
Pemergian seorang figura penting dalam dunia kewartawanan negara pastinya meninggalkan kesan mendalam buat ramai.
Wartawan alam sekitar terkenal, Datuk Karam Singh Walia dilaporkan meninggal dunia awal pagi ini, menurut Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima.

Beliau sebelum ini dilaporkan berdepan keadaan kesihatan yang membimbangkan selepas menghidap penyakit hati serta masalah buah pinggang.
Untuk rekod, Karam Singh Walia merupakan antara wartawan penyiaran yang cukup dikenali di Malaysia. Namanya mula meniti di bibir penonton menerusi perkhidmatannya di stesen televisyen swasta, TV3 dari tahun 1990 hingga 2014.

Sepanjang kariernya, laporan beliau sering disiarkan menerusi rancangan berita utama, Buletin Utama. Selain itu, beliau juga pernah membuat penampilan khas sebagai watak tuan rumah dalam rancangan Kecoh Betul.
Dikenali dengan gaya penyampaian tersendiri, Karam sering menyelitkan pantun dan kiasan dalam setiap laporan berita yang disampaikan, sekali gus menjadikan beliau antara wartawan yang cukup diingati ramai.

Sepanjang lebih dua dekad bersama Media Prima, beliau telah menabur bakti selama kira-kira 20 tahun sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada tahun 2014 atas faktor kesihatan.
Pemergian beliau pastinya satu kehilangan besar buat industri penyiaran tanah air. Jasamu dikenang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Nak Tunggu Ada Yang Mati Lagi Ke Baru Nak Bertindak?” Syed Saddiq Desak Polis Siasat Pihak Terlibat Dalam Kes Buli

Kejadian buli melibatkan beberapa pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) dan juga di institusi pendidikan bukan satu omong kosong, tetapi nyata berlaku sehingga membahayakan nyawa orang lain.
Terbaru, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa budaya ‘ragging’ keterlaluan membabitkan pelajar bawah umur tidak sepatutnya terjadi, malah suara ibu bapa tidak wajar disekat oleh mana-mana pihak sama sekali.
Menerusi perkongsian ciapan di aplikasi X, Saddiq turut bercadang agar pihak polis untuk melakukan serbuan segera agar tiada pihak yang berselindung, berdiam diri atau menghalang ibu bapa untuk mendedahkan kebenaran.


“Apa yang ibu bapa dan mangsa kongsikan sangat grafik serta tidak masuk akal! Bukan satu pendedahan sahaja, tetapi ramai”
“Jadi, jelas apa yang berlaku (buli di MTD) itu betul dan tidak boleh kita sembunyi atau nafikan. Jangan sampai kes Allahyarham Zulfarhan Osman terjadi lagi,” katanya.
“Saya juga harap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin ambil inisiatif untuk pastikan kes buli sebegini tidak berulang,” jelasnya lagi kepada Sinar Harian ketika ditemui di salah sebuah hotel, semalam.
BACA: Bagaikan Tiada Titik Noktah, Ini Kes Buli Yang Pernah Terjadi Di Negara Kita

@remaja.my Remaja Facts: Macam semakin menjadi-jadi pula kes buli di negara kita. Ingatkan selepas apa yang terjadi sebelum ini, banyak pihak yang mula ambil iktibar dan pengajaran. Rupanya tidak… Kali ini REMAJA nak kongsi dengan anda semua beberapa kes buli di negara kita yang pernah terjadi sehingga meragut nyawa pelajar😢 Adilkah mereka diperlakukan sebegitu rupa? Mengapa masih ada yang berdiam diri? Apa yang anda akan lakukan jika mangsa merupakan ahli keluarga atau rakan baik anda sendiri?😔 Jom lakukan perubahan, jangan biarkan buli terjadi… #majalahremaja #remaja #remajamalaysia #saynotobully ♬ original sound – Remaja
Terdahulu, beberapa bekas pelajar beserta ibu bapa membuat pendedahan eksklusif kepada Sinar Harian dengan mendakwa dibuli dan didenda secara keterlaluan oleh senior Tingkatan Lima.
Dakwa pengadu, dia dipaksa melakukan denda ‘commando rest’ sambil muka dilemaskan dalam baldi berisi air bukan niat bergurau, sebaliknya mahu membunuh.
Bukan itu sahaja, ibu kepada salah seorang mangsa buli juga mendedahkan bahawa anaknya pernah diliwat senior, kes didengar dan pelaku sudah dijatuhkan hukuman.
Walau bagaimanapun, dakwa wanita tersebut, anak lelakinya dipaksa lapor diri kepada senior selama 60 hari dari bilik ke bilik gara-gara melaporkan perkara berkenaan, bahkan dipaksa mop lantai menggunakan lidah.


