
Bintang K-Pop terkenal, Lisa BLACKPINK baru-baru ini mencuri perhatian peminat di seluruh dunia apabila beliau secara rasmi diumumkan sebagai Amazing Thailand Ambassador 2026 oleh The Tourism Authority of Thailand (TAT).
Pengumuman ini dibuat menerusi hantaran rasmi di Instagram TAT pada 15 Oktober 2025, menandakan permulaan kerjasama besar antara ikon global itu dengan jenama pelancongan negara kelahirannya.

Peranan Lisa BLACKPINK
Menurut TAT berkata, pemilihan Lisa atau nama sebenarnya Lalisa Manobal (28) bukan sekadar mencerminkan kemasyhuran antarabangsa beliau, tetapi juga keunikan budaya dan identiti Thailand yang dibawanya ke pentas dunia. Dalam kenyataan rasmi, TAT menyifatkan Lisa sebagai wajah sempurna untuk mengetengahkan keindahan dan keramahan rakyat Thailand kepada pelancong antarabangsa.
“Sebagai Amazing Thailand Ambassador, Lisa akan mengetengahkan keindahan, budaya dan pesona abadi Thailand sebagai destinasi percutian berkualiti yang menyambut pelancong dengan senyuman, kehangatan dan layanan penuh mesra,” jelas TAT.
Impak Global & Strategi
Pelantun lagu popular seperti ‘Money’ dan ‘Rockstar’ itu juga dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh jenama pelancongan Thailand di mata dunia. Dengan jutaan pengikut di media sosial, kehadiran Lisa sebagai Amazing Thailand Ambassador berpotensi memberi impak besar terhadap kempen promosi negara itu, khususnya dalam menarik pelancong muda yang gemar meneroka destinasi unik dan berbudaya.


Kolaborasi ini dianggap sebagai langkah strategik oleh TAT untuk mempromosikan konsep ‘Amazing Thailand’ secara lebih efektif. Pihak berkuasa itu yakin kerjasama bersama Lisa akan meningkatkan minat pelancong antarabangsa terhadap Thailand sebagai destinasi yang menawarkan keindahan semula jadi, makanan lazat dan warisan budaya yang kaya.
Reaksi Peminat & Pengiktirafan Antarabangsa
Sejurus pengumuman dibuat, peminat Lisa atau dikenali sebagai BLINK dari seluruh dunia membanjiri ruangan komen media sosial dengan ucapan tahniah dan rasa bangga. Ramai menyifatkan pelantikan Lisa sebagai satu pengiktirafan besar terhadap bakat dan sumbangannya dalam mengharumkan nama Thailand di pentas global.
Tidak kurang juga yang memuji langkah bijak TAT melantik artis global seperti Lisa, kerana beliau bukan sekadar selebriti terkenal tetapi juga ikon budaya yang berjaya menarik minat generasi muda terhadap asal-usul dan tradisi negaranya sendiri. Ini sekaligus menjadikan Lisa sebagai simbol penyatuan antara budaya moden dan tradisional Thailand.
Rancangan Masa Hadapan
Susulan pelantikan ini, Lisa dijangka terlibat dalam pelbagai aktiviti promosi pelancongan sepanjang tahun 2025 hingga 2026. Antara yang dirancang termasuk penggambaran video promosi, kempen digital global, dan kolaborasi bersama jenama antarabangsa bagi memaparkan keindahan serta keramahan Thailand kepada dunia.
Peranan Lisa sebagai Amazing Thailand Ambassador 2026 bukan sahaja mencerminkan keindahan negaranya, tetapi juga semangat global yang dibawa oleh generasi baharu artis Asia. Langkah ini menandakan satu era baru bagi pelancongan Thailand yang lebih segar, dinamik dan berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!















