Legenda bola sepak dunia, Lionel Messi secara rasmi mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa pada usia 39 tahun, sekali gus menamatkan perjalanan luar biasa selama dua dekad bersama skuad kebangsaan Argentina.
Messi menerusi perkongsian di media sosial pada Isnin mengesahkan keputusan tersebut selepas merekodkan 207 penampilan dan 125 gol bersama La Albiceleste sejak melakukan debut pada tahun 2005.
Keputusan itu menyaksikan Messi meninggalkan skuad Argentina sebagai pemain dengan jumlah penampilan dan jaringan terbanyak dalam sejarah negara berkenaan.
Lebih istimewa, perjalanan antarabangsa Messi turut dihiasi kejayaan menjulang trofi Piala Dunia 2022 serta dua kejuaraan Copa América pada tahun 2021 dan 2024.
Beri Peluang Kepada Generasi Baharu

Dalam ucapan perpisahannya, Messi mengakui keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan bukan sesuatu yang mudah.
Bagaimanapun, pemenang lapan kali Ballon d’Or itu merasakan sudah tiba masanya untuk memberikan ruang kepada generasi baharu Argentina mengambil alih tanggungjawab dalam pasukan.
Sepanjang dua dekad menyarung jersi Argentina, Messi menegaskan dirinya telah memberikan segala-galanya kepada negara dan matlamatnya sejak awal hanyalah untuk memberikan kegembiraan kepada penyokong serta membuatkan rakyat Argentina berbangga menerusi bola sepak.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga, penyokong, barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan yang sentiasa berada di sisinya sepanjang perjalanan tersebut.
“Saya pergi dengan tenang dan penuh rasa bangga,” tulis Messi.
Selepas ini, Messi berkata dia akan menjadi salah seorang penyokong Argentina yang menyaksikan perjuangan pasukan tersebut dari luar padang.
Pemergian Bapa Kukuhkan Keputusan Messi
Messi turut mendedahkan ucapan persaraannya sebenarnya sudah ditulis pada 21 Julai lalu, dua hari selepas aksi final Piala Dunia 2026, namun memilih untuk tidak menerbitkannya ketika itu.
Pemergian bapanya, Jorge Messi pada 8 Ogos lalu kemudian mengukuhkan lagi keputusannya bahawa sudah tiba masanya untuk menamatkan karier antarabangsa.
Jorge merupakan antara individu terpenting dalam perjalanan karier Messi sejak kecil dan turut bertindak sebagai wakilnya selama bertahun-tahun.
Messi percaya Argentina kini mempunyai ramai pemain muda berbakat yang bersedia memikul tanggungjawab lebih besar bersama skuad kebangsaan.
Final Piala Dunia 2026 Jadi Aksi Terakhir
Aksi terakhir Messi bersama Argentina adalah pada final Piala Dunia 2026 apabila pasukan itu tewas tipis 0-1 kepada Sepanyol selepas perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Kekalahan tersebut menyaksikan Argentina terlepas peluang mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenangi mereka di Qatar empat tahun sebelumnya.
Dilahirkan di Rosario pada 24 Jun 1987, Messi melakukan penampilan sulung bersama skuad senior Argentina ketika berusia 18 tahun menentang Hungary pada 2005.

Pemilik Rekod Lapan Ballon d’Or
Selain kejayaannya bersama Argentina, Messi merupakan pemilik rekod lapan anugerah Ballon d’Or.
Di peringkat kelab, dia mencipta era gemilang bersama Barcelona sebelum menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada 2021 dan berhijrah ke Inter Miami pada 2023.
Anda mungkin berminat dengan
Walaupun perjalanan bersama Argentina sudah berakhir, Messi masih akan meneruskan karier di peringkat kelab bersama Inter Miami selepas menandatangani lanjutan kontrak sehingga musim Major League Soccer (MLS) 2028.
Selepas 207 penampilan, 125 gol, dua Copa América dan sebuah trofi Piala Dunia, persaraan Messi menutup salah satu bab paling ikonik dalam sejarah bola sepak antarabangsa.
Daripada seorang remaja berusia 18 tahun yang melakukan debut pada 2005 kepada kapten yang akhirnya menjulang Piala Dunia, nama Lionel Messi kekal sebagai antara figura terbesar yang pernah menyarung jersi Argentina.
Sumber : The Nation
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Penyanyi antarabangsa terkenal, Dua Lipa memaklumkan dirinya sanggup berdepan dengan kecaman ramai disebabkan oleh kenyataan politiknya yang mengatakan operasi ketenteraan di Gaza sebagai satu bentuk genosid oleh rejim Israel.
Menerusi satu temu bual bersama Radio Times, penyanyi lagu popular New Rules itu berkata bahawa dia akan memastikan untuk menyemak dirinya berkali-kali sebelum mengeluarkan suatu kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: Yuna Ambil Pendekatan Hanya Bekerjasama Dengan Pereka Fesyen Pro-Palestin

“Apabila saya bercakap tentang isu yang bersifat politik, saya akan menyemak diri sendiri dua, tiga kali sehingga merasakan ini adalah sesuatu yang lebih besar dari saya.
“Dan ia harus dilakukan dan itu sahaja sebab saya memuat naik hantaran itu,” katanya dalam temu bual tersebut.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan oleh penyanyi berketurunan Britain-Albania itu kerana dia merasa ia adalah demi ‘kebaikan sejagat’ dan berbaloi untuk berhadapan dengan sebarang risiko.
ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Sukakan Kuala Lumpur” Dua Lipa Pilih Malaysia Antara Negara Paling Menarik Pernah Dilawati

“Ia sentiasa akan dikecam dan berhadapan pandangan berbeza, jadi ia merupakan keputusan yang besar.
“Saya menyeimbangkannya kerana akhirnya saya berasa ia adalah demi kebaikan yang lebih besar, oleh itu saya sanggup (menerima kecaman),” ujarnya lagi.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Dua Lipa
∞
Wanita yang menyimbah air panas ke atas seorang lelaki Sindrom Down di lif bangunan pangsapuri di Pulau Pinang pada Jumaat lalu telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000 oleh mahkamah sesyen Balik Pulau.
Dalam laporan Kosmo, Oo Saw Kee, 39, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada mereka.
Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu dilakukan dalam lif pangsapuri I-Park kira-kira jam 9.24 pagi pada 19 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili Edric Loo.
Nordin meminta mahkamah mempertimbangkan untuk menjatuhkan hukuman lebih berat memandangkan berat kesalahan dan kesannya terhadap mangsa, A Solairaj, 33 tahun.
“Mangsa masih dirawat di hospital kerana melecur di belakang, bahu dan leher, dan doktor perlu membersihkan luka melecur ini. Bayangkan air panas terpercik ke badan.
“Justeru, hukuman yang dijatuhkan kepada tertuduh mesti memberi kesan lebih-lebih lagi mangsa akan mengalami trauma dan hilang upaya kekal akibat disimbah air panas,” katanya.
Oo ditahan polis Pulau Pinang pada 9.21 malam pada hari yang sama kejadian dia menyimbai Solairaj dengan air panas.
Doktor mengesahkan mangsa yang dibawa ke Hospital Pulau Pinang melecur di bahagian depan dan belakang sebelah kanan akibat terkena air panas. Dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Dalam klip 20 saat kejadian yang diambil daripada rakaman CCTV yang tular di media sosial dapat dilihat Oo telah berada di dalam lif dan kemudiannya mangsa memasuki lif dan masing-masing berdiri bertentangan.
Oo kemudiannya mengeluarkan botol air berisi air panas sebelum menyimbahnya kepada mangsa. Di ruang media sosial, netizen rata-rata mengecam tindakan wanita itu.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah sah bercerai talak satu buat kali kedua dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Khamis.
Menerusi laporan media tempatan, penyanyi lagu popular Sayang Sayang itu melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat pada jam 1.10 petang.
ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa Berbaik Dengan Aliff Aziz, Bella Astillah Mohon Semua Pihak Henti Buat Andaian

Peguam syarie, Azmi Mohd Rais memaklumkan anak guam yang diwakilinya, Bella, dalam keadaan suci dan tidak mengandung semasa prosiding berlangsung.
“Saya Muhammad Aliff bin Aziz menceraikan isteri saya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah dengan talak satu hari ini,” katanya.
Hakim Syarie Wan Mohd. Najib kemudian mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Bella menjalani tempoh idah selama tiga bulan dan mendaftarkan perceraian mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Aziz Akui Khilaf & Kekurangan Diri -“Saya Seorang Pendosa Yang Jujur”

Selain itu, Mahkamah Rendah Syariah memaklumkan tiada ruang untuk Bella dan Aliff untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga mereka susulan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu.
Ia kerana, Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang telah dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu dan kewujudan pihak ketiga.
Terdahulu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon Ruhanies di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 8 Mac lalu.
Pada 11 Mac lalu, Bella
telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Aliff atas antaranya alasan sudah tiada lagi persefahaman dan mawaddah (cinta dan kasih sayang).
Sekadar info, Bella dan Aliff telah mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, dan Ara Adreanna.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo!
∞