Untitled design-352

Pada minggu ini, perkataan “lockdown” tiba-tiba menjadi popular. Hal ini berlaku apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengadakan “lockdown” fasa 2 di seluruh negara bermula pada 1 hingga 14 Jun 2021 selama 14 hari.

Persoalannya ialah mengapakah masyarakat tidak mahu menggunakan istilah dalam bahasa Melayu? Tidak adakah istillah “lockdown” dalam bahasa Melayu? Ada sesetengah pengguna pula yang menggunakan akronim “kuncitara” yang dicipta daripada frasa “kunci sementara”. Akronim yang tidak baku ini banyak digunakan oleh masyarakat di Indonesia.

Perkataan yang baku untuk “lockdown” di negara kita ialah “sekatan pergerakan” atau “kawalan pergerakan”. Oleh sebab itulah, kerajaan menggunakan istilah “Perintah Kawalan Pergerakan” (PKP) untuk maksud tindakan mengadakan “lockdown”.

Namun demikian, kerajaan telah melaksanakan beberapa jenis “lockdown” atau “sekatan pergerakan” seperti yang berikut:

IKLAN

1. Perintah Kawalan Pergerakan Penuh

Istilah ini dikenali sebagai “Total Lockdown”. Istilah ini bermaksud satu keadaan apabila orang ramai atau masyarakat awam tidak dibenarkan langsung memasuki atau meninggalkan satu kawasan atau bangunan secara bebas kerana sesuatu wabak atau hal kecemasan. Dengan berdasarkan istilah ini, PKP yang dilaksanakan pada 1 hingga 14 Jun 2021 dapatlah dikatakan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Penuh walaupun pelaksanaannya tidaklah 100 peratus kerana kerajaan mengambil kira pelbagai perkara yang berkaitan dengan ekonomi atau kesihatan.

2. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD)
Istilah ini dibuat berdasarkan istilah “Total lockdowan”. Namun demikian, pelaksanaannya hanya di kawasan tertentu yang mencapai tahap merah. Semua pergerakan keluar masuk disekat.

IKLAN

3, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
PKPB ini lebih longgar. Pergerakan rentas daerah dibenarkan tetapi perintah rentas negeri dilarang. Dalam PKP jenis ini, 70 peratus pekerja dikehendaki bekerja dari rumah.

4. Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
Perintah jenis ini pula sangat longgar kerana rakyat dibolehkan merentas negeri dan banyak aktiviti boleh dilaksanakan.

IKLAN

Apabila kerajaan membuat pengumuman untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan penuh atau “Total Lockdown”, rakyat menjadi kelam-kabut. Hal ini terbukti apabila pasar raya menjadi tumpuan mereka untuk membeli pelbagai keperluan. Sepatutnya, rakyat tidak perlu resah kerana kerajaan mengutamakan kesihatan rakyat dan bekalan keperluan harian mencukupi.

Untuk menghadapi bencana COVID-19 ini, setiap rakyat janganlah lupa akan penggunaan bahasa yang betul dan tepat. Marilah kita mengangkat dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul walaupun kita terpaksa menghadapi serangan COVID-19 yang semakin menggila ini.. Gunakanlah istilah “Sekatan Pergerakan” atau SP untuk maksud “lockdown” dan “Sekatan Pergerakan Penuh” atau SPP untuk maksud “Total lockdown”. Ingatlah bahawa Bahasa Jiwa Bangsa. Apabila hilang bahasa, maka lenyaplah bangsa.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Abdul Ghalib bin Yunus

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI