Shah Alam kini muncul sebagai ibu negeri paling mahal untuk didiami apabila merekodkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) tertinggi bagi pelbagai saiz isi rumah, berdasarkan laporan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dapatan ini sekali gus mencetuskan perhatian ramai, khususnya golongan muda yang sedang merancang masa depan sama ada untuk menyewa, membeli rumah atau membina kehidupan di bandar utama. Lebih mengejutkan, kos kehidupan wajar di Shah Alam didapati menghampiri malah melepasi paras rujukan Kuala Lumpur yang ditetapkan pada 100 mata indeks.
Apa Itu Indeks PAKW?
Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) merupakan indikator baharu yang digunakan untuk mengukur tahap perbelanjaan minimum yang diperlukan oleh isi rumah bagi mengekalkan kehidupan yang wajar di sesuatu lokasi.
Ia mengambil kira keperluan asas seperti perumahan, makanan, pengangkutan, pendidikan, kesihatan serta penglibatan sosial. Pendekatan ini memberikan gambaran lebih realistik tentang kos hidup sebenar berbanding ukuran tradisional semata-mata.
Dalam indeks ini, Kuala Lumpur dijadikan nilai rujukan pada paras 100. Nilai indeks yang lebih tinggi menunjukkan kos sara hidup yang lebih mahal, manakala nilai yang lebih rendah mencerminkan keperluan perbelanjaan yang lebih rendah.
Ads
Shah Alam Kekal Tertinggi Bagi Semua Saiz Isi Rumah
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, variasi kos sara hidup antara lokasi di Malaysia adalah sangat ketara, khususnya di peringkat ibu negeri.
Bagi isi rumah seorang, Shah Alam mencatat Indeks PAKW tertinggi iaitu 99.8 mata, diikuti Johor Bahru (92.9) dan Georgetown (90.7). Corak yang sama berulang bagi isi rumah dua orang apabila Shah Alam merekodkan 100.1 mata indeks.
Trend ini berterusan bagi isi rumah tiga dan empat orang, dengan Shah Alam masing-masing mencatat 100.2 dan 100.3 mata indeks. Ini menjadikannya satu-satunya ibu negeri yang secara konsisten menghampiri atau mengatasi kos kehidupan wajar Kuala Lumpur.
Sebaliknya, Kangar muncul sebagai ibu negeri dengan kos kehidupan wajar terendah, diikuti Kota Bharu dan Alor Setar, dengan nilai indeks yang hanya sekitar separuh berbanding Shah Alam.
Ads
Kenapa Kos Hidup Di Shah Alam Tinggi?
Antara faktor utama yang menyumbang kepada kos hidup Shah Alam yang tinggi ialah peningkatan harga hartanah dan sewaan, selain kos pengangkutan, makanan serta gaya hidup bandar.
Sebagai sebuah bandar terancang, Shah Alam menempatkan pelbagai institusi pendidikan, hospital, kawasan komersial serta akses lebuh raya utama. Faktor ini menjadikannya lokasi strategik dan pilihan utama ramai penduduk.
Namun, kemudahan dan kualiti hidup yang ditawarkan hadir bersama kos yang semakin mencabar, terutamanya untuk golongan belia dan graduan baharu yang masih berada di peringkat awal kerjaya.
Realiti Buat Generasi Muda
Bagi remaja dan anak muda yang bakal melangkah ke alam pekerjaan, laporan ini memberi gambaran jelas tentang cabaran sebenar kehidupan bandar.
Impian untuk tinggal di bandar selesa dan lengkap seperti Shah Alam kini perlu diseimbangkan dengan perancangan kewangan yang rapi. Ramai terpaksa memilih untuk menyewa di kawasan pinggir atau berulang-alik dari daerah berhampiran bagi mengurangkan beban kos hidup.
Hakikatnya, hidup di bandar bukan sekadar soal gaya, tetapi keupayaan untuk bertahan dalam realiti ekonomi semasa yang semakin mencabar.
Kesimpulan
Kesimpulannya, gelaran Shah Alam sebagai ibu negeri paling mahal untuk didiami bukan sekadar statistik. Ia merupakan peringatan penting buat generasi muda bahawa perancangan masa depan perlu dibuat dengan lebih bijak, realistik dan berpijak pada kemampuan sebenar.
Dalam keadaan kos hidup Shah Alam yang semakin meningkat, membuat keputusan berdasarkan data dan realiti semasa adalah langkah paling waras untuk kelangsungan hidup jangka panjang.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Inilah perumpamaan yang sesuai disimpulkan mengenai kejayaan yang dirangkul gadis berusia 20 tahun ini.
Harashta Haifa Zahra baru-baru ini telah dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Miss Supranational 2024 sekaligus menyaksikan dirinya berjaya mengalahkan 67 peserta lain yang datang dari seluruh pelusuk dunia.
Dilahirkan di Jawa Barat, dia yang kemudiannya dibesarkan di Bandung sebelum ini terlebih dahulu telah memegang gelaran Puteri Indonesia 2024, satu gelaran berprestij dalam arena ratu cantik di negara tersebut.
Kemenangan Harashta sekaligus mencipta sejarah kerana ini merupakan kali pertama gelaran Miss Supranational menjadi milik Indonesia.
“Masih terasa tidak nyata dan saya tidak sabar untuk menjalankan tugas saya sebagai Miss Supranational 2024 yang baru. Ini akan menjadi tahun yang sangat istimewa dan hati saya dipenuhi dengan kebanggaan.
