Sumber gambar: Pexels/Thái Huỳnh

Sering kali kita keliru tentang penggunaan “satu hari” atau “suatu hari”. Hakikatnya kedua-dua frasa ini kerap kita jumpa dalam penulisan sehingga pembaca tidak dapat bezakan kedua-dua perkataan tersebut.

Kata “satu” merupakan angka permulaan untuk membilang bilangan. Oleh itu, kata “satu” digunakan apabila kita merujuk kepada bilangan yang sudah tentu jumlahnya, iaitu satu. Misalnya penggunaan kata “satu” dalam ayat “Aiman ingin menyertai sekurang-kurangnya satu pertandingan di peringkat antarabangsa”.

Dalam ayat tersebut, kata “satu” digunakan untuk merujuk kepada jumlah minimum bilangan pertandingan di peringkat antarabangsa yang akan disertai oleh Aiman. Kata “satu” disingkatkan menjadi “se” apabila digandingkan dengan penjodoh bilangan. Misalnya, seekor ayam dan sebiji kek.

IKLAN

Kata “suatu” pula bermaksud hanya satu atau satu dan merujuk kepada yang tidak pasti atau belum tentu. Umpamanya penggunaan kata “suatu” dalam ayat “Dia sering teringat kenangan pada suatu masa dahulu ketika tinggal bersama-sama neneknya di kampong”. Kata “suatu” digunakan merujuk kepada masa yang tidak tentu tahun, bulan atau harinya dan bukan merujuk kepada bilangan masa.

Sehubungan dengan itu, kata “satu” dan “suatu” perlu digunakan mengikut konteks ayat yang betul seperti ayat contoh di bawah.

IKLAN

Ayat contoh
1. Tukang jahit itu boleh menyiapkan lima pasang baju kurung dalam masa satu hari.
2. Ibu yakin abang akan berjaya dalam perniagaannya suatu hari nanti.

Ayat (1) dan (2) menunjukkan penggunaan “satu hari” dan “suatu hari” dengan betul. Hal ini demikian kerana dalam ayat (1), kata “satu” digunakan bagi menunjukkan bilangan hari untuk menyiapkan lima pasang baju kurung. Berbeza pula halnya dengan ayat (2) kerana kata “suatu” digunakan merujuk kepada hari yang masih belum pasti.

IKLAN

Semoga pembaca dapat membezakan dua perkataan ini dengan baik daripada artikel ini. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh DR RAHBAHYAH BINTI TAHIR.

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI