Terbaru, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengejutkan ramai peminat apabila mengumumkan bahawa beliau tidak akan lagi beraksi dalam baki saingan tahun 2025 selepas menilai semula keadaan fizikal serta mentalnya sepanjang tahun yang penuh cabaran.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagram, pemain yang kini berusia 27 tahun itu menyifatkan tahun 2025 menjadi tempoh yang benar-benar menguji ketahanan diri, terutamanya selepas berdepan kecederaan yang berlarutan.
“Tahun 2025 merupakan tahun yang mencabar dan juga satu proses pembelajaran dalam usaha menguruskan kesihatan fizikal saya,” tulisnya.
Kredit foto: Instagram Lee Zii Jia
Di samping itu, beliau mengakui terdapat hari dimana dirinya berada pada prestasi terbaik, namun ada juga hari yang mengingatkannya kepada kesan kecederaan lama seperti buku lali dan masalah belakang. Keadaan itu memaksanya untuk lebih berhati-hati sebelum kembali turun beraksi pada tahap optimum.
Atlet itu turut memaklumkan bahawa sejak perlawanan kompetitif terakhir di China Masters pada September lalu, beliau dan pasukannya telah berbincang secara terperinci dengan pakar perubatan bagi mencari langkah terbaik untuk diambil.
Ads
“Pasukan saya dan para pakar perubatan telah bekerja rapat untuk menentukan cara terbaik untuk saya bergerak ke hadapan,” jelasnya.
Dalam pada itu, hasil daripada perbincangan tersebut akhirnya membawa kepada keputusan untuk menutup terus musim 2025 bagi memberi ruang kepada proses pemulihan yang lebih menyeluruh.
Ads
“Saya merasakan keputusan paling tepat adalah menutup bab 2025 dan memberi tumpuan kepada kalendar 2026 yang akan datang,” ujarnya lagi.
Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Zii Jia turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan, pasukan serta para penaja yang sentiasa berada di sisi sepanjang tempoh sukar ini. Beliau juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang terus menjadi tulang belakang dalam perjalanan kerjayanya.
Walaupun mengambil keputusan untuk berehat lebih lama, beliau menegaskan bahawa semangat membaranya untuk kembali ke gelanggang tidak pernah pudar.
“Saya kekal semangat dan bermotivasi untuk kembali beraksi di gelanggang,” maklum Zii Jia sambil menyatakan bahawa Januari bakal menjadi permulaan baharu yang lebih positif untuknya.
Intihanya, fokus Lee Zii Jia kini terarah kepada pemulihan fizikal dan persiapan rapi bagi menghadapi musim 2026, para peminat pastinya menantikan kebangkitan semula pemain ini dalam arena antarabangsa pada tahun hadapan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Yang mana satu betul, goreng pisang atau pisang goreng, cikgu?” tanya seorang pelajar. Hal ini diajukan kerana terdapat sebilangan besar peniaga atau penjaja makanan yang menulis “goreng pisang” dan ada juga yang menulis sebagai “pisang goreng” pada papan iklan mereka. Perkara ini sedikit sebanyak mendatangkan kekeliruan kepada pengguna bahasa, khususnya para pelajar. Bukan hanya pelajar, kecelaruan ini turut memberikan kesan yang tidak baik terhadap pengguna bahasa Melayu. Berbalik kepada persoalan pelajar tersebut, dalam situasi tersebut, frasa yang tepat ialah “pisang goreng”.
Mak Cik Kiah menjual pisang goreng di warungnya.
“Pisang goreng” ialah pisang yang telah digoreng, iaitu sejenis makanan dan tergolong dalam kategori kata nama. Frasa “pisang goreng” dalam ayat di atas menepati Hukum DM. Menurut buku Tatabahasa Dewan, Hukum DM ialah singkatan bagi (D) diterangkan dan (M) menerangkan.
Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan (D) merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan (M) unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua. Hukum DM digunakan untuk memastikan frasa nama digunakan dengan betul. Seharusnya bentuk yang betul ialah “pisang goreng” kerana merujuk kata nama pisang sedangkan kata “goreng” merujuk kata kerja.
Walau bagaimanapun, dalam situasi lain frasa “goreng pisang” menunjukkan proses atau perbuatan menggoreng pisang, iaitu memasak dengan minyak, misalnya seperti ayat di bawah.
Ibu goreng pisang di dapur.
