahan di pentas berprestij itu.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Ratu Pecut SUKMA 2026 Sambung Belajar, Izzatul Musfirah Kini Bergelar Pelajar UC TATI

0

Selepas mencipta sensasi dengan bergelar ratu pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira kini membuka lembaran baharu dalam kehidupannya apabila secara rasmi bergelar pelajar University College TATI (UC TATI).

Masih segar dengan kejayaan cemerlang di temasya dwitahunan itu, atlet berusia 18 tahun berkenaan tidak mengambil masa lama untuk kembali memberi perhatian terhadap masa depannya di luar trek.

Izzatul memilih untuk melanjutkan pengajian dalam program Diploma in Sports Recreation (DISR) di Kampus Bandaraya Kuala Terengganu dengan sesi pengajiannya dijadualkan bermula pada September ini.

Menariknya, keputusan itu menyaksikan Izzatul meneruskan pengajian di negeri kelahirannya sendiri sambil membina kerjaya sebagai atlet berprestasi tinggi.

Ratu Pecut SUKMA 2026 Sambung Belajar, Izzatul Musfirah Kini Bergelar Pelajar UC TATI

Ratu Pecut SUKMA 2026 Sambung Belajar, Izzatul Musfirah Kini Bergelar Pelajar UC TATI

Ratu Pecut SUKMA Selangor 2026, Izzatul Musfirah Cipta Sensasi

Nama Izzatul menjadi antara yang paling mencuri perhatian sepanjang SUKMA Selangor 2026 selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam acara olahraga wanita.

Bukan satu, malah Izzatul Musfirah berjaya membawa pulang tiga pingat emas menerusi acara 100 meter, 200 meter dan 4×400 meter wanita.

Kejayaan tersebut sekali gus meletakkan atlet muda kelahiran Terengganu itu sebagai antara prospek olahraga negara yang cukup menarik untuk diberikan perhatian selepas ini.

Namun, di sebalik momentum cemerlangnya di trek, Izzatul membuktikan bahawa mengejar impian sebagai atlet tidak bermakna pendidikan perlu diletakkan di tempat kedua.

Sebaliknya, langkah menyambung pengajian dalam bidang berkaitan sukan dilihat mampu memberikan nilai tambah terhadap perkembangan dirinya sebagai seorang atlet.

Pemilihan Diploma in Sports Recreation juga mempunyai kaitan rapat dengan dunia yang sedang dilalui Izzatul. Selain meneruskan pendidikan pada peringkat lebih tinggi, bidang tersebut memberi peluang kepadanya untuk terus berada dekat dengan persekitaran sukan yang sudah menjadi sebahagian besar daripada kehidupannya.

Seimbangkan Akademik & Kerjaya Sebagai Atlet

Ratu Pecut SUKMA 2026 Sambung Belajar, Izzatul Musfirah Kini Bergelar Pelajar UC TATI

Kehadiran Izzatul turut memperkuatkan lagi barisan atlet mahasiswa di UC TATI yang perlu mengimbangi tuntutan akademik dengan komitmen latihan serta pertandingan.

Menurut Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr Hairul Azhar Abdul Rashid, pendekatan pengajian yang lebih inklusif dan fleksibel penting bagi memberi ruang kepada atlet sepenuh masa mahupun separuh masa meneruskan pendidikan tanpa perlu mengorbankan perkembangan kerjaya sukan mereka.

Bagi atlet muda seperti Izzatul Musfirah, fleksibiliti seperti ini penting memandangkan jadual seorang atlet berprestasi tinggi bukan hanya tertumpu kepada pertandingan. Latihan harian, kem persediaan, proses pemulihan serta perjalanan untuk menyertai kejohanan juga perlu diambil kira sepanjang tempoh pengajian.

Dalam masa sama, peluang menyambung pengajian memberikan satu lagi laluan kepada atlet untuk membina masa depan di luar trek. Pengalaman dalam sukan yang digabungkan dengan pendidikan formal boleh menjadi bekalan berguna untuk perkembangan kerjaya mereka pada masa akan datang.

Kejayaan tiga pingat emas yang diraih sebelum ini tentunya menjadi satu pencapaian istimewa buat atlet berusia 18 tahun berkenaan. Kini, Izzatul Musfirah mempunyai satu lagi cabaran apabila perlu menyesuaikan rutin sebagai pelajar dengan tuntutan latihan dan pertandingan.

Sumber : Facebook University College TATI

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Taanusiya Chetty Memukau di Miss World 2026, Gaun “The Pearl of Borneo” Julang Keindahan Laut & Mutiara

Wakil Malaysia di pertandingan ratu cantik Miss World 2026, Taanusiya Chetty tampil memperagakan gaun kebangsaan bertemakan “The Pearl of Borneo” yang dicipta oleh rumah fesyen popular, Arma Couture manakala fabrik busana pula oleh Sayang Batique.

Ia bersempena segmen Miss World 2026 x Vietnam Beauty Fashion Fest XVII: Soul of Heritage anjuran organisasi Miss World pada Khamis malam yang mempertaruhkan anugerah World Fashion Designer Award bagi kategori Asia & Oceania.

Taanusiya Chetty Memukau di Miss World 2026, Gaun “The Pearl of Borneo” Julang Keindahan Laut & MutiaraTaanusiya Chetty Memukau di Miss World 2026, Gaun “The Pearl of Borneo” Julang Keindahan Laut & Mutiara

Diinspirasikan daripada keindahan ekosistem lautan di sekitar kepulauan Borneo serta keunikan mutiaranya, setiap gerak-geri Taanusiya apabila menyarungkan gaun ini memperlihatkan tekstur dan kilauan manik-manik serta mutiara seakan ritma ombak di laut dalam.

“All the best, Queen…” – Pereka fesyen, Arma Abdul Rahman

Taanusiya dan Arma Couture bukan sekadar membawa secebis penceritaan mengenai keindahan alam dari Malaysia ke pentas dunia, kostum serba feminin ini juga merupakan satu cerminan kepada keanggunan dan khazanah berharga dari kepulauan Borneo.

Taanusiya Chetty Memukau di Miss World 2026, Gaun “The Pearl of Borneo” Julang Keindahan Laut & Mutiara

Ahad lalu, Taanusiya mencuri perhatian dunia selepas videonya berucap dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamir tular di media sosial. Ucapan tersebut dianjurkan sempena segmen Head-to-Head Challenge di pertandingan Miss World.

“Satu yang mahu saya pesan… ia bukan tentang sejauh mana kita boleh mengubah dunia tetapi sejauh mana anda mampu menjadi perubahan itu.

“Jangan tunggu dunia berubah, jadilah perubahan. Itulah semangat yang perlu ada pada seorang Miss World.”

Selain momen ‘mic drop’ berkenaan, gadis berusia 26 tahun ini turut berkongsi kisah memilukan dimana beliau kehilangan ibu tersayang pada usia semuda 14 tahun akibat kemalangan jalan raya ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan untuk menghadiri pengebumian ahi keluarga.

Walaupun tanpa kasih sayang seorang ibu kandung, ibu tiri Taanusiya tidak berbelah bahagi dalam menyuntik semangat dan inspirasi untuknya terus berkhidmat dan membantu masyarakat tempatan.

Taanusiya Chetty Memukau di Miss World 2026, Gaun “The Pearl of Borneo” Julang Keindahan Laut & Mutiara

Antara inisiatif yang telah dilakukan oleh Taanusiya sebelum dia terlibat dalam dunia ratu cantik Miss World termasuklah menubuhkan organisasi Be The Change Malaysia pada 2022 sebelum ia didaftarkan secara rasmi dengan nama Pertubuhan Suara Perubahan Insan Murni.

Menerusinya, Taanusiya berganding bahu dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan bagi mewujudkan inisiatif sekolah dalam hospital bagi membantu kanak-kanak Orang Asli.

Selain itu, organisasi berkenaan juga aktif menganjur bengkel seni untuk golongan muda autistik dan mengunjungi pesakit leukemia kanak-kanak.

Taanusiya Chetty Memukau di Miss World 2026, Gaun “The Pearl of Borneo” Julang Keindahan Laut & Mutiara

Dengan penglibatannya dalam pertandingan Miss World yang memasuki edisi ke-73 kali ini, dia berharap agar organisasi ini boleh dikembangkan ke peringkat antarabangsa bagi mencapai lebih banyak matlamat yang dihasratkan oleh mereka.

Ini termasuklah untuk memperluaskan usahan kecerdasan emosi di negara-negara serantau seperti Kemboja dan Vietnam. Ternyata usaha ini bukanlah untuk menonjolkan dirinya sebagai seorang ratu cantik tetapi fokusnya terletak pada inisiatif untuk membantu insan-insan yang memerlukan.

Sebagai info, Malaysia pernah beberapa kali melakar kejayaan membanggakan di Miss World. Rekod kedudukan terbaik yang pernah dicapai oleh wakil negara masih dipegang oleh Lina Teoh yang menobatkan sebagai pemenang tempat ketiga pada tahun 1998.

Rahimah Orchient Yayah pula berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik pada tahun 1994 manakala Deborah Henry pula melangkah masuk ke pusingan 16 terbaik pada tahun 2007.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Minho SHINee Raih Kepercayaan, Dilantik Duta Publisiti Agensi Pemulihan Tinggalan Askar Terkorban Korea Selatan

Penyanyi dan pelakon terkenal, Minho daripada kumpulan SHINee baru-baru ini meraih perhatian selepas dilantik sebagai duta publisiti baru bagi Agensi Kementerian Pertahanan Korea Selatan untuk Pemulihan dan Pengenalpastian Tinggalan Askar yang Terkorban (MAKRI).

Menurut MAKRI dalam sebuah kenyataan, pelantikan tersebut dibuat secara rasmi pada 27 Ogos menerusi satu majlis yang berlangsung di Tanah Perkuburan Negara Seoul, Dongjak-gu, Seoul.

Dalam majlis berkenaan, Minho Minho atau nama sebenarnya Choi Minho (35) turut memberi penghormatan di menara peringatan sebelum berkunjung ke pusat pengenalpastian agensi tersebut untuk menerima taklimat mengenai perkembangan serta usaha mencari dan memulihkan jasad anggota tentera yang terkorban ketika Perang Korea pada 1950 hingga 1953.

Minho SHINee Raih Kepercayaan, Dilantik Duta Publisiti Agensi Pemulihan Tinggalan Askar Terkorban Korea Selatan Minho SHINee Raih Kepercayaan, Dilantik Duta Publisiti Agensi Pemulihan Tinggalan Askar Terkorban Korea Selatan

Minho SHINee Raih Kepercayaan, Dilantik Duta Publisiti Agensi Pemulihan Tinggalan Askar Terkorban Korea Selatan

Menerusi peranan terbarunya itu, Minho dijangka menyertai pelbagai program utama anjuran MAKRI selain menggunakan pengaruh serta bakatnya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha memulihkan dan mengenal pasti jasad anggota tentera yang terkorban ketika menjalankan tugas.

“Khidmat ketenteraan memberi saya tenaga positif dan kekuatan mental, dan ia kekal sebagai satu kenangan yang baik buat saya. Saya berasa bangga, namun pada masa yang sama memikul tanggungjawab yang besar kerana berpeluang menyertai misi mulia untuk membawa pulang mereka yang telah berkorban demi negara,” katanya.

Untuk rekod, Minho pernah menjalani khidmat ketenteraan secara sukarela selepas menyertai Kor Marin Korea Selatan pada 2019 sebelum menamatkan perkhidmatannya. Malah, beliau pernah mencuri perhatian apabila sanggup melepaskan cuti terakhir sebelum tamat perkhidmatan bagi menyertai latihan pertahanan tanah air.

Minho SHINee Raih Kepercayaan, Dilantik Duta Publisiti Agensi Pemulihan Tinggalan Askar Terkorban Korea Selatan Minho SHINee Raih Kepercayaan, Dilantik Duta Publisiti Agensi Pemulihan Tinggalan Askar Terkorban Korea Selatan

“Melalui khidmat ketenteraan, saya memperoleh tenaga positif serta ketabahan mental yang kuat. Saya berasa bangga dan pada masa sama memikul tanggungjawab besar kerana dapat menyertai usaha mulia untuk membawa mereka yang terkorban demi negara kembali ke tanah air,” ujar Minho.

BACA: Minho SHINee Disaran Kurangkan Senaman Ekstrem, Doktor Dedah Kesan ‘Overtraining’ Terhadap Tubuh

Sebelum Minho, beberapa nama terkenal turut pernah diberi kepercayaan sebagai duta publisiti agensi tersebut, antaranya profesor Seo Kyoung-duk pada 2016, pelakon Park Ha-sun pada 2018, pelakon Shin Goo pada 2020, mendiang pengacara Song Hae pada 2021, RM BTS pada 2023 serta tenaga pengajar sejarah Korea, Choi Tae-sung pada 2024.

Sumber: Instagram Choi Minho

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Khairul Aming Kongsi Pesanan Buat Ibu Bapa, Jangan Paksa Anak Ikut ‘Template’ Kejayaan

Setiap ibu bapa pastinya mahukan yang terbaik buat anak-anak. Namun, persoalannya, sejauh mana mereka perlu menentukan bentuk kejayaan yang perlu dicapai oleh anak?

Bagi pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming, jawapannya mungkin tidak semudah melihat keputusan peperiksaan, pekerjaan atau pencapaian yang tertera di atas kertas.

Sebaliknya, dia percaya anak-anak perlu diberi peluang untuk mencari jalan hidup sendiri dan berkembang dalam persekitaran yang sesuai dengan minat serta kecenderungan mereka.

Pandangan tersebut dikongsikan KA ketika menjawab persoalan seorang netizen mengenai doa dan amalan yang dilakukan ibunya untuk dirinya.

Khairul Aming Kongsi Pesanan Buat Ibu Bapa, Jangan Paksa Anak Ikut ‘Template’ Kejayaan

Doa ibu jadi ‘bekalan’ dalam perjalanan hidup

Walaupun tidak mengetahui secara terperinci apakah doa yang sering dipanjatkan oleh ibunya, pemilik Sambal Nyet itu percaya seorang ibu pastinya sentiasa mengharapkan perkara terbaik buat anak.

“Saya pun tak tahu mak saya doa apa…”

Ujar Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, dia merasakan antara doa ibunya adalah supaya segala urusan anaknya dipermudahkan dalam kehidupan.

“Saya pun tak tahu mak saya doa apa tapi saya rasa mak saya doakan supaya urusan anaknya dipermudahkan,” katanya.

Daripada kisah kecil mengenai doa seorang ibu itu, KA kemudian membawa perbualan kepada perkara yang lebih besar iaitu cara ibu bapa melihat masa depan anak-anak.

Khairul Aming Kongsi Pesanan Buat Ibu Bapa, Jangan Paksa Anak Ikut ‘Template’ Kejayaan

Anak bukan ‘projek’ untuk capai impian ibu bapa

Menurut lelaki berusia 33 tahun itu, antara perkara yang perlu dielakkan adalah memaksa anak mengikut satu acuan kejayaan yang sudah ditetapkan.

Baginya, apabila meningkat dewasa kelak, anak-anak sendirilah yang akan menjalani kehidupan tersebut. Justeru, mereka perlu mempunyai ruang untuk membuat pilihan berdasarkan minat dan kemampuan masing-masing.

“Kadang-kadang kita nak anak ikut template kejayaan yang kita nak. Tapi kita kena ingat dia one day, dia akan jadi dewasa. Dia akan carry hidup dia,” ujarnya.

KA percaya setiap anak mempunyai potensi tersendiri yang mungkin hanya akan terserlah apabila mereka berada dalam bidang atau suasana yang benar-benar diminati.

Jika dipaksa melakukan sesuatu yang tidak disukai, potensi tersebut dikhuatiri tidak dapat berkembang sepenuhnya.

“Kalau kita letak dia dalam environment dia tak minat, dia takkan boleh bloom, dia takkan boleh berjaya.

“Kalau kita letak anak kita dalam environment yang dia suka, yang dia passion, dia minat, dia akan mekar setinggi yang boleh. Itu je,” katanya.

Pengalaman sendiri dengan cara didikan ibu

Pandangan tersebut bukan sekadar teori buat KA kerana dia sendiri merasai bagaimana ibunya memberi ruang kepadanya ketika membesar.

Daripada mengarahkan segala keputusan yang perlu dibuat, ibunya memberikan kebebasan untuk KA menentukan perkara yang dirasakan sesuai dengan dirinya.

Disebabkan itu, dia melihat pendekatan tersebut sebagai sesuatu yang wajar dicontohi oleh ibu bapa lain.

“Sebab kadang-kadang kita nak anak-anak ni follow template kita, kena jadi itu, kena jadi ini. Barulah mak bangga. Try to avoid that lah.

“Biar kita bangga anak kita jadi manusia berguna. Jangan kita bangga berdasarkan kejayaan dia on paper sahaja,” katanya.

‘Cemerlang atas kertas’ tak semestinya cukup

Dalam dunia yang sering menjadikan pencapaian akademik sebagai ukuran kejayaan, KA mempunyai pandangan berbeza.

Baginya, seseorang mungkin mempunyai keputusan akademik yang membanggakan, tetapi perkara itu tidak semestinya mencerminkan bagaimana mereka membawa diri dalam kehidupan.

Begitu juga mereka yang tidak begitu menyerlah dalam akademik kerana nilai seseorang tidak sepatutnya ditentukan hanya berdasarkan pencapaian di atas kertas.

“Ramai orang yang cemerlang on paper tapi perangai tak guna.

“Ramai juga yang on paper tak perform tapi dia yang jaga kita sampai ke hujung,” katanya.

Khairul Aming Kongsi Pesanan Buat Ibu Bapa, Jangan Paksa Anak Ikut ‘Template’ Kejayaan

Jutaan kisah buat KA lebih banyak belajar

Dalam masa sama, pengalaman berinteraksi dengan pengikut turut memberikan perspektif baharu kepada KA tentang kehidupan manusia.

Menurutnya, apabila terdedah kepada pelbagai kisah daripada orang ramai, banyak perkara yang dapat dipelajari dan dijadikan pengajaran.

“Saya dah terdedah dengan jutaan kisah orang. So banyak benda saya belajar. There’s a lot for me to learn,” katanya.

Pada akhirnya, bagi KA, kejayaan anak mungkin tidak perlu kelihatan hebat pada sekeping sijil atau resume.

Apa yang lebih bermakna adalah apabila anak-anak mampu membesar sebagai individu yang baik, berguna kepada orang sekeliling dan paling penting, mampu menjalani kehidupan yang mereka pilih sendiri.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

PMX Bimbang Nasib Rakyat Malaysia Di Nepal, 55 Masih Gagal Dihubungi Susulan Banjir Dahsyat

0

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan terhadap nasib rakyat Malaysia di Nepal yang terjejas susulan bencana banjir kilat dahsyat yang melanda daerah Rasuwa, berhampiran sempadan China.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan serta rakyat Nepal dan China, khususnya kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga atau masih menantikan khabar mengenai insan tersayang.

Dalam perkembangan terkini, Kementerian Luar (KLN) memaklumkan seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi, meningkat berbanding laporan awal melibatkan 17 individu. Angka terbaharu itu berdasarkan maklumat diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan.

Gangguan serius terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik dipercayai antara faktor yang menyebabkan usaha menghubungi mereka berdepan kesukaran.

PMX Bimbang Nasib Rakyat Malaysia Di Nepal, 55 Masih Gagal Dihubungi Susulan Banjir Dahsyat

Usaha Mengesan Rakyat Malaysia Di Nepal Dipergiat

Anwar berkata Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal dan agensi berkaitan bagi mengesan serta mendapatkan perkembangan mengenai keadaan rakyat Malaysia di Nepal yang terjejas.