“Terima kasih kepada negara saya atas sokongan Anda. Indonesia kita berhasil! Aku cinta kalian!” ucap gadis berusia 20 tahun ini menerusi satu hantaran di Instagram rasmi Miss Supranational usai kemenangannya.
Selain bergelar juara, Harashta turut membawa pulang gelaran juara kategori bakat dan berada dalam keduduakan top 3 kategori best catwalk. Dalam sesi bakat, Harashta menonjolkan kebolehannya bermain kecapi dan menari tradisional.
Biarpun begitu minat dalam dunia ratu cantik. Dia bukanlah seorang yang kosong, sebaliknya gadis dengan ketinggian 173cm ini merupakan seorang pelajar dalam bidang kejuruteraan persekitaran di Institut Teknologi Nasional Bandung.
Selain Harashta, tempat kedua pertandingan itu dimenangi oleh wakil Amerika Syarikat, Jenna Dykstra manakala tempat ketiga dimenangi oleh Justýna Zedníková dari Republik Czech.
Wakil Malaysia, Adreanna Celly turut bertanding dalam pertandingan berprestij itu namun tidak berjaya tembus ke pusingan top 25 sekaligus kandas.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, pempengaruh dan bekas juara qariah termuda Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2019, Farhatul Fairuzah meluahkan rasa syukur apabila beliau berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dengan cemerlang.
Menerusi perkongsiannya di Instagram, Farhatul atau nama sebenar Nor Farhatul Fairuzah Panut (24) dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Majlis Konvokesyen UKM kali ke-52 baru-baru ini.
“Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH atas segalanya. Terima kasih ya Rabb. Terima kasih emak dan keluarga, semua guru-guru, pensyarah yang sangat Farha sanjungi”
“Kawan-kawan yang sangat Farha sayangi. Banyak menjadi support system sepanjang Farha menempuh pembelajaran di universiti. Doakan Farha untuk masa mendatang,” kongsinya.
Selain itu, beliau juga berkongsi kegetiran yang dilalui semasa bergelar pelajar dan sempat menyelitkan ayat Al-Quran sebagai peringatan buat pengikutnya.
“Setiap perjalanan pasti ada cabarannya, yang penting yakin pada Allah kita mampu lalui-NYA. Sebagaimana firman ALLAH SWT: لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ Maksudnya: ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. [Al-Baqarah:286]”
“Sungguh, ujian itu diberikan pada yang mampu,” katanya.
Dalam pada itu, Farha turut berkongsi tesisnya yang bertajuk ‘Amalan Pembelajaran Tarannum Profesional Dalam Kelas Pengajian Tarannum di Masjid Asy-Asykirin KLCC’ mendapat pujian daripada tenaga pengajar dan akan dibukukan.
Memetik laporan Berita Al Hijrah, beliau menamatkan pengajian pra siswazah itu dengan memperoleh Purata Nilaian Gred Kumulatif (PNGK) cemerlang iaitu 3.90. Beliau yang memulakan pengajian di UKM pada 2020 terdahulu tamat Tingkatan Enam dalam bidang syariah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan.
Tidak hanya cemerlang akademik, terdahulu juara Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan untuk empat tahun berturut-turut (2014 hingga 2017) itu turut menerima tauliah mengajar sekaligus menjadikan beliau pendakwah dan penceramah pada usia 24 tahun.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Negara Singapura merancang untuk menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun dan menawarkan kontrak bagi mereka yang ingin bekerja semula selepas bersara hingga usia 70 tahun menjelang tahun 2030.
Menurut Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong Shyun Tsai dalam sedutan sebuah klip video yang dikongsikan oleh pengguna @dayumlouisa di media sosial, beliau menyatakan bahawa rakyat di negara itu perlu bersedia untuk tetap bekerja dalam jangka masa yang lebih lama.
“Kita perlu bersedia untuk kekal bekerja dan bekerja lebih lama”
“Itulah sebabnya kita bercakap tentang rancangan meningkatkan umur persaraan dan umur bekerja semula untuk beberapa waktu,” katanya.
“Hari ini umur persaraan di negara ini adalah 63 tahun, dan mereka boleh bekerja semula pada 68. Bermakna majikan perlu bersedia untuk menawarkan kontrak pekerjaan semula kepada warga emas untuk bekerja sehingga 68 tahun dan kami merancang untuk meningkatkan usia itu kepada 65 dan 70 menjelang 2030,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan beberapa perancangan dan pelaburan bagi menguruskan hal berkenaan.
“Kami tahu bahawa bukan mudah untuk pekerja yang lebih tua untuk terus bekerja. Oleh itu, kami tidak meninggalkan mereka bersendirian,” ujarnya lagi.
“Ini juga adalah salah satu alasan mengapa kami melabur banyak dalam ‘SkillsFuture’ (sebuah portal yang menyokong rakyat Singapura untuk pembelajaran sepanjang hayat) dan ingin memastikan pekerja lebih tua terlatih dan mempunyai kemahiran agar kekal berdaya saing dan relevan,” tambah Lawrence.
Kredit foto: FB Singapore Ministry of Manpower
Terdahulu, umur persaraan dan bekerja semula semasa masing-masing dinaikkan kepada 63 tahun dan 68 tahun pada Julai 2022.
Untuk pengetahuan, sebelum ini langkah itu merupakan sebahagian daripada cadangan yang dibuat oleh Tripartite Workgroup on Older Workers yang ditubuhkan pada Mei 2018 bagi mengukuhkan sokongan untuk pekerja warga emas.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!