
Terbaru, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan keyakinan bahawa seseorang yang pernah tersilap langkah masih mempunyai peluang untuk mengubah kehidupan menerusi keinsafan, ilmu dan kesungguhan. Titah itu disampaikan ketika baginda berkenan menyempurnakan pelancaran buku berjudul “Ph.D dari Penjara” karya Dr. Malik Yatam di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook rasmi Selangor Royal pada Khamis, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa sukacita melihat perkembangan positif yang ditunjukkan Dr. Malik selepas diberikan pengampunan dan dibebaskan daripada hukuman penjara. Kisah beliau dilihat sebagai bukti bahawa peluang kedua mampu membuka ruang kepada seseorang untuk membina semula kehidupan dengan lebih baik.
“Keinsafan, ilmu dan kesungguhan mampu mengubah kehidupan seseorang yang pernah tersilap langkah. Beta berharap buku ini bukan sekadar menjadi catatan pengalaman peribadi, tetapi turut menjadi teladan dan sumber inspirasi kepada semua, khususnya mereka yang sedang berusaha untuk bangkit serta membina semula kehidupan,” titah baginda.

“Pesan Beta, jagalah pekerti, peliharalah nama baik diri dan keluarga serta terus berusaha memajukan diri. Sentiasalah merendah diri dan berpijak di bumi yang nyata,” titah Sultan Selangor.
Difahamkan, perjalanan hidup Dr. Malik sememangnya bukan sesuatu yang mudah apabila beliau mula menjalani hukuman pada usia 14 tahun pada 2001 dan menghabiskan 24 tahun di penjara sebelum dibebaskan pada 11 Disember 2024.
Bagaimanapun, tempoh tersebut tidak menghalang beliau daripada mengejar pendidikan sehingga berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada Open University Malaysia (OUM).
Lebih membanggakan, pencapaian berkenaan turut melakar sejarah apabila Dr. Malik menerima pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records’ sebagai “Banduan Pertama Malaysia Meraih Ijazah PhD dari Penjara”. OUM pula menerima pengiktirafan sebagai universiti pertama yang melahirkan graduan PhD dari penjara.

Selain itu, dalam titahnya, Sultan Sharafuddin turut menasihati Dr. Malik supaya kekal merendah diri serta berhati-hati dalam menentukan arah kehidupan selepas mendapat perhatian masyarakat. Baginda mahu pencapaian yang diraih digunakan untuk terus memartabatkan ilmu, menjaga keluarga dan memberi khidmat kepada masyarakat.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Dr. Malik pada Februari 2026, yang menjadi pertemuan pertama antara baginda dengan seorang bekas banduan yang menerima pengampunan sempena Hari Keputeraan baginda pada 2024. Pertemuan itu turut mendapat perhatian ramai apabila kisah perubahan hidup beliau menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat.
Daripada seorang remaja yang tersilap langkah kepada individu yang berjaya menggenggam PhD ketika berada di sebalik tirai besi, kisah Dr. Malik menjadi peringatan bahawa masa lalu tidak semestinya menentukan masa depan seseorang. Sebaliknya, dengan ilmu, usaha dan kemahuan untuk berubah, peluang kedua boleh menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang jauh lebih bermakna.
Sumber: Facebook Selangor Royal
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!