Malah, pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh turut digerakkan ke Kathmandu bagi memperkukuhkan usaha penyelarasan di lapangan.

Kerajaan juga telah mengarahkan semua agensi berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar supaya menyegerakan usaha mengenal pasti serta membantu rakyat Malaysia yang terjejas.

Anwar menegaskan kerajaan akan terus memberikan perhatian terhadap situasi tersebut dan memastikan segala usaha yang diperlukan digembleng bagi mengutamakan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan kesemua individu yang masih gagal dihubungi dapat ditemukan dalam keadaan selamat.

PMX Bimbang Nasib Rakyat Malaysia Di Nepal, 55 Masih Gagal Dihubungi Susulan Banjir Dahsyat

Operasi Menyelamat Berdepan Cabaran

Bencana yang melanda kawasan pergunungan berhampiran sempadan Nepal dan Tibet itu telah mengakibatkan kemusnahan besar termasuk kerosakan jalan raya, jambatan serta rangkaian komunikasi.

Keadaan tersebut sekali gus menyukarkan pasukan mencari dan menyelamat untuk memasuki beberapa kawasan terjejas serta mendapatkan maklumat mengenai mangsa.

Banjir dahsyat itu dikaitkan dengan runtuhan glasier yang mencetuskan aliran air, lumpur dan puing dalam skala besar, dengan ratusan warga tempatan serta pelancong asing turut dilaporkan masih belum diketahui nasib mereka.

Situasi itu turut meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Nepal yang masih belum berjaya dihubungi, terutama apabila operasi mencari dan menyelamat berdepan keadaan muka bumi yang sukar serta gangguan terhadap kemudahan asas.

PMX Bimbang Nasib Rakyat Malaysia Di Nepal, 55 Masih Gagal Dihubungi Susulan Banjir Dahsyat

Dalam pada itu, Anwar turut memberi penghargaan kepada anggota mencari dan menyelamat yang terus menjalankan tugas dalam keadaan cukup mencabar.

Ketika operasi SAR masih diteruskan, perhatian rakyat Malaysia kini pastinya tertumpu kepada usaha membawa pulang khabar baik mengenai kesemua rakyat negara ini yang masih gagal dihubungi.

Harapan kini tertumpu agar usaha pihak berkuasa dan pasukan penyelamat dapat membantu mengesan rakyat Malaysia di Nepal serta memastikan mereka ditemukan dalam keadaan selamat.

Sumber : Facebook Perdana Menteri Malaysia

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

“Mama Sangat Bangga Dengan Kamu!” -Sharifah Sofia Sebak Lihat Anak Sulung Raih Emas Ragbi SUKMA

Bukan sahaja bangga, pelakon Sharifah Sofia turut mengakui perasaannya bercampur-baur apabila melihat anak sulungnya, Sharifah Ariana, turun beraksi dalam acara ragbi wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Lebih membanggakan, Ariana yang baru berusia 15 tahun berjaya membantu pasukan ragbi wanita Selangor mempertahankan pingat emas selepas menewaskan Sarawak dengan keputusan 41-0.

“Mama Sangat Bangga Dengan Kamu!” -Sharifah Sofia Sebak Lihat Anak Sulung Raih Emas Ragbi SUKMA

Menerusi perkongsian di Instagram, pelakon drama Nur Kasih dan filem Gol & Gincu itu meluahkan rasa syukur apabila segala penat lelah Ariana bersama rakan sepasukan akhirnya membuahkan hasil.

“Juara, Alhamdulillah. Segala Usaha Keras Akhirnya Membuahkan Hasil.

“Dua Bulan Penuh Dengan Penat Lelah, Keringat, Air Mata, Bangun Awal Pagi, Berjaga Hingga Lewat Malam Dan Begitu Banyak Pengorbanan Akhirnya Membuahkan Sesuatu Yang Akan Kamu Kenang Sepanjang Hayat,” katanya.

“Mama Sangat Bangga Dengan Kamu!” -Sharifah Sofia Sebak Lihat Anak Sulung Raih Emas Ragbi SUKMA

Baru 15 Tahun, Berani Cabar Diri Bawah 21 Tahun

Apa yang menjadikan pencapaian Ariana lebih istimewa apabila dia diberi peluang beraksi dalam kategori Bawah 21 Tahun biarpun masih di usia 15 tahun.

Pasukan ragbi wanita Selangor bukan sahaja berjaya membawa pulang emas, malah mengulangi kejayaan menewaskan Sarawak pada aksi final SUKMA 2024 di Miri.

Buat Sofia, keberanian anaknya untuk bersaing dengan pemain yang jauh lebih berusia sememangnya satu pencapaian yang cukup membanggakan.

“Mama Sangat Bangga Dengan Kamu, Anak Mama! Baru Berusia 15 Tahun Tetapi Sudah Beraksi Dalam Kategori Bawah 21 Tahun, Memang Kamu Luar Biasa Hebat!

“Ini Baru Permulaan, Sayang. Banyak Lagi Kejayaan Menanti, Insya-Allah,” katanya.

“Mama Sangat Bangga Dengan Kamu!” -Sharifah Sofia Sebak Lihat Anak Sulung Raih Emas Ragbi SUKMA

Bangga Dalam Gementar, Risau Anak Cedera

Di sebalik kegembiraan melihat Ariana mencipta kejayaan, Sofia tidak menafikan hatinya sentiasa berdebar setiap kali anaknya beraksi di atas padang.

Sebagai seorang ibu, kebimbangan terhadap risiko kecederaan dalam sukan lasak seperti ragbi membuatkan Sofia mengakui ada ketika dia sendiri tidak sanggup untuk melihat permainan anaknya.

“Saya Sangat-Sangat Gementar. Sebenarnya Kalau Boleh Tak Nak Tengok Langsung. Tetapi Kita Datang Untuk Beri Semangat Kepada Anak-Anak.

“Kadang-Kadang Sebelum Permainan Pun Kita Sudah Fikir Macam-Macam Sampai Menangis Dan Gementar. Mereka Yang Bermain, Kita Pula Yang Gementar,” coretnya lagi.

Namun begitu, rasa risau itu tidak menghalang Sofia untuk terus hadir memberikan sokongan kepada Ariana dan pasukan sepanjang kejohanan, malah turut bersama ibu bapa pemain lain memberikan semangat kepada anak-anak mereka.

“Mama Sangat Bangga Dengan Kamu!” -Sharifah Sofia Sebak Lihat Anak Sulung Raih Emas Ragbi SUKMA

Rupanya Sofia Yang Kenalkan Ariana Dengan Ragbi

Menariknya, perjalanan Ariana dalam sukan ragbi sebenarnya bermula selepas diperkenalkan sendiri oleh Sofia.

Pada awalnya, Sofia hanya membawa Ariana untuk mengenali sukan berkenaan tanpa sebarang paksaan. Tidak disangka, minat itu semakin berkembang sehingga Ariana jatuh cinta dengan ragbi dan terus mengorak langkah dalam bidang tersebut.

Malah, Ariana sendiri pernah meluahkan penghargaan kepada ibunya atas keputusan memperkenalkannya kepada sukan itu.

“Dia Kata, ‘Mummy, Terima Kasih Sebab Perkenalkan Saya Kepada Ragbi Kerana Saya Tidak Tahu Apa Yang Akan Saya Lakukan Kalau Bukan Kerana Ragbi.’

“Alhamdulillah. Dia Juga Dipilih Untuk Pergi Secara Profesional Dan Itu Sesuatu Yang Sangat Menakjubkan,” katanya.

Daripada hanya mengenali ragbi hasil dorongan ibunya, Ariana kini sudah mampu membuktikan keupayaan di pentas SUKMA pada usia yang begitu muda.

Kejayaan tersebut pastinya menjadi satu lagi momen yang cukup bermakna buat Sofia sebagai seorang ibu, apatah lagi melihat minat yang diperkenalkan sejak awal kini membawa anaknya ke tahap yang lebih tinggi.

“Mama Sangat Bangga Dengan Kamu!” -Sharifah Sofia Sebak Lihat Anak Sulung Raih Emas Ragbi SUKMA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

TXT Kembali Beraksi Di Kuala Lumpur Menerusi Jelajah ‘Steal The Wind’, Bakal Temui Peminat Mac 2027

0

Bintang K-Pop popular, TOMORROW X TOGETHER (TXT) baru-baru ini mengejutkan para peminat mereka, MOA, selepas mengumumkan bakal menggegarkan Kuala Lumpur menerusi konsert jelajah dunia terbaru ‘STEAL THE WIND’, pada 13 Mac 2027.

Menerusi perkongsian di aplikasi X rasmi TXT, konsert jelajah ini akan membawa kelima-lima kumpulan yang dianggotai oleh Yeonjun, Soobin, Beomgyu, Taehyun, dan Hueningkai menjelajah beberapa negara di Asia, Amerika Utara dan Eropah bermula November 2026 hingga Jun 2027.

Meskipun butiran lanjut mengenai lokasi persembahan di ibu negara masih belum diumumkan, pengesahan Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi jelajah pastinya menjadi berita yang cukup menggembirakan buat MOA di Malaysia. Maklumat berkaitan tempat, harga tiket serta tarikh jualan dijangka diumumkan dari semasa ke semasa.

TXT Kembali Beraksi Di Kuala Lumpur Menerusi Jelajah ‘Steal The Wind', Bakal Temui Peminat Mac 2027

Jelajah ‘STEAL THE WIND’ akan membuka tirainya di Seoul selama tiga malam bermula 13 hingga 15 November 2026, sebelum TXT meneruskan persembahan ke Macau, Fukuoka, Tokyo, Osaka dan Aichi.

Bagi siri jelajah Asia pada tahun 2027 pula, TXT turut dijadualkan tampil di Kaohsiung pada 6 dan 7 Mac, Kuala Lumpur pada 13 Mac, Jakarta pada 20 Mac serta Hong Kong pada 19 dan 20 Jun.

