Kita sering keliru bagaimana menggunakan imbuhan dengan cara yang tepat. Imbuhan sangat rencam. Sedar atau tidak, imbuhan bahasa Melayu dapat dibahagikan kepada dua unsur yang besar iaitu imbuhan-imbuhan yang asli dalam bahasa Melayu dan imbuhan-imbuhan yang dipinjam daripada bahasa asing.

Perhatikan ayat-ayat di bawah :

1) Maharaja itu tersenyum melihat seniwati yang jelitawan.
2) Seseorang yang antikerajaan dianggap biadab jika menggunakan kata-kata kesat ketika berkomunikasi.
3) Seniman itu menandatangani autograf.
4) Hadirin dan hadirat sangat terhibur menyaksikan persembahan biduanita itu.

IKLAN

Dalam ayat (1) di atas perkataan maharaja, seniwati dan jelitawan merupakan imbuhan pinjaman manakala ayat (2) mengandungi perkataan berimbuhan pinjaman antikerajaan dan biadab. Perkataan seniman dan autograf merupakan perkataan berimbuhan pinjaman dalam ayat (3). Hadirin, hadirat dan biduanita pula merupakan imbuhan pinjaman dalam ayat (4).
Contoh perkataan dalam keempat-empat ayat di atas merupakan sebahagian kecil daripada imbuhan pinjaman. Imbuhan asing atau pinjaman ini, dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut sumber asal imbuhan-imbuhan tersebut. Tiga kumpulan ini ialah :

1) Imbuhan Sanskrit
Imbuhan yang berasal daripada bahasa Sanskrit ialah jenis imbuhan yang telah lama diserap ke dalam sistem tatabahasa bahasa Melayu. Penggunaan imbuhan ini amat produktif dan telah menjadi sebati dengan perkataan-perkataan dasar dalam bahasa Melayu. Terdapat dua jenis imbuhan pinjaman daripada bahasa Sanskrit iaitu awalan “maha-”, “tata-”, “pra-”, “swa-”, “tuna-”, “eka-”, “dwi-”, “tri-”, “panca-” dan akhiran “-man”, “-wan”, “-wati” dan “-nita”.

IKLAN

2) Imbuhan Arab Parsi
Pengaruh bahasa Arab-Parsi terhadap bahasa Melayu bermula sejak kedatangan Islam ke alam Melayu kira-kira abad ke-13 masihi. Bahasa Arab telah mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu dan ini memudahkan proses asimilasi unsur-unsur bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu, terutamanya dari segi pengambilan bentuk-bentuk katanya. Terdapat dua jenis imbuhan pinjaman daripada bahasa Arab-Parsi iaitu awalan “bi-” dan akhiran “-wi”, “-i”, “-iah”, “in”, “-at”, “-ah”.

3) Imbuhan Yunani – Latin – Inggeris
Imbuhan asing yang paling banyak dibawa masuk ke dalam bahasa Melayu berasal daripada imbuhan bahasa Yunani – Latin – Inggeris. Umumnya imbuhan tersebut tidak berfungsi sebagai imbuhan dalam bahasa Melayu kecuali beberapa imbuhan awalan seperti “pro-”, “anti-”, “mono-”, “poli-”, “auto-” dan “supra-”.

IKLAN

Cara mudah untuk mengenali imbuhan asli atau pinjaman ialah melihat asal usul lahirnya kata tersebut. Semoga remaja hari ini dapat membezakan penggunaan imbuhan asli dan imbuhan pinjaman.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Hjh Noor Zila binti Md. Yusuf

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI