Rakyat Selangor bakal menikmati Hari Kelepasan Am Gantian pada Isnin, 26 Oktober 2026 susulan pengumuman cuti peristiwa Selangor sempena sambutan Jubli Perak Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ia susulan pengumuman 25 Oktober 2026 sebagai Hari Kelepasan Am (Cuti Peristiwa) bagi seluruh Negeri Selangor sempena genap 25 tahun pemerintahan baginda.
Memandangkan 25 Oktober jatuh pada hari Ahad, hari berikutnya iaitu Isnin, 26 Oktober ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am Gantian.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dalam sidang media di SUK.
Menurutnya, pengumuman cuti peristiwa Selangor berkenaan dibuat bagi membolehkan rakyat bersama-sama menyemarakkan sambutan bersejarah itu.
“Kerajaan negeri Selangor mengumumkan cuti peristiwa ini bagi menyemarakkan lagi keraian bersejarah ini bersama rakyat.
“Sebanyak 20 program dan majlis rasmi dijadualkan berlangsung bermula 28 September hingga 1 November 2026 sebagai tanda taat setia, penghormatan dan rasa kesyukuran seluruh pentadbiran serta rakyat jelata di bawah naungan pemerintahan baginda,” katanya.
20 Program Sempena Jubli Perak Sultan Selangor
Menurut Ahmad Fadzli, sebanyak 20 program dan majlis rasmi telah disusun sepanjang tempoh sambutan Jubli Perak berkenaan.
Kesemua program itu merangkumi pelbagai aspek termasuk kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur serta sukan.
Ads
“Semua program yang disusun ini sudah dipersembahkan kepada Tuanku merangkumi dimensi kemasyarakatan, keagamaan, kelestarian alam sekitar, pembangunan infrastruktur serta sukan,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri akan memastikan keseluruhan sambutan dilaksanakan secara sederhana dan berhemah.
Ahmad Fadzli berkata, perkara tersebut selaras dengan titah Sultan Selangor yang mahu sambutan berkenaan berlangsung tanpa sebarang pembaziran.
“Bagi menzahirkan prinsip tadbir urus berhemah, kerajaan negeri menjunjung penuh titah Sultan Selangor agar keseluruhan sambutan ini dilaksanakan secara sederhana, berhemah dan berimpak tinggi tanpa sebarang pembaziran,” katanya.
Cuti Peristiwa Selangor, Acara Kemuncak Berlangsung 25 Oktober
Acara kemuncak sambutan dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober 2026, bersempena genap 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ads
Tarikh berkenaan turut menjadi tarikh cuti peristiwa Selangor yang diumumkan kerajaan negeri sempena sambutan Jubli Perak tersebut.
Menurut Ahmad Fadzli, acara tersebut melibatkan tiga istiadat utama termasuk Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama berserta 21 das tembakan.
Turut diadakan ialah program kerohanian menerusi Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat serta Multaqa dan Forum Perdana Ehwal Islam.
Selain itu, program Warisan & Dokumentasi Sejarah akan membabitkan Majlis Pelancaran Sampul Surat dan Setem Khas, Duit Syiling Peringatan serta pelancaran buku Menjulang Takhta.
Sambutan Berakhir 1 November
Rangkaian sambutan Jubli Perak Sultan Selangor yang bermula pada 28 September itu akan melabuhkan tirainya pada 1 November 2026.
Ads
Majlis penutup akan berlangsung menerusi Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor.
Ia turut melibatkan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.
Sambutan Jubli Perak berkenaan diadakan bersempena 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah, dengan pelbagai program dijadualkan berlangsung bersama rakyat sepanjang tempoh lebih sebulan.
Pengumuman cuti peristiwa Selangor pada 25 Oktober dan Hari Kelepasan Am Gantian pada 26 Oktober pula memberi ruang kepada rakyat negeri itu untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah pemerintahan Sultan Sharafuddin.
Sumber : Berita Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Misteri kematian Zara Qairina: Pendedahan pakar tulisan tangan dan saksi kanak-kanak terus menarik perhatian umum apabila prosiding inkues di Mahkamah Kota Kinabalu mendedahkan fakta baharu yang menyentuh hati dan menimbulkan persoalan besar tentang apa sebenarnya yang berlaku sebelum tragedi menimpa remaja berusia 13 tahun ini.
