Malam ini pemenang Miss Charm International yang ketiga akan diketahui. Setelah lebih 32 tahun tidak diadakan, akhirnya pelakon, penerbit, model dan usahawan asal Malaysia, Kavita Sidhu yang bergelar Miss Charm International 1990 akan memiliki penyambung legasinya.
Wanita anggun berusia 52 tahun itu merupakan pemenang edisi kedua pertandingan tersebut.
Kavita Sidhu ketika memenangi gelaran Miss Charm International 1990.
Sudah lumrah, jika ada pertandingan ratu cantik, pasti mahkota yang bakal dimenangi oleh sang juara menjadi perhatian.
Setelah lebih tiga dekad tidak diadakan, pastinya rekaan mahkota memainkan peranan penting sebagai sebuah penanda aras. Ternyata organisasi ratu cantik ini tidak mengecewakan. Mempersembahkan rekaan mahkota kepada umum dua hari sebelum malam finale, rata-rata memuji keindahan mahkota tersebut.
Diinspirasikan dengan motif dedaunan semula jadi, mahkota ini menyerlahkan makna sebuah inspirasi dan warna kehidupan. Simbol alam semula jadi dilahirkan dan dipupuk dalam sumber asas kehidupan yang melimpah dan lembut.
“Daun mewakili unsur-unsur yang tulen, ringkas, segar, dan penuh daya hidup. Menggunakan imej daun dalam reka bentuk mahkota menunjukkan keindahan jiwa yang halus dan murni, membawa rasa kepercayaan dan keselamatan dan menyampaikan daya hidup yang kuat, keinginan untuk bangkit dan kelahiran semula,” kongsi organisasi Miss Charm International dalam sebuah hantaran di Facebook.
Menambah lagi mengenai bentuk mahkota yang unik, “Daun-daunnya diukir dengan jelas dan diarahkan ke bahagian dalam, yang bermaksud bahawa kecantikan dari seluruh dunia berkumpul di Miss Charm untuk bertukar dan mempromosikan keindahan individu dan negara mereka.
Ads
“Batu-batu merah seperti saripati dari seluruh dunia berkumpul di tengah-tengah untuk mencipta kuasa yang tidak terbatas, kuasa keindahan, perpaduan serta sebagai perkongsian untuk melaksanakan misi menyebarkan nilai kemanusiaan dan pengetahuan kepada masyarakat sosial.”
Shannen Jade Totten mewakili Malaysia tahun ini. Kredit foto: Instagram Shannen Jade Totten
Seramai 38 orang peserta menyertai pertandingan Miss Charm International 2023. Siapakah yang bakal bergelar juara? Sama-sama kita nantikan.
Ads
Malaysia diwakili oleh wanita berusia 28 tahun, Shannen Jade Totten. Selain bergelar Miss Charm Malaysia, Shannen sebelum ini pernah bergelar top10 Miss Universe Malaysia 2018 dan juga naib juara Miss World Malaysia 2018.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bagi individu yang ingin menurunkan berat badan, salah satu usaha yang mereka akan amalkan adalah dengan melakukan detoks.
Detoks merupakan proses penyingkiran bahan toksik atau buangan daripada tubuh badan. Badan manusia mempunyai sistem detoks sendiri iaitu hati dan ginjal. Apabila kita berpuasa, badan akan melakukan proses detoks semulajadi. Detoks dilakukan untuk memastikan sistem penghadaman usus bekerja dengan sepatutnya dan memastikan kulit bersih serta segar. Selain itu, ia juga turut memastikan sistem buah pinggang kita berjalan dengan lancar.
Biasanya, minuman detoks ini diperbuat daripada sumber sayuran dan buahan seperti tomato, timun, epal hijau, lemon dan banyak lagi. Minuman ini baik untuk tubuh badan sekiranya ia dibuat sendiri oleh kita.
Namun begitu, ada yang mengambil langkah mudah kerana ingin kesan yang cepat dengan mengamalkan produk detoks yang menyebabkan mereka kerap ke tandas untuk ‘membuang’ segala kalori makanan.
Menurtu Public Health Malaysia, jika korang mengamalkan pengambilan produk detoks ini, fikirkan semula kerana ini (gambar) mungkin merupakan keadaan usus korang sekiranya amalan pengambilan produk yang mempunyai kesan pelawas secara berpanjangan.
Usus yang pada asalnya berwarna kuning kemerahan bertukar menjadi hitam akibat sel-sel yang telah mati. Keadaan yang dinamakan sebagai Melanosis Coli ini akan menyebabkan risiko kanser usus meningkat berkali ganda.
Oleh itu, sekiranya korang ingin menurunkan berat badan, elakkan mengambil produk detoks yang berada di pasaran. Jangan ambil jalan mudah kerana buat apa badan kurus tetapi akhirnya mengundang bahaya kan?
Sebaliknya, amalkan cara detoks semula jadi yang korang boleh dapatkan daripada sumber sayur-sayuran dan buah-buahan. Lebih sihat dan terjamin. Apa-apa pun sumber semula jadi adalah yang paling baik dan yang penting, amalkan pemakanan sihat dan diet seimbang.
Ramai teruja menjaga kecantikan luaran dengan mengenakan pelbagai alat solek untuk tampil bergaya. Dan tak kurang juga yang mengamalkan kecantikan dalaman dengan mengamalkan makjun atau disebut juga jamu bagi sesetengah dari kita.
Tapi ternyata kandungan makjun aka jamu boleh memberikan mudarat kepada kesihatan sebagaimana dikongsikan oleh Pakar Ortopedik, Dr Mahyuddin Mohamed dalam facebooknya yang mendapat perkongsian lebih 3000 share.
Bagi anak muda, kisah makcik ini yang mengambil makjun aka jamu boleh kita jadikan pengajaran. Mungkin untuk nampak cantik luar dan dalam, kita sanggup telan apa saja tanpa faham akan risikonya. Sudahnya tulang pinggul (head of femur) kanan beliau telah mati & sendi pinggul kanan telah rosak.
Baca perkongsiannya.
Seorang wanita berusia 70an di tolak masuk ke bilik konsultasi saya semalam. Beliau ditemani oleh 2 orang anak wanitanya.
Makcik Masyitah (bukan nama sebenar) sakit sendi pinggul ye? Surat rujukan di tangan saya mengatakan Makcik Masyitah dirujuk kerana kerosakan sendi pinggul kanan atau Osteoarthritis of the Right hip.
Pinggul kanan ni sakit dah 5 bulan dah doktor. Mula-mula tak kuat. Sekarang ni sakit sampai Makcik tak boleh nak berdiri dah. Kena makan ubat hari-hari. Dah tak tahan sangat.
Maaf Makcik, saya nak tanya sikit ni. Makcik ada tak makan jamu?
Beliau terdiam seketika. Takde doktor, Makcik tak makan jamu.
Saya hanya diam. Mata saya fokus kepada xray Makcik Masyitah. Jelas kepala tulang pinggul (head of femur) kanan beliau telah mati & sendi pinggul kanan telah rosak.
Hati saya kuat mengatakan ini bukan kes Osteoarthritis yang biasa. Pengalaman lalu banyak mengajar saya. Kalau Osteoarthritis biasanya akan melibatkan kedua belah sendi.
Ada masalah darah tak dalam keluarga Makcik. Darah pekat ke? Atau masalah keturunan apa-apa ke?
Makcik Masyitah dan kedua anak beliau menggeleng.
Gambar xray yang menunjukkan tulang pinggul (head of femur) kanan telah mati & sendi pinggul kanan telah rosak. Gambar dr fb Dr Mahyuddin.
Ooo… makcik baru teringat, makcik ada makan makjun!
Aaaa…
Itu la sebabnya makcik. Makjun ni ada steroid kat dalam. Salah satu akibat makan steroid untuk tempoh yang lama ni la Makcik, kepala tulang pinggul kita boleh mati. Makcik Masyitah hanya tunduk terdiam.
Makcik beli kat mana Makjun tu, kat kedai runcit ke? Saya meneka.
Kat tepi jalan je doktor. Kalau makcik sakit makcik telan 2 biji, kuranglah sikit sakit tu, katanya perlahan.
Contoh jamu yang banyak dijual di pasaran. Lebih gusar jika jamu begini dibeli di tepi jalan sahaja. Gambar hiasan
Berapa lama dah makan makjun tu Makcik?
Ada la dalam 6 bulan doktor. Lepas makan tu hilang la sakit kejap. Tapi lepas tu jadi makin sakit pulak pinggul ni. Tak boleh jalan. Kena pakai kerusi roda je. Urut pun tak baik jugak.
Tuan-tuan, antara penyebab kepala tulang pinggul mati (Avascular necrosis) ialah:
Steroid – termasuk jamu, makjun. Teori mengatakan kandungan steroid yang tinggi akan meningkatkan lemak dalam salur darah & menyebabkan bekalan darah terganggu.
Kepatahan tengkuk tulang peha – neck of femur fracture
Sendi peha terkeluar – hip dislocation
Masalah darah – hyperviscosity /Blood dyscrasia, sickle cell anaemia
Alcohol/Arak
Masalah perubatan seperti Diabetes, Pancreatitis, Gaucher’s disease, HIV, AIDS, SLE
Merokok – merokok meninggikan risiko ia terjadi
Dr Mahyuddin yang juga Pakar Ortopedik menerangkan risiko pengambilan makjun yang mana ia banyak mengandungi steroid
Saya mengambil peluang untuk terangkan apa sebenarnya terjadi kepada Makcik Masyitah dan kedua anaknya.
Steroid boleh mengganggu bekalan darah ke kepala tulang pinggul & menyebabkan kepala tulang peha (head of femur) mati, rupanya macam dalam xray ni la.
Biasanya Sakit sendi rosak akibat Osteoarthritis ni akan jadi pada kedua-dua belah. Bila jadi kat sebelah sahaja memang saya akan pelik. Kalau di Malaysia ni, cuma ada beberapa kemungkinan je.
Sebab itu soalan pertama saya tadi pasal jamu Puan. Kebanyakkan jamu mengandungi Steroid yang kita tak tahu sukatannya banyak mana. Orang sibuk kata ubat hospital bahaya, boleh mati la, boleh rosak buah pinggang la. Memang setiap ubat ada kesan sampingan, tapi itu jika ambil ikut suka hati. Hakikatnya kita tahu dos yang boleh diambil. Kalau ikut dos InsyaAllah takde masalah pun.
Yang orang tak tau, ubat kat kedai tepi jalan & penjual produk tu yang bahaya. Entah berapa sukatan steroid kat dalam tu pun kita tak tahu. Dah ramai dah yang rosak buat pinggang akibat makan produk kat luar sana tu. Yang meninggal kat ICU disebabkan hati & buah pinggang rosak akibat nak jadi putih pun ada.
Orang Malaysia ramai yang suka sangat la cara alternatif ni, tak kira la kaum apa pun, Melayu, Cina, India sama je. Bukannya masyarakat luar bandar sahaja, yang Professional pun sama- doktor, cikgu, jurutera tidak terkecuali.
Saya berbincang dengan beliau pilihan rawatan yang boleh diberi. AlhamdulilLah mereka bertiga berpuas hati. Saya doakan Makcik Masyitah akan kembali pulih satu hari nanti.
Tuan-tuan, Saya nak pesan:
1. Jamu atau makjun boleh membuatkan tulang anda mati, tulang jadi rapuh (Osteoporosis), kitaran hormon kortisol anda terganggu
Mengurut tidak menyembuhkan sakit sendi arthritis. Ia juga tidak menyembuhkan Slipped Disc. Ia cuma akan melegakan sekejap. Buat Perabih duit je.
Ramai yang rosak buah pinggang akibat makan produk yang tambah kuat, tambah segar dan tambah segalanya tu kat pasaran. Cuba anda tanya sedara mara anda yang pernah masuk hospital atau sedara mara yang bertugas sebagai doktor atau jururawat. Ramai sangat dah. Tak payah beli la.
Gambar xray diambil dengan kebenaran pesakit & ahli keluarga.
Dr Mahyuddin
Pakar Ortopedik
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
7 selebriti bertudung dari negara jiran ini membuktikan, bertudung dan menyarungkan pakaian yang menutup aurat tetap boleh berfesyen dan menyerlahkan kecantikan.
Walaupun pakai tudung, style dan penampilan mereka tetap on point, sentiasa kelihatan chic dan kemas. No wonderlah ramai remaja jadikan gaya mereka ni sebagai inspirasi untuk bergaya
SIVIA AZIZAH
Bekas ahli Girlband Blink ini memutuskan untuk mengenakan tudung pada 2017.
Banyak sebab kenapa Sivia bertudung, salah satunya kerana faktor usia. Selepas bertudung, Sivia kini menjadi inspirasi wanita dan peminatnya.
ZEEZEE SHAHAB
Zeezee Shahab juga antara selebriti bertudung yang sangat cantik. Zeezee mengambil keputusan untuk memakai tudung selepas melahirkan anak pertamanya.
Sejak menutup aurat, Zeezee kelihatan semakin cantik dan anggun.
RIA RICIS
Siapa yang tidak kenal dengan YouTuber nombor satu Indonesia ini. Ria Ricis pertama kali memakai tudung ketika menuntut di kolej.
Kemudiannya Ria Ricis memilih untuk bertudung sepenuhnya sehingga kini. Adik kepada pendakwah terkenal, Oki Setiana Dewi ini semakin menawan terutama selepas bergelar ibu.
CITRA KIRANA
Citra Kirana mula bertudung bertudung sejak 2019. Selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah, Citra mengambil keputusan untuk memakai tudung.
Niatnya hanyalah satu, ingin menjadi wanita yang lebih baik. Biarpun telah bertudung, Citra masih aktif dalam dunia hiburan.
CUT SYIFA
Cut Syifa mula bertudung pada awal 2021. Dia mengambil keputusan untuk memakai tudung kerana telah mendapat hidayah dan tiba masanya untuk menutup aurat.
Selepas bertudung, kecantikan Cut Syifa semakin menyerlah.
NINA ZATULINI
Artis bertudung seterusnya ialah Nina Zatulini. Nina mengambil keputusan untuk bertudung selepas melahirkan anak pertamanya pada 2016.
Selain mengambil keputusan untuk bertudung, Nina juga mahu berehat dari dunia hiburan kerana ingin fokus menjaga keluarga kecilnya.
CUT MEYRISKA
Cut Meyriska memutuskan untuk memakai tudung pada 2019 kerana ingin mendekatkan diri kepada Pencipta.
Walaupun sudah bertudung, Cut Meyriska tetap nampak cantik dan menawan.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Artikel ini diambil dan diolah dari Hijabista.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!