Home Blog Page 26

“Satu-Satunya Orang Yang Paling Faham Kakak…” Elfira Loy Berduka Kehilangan Ibu Tercinta

0

Pelakon dan usahawan, Elfira Loy berdepan detik paling berat dalam hidup apabila kehilangan ibu tercinta yang selama ini bukan sahaja menjadi insan penting dalam keluarga, malah merupakan individu paling dekat dengannya.

Menerusi perkongsian di media sosial, Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri meluahkan rasa kehilangan yang cukup mendalam apabila menyifatkan ibunya bukan sekadar seorang ibu, tetapi juga teman baik serta individu yang sentiasa berada di sisinya dalam pelbagai aspek kehidupan.

Menurut Elfira, arwah merupakan insan yang menguruskan kerjayanya, menjadi stylist, penasihat dan penjaga, selain satu-satunya individu yang benar-benar memahami dirinya.

“Kakak bukan sahaja kehilangan seorang ibu, kakak kehilangan teman baik, seorang yang mengurus kerja kakak, stylist kakak, penasihat kakak, penjaga kakak dan yang paling penting satu-satunya orang yang faham kakak.” katanya.

“Satu-Satunya Orang Yang Paling Faham Kakak…” Elfira Loy Berduka Kehilangan Ibu Tercinta

Elfira Loy Kenang Hari-Hari Terakhir Bersama Ibu

Lebih meruntun hati, Elfira Loy turut mengenang hari-hari terakhir bersama ibunya di hospital. Walaupun tidak lagi dapat berbual seperti kebiasaan, bacaan surah Yasin menjadi penghubung antara mereka sepanjang tempoh tersebut.

Baginya, tempoh itu seakan memberi ruang buat dirinya dan keluarga untuk perlahan-lahan menerima hakikat bahawa insan kesayangan mereka bakal pergi buat selama-lamanya.

“Allah tak tarik nyawa Mama terus. Allah kasi kita orang practice hari-hari melawat Mama dekat hospital tanpa boleh berborak dengan Mama, hanya berbekalkan bacaan Yasin menjadi perbualan kita.”

Hari-hari tersebut pastinya meninggalkan kenangan yang cukup mendalam buat Elfira dan keluarganya. Kehadiran di sisi ibu biarpun tanpa perbualan seperti kebiasaan menjadi antara detik terakhir yang akan terus terpahat dalam ingatan.

Namun, di sebalik kesedihan itu, Elfira reda dan percaya ibunya pergi dalam keadaan dikelilingi kasih sayang serta doa daripada insan-insan yang menyayanginya.

“Mama Pergi Dengan Cinta, Mama Pergi Dalam Doa”

Elfira Loy turut menyifatkan pemergian ibunya sebagai sebuah pengakhiran yang baik selepas arwah sempat diziarahi ramai ahli keluarga dan kenalan sepanjang berada di hospital.

“Mama pergi dengan cinta. Mama pergi dalam doa. Mama pergi setelah ramai datang menziarahi. You are loved, Ma. You always have been. You always will be.”

Luahan tersebut menggambarkan betapa besarnya kasih sayang Elfira terhadap insan yang bukan sahaja membesarkannya, tetapi turut memainkan begitu banyak peranan penting sepanjang perjalanan hidup dan kerjayanya.

Mengakhiri luahan tersebut, Elfira Loy berjanji untuk meneruskan kehidupan berpegang kepada segala kasih sayang, doa dan pegangan kepada Allah SWT yang telah diajarkan oleh ibunya selama ini.

“Satu-Satunya Orang Yang Paling Faham Kakak…” Elfira Loy Berduka Kehilangan Ibu Tercinta

“Kakak akan terus hidup dengan cinta yang Mama ajarkan, dengan doa yang Mama tinggalkan, dan dengan Allah yang Mama cintai sepenuh hati. I love you, Ma.”

Perkongsian penuh emosi itu turut mendapat perhatian ramai, termasuk rakan-rakan selebriti yang tampil menyampaikan ucapan takziah kepada Elfira Loy dan keluarga atas pemergian ibu tercinta.

Ruangan komen turut dihujani dengan kata-kata semangat serta doa buat Elfira sekeluarga dalam menghadapi kehilangan insan yang cukup disayangi. Ramai turut mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan melalui detik sukar ini.

Salam takziah buat Elfira Loy dan seluruh keluarga atas kehilangan insan tersayang. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan segala urusan keluarga dipermudahkan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Jungkook BTS Derma 1 Bilion Won Kepada Hospital Kanak-Kanak, Prihatin Nasib Keluarga Berpendapatan Rendah

Penyanyi K-Pop terkenal, Jungkook BTS baru-baru ini meraih perhatian peminat selepas dilaporkan membuat sumbangan sebanyak 1 bilion Korea Won (kira-kira RM3.03 juta) kepada Seoul National University Children’s Hospital.

Memetik laporan media antarabangsa, Jungkook atau pemilik nama penuh Jeon Jungkook (29) difahamkan menyalurkan sumbangan tersebut bagi menyokong projek ‘Integrated Care Center’ yang dijalankan oleh hospital berkenaan.

Menurut laporan, sumbangan itu dijangka akan memberi manfaat kepada pesakit kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya dalam membantu mereka mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan tanpa terlalu terbeban dengan kos.

Jungkook BTS Derma 1 Bilion Won Kepada Hospital Kanak-Kanak, Prihatin Nasib Keluarga Berpendapatan Rendah Jungkook BTS Derma 1 Bilion Won Kepada Hospital Kanak-Kanak, Prihatin Nasib Keluarga Berpendapatan Rendah

Lebih menarik, ini bukan kali pertama anggota pelantun lagu ‘Seven’ dan ‘Standing Next To You’ itu menunjukkan keprihatinannya terhadap golongan memerlukan menerusi hospital tersebut. Pada April 2023, Jungkook turut menyumbangkan 1 bilion Korea Won, dengan tujuan membantu pesakit daripada keluarga berpendapatan rendah menampung perbelanjaan rawatan.

Dalam pada itu, melalui sumbangan terbaharu itu, jumlah keseluruhan sumbangan Jungkook kepada Seoul National University Children’s Hospital kini mencecah 2 bilion Korea Won, bersamaan kira-kira RM6.07 juta.

Sementara itu, sikap pemurah Jungkook sememangnya mencuri perhatian memandangkan sumbangan tersebut dilakukan ketika dirinya bersama anggota BTS lain sedang menjalani jadual padat menerusi konsert jelajah dunia ‘ARIRANG’.

Jungkook BTS Derma 1 Bilion Won Kepada Hospital Kanak-Kanak, Prihatin Nasib Keluarga Berpendapatan Rendah Jungkook BTS Derma 1 Bilion Won Kepada Hospital Kanak-Kanak, Prihatin Nasib Keluarga Berpendapatan Rendah

Dalam perkembangan lain, BTS sebelum ini telah menyelesaikan rangkaian persembahan di Amerika Utara yang melibatkan 31 pertunjukan dengan kehadiran hampir dua juta peminat secara keseluruhan, sekaligus membuktikan sambutan luar biasa terhadap jelajah dunia mereka.

BACA: Dilamar Peminat, Jungkook BTS Akui Belum Ada Perancangan Untuk Berkahwin

Selepas menamatkan jelajah Amerika Utara, BTS kini bersiap sedia untuk meneruskan konsert jelajah ‘ARIRANG’ ke Amerika Selatan yang dijadualkan bermula pada Oktober ini. Dalam kesibukan memenuhi komitmen sebagai artis bertaraf global, tindakan Jungkook menggunakan pengaruh dan rezekinya untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan menjadi contoh bahawa kejayaan juga boleh dikongsi dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Atlet HYROX Beijing Tetap Berlumba Sampai Tamat Walaupun ‘Tercirit’, Orang Ramai Persoal Isu Kebersihan

Baru-baru ini, seorang peserta HYROX Beijing mencetus kontroversi apabila dipercayai mengalami masalah tidak dapat mengawal masalah membuang najis ketika sedang menyertai perlumbaan, namun tetap meneruskan cabaran sehingga ke garisan penamat.

Menerusi beberapa perkongsian yang tular di media sosial, insiden tersebut telah dirakam ketika atlet wanita berkenaan meneruskan beberapa rutin kecergasan termasuk ‘burpee broad jumps’, meskipun kesan najis dilaporkan kelihatan pada bahagian kakinya serta beberapa kawasan di laluan perlumbaan.

“Sesetengah peserta memuji tindakan atlet berkenaan kerana terus bertahan dan menamatkan perlumbaan yang mencabar dari segi fizikal, namun ada juga yang mempersoalkan keputusannya untuk meneruskan pertandingan,” tulis segelintir pengguna di media sosial yang meluahkan komen hampir sama.

Atlet HYROX Beijing Tetap Berlumba Sampai Tamat Walaupun 'Tercirit', Orang Ramai Persoal Isu Kebersihan
Joanna Wietrzyk yang mencuri perhatian di HYROX Beijing selepas ‘tercirit’ semasa acara berkenaan.
Atlet HYROX Beijing Tetap Berlumba Sampai Tamat Walaupun 'Tercirit', Orang Ramai Persoal Isu Kebersihan
Antara reaksi dan komen pengguna di media sosial

Atlet HYROX Beijing Tetap Berlumba Sampai Tamat Walaupun 'Tercirit', Orang Ramai Persoal Isu Kebersihan

“Peserta yang tidak sihat sepatutnya menarik diri daripada pertandingan dan bukannya meneruskan perlumbaan sehingga berpotensi menjejaskan kebersihan kawasan serta peralatan yang turut digunakan oleh peserta lain,” kata seorang lagi pengguna media sosial.

Memetik laporan HK01, atlet yang terlibat dikenal pasti sebagai Joanna Wietrzyk, seorang atlet elit dari Australia yang bertanding dalam kategori ‘Pro Women’ pada acara HYROX Beijing. Lebih mencuri perhatian, Joanna dilaporkan berjaya muncul sebagai pemenang bagi perlumbaan tersebut pada hari berkenaan.

Kejadian itu kemudiannya menimbulkan persoalan dalam kalangan peserta dan orang ramai mengenai tahap kebersihan serta kemungkinan pencemaran pada trek, tikar sled dan peralatan lain yang dikongsi oleh peserta sepanjang pertandingan.

Atlet HYROX Beijing Tetap Berlumba Sampai Tamat Walaupun 'Tercirit', Orang Ramai Persoal Isu Kebersihan Atlet HYROX Beijing Tetap Berlumba Sampai Tamat Walaupun 'Tercirit', Orang Ramai Persoal Isu Kebersihan

Atlet HYROX Beijing Tetap Berlumba Sampai Tamat Walaupun 'Tercirit', Orang Ramai Persoal Isu Kebersihan
Kenyataan yang dikeluarkan oleh HYROX mengenai kontroversi berkenaan

Susulan insiden berkenaan, Hyrox China memaklumkan bahawa jawatankuasa penganjur segera menutup dan mengasingkan kawasan serta laluan perlumbaan yang terjejas sebelum kerja-kerja pembersihan dan nyahkuman dilakukan secara menyeluruh sehingga kesemua perlumbaan pada hari tersebut selesai.

BACA: “Ini Antara Keputusan Terbaik…” Dr Say Shazril & Isteri Cipta Rekod Pasangan Terpantas HYROX Malaysia Di Jakarta

Pada masa yang sama, pihak penganjur turut mengeluarkan peralatan yang terjejas dari kawasan yang terlibat dan melupuskan sisa mengikut peraturan pengurusan sisa tempatan. Karpet yang digunakan pula akan digantikan selepas acara, diikuti proses pembersihan serta nyahkuman secara menyeluruh bagi memastikan kawasan pertandingan kekal selamat dan bersih untuk semua peserta.

Sumber: Threads Astoria_ZH

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Selangor Umum Cuti Peristiwa Pada 25 Oktober Sempena 25 Tahun Pemerintahan Sultan Sharafuddin

0

Rakyat Selangor bakal menikmati Hari Kelepasan Am Gantian pada Isnin, 26 Oktober 2026 susulan pengumuman cuti peristiwa Selangor sempena sambutan Jubli Perak Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia susulan pengumuman 25 Oktober 2026 sebagai Hari Kelepasan Am (Cuti Peristiwa) bagi seluruh Negeri Selangor sempena genap 25 tahun pemerintahan baginda.

Memandangkan 25 Oktober jatuh pada hari Ahad, hari berikutnya iaitu Isnin, 26 Oktober ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dalam sidang media di SUK.

Menurutnya, pengumuman cuti peristiwa Selangor berkenaan dibuat bagi membolehkan rakyat bersama-sama menyemarakkan sambutan bersejarah itu.

“Kerajaan negeri Selangor mengumumkan cuti peristiwa ini bagi menyemarakkan lagi keraian bersejarah ini bersama rakyat.

“Sebanyak 20 program dan majlis rasmi dijadualkan berlangsung bermula 28 September hingga 1 November 2026 sebagai tanda taat setia, penghormatan dan rasa kesyukuran seluruh pentadbiran serta rakyat jelata di bawah naungan pemerintahan baginda,” katanya.

Selangor Umum Cuti Peristiwa Pada 25 Oktober Sempena 25 Tahun Pemerintahan Sultan Sharafuddin
20 Program Sempena Jubli Perak Sultan Selangor

Menurut Ahmad Fadzli, sebanyak 20 program dan majlis rasmi telah disusun sepanjang tempoh sambutan Jubli Perak berkenaan.

Kesemua program itu merangkumi pelbagai aspek termasuk kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur serta sukan.

“Semua program yang disusun ini sudah dipersembahkan kepada Tuanku merangkumi dimensi kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur serta sukan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri akan memastikan keseluruhan sambutan dilaksanakan secara sederhana dan berhemah.

Ahmad Fadzli berkata, perkara tersebut selaras dengan titah Sultan Selangor yang mahu sambutan berkenaan berlangsung tanpa sebarang pembaziran.

“Bagi menzahirkan prinsip tadbir urus berhemah, kerajaan negeri menjunjung penuh titah Sultan Selangor agar keseluruhan sambutan ini dilaksanakan secara sederhana, berhemah dan berimpak tinggi tanpa sebarang pembaziran,” katanya.

Cuti Peristiwa Selangor, Acara Kemuncak Berlangsung 25 Oktober

Selangor Umum Cuti Peristiwa Pada 25 Oktober Sempena 25 Tahun Pemerintahan Sultan Sharafuddin

Acara kemuncak sambutan dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober 2026, bersempena genap 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tarikh berkenaan turut menjadi tarikh cuti peristiwa Selangor yang diumumkan kerajaan negeri sempena sambutan Jubli Perak tersebut.

Menurut Ahmad Fadzli, acara tersebut melibatkan tiga istiadat utama termasuk Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama berserta 21 das tembakan.

Turut diadakan ialah program kerohanian menerusi Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat serta Multaqa dan Forum Perdana Ehwal Islam.

Selain itu, program Warisan & Dokumentasi Sejarah akan membabitkan Majlis Pelancaran Sampul Surat dan Setem Khas, Duit Syiling Peringatan serta pelancaran buku Menjulang Takhta.

Sambutan Berakhir 1 November

Rangkaian sambutan Jubli Perak Sultan Selangor yang bermula pada 28 September itu akan melabuhkan tirainya pada 1 November 2026.

Majlis penutup akan berlangsung menerusi Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor.

Ia turut melibatkan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.

Sambutan Jubli Perak berkenaan diadakan bersempena 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah, dengan pelbagai program dijadualkan berlangsung bersama rakyat sepanjang tempoh lebih sebulan.

Pengumuman cuti peristiwa Selangor pada 25 Oktober dan Hari Kelepasan Am Gantian pada 26 Oktober pula memberi ruang kepada rakyat negeri itu untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah pemerintahan Sultan Sharafuddin.

Sumber : Berita Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Amyra Rosli Selamat Lahirkan Cahaya Mata Ketiga, Amar Baharin Mohon Doa Buat Si Kecil. Tahniah!

Pelakon dan pengacara, Amyra Rosli selamat melahirkan cahaya mata lelaki di sebuah hospital, semalam.

Berita gembira itu dikongsikan suaminya yang juga pelakon, Amar Baharin menerusi satu hantaran di Instagram.

