
Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz memilih untuk tidak melayan spekulasi mengenai hubungan istimewanya bersama pelakon gandingannya, Melinda Dadew yang kini hangat diperkatakan di media sosial.
Aliff, 35, berkata tumpuannya ketika ini lebih terarah kepada tanggungjawab menghidupkan watak Sultan Mansur Shah dalam pementasan teater muzikal Mansur & Liu arahan Datuk M. Nasir.

Pilih Fokus Pada Watak
Menurut Aliff, jadual sebagai pelakon teater yang padat sejak beberapa minggu kebelakangan ini membuatkan dirinya tidak begitu mengambil perhatian terhadap perkara yang berlaku di media sosial.
“Sebenarnya sejak beberapa minggu ini, saya tidak fokus pun apa yang berlaku dalam media sosial kerana tugas dan jadual kami sebagai pelakon teater Mansur & Liu sangat padat.
“Jadi, lebih baik saya luangkan masa untuk fokus bagaimana saya mahu memperbaiki lagi watak saya sebagai Sultan Mansur,” katanya.
Sedar Ada Pandangan Negatif
Dalam pada itu, Aliff turut mengakui bahawa bukan mudah untuk mengawal setiap pandangan atau komen negatif yang dilemparkan terhadap dirinya.
Bagaimanapun, penyanyi tersebut memilih untuk tidak membiarkan perkara berkenaan mengganggu fokusnya terhadap tanggungjawab yang sedang digalas.
“Tidak mengapa kalau orang nak komen macam-macam mengenai saya sebab pada akhirnya, memang akan wujud pihak yang suka atau tidak.
“Fokus utama ketika ini adalah kerja untuk teater yang bermula hari ini sehingga 20 September depan.
“Ini kerja dan tanggungjawab yang sangat besar serta berat untuk saya galas. Selebihnya, saya tidak boleh nak kata apa-apa (mengenai dakwaan orang ramai),” jelasnya.

Gandingan Aliff & Melinda Di Pentas Teater
Untuk info, Aliff dan Melinda masing-masing memainkan watak utama sebagai Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu menerusi Mansur & Liu.
Pementasan tersebut diinspirasikan daripada karya agung Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu dan kini berlangsung di Istana Budaya.
Menariknya, Mansur & Liu turut menjadi antara pengalaman pertama buat Aliff dan Melinda beraksi di pentas teater.
Selain mereka berdua, pementasan ini turut menampilkan barisan pelakon lain termasuk Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Arena Wan dan Ruzana Ibrahim.
Mansur & Liu dijadualkan berlangsung sehingga 20 September ini di Istana Budaya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!









