Empat dekad berada dalam industri hiburan bukanlah satu perjalanan yang singkat. Namun bagi legenda Hong Kong, Andy Lau, tempoh panjang itu bukan sahaja dipenuhi kejayaan dalam bidang lakonan dan muzik, malah turut dihiasi pelbagai sumbangan kepada masyarakat.
Terbaharu, pencapaian luar biasa serta komitmen beliau terhadap masyarakat mendapat pengiktirafan apabila Hong Kong Baptist University (HKBU) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratankepada Andy pada 10 Ogos 2026.
Lebih menarik, di sebalik kisah kejayaan superstar berusia 60-an itu, terselit juga satu hubungan istimewa dengan Malaysia apabila isterinya, Carol Chu, merupakan bekas model kelahiran Pulau Pinang.
Bukan Sekadar Pengiktirafan Dalam Dunia Seni
Anugerah yang diterima Andy dilihat sebagai penghormatan terhadap perjalanan panjangnya dalam dunia seni selain sumbangannya kepada masyarakat.
Sepanjang kerjayanya, Andy bukan sahaja mencipta nama sebagai pelakon dan penyanyi, malah turut aktif dalam pelbagai usaha kebajikan termasuk membantu mangsa bencana serta menyokong pendidikan kanak-kanak kurang berkemampuan di tanah besar China.
Justeru, pengiktirafan daripada HKBU itu membawa makna yang lebih besar daripada sekadar menambah satu lagi pencapaian dalam senarai panjang kejayaannya.
Ia menjadi simbol kepada perjalanan seorang anak seni yang telah mengabdikan sebahagian besar hidupnya untuk berkarya, memberi inspirasi dan meninggalkan kesan terhadap budaya popular Asia.
Presiden dan Naib Canselor HKBU, Profesor Alex Wai, menyifatkan Andy sebagai figura yang mencerminkan kecemerlangan, keazaman dan versatiliti, selain kekal rendah hati meskipun berada di puncak kejayaan.
Ads
Majlis penganugerahan tersebut turut menjadi ruang buat Andy berkongsi pengalaman hidup serta perjalanan kerjayanya bersama pengarah tersohor, Dr Ann Hui, menerusi sebuah diskusi inspirasi.
Empat Dekad Sebagai Bintang Hong Kong
Andy mula melangkah ke industri hiburan Hong Kong pada awal 1980-an sebelum namanya semakin kukuh sebagai antara pelakon dan penyanyi paling berpengaruh di rantau tersebut.
Bagi generasi yang membesar ketika era kegemilangan hiburan Hong Kong, wajah Andy Lau pastinya tidak asing lagi.
Daripada drama televisyen, filem aksi dan kisah romantik sehinggalah lagu-lagu Cantopop, Andy berjaya membina peminat merentasi generasi.
Ads
Popularitinya juga mengangkat beliau sebagai salah seorang daripada Four Heavenly Kings, gelaran yang dikongsi bersama tiga lagi bintang besar iaitu Jacky Cheung, Aaron Kwok dan Leon Lai.
Isteri Kelahiran Pulau Pinang
Walaupun kehidupan seninya sentiasa menjadi perhatian, Andy terkenal sebagai selebriti yang cukup berhati-hati dalam menjaga privasi keluarga.
Beliau berkahwin dengan Carol Chu atau Chu Lai-chien, seorang bekas model dan peserta pertandingan ratu cantik yang berasal dari Pulau Pinang.
Hubungan Andy dan Carol dikatakan terjalin untuk tempoh yang panjang secara tertutup sebelum pasangan itu dilaporkan mendirikan rumah tangga di Las Vegas pada 2008.
Kisah percintaan mereka juga jarang menjadi tatapan umum kerana kedua-duanya memilih untuk tidak terlalu mendedahkan kehidupan peribadi kepada media.
Dikurniakan Seorang Anak Perempuan
Hasil perkahwinan tersebut, Andy dan Carol dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hanna Lau, yang dilahirkan pada 2012.
Meskipun Andy merupakan antara superstar terbesar Asia, beliau tetap memilih untuk memastikan kehidupan keluarganya tidak terlalu terdedah kepada sorotan umum.
Pendekatan itu menjadikan kehidupan rumah tangga Andy dan Carol antara sisi peribadinya yang jarang dikongsikan kepada peminat.
Kini, selepas lebih empat dekad mencipta nama dalam dunia hiburan, pengiktirafan daripada HKBU seakan melengkapkan satu lagi bab penting dalam perjalanan Andy Lau, bukan sahaja sebagai legenda seni tetapi juga sebagai individu yang menggunakan pengaruhnya untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr. Amalina Che Bakri meraih perhatian apabila berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD), sekaligus menambah satu lagi pencapaian membanggakan dalam perjalanan akademik dan profesionalnya di United Kingdom.
Menerusi beberapa foto yang dimuat naik beliau di Instagram, Dr. Amalina berkongsi momen istimewa sempena majlis graduasinya yang berlangsung dalam suasana penuh bermakna. Namun, apa yang lebih menyentuh hati orang ramai adalah sepucuk surat terbuka yang ditujukan kepada dua anak perempuannya, Arabella dan Aurora.
Dalam perkongsian tersebut, beliau mengimbau pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi sepanjang melengkapkan pengajian dan kerjayanya sebagai doktor. Antaranya termasuk syif ‘on-call’ yang panjang, latihan klinikal, proses penulisan tesis serta komitmen akademik yang menuntut banyak masa dan pengorbanan.
Pada masa sama, Dr. Amalina turut meluahkan perasaan seorang ibu yang berdepan rasa bersalah apabila terpaksa berjauhan daripada anak-anak demi mengejar tanggungjawab profesional dan pendidikan. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap pengorbanan itu dilakukan atas dasar kasih sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap keluarga.
Malah, beliau berharap kedua-dua puterinya akan memahami bahawa segala usaha yang dilakukan bukanlah kerana ingin mengutamakan kerjaya semata-mata, sebaliknya demi memberikan contoh terbaik kepada mereka tentang nilai ketabahan dan kesungguhan dalam mengejar impian.
“Kamu mampu mencapai perkara-perkara yang luar biasa,” katanya sambil mengingatkan bahawa keberanian untuk bermimpi besar adalah kunci untuk mencipta kejayaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau juga berharap suatu hari nanti anak-anaknya akan berasa bangga dengan perjalanan hidup yang dilaluinya, bukan kerana dirinya sempurna tetapi kerana sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.
Untuk info, Dr. Amalina sebelum ini dikenali selepas mencipta sejarah apabila memperoleh keputusan 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekaligus menjadikannya antara pelajar paling cemerlang dalam sejarah pendidikan negara.
Melalui kejayaan tersebut, ia membuka peluang buat beliau menerima Biasiswa Kijang Emas daripada Bank Negara Malaysia sebelum melanjutkan pengajian ke United Kingdom. Selain itu, Dr. Amalina juga turut mengharumkan nama Malaysia apabila disenaraikan sebagai salah seorang daripada 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik di seluruh United Kingdom.
Pencapaian terbaharunya di peringkat PhD sekali lagi membuktikan bahawa usaha berterusan dan dedikasi tinggi mampu membawa seseorang ke tahap yang lebih cemerlang, sekaligus menjadi inspirasi kepada generasi muda.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Masyarakat umum sedia maklum dengan kesan asap rokok terhadap kesihatan diri sendiri dan orang di sekeliling. Sejak di bangku sekolah lagi, golongan kanak-kanak di Malaysia telahpun didedahkan dengan sebab utama mengapa mereka perlu mengelakkan diri daripada terjerumus dengan budaya merokok.
Bagi segelintir golongan remaja yang telahpun bergelar perokok, mereka sememangnya telah memasang niat untuk menghentikan tabiat merokok kerana mereka sedar akan kesan jangka masa panjangnya terhadap kesihatan mereka. Namun, ia tidaklah semudah yang disangka memandangkan kandungan nikotin yang ada dalam rokok akan mengakibatkan seseorang ketagih terhadapnya.
Justeru, demi beralih kepada gaya hidup yang lebih sihat, semakin ramai remaja mempertimbangkan alternatif bebas asap rokok (smoke-free alternatives).
Di antara produk bebas asap rokok yang popular di pasaran kini termasuklah rokok elektronik (vape), produk tembakau yang dipanaskan (Heated Tabacco Product) pada suhu tidak melebihi 350 darjah Celsius, sistem penghantaran nikotin elektronik dan juga nicotine pouch.
Punca mengapa ia disebut sebagai alternatif yang lebih selamat adalah kerana produk-produk ini menyampaikan kesan nikotin tanpa melibatkan pembakaran tembakau yang menghasilkan asap. Sebaliknya, kandungan wap yang dihasilkan terdiri daripada air, gliscerin dan nikotin.
Rokok elektronik sebagai contoh memanaskan cecair penyelesaian yang mengandungi nikotin (jus vape) dan rasa yang menghasilkan aerosol pula dikenali sebagai ‘vapor’.
Lalu, bukan sahaja perokok dapat mengelakkan diri daripada kandungan toksin dan karsinogen yang terhasil apabila tembakau terbakar. Malah, orang di sekeliling juga terselamat daripada kesan asap dan abu rokok yang berterbangan.
Ia sekaligus menyekat pengambilan kandungan merbahaya namun masih memberikan rasa serta pengalaman memuaskan kepada perokok tegar.
*
Tidak dinafikan, kebanyakan kajian menunjukkan produk bebas asap rokok ini tidaklah bebas sepenuhnya daripada risiko.
Menurut The Royal College of Physicians, rokok elektronik sebagai contoh hanyalah 95 peratus lebih kurang memberi risiko berbanding tembakau; dan tentunya, pilihan terbaik adalah untuk berhenti merokok secara total.
Namun di atas kertas, produk bebas asap rokok jelas lebih selamat berbanding rokok biasa atau ‘rokok ori’ buat golongan perokok yang sedang berusaha untuk meninggalkan budaya merokok ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kami pasti ramai diantara masyarakat kita khususnya yang tinggal di Lembah Klang lebih memilih untuk menggunakan pengangkutan awam bagi melakukan urusan harian. Rapid KL antara yang menjadi pilihan utama kerana prasarana yang disediakan memudahkan pengguna untuk pergi ke serata tempat.
Terbaharu, Rapid Bus dilaporkan sedang melakukan percubaan penggunaan bas elektrik dalam operasi perkhidmatan di beberapa laluan bas terpilih. Percubaan melibatkan empat buah bas elektrik, dan akan berlangsung selama tiga bulan sehingga 13 Jun 2022.
Foto: Rapid KL
Dua laluan percubaan yang terlibat adalah Laluan 400: Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang, dan Laluan 650: Taman Desa ke Hab Pasar Seni. Percubaan penggunaan bas elektrik ini adalah selari dengan pelan transformasi Rapid Bus melalui Program Elektrifikasi Bas yang mana bas diesel sedia ada akan digantikan dengan bas elektrik secara berperingkat menjelang tahun 2030.
Foto: Rapid KL
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, inisiatif ini juga selaras dengan Ikrar Kenyataan Polisi Alam Sekitar Prasarana dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) iaitu sasaran neutral karbon melalui pengurangan pelepasan karbon menjelang tahun 2050.
Pengguna juga dialu-alukan untuk tidak melepaskan peluang bagi mencuba perkhidmatan bas elektrik ini dan memberikan maklum balas tentang bagaimana perkhidmatan ini dapat dipertingkatkan lagi.
Makluman ini mendapat pelbagai reaksi masyarakat dan rata-ratanya menyokong inisiatif ini untuk penjagaan alam sekitar yang lebih baik.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!