
Kedua-duanya bakal pelapis dunia sukan negara.
Earl Isaac Mitzler Fredolin dan Ng Jing Xuan masing-masing berusia 14 dan 18 tahun telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2022. Kejayaan yang dicapai ini seiring dengan prestasi yang ditonjolkan.
Earl Isaac yang merupakan seorang atlet lontar peluru telah mencipta kejutan dengan memecahkan rekod kategori lelaki 15 tahun sekaligus menyumbang pingat emas kepada kontinjen Sabah. Dia mencatatkan lontaran sejauh 18.26 meter.

Selain bergelar Olahragawan secara keseluruhan, Earl Isaac turut diiktiraf sebagai peserta tebaik bagi kategori lelaki 15 tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Raih Empat Pingat Emas! Pengiran Aidil Auf Cemerlang Di Kejohanan Olahraga MSSM 2022
Dari negeri di bawah bayu kita ke bumi kenyalang pula. Gadis tinggi lampai, Ng Jing Xuan yang berasal dari Sarawak ternyata tiada tandingan saat melakukan aksi cemerlang dalam acara rejam lembing kategori perempuan 18 tahun.

Dia yang merupakan pelajar tingkatang enam Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang turut mencipta sejarah apabila memecahkan rekod kejohanan dengan catatan 44.10 meter. Selain bergelar Olahragawati secara keseluruhan, Ng Jing Xuan juga memenerima gelaran peserta terbaik kategori wanita 18 tahun.
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, selain mewakili Sarawak dalam Kejohanan Olahraga MSSM 2022, gadis ini juga turut mewakili negerinya dalam SUKMA 2022 dan cemerlang menggondol pingat emas.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Gadis Pedalaman Gigih Berperahu Ke Sekolah, Kini Boleh Berbangga Sebagai Peguam!

Benar kata orang, hanya pendidikan sahaja mampu mengubah nasib hidup kita dari susah kepada senang. Itulah yang dilalui oleh gadis yang berasal dari pedalaman ini yang kini berjaya bergelar peguam.
ARTIKEL BERKAITAN: Guru Pedalaman Guna Elaun Sendiri Hias Kelas, Cipta Suasana Belajar Seperti Kafe!
Hasil kesungguhan dan kecekalan dalam menuntut ilmu, menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Meskipun terpaksa bersusah payah dan melipatgandakan usaha dalam menimba ilmu.
Ikuti Perkongsiannya
Basak Budouk Basak Tenguk.
Itu pepatah dalam dialek Melanau Dalat yang membawa maksud asalkan rajin berusaha akan memperoleh hasil yang lumayan.
Pepatah itu juga mengambarkan usaha kental Jacquelyn Juliet Suching, 25, wanita asal Kampung Kebuaw, di sini, sebuah perkampungan pendalaman di Sarawak mengejar impian ke menara gading sehingga berjaya bergelar peguam.

Ubah Nasib Keluarga
Wanita Melanau Iban yang berasal daripada keluarga petani itu bersemangat mahu mengubah nasib keluarganya dengan pendidikan biarpun perlu merentas Sungai Rajang dengan menaiki perahu dihantar ibu setiap hari untuk ke sekolah.
Kisah Jacquelyn Juliet mendapat perhatian di TikTok selepas peguam muda itu berkongsi video yang dimulai dengan dirinya ketika berusia 11 tahun pulang dari sekolah ditunggu ibu di perahu, bergraduasi dan ditauliahkan sebagai peguam.
Berkongsi kisahnya, Jacquelyn Juliet berkata, kampungnya terletak di bahagian hilir Sungai Rajang dan selama enam tahun dia menjadikan perahu sebagai pengangkutan utama ke sekolah di persisiran Sungai Rajang, Batang Igan.

Ibu Bapa Utamakan Pendidikan
Menurutnya, setiap hari dia akan dihantar dan diambil ibu, Catherine Stin, 48, yang mengemudi perahu sendirian, sementara bapa, Suching Jugei, 58, mengambil upah berkerja di kebun rumbia milik orang.
“Sebagai anak pedalaman saya sudah biasa merentasi Sungai Rajang, malah tak berasa takut menyeberanginya biarpun ada buaya kerana perahu satu-satunya kenderaan kami di kampung untuk ke sekolah. Lagipun saya tahu hanya dengan pendidikan dapat mengubah nasib kita.”
“Malah saya beruntung mempunyai ibu bapa yang sangat mengutamakan pendidikan, malah pendapatan tidak menentu sebagai petani dan mengambil upah mengerjakan kebun rumbia tetap diutamakan untuk persekolahan kami,” katanya.

Cuti Sekolah Bantu Mak Ayah Di Kebun Rumbia
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, ketika berusia 13 tahun dia belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Miri dan setiap kali cuti sekolah dia akan membantu ibu bapa di kebun rumbia untuk mencari pendapatan lebih, manakala waktu makan dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran.
“Kehidupan sederhana tanpa kemewahan di kampung yang tiada kemudahan internet yang baik, jalan raya dan air bersih mendidik saya untuk tekad mengejar impian sekali gus membuktikan anak pedalaman juga boleh mencapai cita-cita.”

“Sehingga belajar di universiti saya dan adik-beradik masih membantu mak dan ayah di kebun rumbia. Itu juga menaikkan semangat saya untuk memberi kesenangan kepada mereka yang banyak mengorbankan masa serta tenaga untuk kami,” katanya yang kini berkerja di sebuah firma guaman di Bintulu.
Kerja Keras Ibu Bapa
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah itu berkata, kejayaan yang diperolehinya disifatkan bukan usahanya semata-mata sebaliknya ia adalah kerja keras ibu bapanya yang membanting tulang empat kerat.
“Saya masih baru dalam bidang perundangan kira-kira setahun tujuh bulan termasuk tempoh chambering dan apabila sudah tamat belajar saya melihat apa diperolehi ini hasil usaha pahit manis sejak kecil menjadikan saya sebak.”
“Walaupun mak ayah hanya petani tetapi mampu membentuk masa depan kami dengan pendidikan. Tiga adik saya juga masing-masing bergraduasi dan masih belajar di universiti tempatan dan seorang di Australia, manakala dua abang saya sudah berkeluarga dan berkerja,” kata Jacquelyn Juliet
Berhubung video TikToknya, katanya video itu dirakam guru matematik, Cikgu Ermi pada 2009 dan ketika itu dia adalah pelajar terakhir yang pulang selepas mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.
Katanya, Cikgu Ermi memberikan video itu kepadanya pada 2018 namun dia tidak pernah berkongsi video berkenaan di media sosialnya sebelum tergerak hati untuk memuat naik di TikTok, baru-baru ini sebagai kenangan selain penghargaan buat ibu bapa dan guru serta pensyarahnya.
@iamcqlyn Kadang kala kita hampir lupa dan tanpa sedar bahawa kita sudah melewati banyak kisah pahit manis di lembah kehidupan kita❤️ Peluk erat tubuhmu, jaga dia baik-baik kerna dia bertahan untukmu🥰 #usik #usikfebyputri #kehidupan #fyp #tuhanitubaik #younggirl #loveyourself #throwback #foryoupage ♬ original sound – Iamcqlyn – Juliet Paradise
REMAJA : Tahniah atas kejayaan mencapai cita-cita bergelar peguam. Meskipun laluannya tak mudah, terpaksa meredah sungai yang ada buaya dengan perahu ketika pergi ke sekolah, namun tetap cekal untuk rajin belajar. Semoga menjadi inspirasi buat remaja diluar sana.
BACA LAGI: Bersin & Gatal Hidung Akibat RESDUNG, Atasi Dengan Petua Semula Jadi Ini!
Artikel diambil dan diolah daripada Mingguan Wanita.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terima Tajaan Dari JDT, Pelumba Negara Hafizh Syahrin Tekad ‘Tunjuk Taring’ Di Kejuaraan Motosikal Asia 2024

Selepas mendapat tajaan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT), pelumba motosikal negara Hafizh Syahrin Abdullah bertekad untuk menunjukkan ‘taring sebenar’ di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelumba Negara Dipuji, Harumkan Nama Malaysia Di Sepanyol Dengan Raih Tempat Kedua

Pelumba berusia 29 tahun itu berkata sudah pasti impiannya mampu tercapai apabila
kemudahan dan kelengkapan fasiliti yang disediakan JDT berada dalam kelas tersendiri.
Hafizh turut menzahirkan penghargaan kepada pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberi peluang kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga JDT.

“Saya harap dapat menunjukkan kebolehan yang sebenar dalam memastikan JDT Racing Team berjaya sebagai pasukan yang boleh menaikkan nama JDT dalam sukan permotoran.
“….dan telah terbukti apabila JDT membuat sesuatu mesti bersungguh-sungguh dan
profesional. Jika dilihat kemampuan dari segi fasiliti, kemajuan dan sumber-sumber yang
disediakan adalah sangat baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam hantaran di Facebook Johor Southern Tigers baru-baru ini, JDT mengesahkan akan terus melebarkan sayap dengan menceburi sukan permotoran bersama Hafizh Syahrin bermula tahun depan.

JDT Racing Team akan mula beraksi di ARRC pada musim 2024. Selain bola sepak, JDT turut menceburi sukan lain seperti futsal, polo, tinju dan hoki ais.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
IHSAN FOTO/ARTIKEL: BERNAMA
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Elakkan Penggunaan Ayat Yang Tergantung

Dalam media sosial, kita sering membaca rangkai kata yang berikut:
1. Semoga usaha beliau dipermudah oleh-Nya
Persoalannya ialah adakah rangkai kata di atas ini merupakan ayat? Jika ayat, mengapakah saya tidak meletakkan tanda noktah?
Rangkai kata tersebut sebenarnya klausa, bukan ayat. Hal ini dikatakan demikian kerana ayat yang gramatis mestilah mengandungi ayat induk atau klausa bebas. Ayat yang lengkap dan gramatis tidak boleh dikepalai oleh kata hubung. Sila perhatikan rangkai kata yang berikut di bawah ini:
2. Jika kita tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)
3. Agar kamu mencapai kejayaan yang cemerlang
4. Oleh sebab kerajaan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
5. Manakala novel Tirani dikarang oleh Beb Sabariah.
6. Kerana dia disahkan positif COVID-19
7. Supaya beliau dapat berehat
8. Bahawa masalah itu sangat rumit
9. Dengan menggunakan segala peralatan yang ada
10. Sementara menunggu keputusan peperiksaan diumumkan
Semua binaan atau rangkai kata (1) hingga (10) di atas ialah klausa tidak bebas atau ayat tergantung. Ayat tersebut dikatakan ayat tergantung kerana ayat yang dihasilkan tiada klausa bebas atau ayat induk. Binaan atau rangkai kata yang gramatis sepatutnya adalah seperti yang berikut:
1(a) Saya berdoa semoga usaha beliau dipermudah oleh-Nya.
2(a) Jika kita tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), kita akan disaman.
3(a) Kamu perlu berusaha dengan gigihnya agar kamu mencapai kejayaan yang cemerlang.
4(a) Oleh sebab kerajaan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak aktiviti rakyat terjejas.
5(a) Novel Leftenan Wira Bangsa dikarang oleh Abdul Latip Talib, manakala novel Tirani dikarang oleh Beb Sabariah.
6(a) Dia akan dibawa ke pusat kuarantin kerana dia disahkan positif COVID-19.
7(a) Jangan ganggu beliau supaya beliau dapat berehat.
8(a) Beliau menyatakan bahawa masalah itu sangat rumit
9(a) Kami akan mengatasi masalah saluran yang tersumbat itu dengan menggunakan segala peralatan yang ada.
10(a) Kakak bekerja di restoran makanan segera itu sementara menunggu keputusan peperiksaan diumumkan.
Sebagai kesimpulannya, kita hendaklah menggunakan ayat yang betul atau gramatis untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara kita. Ayat yang gramatis ialah ayat yang lengkap dari segi subjek dan predikat atau menepati peraturan tatabahasa yang baku. Ingatlah bahawa bahasa jiwa bangsa. Hilang bahasa lenyaplah bangsa. Remaja yang berwawasan pula ialah remaja yang sentiasa menjaga bahasa supaya martabat dan kedudukan bahasanya sentiasa terpelihara
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Abdul Ghalib bin Yunus
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

