Baru-baru ini, seorang graduan berusia 24 tahun, Fatini Alya Baharudin telah menyentuh hati ramai apabila keberaniannya melawan kanser kelenjar air liur mendapat penghormatan istimewa di Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-38. Ketika namanya disebut oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, seluruh dewan bergema dengan tepukan, tanda sokongan kepada pejuang muda yang tidak pernah berputus asa.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook rasmi UUM, Fatini atau lebih mesra disapa Tini, difahamkan menghidap kanser kelenjar air liur pada tahun 2021, ketika negara masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sejak itu, hidupnya berubah sepenuhnya. Tanpa kelenjar air liur yang berfungsi, beliau tidak lagi mampu menghasilkan air liur untuk makan, bercakap, atau menelan tanpa rasa sakit. Namun, di sebalik segala penderitaan, Tini memilih untuk terus melangkah.
Perjuangan Melawan Kanser Kelenjar Air Liur
“Saya sangat gembira sebab berjaya sampai ke tahap ini walaupun ada banyak dugaan, terutama pada awal semester,” ujar Tini sambil menahan sebak, mengimbas detik sukar sepanjang rawatan.
Sepanjang tempoh rawatan, Tini menjalani enam pusingan kemoterapi dan 30 sesi radioterapi di Hospital Pulau Pinang. Keluarganya menyewa rumah berdekatan hospital demi memudahkan ulang-alik setiap hari.
Walaupun tubuhnya semakin lemah, semangatnya tidak pernah padam. Beliau tetap membawa buku ke mana-mana, menelaah ilmu di antara waktu rawatan, bukti ketabahan luar biasa melawan kanser kelenjar air liur.
Ads
Kasih Keluarga Jadi Sumber Kekuatan
Anak bongsu daripada tiga beradik ini membuktikan bahawa semangat juang tidak pernah mengenal batas. Dengan segala kesakitan yang dilalui, beliau akhirnya berjaya menamatkan pengajian dengan CGPA 3.59 — hadiah paling bermakna buat ibu bapanya. Ayahnya seorang tukang gunting rambut manakala ibunya seorang suri rumah, namun kasih dan doa mereka menjadi kekuatan utama dalam perjuangan Tini.
“Setiap kali keputusan keluar, mereka menangis gembira. Saya bukan pelajar terbaik, tapi bagi mereka, saya tetap hebat kerana berjaya sampai ke tahap ini,” ujarnya dengan penuh rasa syukur.
Kisah Tini bukan sekadar tentang sakit dan sembuh, tetapi tentang kekuatan jiwa seorang gadis muda yang enggan tunduk pada takdir. Beliau percaya setiap kesakitan datang bersama rahmat tersendiri, dan setiap kehilangan memberi ruang untuk menemukan kekuatan baharu.
“Jangan putus asa. Sakit bukan alasan untuk berhenti berjuang. Percaya pada doa, pada kasih keluarga, dan pada diri sendiri,” pesannya kepada mereka yang sedang bergelut dengan cabaran hidup.
Hari ini, Tini berdiri megah di pentas konvokesyen bersama keluarga tercinta, membuktikan bahawa walau tubuhnya tidak lagi sempurna, semangatnya tetap utuh. Beliau mungkin kehilangan ‘kilang air liur’, tetapi tidak pernah kehilangan harapan dan keberanian yang menjadikannya inspirasi buat ramai.
Kisah Fatini Alya Baharudin menjadi bukti bahawa kekuatan sebenar bukan diukur pada kesempurnaan fizikal, tetapi pada keupayaan untuk terus melangkah walau diuji sesukar mana sekalipun.
Sumber artikel & foto: FB UUM
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, pempengaruh media sosial, Wee Chuan Chin (30) atau lebih dikenali sebagai Abe Wee meraih perhatian masyarakat apabila dia turut tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengenai isu pensijilan halal.
Sebelum ini, Teresa menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya menyifatkan tindakan mewajibkan sijil halal kepada premis makanan yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol mungkin akan memalukan negara dan menjadi bahan ‘ejekan’ di peringkat antarabangsa.
Kenyataan beliau itu telah meraih perhatian hingga mendapat teguran dan kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Abe Wee.
Kredit: BuzzKini
Menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial, Abe Wee menyatakan sijil halal adalah sebagai jaminan dan keyakinan kepada orang Islam untuk menjamu selera di sesebuah premis. Jelasnya lagi, setiap kali membuat ulasan makanan, dia akan memastikan kedai tersebut mempunyai sijil halal seperti dalam tagline yang sering diucapkan ‘Yang Penting Kat Sini Halal’.
“Abe Wee pun Cina tapi Abe Wee hormat followers Melayu. Apa yang Abe Wee belajar bila buat review ni, sijil halal memberi jaminan kepada orang Islam dan bagi rasa confident bila nak makan kat kedai itu”
Tambah abang kepada pempengaruh terkenal, Mek Yun ini lagi, sijil halal itu tidak salah dan dia tidak melihat hal itu sebagai sesuatu yang memalukan negara lebih lagi Malaysia adalah negara yang terkenal dengan keunikan perbezaan agama dan bangsa.