Menurut Amar, keadaan isterinya dan bayi mereka kini baik dan kedua-duanya berada dalam keadaan sihat selepas proses kelahiran tersebut.

Amyra Rosli Selamat Lahirkan Cahaya Mata Ketiga, Amar Baharin Mohon Doa Buat Si Kecil. Tahniah!

“Baby Sihat, Ibu Pun Sihat”

Menerusi perkongsian itu, Amar meluahkan rasa syukur apabila Amyra selamat melahirkan cahaya mata ketiga mereka.

“Alhamdulillah. Dengan izin Allah, isteri saya telah selamat melahirkan.

“‘Baby’ sihat, ibu pun sihat dan kini sedang berehat dan melalui proses ‘recovery’,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Amar turut berkongsi sekeping foto yang memperlihatkan belon berwarna biru berserta tulisan selamat datang bagi menyambut kehadiran ahli baharu dalam keluarga mereka.

Amyra Rosli Selamat Lahirkan Cahaya Mata Ketiga, Amar Baharin Mohon Doa Buat Si Kecil. Tahniah!

Titip Doa Buat Anak Ketiga

Tidak ketinggalan, Amar turut merakamkan penghargaan buat ahli keluarga, sahabat handai dan para peminat yang tidak putus-putus menitipkan doa buat mereka sekeluarga.

“Terima kasih buat keluarga, sahabat dan semua yang mendoakan kami. Semoga setiap doa yang baik Allah balas dengan kebaikan juga buat kalian.

“Ya Allah, berkatilah anak kami ini. Peliharalah dia, kurniakan kepadanya kesihatan, iman dan akhlak yang baik.

“Jadikanlah dia anak yang soleh, penyejuk hati buat ibu dan ayahnya, serta sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan-Mu amin,” tulisnya lagi.

Amyra Rosli Turut Kongsi Rasa Syukur

Sementara itu, Amyra menerusi hantaran di Instagramnya turut meluahkan rasa syukur selepas cahaya mata ketiga mereka akhirnya selamat dilahirkan.

“Alhamdulillahi Rabbil ’Alamin. Our little amanah is finally here.

May Allah always protect him, guide him, and surround his life with love and barakah.

“Thank you so much for all the beautiful prayers, love and congratulations for our little family. I may not be able to reply to everyone, but please know that I’ve read and truly appreciate every single message.

“May Allah return all your beautiful prayers and always keep you and your loved ones under His protection,” coretnya.

Amyra Rosli Selamat Lahirkan Cahaya Mata Ketiga, Amar Baharin Mohon Doa Buat Si Kecil. Tahniah!

Kini Bergelar Ibu Bapa Kepada Tiga Cahaya Mata

Untuk rekod, Amar dan Amyra mendirikan rumah tangga pada 11 November 2016.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini sebelum ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi, 9, dan Ayra Aryssa, 5.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Bermula Dengan Satu Posting Di Threads, Cik B Tunaikan Impian Peminat Untuk Bertemu

0

Kadang-kadang satu perkongsian ringkas di media sosial mampu membawa kepada sesuatu yang cukup bermakna.

Baru-baru ini, tindakan anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Vida iaitu Cik B mencuri perhatian selepas dia meluangkan masa untuk bertemu dengan seorang peminat bernama Nur Sakinah Lutfiyyah.

Pertemuan tersebut bermula selepas seorang petugas kesihatan berkongsi kisah Nur Sakinah menerusi Threads dan meminta bantuan orang ramai untuk membuatkan hantaran berkenaan sampai kepada pengetahuan Cik B.

Menurutnya, Nur Sakinah sangat menyimpan hasrat untuk bertemu dengan personaliti media sosial tersebut. Malah, persamaan wajah antara mereka turut membuatkan perkongsian itu mencuit hati ramai.

“Korang boleh tak tolong like post ni banyak-banyak sampai Cik B nampak? Alkisahnya patient aku ni nak sangat jumpa dengan Cik B. Dah lah muka sama,” tulisnya.

Bermula Dengan Satu Posting Di Threads, Cik B Tunaikan Impian Peminat Untuk Bertemu

Tidak mengambil masa lama, permintaan tersebut akhirnya mendapat perhatian Cik B yang meninggalkan respons ringkas meminta individu berkenaan menghubunginya menerusi direct message (DM).

Respons itu sekali gus membuka jalan kepada pertemuan yang pada awalnya hanya bermula daripada sebuah hantaran di Threads. Daripada permintaan ringkas untuk mendapatkan perhatian di media sosial, hasrat Nur Sakinah akhirnya sampai kepada individu yang ingin ditemuinya.

Cik B Betul-Betul Datang Jumpa

Apa yang lebih menyentuh hati, Cik B bukan sekadar memberikan respons di media sosial.

Selang beberapa hari, dia berkongsi pula momen pertemuannya bersama Nur Sakinah menerusi akaun Threads miliknya, sekali gus menunjukkan hasrat peminatnya itu akhirnya menjadi kenyataan.

Pertemuan tersebut turut mendapat perhatian ahli keluarga Nur Sakinah. Seorang pengguna Threads dikenali sebagai Syafiq Suhaimi tampil mengucapkan terima kasih kepada Cik B atas kesudian meluangkan masa dan memberikan kasih sayang kepada anak buahnya.

Bermula Dengan Satu Posting Di Threads, Cik B Tunaikan Impian Peminat Untuk Bertemu

Bagi keluarga Nur Sakinah, pertemuan berkenaan tentunya membawa makna yang lebih besar apabila mengetahui perjalanan dan ujian kesihatan yang pernah dilaluinya sejak kecil.

Kisah Nur Sakinah Yang Menyentuh Hati

Syafiq turut berkongsi bahawa Nur Sakinah pernah berdepan ujian kesihatan sejak kecil apabila mempunyai ketumbuhan di bahagian otak.

Selepas menjalani pembedahan, Nur Sakinah mengalami kelumpuhan pada bahagian kiri badan yang melibatkan tangan dan kakinya.

“Terima kasih Cik B atas kasih dan sayang pada anak buah saya.

“Untuk pengetahuan semua, nama dia Nur Sakinah Lutfiyyah. Masa kecil dia ada ketumbuhan dalam otak. Lepas operate dia lumpuh sebelah kiri kaki dan tangan.

“Saya minta semua doakan anak buah saya supaya sihat seperti sedia kala,” kongsinya.

Perkongsian tersebut membuatkan kisah di sebalik pertemuan itu menjadi lebih menyentuh hati. Bukan sahaja impian Nur Sakinah untuk bertemu personaliti yang diminatinya tercapai, malah keluarganya turut menghargai kesudian meluangkan masa untuk bertemu dengannya.

Bermula Dengan Satu Posting Di Threads, Cik B Tunaikan Impian Peminat Untuk Bertemu

Bermula Dengan Satu Posting Di Threads, Cik B Tunaikan Impian Peminat Untuk Bertemu

Apa yang bermula dengan satu posting dan harapan agar Cik B menyedarinya akhirnya bertukar menjadi sebuah pertemuan yang cukup bermakna buat Nur Sakinah.

Dalam masa sama, perkongsian Syafiq mengenai keadaan Nur Sakinah turut membuka ruang untuk orang ramai menitipkan doa buatnya. Di sebalik momen menggembirakan bertemu personaliti yang diminati, terselit juga harapan keluarga supaya keadaan kesihatannya terus bertambah baik.

Pertemuan yang tercetus daripada satu posting ringkas itu akhirnya bukan sahaja menunaikan satu impian, malah meninggalkan sebuah kisah yang cukup bermakna untuk Nur Sakinah dan keluarganya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Bertudung Tapi ‘Free Hair’ Dalam Gambar AI? Eyra Hazali Beri Peringatan Tentang Trend 80-an

0

Trend AI 80-an yang menghasilkan potret diri menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini semakin rancak membanjiri media sosial.

Daripada hairstyle ikonik, outfit retro sehinggalah latar belakang old-school, ramai pengguna teruja melihat bagaimana wajah mereka ‘dibawa kembali’ ke era tersebut menerusi hasil janaan AI yang kelihatan cukup realistik.

Namun, di sebalik keseronokan mengikuti trend berkenaan, pelakon Eyra Hazali tampil memberikan peringatan khususnya kepada wanita bertudung agar lebih berhati-hati sebelum berkongsi hasil gambar AI mereka kepada umum.

Eyra Hazali Ingatkan Soal Aurat Dalam Trend AI 80-an

Bertudung Tapi ‘Free Hair’ Dalam Gambar AI? Eyra Hazali Beri Peringatan Tentang Trend 80-an

Menerusi satu perkongsian di Threads, Eyra menegur situasi apabila terdapat wanita bertudung yang mengikuti trend AI 80-an tetapi hasil gambar berkenaan menampilkan mereka dalam keadaan tidak berhijab atau ‘free hair’.

Menurut Eyra, biarpun gambar tersebut hanyalah hasil suntingan atau janaan AI dan bukannya foto sebenar, soal aurat tetap perlu diberikan perhatian.

“Hi korang! Untuk girls yang join trend 80s tu, I just nak share satu gentle reminder untuk kita-kita yang bertudung ni.

“Walaupun gambar tu sekadar edit atau AI, aurat yang terpapar tu tetap dikira aurat kita,” tulisnya.

Dalam masa sama, Eyra turut mengingatkan pengikutnya mengenai risiko berkongsi gambar sebegitu secara terbuka di media sosial.

Hal ini kerana sebaik sahaja sesuatu gambar dimuat naik kepada umum, pengguna tidak lagi mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap bagaimana gambar tersebut boleh disimpan atau digunakan oleh pihak lain.

“Tambah pula bila kita post kat public, risiko gambar tu kena screenshot atau disalah guna oleh orang lain sangat tinggi. I sayang korang, so jangan post ya,” pesannya.

Netizen Turut Bersetuju

 

Peringatan yang diberikan Eyra itu turut mendapat perhatian warganet apabila beberapa pengguna media sosial bersetuju bahawa soal aurat tidak seharusnya dipandang ringan biarpun gambar tersebut sekadar hasil janaan AI.

Ada yang berpandangan bahawa meskipun imej berkenaan bukanlah gambaran sebenar rambut atau tubuh seseorang, hasil AI yang realistik masih boleh memberikan gambaran kepada individu lain mengenai penampilan mereka tanpa hijab.

“Yes, so true! Some people may think, alaaaa AI je pun, bukannya real. But at the end of the day, when people see it, they can still imagine your hair, your body, your AURAT,” komen seorang pengguna.

Seorang lagi warganet turut bersetuju dengan pesanan Eyra dan mengingatkan wanita, khususnya mereka yang sudah bertudung, supaya lebih berhati-hati dengan gambar yang dikongsikan.

“Betul. Couldn’t agree more. Dear women jangan dikeluarkan gambar tidak tutup aurat ya. Lebih-lebih lagi yang sudah bertudung,” tulisnya.

Bertudung Tapi ‘Free Hair’ Dalam Gambar AI? Eyra Hazali Beri Peringatan Tentang Trend 80-an

Trend AI 80-an Seronok, Tapi Fikir Sebelum ‘Post’

Perkongsian Eyra itu secara tidak langsung membuka satu lagi sisi perbincangan mengenai trend AI 80-an yang semakin popular dalam kalangan pengguna media sosial.

Dengan teknologi AI yang semakin canggih, seseorang kini boleh mengubah hairstyle, pakaian, bentuk tubuh dan keseluruhan aesthetic hanya menerusi beberapa arahan atau prompt.

Malah, hasilnya ada kalanya kelihatan begitu realistik sehingga sukar untuk dibezakan dengan foto sebenar.

Jadi, tidak salah untuk mencuba trend yang sedang viral. Namun seperti yang diingatkan Eyra, pengguna khususnya wanita bertudung mungkin perlu lebih peka terhadap hasil akhir sesuatu imej sebelum berkongsinya secara public.

Kadang-kadang kita terlalu fokus nak tengok versi ‘80s’ diri sendiri sampai terlupa satu perkara penting AI mungkin sekadar menghasilkan gambar, tetapi kitalah yang menentukan siapa boleh melihatnya selepas butang ‘post’ ditekan.

Sumber : Threads Eyra Hazali

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

 

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026: 5 Atlet Malaysia Muda Yang Gen-Z Wajib Tahu, Don’t Miss Out!

Musim kejohanan sukan bakal bermula tidak lama lagi dengan kehadiran Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bakal berlangsung bermula 19 September hingga 4 Oktober 2026,

Tahun ini, kontinjen Malaysia cemerlang dengan menghantarkan delegasi atlet yang cukup ramai termasuklah penyertaan 110 atlet berusia bawah 21 tahun! Ini sekaligus memperlihatkan keazaman Malaysia sendiri untuk melahirkan kelompok atlet generari baharu yang mampu melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

Seiring dengan semangat rakyat Malaysia yang pastinya bakal melaungkan sorakan paling gemuruh untuk atlet negara daripada skrin televisyen dan gajet masing-masing, Astro tampil ke hadapan untuk menyediakan liputan paling menyeluruh buat seluruh rakyat Malaysia terutamanya peminat sukan tanah air.

BACA: Pecah Kemarau 17 Tahun, Sharul Aimy Raih Pingat Gangsa Sukan Asia Ke-19

Selain menerusi dua saluran yang dedikasikan oleh Astro iaitu Astro Arena dan Stadium Astro, lima lagi saluran tambahan juga akan disediakan bagi menampung siaran aksi atlet negara di Jepun nanti.

Persoalannya, siapakah di antara 5 orang atlet muda Malaysia yang akan membawa cabaran negara ke sana kelak.

 

Tan Cheong Min – Wushu

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026: 5 Atlet Malaysia Muda Yang Gen-Z Wajib Tahu, Don’t Miss Out!

Bukan calang-calang atlet, Tan Cheong Min yang juga merupakan juara dunia wushu akan berjuang habis-habisan demi mendapatkan kedudukan di podium. Cheong Min, 28 pada edisi 2023 yang lalu pernah merangkul pingat perak dalam acara Nanquan-Nandao wanita.

Kali ini, tanggungjawab yang digalasnya tentulah lebih berat memandangkan prestasi beliau kini berada di tahap optimum setelah pasukan wushu negara menjalani dua fasa latihan intensif di China. Bukan itu sahaja, Cheong Min juga menjadi pilihan utama Kementerian Belia dan Sukan untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang sewaktu acara pembukaan Sukan Asia Aichi-Nagoya.

BACA: Setelah 13 Tahun Kemarau, Air Mata Tan Cheong Min Iringi Kilauan Pingat Perak Wushu Sukan Asia 2023

 

Skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB)

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026: 5 Atlet Malaysia Muda Yang Gen-Z Wajib Tahu, Don’t Miss Out!

Selepas melayakkan diri ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada Jun lepas, skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia yang diwakili oleh Muhammad Razif Sazali, Muhammad Nazhan Mohd Nor, Ammar Asyraf Abd Rahman, Ealtond Rayner, Muhammad Aqif Haiqal Azman dan Mohammad Zul Hisham Mohd Nor kini bersedia untuk memberikan cabaran paling sengit di Jepun nanti.

Secara keseluruhannya untuk penyertaan kali kedua Malaysia dalam kategori e-sukan di peringkat Sukan Asia, kontinjen negara sah menyertai sembilan daripada 11 acara yang dipertandingkan dan lebih 95 peratus daripada wakil negara terdiri daripada muka baharu dek perubahan terlalu pantas yang berlaku sepanjang empat tahun lepas.

Sasaran mereka kali ini adalah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya lima pingat untuk negara dan mengharapkan kilauan emas untuk salah satu pingat tersebut.

 

Beregu Sepak Takraw

Satu demi satu kejayaan membanggakan yang disumbang oleh beregu sepak takraw lelaki Malaysia menjadi taruhan bagi mengharapkan sinar pingat di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. Selain menundukkan Thailand di acara akhir Sukan SEA 2025, Malaysia juga pernah mengalahkan seteru utama negara itu dalam acara regu berpasukan di Piala Asia 2026.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026: 5 Atlet Malaysia Muda Yang Gen-Z Wajib Tahu, Don’t Miss Out!

Malaysia menampilkan 12 orang atlet bagi menyahut cabaran negara dan mereka terdiri daripada:

Tekong: Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Zulkifli Razak, Muhammad Haziq Khairul Nizam dan Zarif Marican Ibrahhim Marican.