Pakar Tulisan Tangan Bebas Buat Analisis
Dalam prosiding terbaru, peguam keluarga, Shahlan Jufri, memaklumkan bahawa beberapa pakar tulisan tangan bebas telah dipanggil untuk menjalankan analisis ke atas bahan milik arwah. Bahan tersebut termasuk buku nota, diari dan dokumen peribadi Zara Qairina.
Seorang pakar dari Jabatan Kimia, Nurul Atiqah, mengesahkan tulisan yang diragui pada 21 bahan bukti menunjukkan persamaan dengan tulisan tangan arwah, berdasarkan buku teks dan latihan miliknya. Penemuan ini amat penting kerana ia memastikan sebarang analisis psikologi yang dijalankan berasaskan dokumen yang benar-benar sahih.
Saksi Kanak-Kanak Dedah Detik Sayu
Menurut Harian Metro, lebih menyentuh perasaan, prosiding ke-12 turut menyaksikan seorang saksi kanak-kanak kedua tampil memberi keterangan. Menurutnya, Zara Qairina pernah dipanggil oleh seorang pelajar senior dan selepas kejadian itu, arwah dilihat menangis di asrama.
Pendedahan ini menimbulkan tanda tanya tentang hubungan antara pelajar senior dan junior di sekolah berasrama, sekali gus mencetus kebimbangan mengenai tekanan sosial yang mungkin dialami arwah. Difahamkan, saksi tersebut akan menyambung keterangannya pada prosiding seterusnya.
Isyarat Kepada Remaja & Masyarakat
Kisah ini menjadi peringatan bahawa isu tekanan emosi, buli atau gangguan sosial dalam kalangan remaja bukan perkara kecil. Bagi remaja lain, keberanian untuk bersuara apabila berdepan situasi tidak selesa sangat penting, sama ada kepada guru, warden atau ibu bapa.
Dalam masa yang sama, ibu bapa dan tenaga pendidik perlu lebih peka terhadap perubahan sikap pelajar. Perubahan mendadak seperti murung, enggan bercakap, atau kerap menangis mungkin tanda mereka sedang menanggung tekanan.
Harapan Terhadap Inkues
Inkues ini diharapkan bukan sekadar memberi keadilan kepada arwah Zara Qairina dan keluarganya, tetapi juga menjadi titik tolak untuk masyarakat lebih memberi perhatian kepada kesejahteraan mental pelajar di sekolah. Setiap remaja berhak menikmati suasana pembelajaran yang selamat, sihat dan bebas daripada sebarang bentuk tekanan.
Susulan kematian seorang pelajar tingkatan dua yang dikenali sebagai Muhammad Idlan Fareeq Bin Shahril, di sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah pada 25 September lalu, seorang pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, siasatan lanjut kini sedang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Kementerian Pendidikan (KPM) bersama pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan menyeluruh.
“Saya dimaklumkan seorang pelajar ditahan bagi membantu siasatan. KPM (Kementerian Pendidikan) dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus,” katanya.
“Seluruh warga KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya telah bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham di hospital bagi menyampaikan sendiri rasa simpati atas kehilangan yang amat menyayat hati ini,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata aspek keselamatan serta pematuhan tatacara di sekolah akan diteliti secara menyeluruh oleh pihak kementerian susulan kejadian berkenaan.
Selain itu, Jemaah Nazir turut diarahkan untuk menjalankan audit dengan segera bagi mengenal pasti sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan berkaitan aspek keselamatan dan tatacara di sekolah.
Pada masa yang sama, KPM menegaskan bahawa tiada pihak akan dilindungi sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang, dengan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sementara itu, KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga mangsa serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian tersebut, selain memastikan kebajikan warga sekolah terus diberikan perhatian.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bali pertimbang syarat baharu apabila kerajaan wilayah pulau peranginan terkenal itu sedang meneliti cadangan untuk mewajibkan pelancong antarabangsa mengemukakan bukti kewangan sebelum dibenarkan masuk.