Penggunaan “goreng pisang” dan “pisang goreng” mestilah digunakan dalam konteks ayat dan situasi yang tepat. Walau bagaimanapun, terdapat juga frasa nama yang terkecuali daripada Hukum DM. Hal ini demikian kerana frasa nama tersebut telah digunakan secara meluas dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Antaranya:
perdana menteri
timbalan menteri
ibu pejabat
naib presiden
Bagaimanakah pula dengan perkataan-perkataan di bawah? Yang mana satukah tepat dari segi Hukum DM?
ayam telur atau telur ayam
lembu susu atau susu lembu
lembu daging atau daging lembu
Kedua-dua pilihan dalam contoh di atas tepat dan boleh digunakan. Namun begitu, penggunaan kata-kata tersebut bergantung pada unsur inti yang hendak diterangkan. Contohnya, “ayam telur” merujuk sejenis ayam yang menghasilkan telur manakala “telur ayam” merujuk telur yang dihasilkan oleh ayam. Begitulah juga dengan contoh-contoh lain.
Yang jelas, Hukum DM dalam bahasa Melayu perlu difahami dengan sebaik-baiknya oleh pengguna bahasa. Amalkanlah penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel Ini Ditulis oleh NOR FAZILAH BINTI NOOR DIN
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bencana banjir yang melanda negeri Selangor setelah hujan lebat berterusan pada hari Jumaat hingga Sabtu lalu mendapat perhatian Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengenangkan nasib rakyat jelata.
Menerusi paparan di akaun Facebook rasmi Selangor Royal Office sejak 19 Disember (Ahad) lalu hingga semalam (21 Disember), baginda dilihat telah berkenan untuk sama-sama turun padang bagi melawat mangsa banjir di Selangor dengan meredah kawasan kejiranan yang dinaiki air.
Di sana, baginda bertanyakan keadaan rakyat di samping menyerahkan bantuan kepada mangsa seperti sumbangan keperluan asas serta makanan.
Menariknya, Baginda turut dilihat membeli sendiri barangan keperluan di Pasaraya Checkers, Seksyen 15 Shah Alam dan kemudian mengedarkannya di kawasan bencana termasuklah di Taman Meru Jaya Klang (19 Disember), Padang Jawa (20 Disember) dan di Kampung Baru Hicom (21 Disember).
Umum mengetahui keadaan banjir yang lambat surut di sana. Lantas, Baginda telah diiringi pasukan 10 Briged Para Tentera Darat Malaysia yang disertai ahli sukarelawan semasa misi tinjauan dan menghantar bantuan sewaktu berada di lokasi yang dinaiki air banjir tinggi.
Rata-rata rakyat di ruangan komen Facebook berkenaan menyambut baik kehadiran Tengku Amir Shah yang mencemar duli ke lokasi bencana dan terhadap respon pantas Baginda untuk bersama-sama rakyat negeri Selangor.
“Semoga Allah sentiasa membantu Tuanku dalam membantu rakyat jelata dan negeri. Daulat Tuanku.”
“Raja Muda naik motosikal relax je. Ampun Tuanku, rakyat selangor menjunjung kasih.”
“Moga Allah Taala bantu negeri bawah jajahan takluk Tuanku. Kita redha ujian daripada Allah.”
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Nama Muhammad Azeem Mohd Fahmi sinonim dengan acara pecut di Malaysia ketika ini. Baru sahaja melabuhkan tirai Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dengan menggungguli acara 100m, dia terus terbang ke Jepun untuk menghadapi cabaran olahraga di sana.
Dalam acara 200m yang disertainya, anak jati negeri Perak ini berjaya mencatat masa 20.98 saat untuk menduduki tangga kelima cabaran. Biarpun tidak berjaya berada dalam kedudukan tiga ke atas, namun prestasi cemerlang yang ditonjolkan meletakkan atlet muda itu sebagai pelari pecut yang konsisten.
Catatan masa terbaharu ini merupakan catatan masa keempat terbaik yang dirakamkan bawah 21 saat untuk tahun ini. Catatan masa peribadi terbaiknya adalah 20.83 saat ketika memenangi perlumbaan saringan pusingan awal 200m pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, Ogos lalu.
Azeem ketika mengungguli pingat emas 100m SUKMA 2022 baru-baru ini.
“Saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan dan catatan masa yang dibuat Azeem di sini, selepas mencatatkan 21s pada separuh akhir. Walaupun tamat saingan di tempat kelima, yang penting adalah konsistensi.
“Selepas ini beliau akan membuat persediaan untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat,” kata jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah, ketika dihubungi oleh Bernama.
Dua minggu lalu di SUKMA 2022, selain menang pingat emas untuk acara 100m, Azeem turut menggondol pingat perak untuk acara 200m dan 4 x 100m.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!