Selain itu, ada antaranya mendakwa perbuatan buli di sekolah terbabit dipengaruhi oleh kewujudan beberapa organisasi dalaman seperti Enam Jahanam, Enam Azazil, Tujuh Malaikat Maut dan sebagainya bagi menghalalkan kegiatan pukul-memukul atau curi.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga alumni MTD kumpulan Delta pada 2008 dan 2009 berpandangan, kes buli tidak dinafikan berlaku di mana-mana institusi pengajian, namun beliau tidak menyangka buli yang terjadi kini banyak berlaku sampai ke tahap diajar membunuh.
“Memang tak berperikemanusiaan. Perkara ini sudah sampai tahap kalau tak dikekang akan jadi lebih teruk,” ujarnya.
BACA: Sentiasa Kekal Aura Positif, Mek Yun Harap Undang-Undang Terhadap Pembuli Siber Diperketat


BACA: Kawan Sekolah Buka Cerita Lama, Ungkap Seungkwan Seventeen Pernah Bela Mangsa Buli
Ditanya mengenai persoalan berbangkit mengapa ibu bapa dan mangsa tidak mahu melaporkannya kepada polis, Saddiq berpendapat, apabila melibatkan institusi ketenteraan dengan kerahsiaan yang sangat tinggi, orang ramai cenderung berbuat demikian akibat terlalu takut.
“Ramai orang takut nak lapor polis, nak harapkan anak-anak ini yang sekarang memang terputus hubungan dengan keluarga. Kalau lapor sedikit pun kena pukul, dilabel ‘kaki lapor’ dan disisihkan oleh kawan-kawan,” tambahnya.
Menurutnya, budaya yang sangat menakutkan ini juga menyebabkan mangsa dan orang sekeliling tidak berani ke depan.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tahniah! Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Diiktiraf Dalam Tiga Anugerah Berprestij Universiti Dunia!

Terbaru, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berjaya menempa nama sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi di Malaysia yang tersenarai dalam tiga (3) kategori ‘Times Higher Education Awards Asia 2024’.
Menurut Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit, beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai sebuah pengiktirafan kepada warga universiti serta negeri Sarawak dan Malaysia.
“Kesungguhan UNIMAS dalam berdepan dengan komuniti di negeri ini khususnya telah diiktiraf oleh Times Higher Education (THE), University Impact Ranking dalam memperjuangkan 17 agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya dalam ucapan pada Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-28 pada 4 November.

“Kejayaan UNIMAS juga terserlah apabila diletakkan di kedudukan ke-301 universiti di dunia Times Higher Education Impact Rankings 2024 berbanding kedudukan 401 sebelum ini”
Dalam pada itu, empat kategori SGD juga telah menempatkan UNIMAS dalam kedudukan 100 teratas dunia iaitu SDG 17 ‘Partnership for The Goal’ dalam kedudukan ke-18 dunia. Selain itu, SDG 2 ‘Zero Hunger’ dalam kedudukan 57 dunia, SDG 14 ‘Life Below Water’ di kedudukan 61 dunia dan SDG 15 ‘Life on Land’ di kedudukan ke-76 dunia.

Pencapaian dan pengiktirafan itu membuktikan UNIMAS mampu mencipta kejayaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, hubungan kerjasama dan kolaboratif peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, pada Majlis Konvokesyen Ke-28 UNIMAS merekodkan 3,938 graduan yang akan diraikan dan daripada jumlah tersebut seramai 3,321 orang adalah graduan prasiswazah dan 617 orang lagi merupakan graduan pascasiswazah.
Sumber: Facebook Universiti Malaysia Sarawak
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tak Sangka Jerawat Jadi Punca Kematian, Segitiga Kematian Wajah Ragut Nyawa Suami Tercinta