Sementara itu, siri jelajah Eropah akan menyaksikan TXT singgah di Manchester, Milan, Paris, Amsterdam, Antwerp dan Cologne. Menariknya, Big Hit Music turut memberi bayangan bahawa lebih banyak tarikh dan destinasi persembahan bakal ditambah pada masa akan datang.

TXT Kembali Beraksi Di Kuala Lumpur Menerusi Jelajah ‘Steal The Wind', Bakal Temui Peminat Mac 2027

Pengumuman jelajah dunia ini hadir ketika TXT terus mencipta momentum tersendiri dalam industri muzik apabila album terbaru mereka, ‘7TH YEAR: A Moment of Stillness in the Thorns’, berjaya mencatat pencapaian membanggakan di carta Billboard 200.

BACA: Akhirnya Jejakkan Kaki Di Malaysia! TXT Bakal Hangatkan Kuala Lumpur Februari Tahun Hadapan

Untuk rekod, kehadiran TXT menerusi ‘STEAL THE WIND’ bakal menandakan kunjungan kedua mereka ke Kuala Lumpur selepas sebelum ini berjaya menghangatkan Axiata Arena pada 14 Februari lalu menerusi jelajah ‘ACT: TOMORROW’. Justeru, pengumuman terbaharu ini pastinya sekali lagi mencetuskan keterujaan dalam kalangan MOA Malaysia yang kini boleh mula menghitung hari untuk menyaksikan idola kesayangan mereka kembali beraksi secara langsung di ibu negara.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Bintang Ikonik ‘The Rocky Horror Picture Show’, Tim Curry Meninggal Dunia Pada Usia 80 Tahun

0

Bintang terkenal yang popular menerusi ‘The Rocky Horror Picture Show’, Tim Curry baru-baru ini dilaporkan meninggal dunia pada usia 80 tahun. Pemergian pelakon kelahiran England itu sekaligus menutup tirai perjalanan seni beliau sebagai seorang figura ikonik yang cukup sinonim dengan watak-watak eksentrik, flamboyan dan penjahat berkarisma dalam dunia filem, televisyen serta teater.

Menerusi sebuah kenyataan yang dikongsikan oleh publisiti Sean Katz bagi pihak pengurus serta sahabat lamanya, Marcia Hurwitz, Curry atau pemilik nama sebenar Timothy James Curry dilaporkan menghembuskan nafas terakhir secara aman di kediamannya di Toluca Lake, Los Angeles pada Selasa. Kenyataan tersebut turut mengenang peribadi mendiang sebagai seorang insan yang memiliki pemikiran luas, sifat ingin tahu yang tinggi serta hati yang pemurah dan lembut sehingga ke penghujung hayatnya.

Pada masa sama, Jabatan Polis Los Angeles memaklumkan pihak berkuasa menerima laporan siasatan kematian membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 80-an di sebuah alamat di Los Angeles sekitar jam 11.20 malam waktu tempatan. Jabatan Bomba Los Angeles juga mengesahkan pasukan kecemasan telah dikerahkan ke lokasi berkenaan lebih awal susulan satu insiden perubatan, sebelum individu terbabit disahkan meninggal dunia.

Bintang Ikonik ‘The Rocky Horror Picture Show’, Tim Curry Meninggal Dunia Pada Usia 80 Tahun
Antara watak-watak yang pernah diterajui oleh Tim Curry menerusi beberapa filem dan drama bersiri.

Bintang Ikonik ‘The Rocky Horror Picture Show’, Tim Curry Meninggal Dunia Pada Usia 80 TahunSetakat ini, punca kematian Curry belum diumumkan kepada umum. Namun, mendiang sebelum ini dilaporkan mengalami strok serius pada tahun 2012 dan berdepan beberapa cabaran kesihatan selepas insiden tersebut, termasuk menggunakan kerusi roda pada tahun-tahun terakhir kehidupannya.

Dilahirkan pada 19 April 1946 di Grappenhall, England, beliau mula membina impian sebagai seorang pelakon selepas berpindah ke London bersama keluarganya. Selepas menamatkan pengajian dalam bidang teater pada 1968, Curry memulakan kerjaya profesional menerusi produksi muzikal Hair sebelum mendapat peluang yang mengubah keseluruhan perjalanan seninya apabila dipilih oleh Richard O’Brien untuk membintangi ‘The Rocky Horror Show’ pada 1973.

Watak Dr. Frank-N-Furter kemudiannya menjadi simbol terbesar kerjayanya apabila pementasan tersebut diadaptasi menjadi filem ‘The Rocky Horror Picture Show’ pada 1975. Meskipun filem itu tidak mencatat kejayaan besar pada peringkat awal tayangannya, karya berkenaan akhirnya berkembang sebagai fenomena budaya pop global dan menjadikan penampilan Curry sebagai antara yang paling ikonik dalam sejarah filem kultus.