Apit Kanan: Mohamad Azlan Alias, Muhammad Afifuddin Mohd, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Hafizul Hayazi Adnan.

Apit Kiri: Aidil Aiman Azwawi, Farhan Adam, Amirul Zazwan Amir dan Zulefendi Sumari.

 

Sivasangari – Skuasy

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026: 5 Atlet Malaysia Muda Yang Gen-Z Wajib Tahu, Don’t Miss Out!

Ratu squasy negara, S. Sivasangari menyimpan hasrat yang lebih besar daripada sekadar menaiki podium di Sukan Asia Aichi-Nagoya, September ini. Atlet berusia 27 tahun itu juga sedang merebut peluang untuk menjadi pemain squasy wanita pertama dunia untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Sivasangari hadir sebagai juara bertahan ke Sukan Asia edisi ini setelah memenangi pingat emas acara perseorangan wanita di Hangzhou, China tiga tahun lalu. Sedar bahawa tidak mudah untuk seseorang atlet mempertahankan pingat emas berkenaan., Sivasangari tetap positif dengan misi yang ditetapkan itu memandangkan pemenang pingat emas kali ini akan secara automatiknya mendapat tiket ke Los Angeles.

BACA: Anak Jati Kedah & Bekas Pelajar SMK Sultanah Asma Raih Emas Sukan Asia Ke-19! Sivasangari Terus Cemerlang

 

Nur Shazrin Mohamad Latif – Pelayaran

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026: 5 Atlet Malaysia Muda Yang Gen-Z Wajib Tahu, Don’t Miss Out!

Nama Nur Shazrin masih segar di ingatan peminat sukan negara setelah atlet muda itu berjaya merangkul pingat emas pertama Malaysia di Sukan Asia Hangzhou 2023 menerusi sukan pelayaran dalam kateori ILCA 6 wanita.

Biarpun baru selesai menjalani rawatan pemulihan kecederaan ligamen dan saraf pada tangannya, atlet berusia 28 tahun dari Pasir Gudang, Johor itu tetap menjadi salah seorang atlet harapan negara bagi mengulangi kejayaan tiga tahun lepas. Berbekalkan pengalaman meluas selain anugerah Olahragawati Pahang 2023/2024 yang disampaikan kepadanya oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; tiada yang mustahil untuk atlet pelayaran negara itu.

BACA: Diduga Ombak Sukar Bukan Penghalang Nur Shazrin Hadiahkan Emas Pertama Malaysia Di Sukan Asia 2023

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026: 5 Atlet Malaysia Muda Yang Gen-Z Wajib Tahu, Don’t Miss Out!

Begitulah sedikit info menarik mengenai lima orang atlet muda di bawah usia 30 tahun yang mengharapkan sokongan paling gemuruh oleh rakyat Malaysia sepanjang berlangsungnya temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Bagi memastikan anda tidak terlepas peluang untuk menyaksikan aksi mereka nanti, kesemua pelanggan Astro akan dapat menikmati siaran Sukan Asia Aichi-Nagoya secara PERCUMA di ketujuh-tujuh saluran sukan Astro.

Ini merupakan satu bentuk ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia sempena sambutan bulan kemerdekaan, Hari Malaysia dan ulang tahun Astro ke-30.

Laungkan semangat kita. Strim acara Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 LIVE di Astro X3 dan sooka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

 

Aliff Aziz Pilih Fokus Watak Sultan Mansur Shah, Enggan Layan Khabar Angin Dengan Melinda Dadew

Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz memilih untuk tidak melayan spekulasi mengenai hubungan istimewanya bersama pelakon gandingannya, Melinda Dadew yang kini hangat diperkatakan di media sosial.

Aliff, 35, berkata tumpuannya ketika ini lebih terarah kepada tanggungjawab menghidupkan watak Sultan Mansur Shah dalam pementasan teater muzikal Mansur & Liu arahan Datuk M. Nasir.

Aliff Aziz Pilih Fokus Watak Sultan Mansur Shah, Enggan Layan Khabar Angin Dengan Melinda Dadew

Pilih Fokus Pada Watak

Menurut Aliff, jadual sebagai pelakon teater yang padat sejak beberapa minggu kebelakangan ini membuatkan dirinya tidak begitu mengambil perhatian terhadap perkara yang berlaku di media sosial.

“Sebenarnya sejak beberapa minggu ini, saya tidak fokus pun apa yang berlaku dalam media sosial kerana tugas dan jadual kami sebagai pelakon teater Mansur & Liu sangat padat.

“Jadi, lebih baik saya luangkan masa untuk fokus bagaimana saya mahu memperbaiki lagi watak saya sebagai Sultan Mansur,” katanya.

Sedar Ada Pandangan Negatif

Dalam pada itu, Aliff turut mengakui bahawa bukan mudah untuk mengawal setiap pandangan atau komen negatif yang dilemparkan terhadap dirinya.

Bagaimanapun, penyanyi tersebut memilih untuk tidak membiarkan perkara berkenaan mengganggu fokusnya terhadap tanggungjawab yang sedang digalas.

“Tidak mengapa kalau orang nak komen macam-macam mengenai saya sebab pada akhirnya, memang akan wujud pihak yang suka atau tidak.

“Fokus utama ketika ini adalah kerja untuk teater yang bermula hari ini sehingga 20 September depan.

“Ini kerja dan tanggungjawab yang sangat besar serta berat untuk saya galas. Selebihnya, saya tidak boleh nak kata apa-apa (mengenai dakwaan orang ramai),” jelasnya.

Aliff Aziz Pilih Fokus Watak Sultan Mansur Shah, Enggan Layan Khabar Angin Dengan Melinda Dadew

Gandingan Aliff & Melinda Di Pentas Teater

Untuk info, Aliff dan Melinda masing-masing memainkan watak utama sebagai Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu menerusi Mansur & Liu.

Pementasan tersebut diinspirasikan daripada karya agung Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu dan kini berlangsung di Istana Budaya.

Menariknya, Mansur & Liu turut menjadi antara pengalaman pertama buat Aliff dan Melinda beraksi di pentas teater.

Selain mereka berdua, pementasan ini turut menampilkan barisan pelakon lain termasuk Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Arena Wan dan Ruzana Ibrahim.

Mansur & Liu dijadualkan berlangsung sehingga 20 September ini di Istana Budaya.

Aliff Aziz Pilih Fokus Watak Sultan Mansur Shah, Enggan Layan Khabar Angin Dengan Melinda Dadew

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sultan Selangor Sempurnakan Pelancaran Buku Karya Dr. Malik Yatam, Tekankan Keinsafan & Ilmu Sebagai Jalan Perubahan

Terbaru, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan keyakinan bahawa seseorang yang pernah tersilap langkah masih mempunyai peluang untuk mengubah kehidupan menerusi keinsafan, ilmu dan kesungguhan. Titah itu disampaikan ketika baginda berkenan menyempurnakan pelancaran buku berjudul “Ph.D dari Penjara” karya Dr. Malik Yatam di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam.

Menerusi sebuah perkongsian di Facebook rasmi Selangor Royal pada Khamis, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa sukacita melihat perkembangan positif yang ditunjukkan Dr. Malik selepas diberikan pengampunan dan dibebaskan daripada hukuman penjara. Kisah beliau dilihat sebagai bukti bahawa peluang kedua mampu membuka ruang kepada seseorang untuk membina semula kehidupan dengan lebih baik.

“Keinsafan, ilmu dan kesungguhan mampu mengubah kehidupan seseorang yang pernah tersilap langkah. Beta berharap buku ini bukan sekadar menjadi catatan pengalaman peribadi, tetapi turut menjadi teladan dan sumber inspirasi kepada semua, khususnya mereka yang sedang berusaha untuk bangkit serta membina semula kehidupan,” titah baginda.

Sultan Selangor Sempurnakan Pelancaran Buku Karya Dr. Malik Yatam, Tekankan Keinsafan & Ilmu Sebagai Jalan Perubahan Sultan Selangor Sempurnakan Pelancaran Buku Karya Dr. Malik Yatam, Tekankan Keinsafan & Ilmu Sebagai Jalan Perubahan Sultan Selangor Sempurnakan Pelancaran Buku Karya Dr. Malik Yatam, Tekankan Keinsafan & Ilmu Sebagai Jalan Perubahan

“Pesan Beta, jagalah pekerti, peliharalah nama baik diri dan keluarga serta terus berusaha memajukan diri. Sentiasalah merendah diri dan berpijak di bumi yang nyata,” titah Sultan Selangor.

Difahamkan, perjalanan hidup Dr. Malik sememangnya bukan sesuatu yang mudah apabila beliau mula menjalani hukuman pada usia 14 tahun pada 2001 dan menghabiskan 24 tahun di penjara sebelum dibebaskan pada 11 Disember 2024.

BACA: Banduan Pertama Malaysia Berjaya Raih PhD Dari Dalam Penjara, Dr. Malik Yatam Buktikan Ilmu Tiada Tembok

Bagaimanapun, tempoh tersebut tidak menghalang beliau daripada mengejar pendidikan sehingga berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada Open University Malaysia (OUM).

Lebih membanggakan, pencapaian berkenaan turut melakar sejarah apabila Dr. Malik menerima pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records’ sebagai “Banduan Pertama Malaysia Meraih Ijazah PhD dari Penjara”. OUM pula menerima pengiktirafan sebagai universiti pertama yang melahirkan graduan PhD dari penjara.

Sultan Selangor Sempurnakan Pelancaran Buku Karya Dr. Malik Yatam, Tekankan Keinsafan & Ilmu Sebagai Jalan Perubahan Sultan Selangor Sempurnakan Pelancaran Buku Karya Dr. Malik Yatam, Tekankan Keinsafan & Ilmu Sebagai Jalan Perubahan

Selain itu, dalam titahnya, Sultan Sharafuddin turut menasihati Dr. Malik supaya kekal merendah diri serta berhati-hati dalam menentukan arah kehidupan selepas mendapat perhatian masyarakat. Baginda mahu pencapaian yang diraih digunakan untuk terus memartabatkan ilmu, menjaga keluarga dan memberi khidmat kepada masyarakat.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Dr. Malik pada Februari 2026, yang menjadi pertemuan pertama antara baginda dengan seorang bekas banduan yang menerima pengampunan sempena Hari Keputeraan baginda pada 2024. Pertemuan itu turut mendapat perhatian ramai apabila kisah perubahan hidup beliau menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.

Daripada seorang remaja yang tersilap langkah kepada individu yang berjaya menggenggam PhD ketika berada di sebalik tirai besi, kisah Dr. Malik menjadi peringatan bahawa masa lalu tidak semestinya menentukan masa depan seseorang. Sebaliknya, dengan ilmu, usaha dan kemahuan untuk berubah, peluang kedua boleh menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang jauh lebih bermakna.

Sumber: Facebook Selangor Royal

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.