Siapa sangka, niat seorang isteri untuk membantu mengurangkan kesakitan jerawat di wajah suaminya akhirnya bertukar menjadi tragedi yang meragut nyawa insan tersayang. Perkara yang kelihatan kecil ini rupa-rupanya menyimpan risiko besar yang jarang disedari.
Perkongsian menyayat hati ini dikongsikan oleh seorang wanita di media sosial menggunakan akaun burhansyfq1.
Beliau menceritakan penyesalan terbesar dalam hidupnya satu kejadian yang langsung tidak pernah terlintas di fikirannya akan membawa akibat sedemikian rupa.
Suami Merantau Jauh Demi Mencari Rezeki
Menurut wanita tersebut, suaminya merupakan seorang lelaki yang kuat bekerja dan sanggup merantau jauh demi mencari rezeki untuk keluarga. Suaminya bekerja di lapangan dan hanya pulang ke rumah setiap tiga bulan sekali.
Ketika kejadian berlaku, wanita itu sedang hamil muda. Kepulangan suami menjadi detik yang dinanti, diisi dengan kebahagiaan sederhana dan gurauan sebagai suami isteri selepas lama berjauhan.

Jerawat Di Hidung Yang Disangka Perkara Remeh
Pada suatu hari, ketika mereka sedang makan dan berbual mesra, suaminya mengadu mengenai jerawat di bahagian hidung yang tidak kunjung hilang. Si isteri hanya menenangkan suaminya dengan berkata jerawat tersebut akan sembuh dengan sendirinya.
Namun dalam suasana bergurau, suaminya mengusik isterinya sehingga membuatkan si isteri secara spontan memicit jerawat tersebut.
Ketika itu, mereka langsung tidak menyangka apa-apa kerana suaminya hanya ketawa dan memberi keizinan.
Perkara sama berulang beberapa kali dalam tempoh beberapa hari berikutnya, tanpa menyedari bahaya besar yang tersembunyi di kawasan dikenali sebagai segitiga kematian wajah.
Tanda-Tanda Awal Masalah Kesihatan

Keesokan paginya, si isteri terkejut apabila suaminya mengadu pening kepala dan badannya terasa panas. Pada mulanya, mereka menyangka ia hanyalah demam biasa lalu memberikan ubat seperti kebiasaan.
Namun keadaan suaminya tidak semakin pulih. Demamnya berlarutan, bahagian hidung menjadi merah dan bengkak, dan suaminya mengadu sakit kepala yang semakin teruk sehingga ke bahagian belakang kepala.
Keadaan tersebut akhirnya memaksa mereka mendapatkan rawatan di hospital.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat darah beku di bahagian dalam hidung yang memerlukan rawatan intensif.
Keadaan menjadi semakin kritikal apabila doktor mengesahkan berlaku pendarahan yang telah merebak ke pembuluh darah otak.
Pembedahan segera terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan nyawa suaminya.
Ketika itu, doktor bertanya sama ada sebelum ini terdapat sebarang cubaan memicit jerawat di kawasan segitiga kematian wajah, iaitu kawasan sensitif yang mempunyai hubungan terus dengan salur darah ke otak.
Soalan tersebut membuatkan si isteri terdiam dan tergamam.
Penyesalan Yang Tidak Terungkap Dengan Kata-Kata
Wanita itu akhirnya mengakui kepada doktor bahawa dialah yang pernah membantu memicit jerawat suaminya kerana menyangka ia perkara remeh dan boleh mempercepatkan penyembuhan.
Doktor menjelaskan bahawa jangkitan di kawasan tersebut boleh merebak dengan cepat dan menyebabkan komplikasi serius seperti pendarahan otak, jangkitan darah dan kematian.
Si isteri mengakui dirinya benar-benar lemah, menangis tanpa henti dan hampir pengsan kerana rasa bersalah yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
Dua hari selepas pembedahan dilakukan, suaminya disahkan meninggal dunia. Dunia seakan terhenti buat wanita itu, malah beliau pengsan sebaik menerima khabar duka tersebut.
Di akhir perkongsiannya, wanita itu berharap kisah hidupnya dapat dijadikan pengajaran buat semua supaya tidak memandang remeh perkara yang kelihatan kecil, dan sentiasa mendapatkan nasihat serta rawatan perubatan yang betul.
“Mohon doakan suamiku tenang di sana,” tulisnya dengan penuh pilu.
Sumber : Tiktok Burhansyfq1
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