Bintang Ikonik ‘The Rocky Horror Picture Show’, Tim Curry Meninggal Dunia Pada Usia 80 TahunBintang Ikonik ‘The Rocky Horror Picture Show’, Tim Curry Meninggal Dunia Pada Usia 80 Tahun

Selain itu, Curry turut meninggalkan impak menerusi pelbagai watak lain termasuk Lord of Darkness dalam Legend, Wadsworth dalam Clue dan Pennywise dalam miniseri IT pada 1990. Keupayaannya membawa karakter yang unik dan luar biasa membuatkan beliau kekal dikenang oleh peminat merentasi beberapa generasi, manakala rakan-rakan dalam industri turut memberi penghormatan atas keberanian serta keaslian yang dibawanya sepanjang berada dalam dunia seni.

Pemergiannya kini meninggalkan kekosongan besar dalam industri hiburan, namun legasi Tim Curry pastinya akan terus hidup menerusi karya-karya yang pernah dibintanginya. Seperti yang pernah diluahkan pelakon Carol Burnett mengenai sahabatnya itu, “Tiada siapa yang mampu melakonkan watak penjahat yang disayangi penonton sebaik Tim Curry,” satu penghormatan yang cukup menggambarkan keunikan seorang pelakon yang sukar dicari ganti.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Demi Impian Jadi Doktor, Mohamad Solihin Nekad Sambut Peluang Kedua Ke Al-Azhar

Pernah kecewa apabila impiannya untuk melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Mesir tidak kesampaian tahun lalu, namun peluang kedua yang diterima tahun ini kembali menyuntik harapan buat Mohamad Solihin Mohd Nasir.

Remaja berusia 19 tahun itu ditawarkan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan di universiti berkenaan pada 15 Jun lalu. Tanpa mengambil masa panjang, dia terus menerima tawaran tersebut kerana sudah lama menyimpan impian untuk bergelar doktor.

Namun, di sebalik kegembiraan itu, Mohamad Solihin kini berdepan cabaran apabila keluarganya mengalami kekangan kewangan, malah persiapan untuk berangkat ke Mesir juga masih belum dibuat.

Demi Impian Jadi Doktor, Mohamad Solihin Nekad Sambut Peluang Kedua Ke Al-Azhar

Pernah Gagal, Kini Dapat Peluang Kedua

Menurut Mohamad Solihin, percubaannya untuk melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar bukanlah kali pertama.

“Tahun lalu saya membuat permohonan ke universiti sama untuk jurusan pergigian namun gagal, dan melanjutkan pengajian ke matrikulasi. Tahun ini saya mencuba nasib sekali lagi memohon tapi jurusan perubatan,” katanya.

Kegagalan tahun lalu tidak mematahkan semangatnya. Sebaliknya, dia kembali mencuba nasib dan akhirnya berjaya menerima tawaran dalam bidang yang sememangnya dekat dengan minatnya.

Terinspirasi Kisah Arwah Bapa

Keinginan Mohamad Solihin untuk mendalami bidang perubatan juga mempunyai kisah tersendiri apabila dia mahu menjalankan kajian dalam bidang kardiologi.

Minat tersebut tercetus selepas kehilangan arwah bapanya, Mohd Nasir Abdul Rahman, yang meninggal dunia pada 2014 akibat serangan jantung.

“Selain itu, yuran pengajian dan kos sara hidup yang rendah juga membuatkan saya memilih melanjutkan pengajian di sana.

“Memang impian besar saya untuk menjejakkan kaki ke Universiti al-Azhar kerana ingin mendalami ilmu agama, sejarah serta falsafah yang sangat terkenal di sana,” katanya.

Bagi remaja itu, Universiti al-Azhar bukan sekadar destinasi untuk mengejar cita-cita dalam bidang perubatan, malah menjadi peluang untuknya mendalami ilmu agama, sejarah dan falsafah yang terkenal dengan institusi berkenaan.

Demi Impian Jadi Doktor, Mohamad Solihin Nekad Sambut Peluang Kedua Ke Al-Azhar

Sempat Terfikir Untuk Bekerja Sambilan

Sementara itu, Mohamad Solihin turut berkongsi bahawa dia pernah merancang untuk bekerja sambilan selepas menamatkan pengajian matrikulasi pada Mei lalu.

Bagaimanapun, hasrat tersebut terpaksa dilupakan kerana tempoh masa yang ada terlalu singkat sebelum dia perlu membuat persiapan untuk menyambung pengajian.

Dalam pada itu, ibunya, Faridah Mohamad, 60, berharap impian anak bongsunya untuk menjejakkan kaki ke Mesir dan bergelar doktor dapat direalisasikan.

Walaupun keluarga mereka kini berdepan kekangan kewangan, Faridah tetap mendoakan agar segala urusan anaknya dipermudahkan.

Dia berharap perjalanan Mohamad Solihin menuntut ilmu di Universiti al-Azhar kelak bukan sahaja menjadi titik penting dalam mencapai cita-cita, malah mampu membawa perubahan kepada kehidupan keluarga mereka suatu hari nanti.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Metro Online