Cadangan tersebut bertujuan membolehkan pihak berkuasa menyekat kemasukan pelancong yang dianggap tidak mampu dari segi kewangan, sekali gus mengelakkan masalah sosial dan pelanggaran undang-undang sepanjang tempoh penginapan mereka di Bali.
Pelancong Mungkin Perlu Kemukakan Penyata Bank
Menurut laporan Antara News, draf peraturan yang kini sedang dimuktamadkan mencadangkan agar pelawat asing mengemukakan penyata bank bagi tempoh tiga bulan terdahulu sebagai bukti kemampuan kewangan semasa berada di Bali.
Langkah ini dilihat sebagai mekanisme kawalan awal bagi memastikan hanya pelancong yang benar-benar bersedia dari segi kewangan dibenarkan memasuki pulau peranginan tersebut.
Nyepi yang disambut oleh kaum Hindu di Bali, Indonesia
Fokus Kepada Konsep “Pelancongan Berkualiti”
Cadangan ini diperjuangkan oleh Gabenor Bali, Wayan Koster, sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan konsep pelancongan berkualiti.
Usaha itu dibuat selepas Bali mencatatkan rekod luar biasa pada tahun 2025 dengan kehadiran seramai 7.05 juta pelancong asing melalui laluan udara.
Gabenor Bali, Wayan Koster.
Walaupun peningkatan ketibaan pelancong memberi impak positif kepada ekonomi tempatan, ia turut membawa kesan sampingan seperti tekanan terhadap infrastruktur, kesesakan lalu lintas yang semakin teruk serta peningkatan kes pelancong terkandas akibat kehabisan wang.
Malah, terdapat juga insiden pelancong asing terlibat dalam aktiviti haram selepas gagal menampung kos sara hidup, sekali gus membebankan sistem sosial dan penguatkuasaan undang-undang di Bali.
Syarat Yang Dicadangkan Dalam Draf Peraturan
Draf bertajuk “Peraturan Wilayah mengenai Pelaksanaan Pelancongan Berkualiti” itu menggariskan beberapa syarat utama kepada pelancong asing.
Antaranya termasuk keperluan mengemukakan penyata bank tiga bulan terdahulu, penilaian tempoh penginapan dan aktiviti pelancong bagi menentukan kecukupan dana, serta bukti tempahan penginapan dan tiket pulang yang telah disahkan.
Sekiranya peraturan ini diluluskan, pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa untuk menyekat kemasukan pelancong yang didapati tidak bersedia dari segi kewangan.
“Jika dana mereka hanya mencukupi untuk seminggu, mereka sepatutnya tinggal selama seminggu sahaja,” tegas Wayan Koster dalam satu forum pelancongan baru-baru ini.
Reaksi Industri Pelancongan Serantau
Langkah Bali pertimbang syarat baharu ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam industri pelancongan Asia Tenggara.
Penganalisis memberi amaran bahawa peraturan tersebut berisiko menjejaskan segmen pelancong bajet dan backpacker, yang mungkin memilih destinasi alternatif seperti Thailand atau Vietnam.
Namun, penyokong cadangan ini berpendapat langkah tersebut selari dengan syarat visa ketat yang sering dikenakan terhadap warga Indonesia ke negara Barat, selain penting untuk melindungi kelestarian budaya dan alam sekitar Bali.
Apa Yang Perlu Pelancong Tahu?
Buat masa ini, peraturan tersebut masih berada di peringkat draf dan belum dikuatkuasakan.
Pelancong dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur Visa on Arrival (VoA) sedia ada serta mengikuti perkembangan terkini berkaitan dasar kemasukan ke Bali.
Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, pelancong disaran menyimpan salinan digital rekod kewangan, tempahan penginapan serta rancangan perjalanan sekiranya keperluan ini dikuatkuasakan pada masa hadapan.
Bagi generasi muda yang gemar melancong, isu ini menjadi peringatan bahawa percutian ke luar negara bukan sekadar soal bajet murah, tetapi juga perancangan kewangan yang bijak serta sikap bertanggungjawab sebagai pelawat antarabangsa.