Sementara itu, beberapa warganet juga menjelaskan pensijilan halal bukan sekadar berkaitan cara penyembelihan haiwan, tetapi turut berkait dari segi kebersihan, pengurusan, dan pengendalian makanan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Huruf condong atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai italic merupakan suatu bentuk tanda yang digunakan secara lazim dalam penulisan pada masa ini. Ada kalanya, huruf condong juga dikenali sebagai huruf miring. Secara amnya, huruf condong digunakan untuk menunjukkan kelainanan tentang apa-apa perkataan, frasa, istilah dan sebagainya dalam sesuatu teks.
Dari segi penggunaan huruf condong dalam penulisan, terdapat tiga fungsi utama huruf condong seperti yang berikut:
Huruf condong digunakan untuk menulis nama atau judul buku, majalah dan akhbar. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:
Rama suka membaca buku Tatabahasa Dewan.
Majalah Pelita Bahasa keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka mendapat sambutan yang menggalakkan.
Isu pemartabatan bahasa Melayu merupakan antara liputan berita dalam akhbar Berita Harian pada hari ini.
Dalam ketiga-tiga ayat di atas, perkataan yang dicondongkan ialah nama buku seperti dalam (a), nama majalah seperti dalam (b), dan nama akhbar seperti dalam (c).
Huruf condong digunakan untuk menulis apa-apa perkataan, istilah atau ungkapan asing kecuali istilah atau ungkapan tersebut telah disesuaikan ejaannya mengikut bahasa Melayu. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:
Negara Malaysia mengamalkan sistem common law yang ditinggalkan oleh British.
Hibiscus rosa-sinensis ialah nama bagi bunga raya merah dalam bidang botani.
Dalam kedua-dua ayat di atas, perkataan yang dicondongkan ialah istilah asing, iaitu istilah undang-undang seperti dalam (a) dan istilah botani seperti dalam (b). Oleh itu, semua istilah asing dalam bahasa Melayu perlu dicondongkan semasa penulisan. Walau bagaimanapun, jika istilah asing tersebut telah dipadankan ejaannya mengikut sistem padanan ejaan bahasa Melayu, maka istilah tersebut tidak perlu lagi dicondongkan.
Huruf condong digunakan untuk menekankan, menegaskan atau mengkususkan apa-apa huruf, perkataan, frasa, ayat dan sebagainya. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:
Bab ini tidak membincangkan huruf tebal.
Berikan contoh penggunaan simpulan bahasa ayam tambatan.
Dalam kedua-dua ayat di atas, perkataan yang dicondongkan ialah perkataan yang diberi penegasan atau penekanan.
Semoga penerangan ringkas tentang penggunaan huruf condong dalam penulisan memberikan manfaat kepada pembaca.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh PROF. MADYA. DR. RAMALINGGAM RAJAMANICKAM
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, pasukan koir dari Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA UiTM Chamber Choir (UCC) sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas menerusi persembahan luar biasa di African Asia Pacific Choir Games 2025.
Memetik laporan RTM, pertandingan anjuran Interkultur itu berlangsung di Mauritius dari 27 September hingga 1 Oktober lalu menyaksikan UCC berjaya membawa pulang pingat emas dalam dua kategori iaitu Chamber Choir dan Equal Voice.
Dalam pada itu, apa yang lebih membanggakan, UCC turut menerima gelaran tertinggi ‘Grand Prix de Nation’ bagi kedua-dua kategori tersebut dan pengiktirafan ini dianggap eksklusif kerana hanya dianugerahkan kepada koir terbaik daripada keseluruhan pertandingan.
Kredit Foto: IG UiTM Chamber Choir
Selain itu, pencapaian tersebut sekaligus menunjukkan bukti bahawa UCC bukan sahaja menguasai kategori masing-masing, malah diiktiraf sebagai antara kumpulan koir paling unggul daripada 53 pasukan yang bertanding mewakili 14 negara.
Untuk pengetahuan, kejayaan ini digerakkan oleh seramai 25 pelajar Fakulti Muzik UiTM di bawah pimpinan konduktor dan pensyarah, Maryann Magdalena. Mereka turut diiringi oleh Dekan Fakulti Muzik, Prof. Dr. Tazul Izan Tajuddin sepanjang pertandingan tersebut.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, berkata kemenangan itu adalah bukti kemampuan anak bangsa untuk bersaing di peringkat dunia.
“Kemenangan ini bukan sekadar sebuah trofi, tetapi bukti bahawa bakat anak bangsa mampu bersaing di pentas dunia. UiTM Chamber Choir telah membawa suara Malaysia ke persada antarabangsa, sekaligus mengangkat martabat UiTM dan negara tercinta,” katanya.
Sementara itu, pihak UiTM turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong, termasuk pensyarah, jurulatih, fakulti serta seluruh warga UiTM yang menjadi pendorong sepanjang perjalanan UCC sehingga berjaya melakar kejayaan antarabangsa ini.
Pada masa yang sama, UCC juga menegaskan bahawa kemenangan tersebut bukan hanya mengangkat nama fakulti dan universiti, tetapi juga menjadi inspirasi kepada seluruh mahasiswa untuk terus mengasah bakat serta berdaya saing di persada global.
Sumber: RTM
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dinda Anwar muncul sebagai pemenang utama All Stars Influencers Award (ASIA) 2026 selepas menewaskan 109 pempengaruh dari 20 negara sekaligus membawa pulang hadiah US$10,000 dan trofi.