Khabar duka masih menyelubungi seluruh negara sejak malam tadi apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam, pada usia 85 tahun.
Sepanjang enam tahun memimpin negara, Tun Abdullah bukan saja dikenang dengan pendekatan kepimpinan yang tenang dan berhemah, tapi juga kerana satu slogan yang sampai sekarang masih segar di ingatan rakyat iaitu ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’ menjadi simbol pentadbiran beliau yang fokus pada pembangunan menyeluruh dari segi ekonomi, pendidikan, sains, hingga nilai kemanusiaan.
Pendekatan gaya kepimpinan beliau sangat berbeza dan Tun Abdullah tidak memilih untuk garang atau populis, sebaliknya percaya bahawa kejayaan negara bermula dari pembangunan insan. Disebabkan itu jugalah beliau dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan dan sentiasa ingin memastikan anak muda negara ini mempunyai ilmu, etika dan jiwa besar.
“Apabila kita berjaya mencapai tahap cemerlang, gemilang dan terbilang, walau sekecil manapun bilangan kita, walau sebesar manapun perhimpunan, walau di bumi mana kita berada, walau di bawah langit mana kita bernaung, kehadiran kita akan dirasai dan diberi penghormatan,” begitulah petikan ucapan beliau ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO ke-56 pada 2005.
Dalam pada itu, Tun Abdullah turut disanjung kerana menjadi salah seorang pemimpin yang tidak suka menunjukkan kuasa dan memilih pendekatan yang lebih lembut, bijak dan berjiwa rakyat.
“Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama saya,” antara kata-kata keramat yang membuktikan gaya kepimpinan beliau yang inklusif. Pada awal pentadbirannya beliau juga jelas mahu rakyat, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik bekerja bersama-sama dalam membangunkan negara.
Selain itu, beliau turut memperjuangkan integriti dan ketelusan dengan melancarkan Pelan Integriti Nasional serta menubuhkan Institut Integriti Malaysia. “Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan, tetapi muflis dari segi nilai moral, etika dan integriti,” katanya sewaktu pelancaran pelan tersebut — satu mesej yang masih relevan hingga hari ini.
Tun Abdullah juga menaik taraf BPR menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuh usaha membanteras rasuah. Malah, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap PDRM membuktikan iltizam beliau untuk memperbaiki institusi negara demi kebaikan rakyat.
Walaupun kini Pak Lah sudah pergi meninggalkan rakyat Malaysia, semangat yang dibawa beliau pasti masih kekal hidup. Slogan ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’ bukan sekadar kenangan, tetapi menjadi prinsip hidup dan pentadbiran akan kekal dikenang generasi muda. Kami di REMAJA mengucapkan salam takziah dan terima kasih atas segala jasa Pak Lah. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman, Al-Fatihah.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Korea Utara mungkin merupakan sebuah negara yang paling tertutup di dunia di mana masyarakat antarabangsa tidak begitu mengetahui serba-serbi mengenai sistem pemerintahan serta cara rakyatnya melalui kehidupan harian.
Justeru, apabila Korea Utara baru-baru merasmikan sebuah resort peranginan bertaraf antarabangsa di Pantai Wonsan Kalma yang terletak di pantai timur negara berkenaan; dunia terkejut dengan perkembangan terbaru itu memandangkan perspektif mereka kononnya Korea Utara bersifat ‘kuno’ dan tidak maju seperti negara-negara lain ternyata meleset.
Perasmian Wonsan Kalma Coastal Resort ini telah disempurnakan pada 24 Jun lalu oleh Kim Jong Un.
Pemimpin Korea Utara itu menyifatkannya sebagai salah satu kejayaan terbesar Korea Utara pada tahun ini dan bakal menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan negara itu.
REMAJA difahamkan pembinaan Wonsan Kalma Coastal Resort telah mengambil masa selama lebih sedekad dan ia merupakan salah satu visi Jong Un pada tahun 2013 untuk mengubah Wonsan daripada lokasi pelabuhan menjadi pusat peranginan budaya pelancong bertaraf dunia.
Ia merentasi sejauh empat kilometer dengan kemudahan seperti hotel, hostel asrama, restoran, pusat membeli-belah, pusat rekreasi dan suka serta taman tema air sepanjang garis pantai tersebut.
Sejak dibuka pada 1 Julai lalu, Wonsan Kalma Coastal Resort hanya menerima kunjungan penduduk tempatan terlebih dahulu.
Manakala untuk pelancong asing pula, tidak lama lagi ia akan dibuka kepada pelancongan dari Rusia yang boleh mendapat akses terhad untuk melawat ke beberapa kawasan di Korea Utara.
Kerajaan Korea Utara juga dijangka akan melonggarkan sekatan kepada pelancong asing dari negara lain secara berperingkat bermula daripada China yang mempunyai hubungan perdagangan dua hala dengan Korea Utara.
Apa pendapat korang, teringin tak nak melancong ke sini?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Selena Gomez, bintang Hollywood yang terkenal dengan bakat serba boleh, kini menambah gelaran baharu yang mungkin tidak ramai menjangkakannya – billionaire!
Wanita 32 tahun ini mencatat sejarah baru apabila diiktiraf sebagai salah seorang bilionair termuda di Amerika Syarikat. Dengan anggaran nilai kekayaan yang mencecah RM5.6 bilion.
Dari Bintang Hiburan ke Usahawan Berjaya
Selena Gomez memulakan kariernya sejak kecil, dan popularitinya melonjak ketika membintangi siri Disney, Wizards of Waverly Place. Sejak itu, Selena terus mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang, termasuk industri muzik, di mana dia telah mengeluarkan beberapa album yang mencapai kejayaan komersial. Namun, kekayaan besar yang dikecapinya kini bukan hanya dari hasil kerja dalam dunia hiburan.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kekayaan Selena adalah perniagaan kecantikannya, Rare Beauty. Jenama yang diasaskannya pada tahun 2020 ini telah mendapat sambutan hangat dan berjaya memikat hati pengguna di seluruh dunia. Rare Beauty bukan sekadar jenama kecantikan biasa, tetapi juga menekankan mesej positif tentang penerimaan diri dan kesihatan mental, yang sangat dekat dengan pengikut setia Selena. Dalam tempoh singkat, jenama ini telah berjaya meraih keuntungan besar, menyumbang secara signifikan kepada peningkatan kekayaannya.
Pelaburan Bijak dan Kerjasama Strategik
Selain daripada jenama kecantikan, Selena juga terkenal sebagai seorang pelabur yang bijak. Beliau telah membuat beberapa pelaburan dalam pelbagai syarikat teknologi dan perniagaan, yang turut memperkukuhkan kedudukan kewangannya. Selain itu, Selena juga terlibat dalam kerjasama dengan jenama-jenama besar seperti Puma dan Coach, yang menambah kepada pendapatan keseluruhannya.
Penglibatannya dalam dunia perniagaan telah menunjukkan bahawa Selena bukan sahaja seorang selebriti yang berjaya di pentas seni, tetapi juga seorang usahawan yang berfikiran jauh. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, beliau telah mengukuhkan jenamanya dan memastikan kehadirannya bukan sahaja di dunia hiburan, tetapi juga dalam dunia perniagaan global.
Inspirasi kepada Generasi Muda
Selena Gomez kini bergelar bilionair, menjadikannya salah seorang bilionair termuda yang berjaya dengan usaha sendiri di Amerika Syarikat. Kejayaan ini menjadi inspirasi kepada ramai, terutamanya golongan muda yang memandang tinggi kepada beliau sebagai contoh teladan.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam perjalanan hidupnya, termasuk masalah kesihatan mental dan fizikal, Selena telah membuktikan bahawa dengan kerja keras, dedikasi, dan ketekunan, sesiapa sahaja boleh mencapai kejayaan besar. Keberaniannya dalam berkongsi tentang perjuangannya melawan penyakit lupus dan kesihatan mental turut menjadikan beliau lebih dihormati sebagai seorang ikon yang tulus dan jujur.
Kejayaan ini menjadikan beliau inspirasi kepada ramai, dan Selena terus membuktikan bahawa tiada had untuk apa yang boleh dicapai jika kita berani bermimpi dan berusaha keras.
Poster perlantikan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pakar di Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCced) telah mencetuskan perdebatan ramai pihak di media sosial.
Ini kerana, segelintir netizen beranggapan tidak bersesuaian apabila gelaran itu diberikan kepada Siti Nurhaliza atau lebih dikenali dengan nama Tokti susulan tidak memiliki pencapaian akademik yang tinggi.
Namun beberapa pengguna di media sosial tampil menjelaskan pendapat negatif mereka yang berasa gelaran itu seolah-olah akan merendahkan martabat Universiti Malaya (UM).
Bagi seorang pengguna, Khairunnisa Abdul Karim mempertahankan pelantikan berkenaan walaupun Siti Nurhaliza hanya mempunyai SPM namun ada pengalaman yang banyak dalam industri.
“Ini masterclass bukan program diploma, ijazah atau sarjana. Masterclass banyak diajar oleh “pakar” dalam industri.
“Ada penulis (bukan ada ijazah penulisan), ada pengarah filem (tanpa ijazah perfileman), ada penceramah motivasi (tak ada ijazah psikologi pun). DS Siti dijemput untuk ajar seni vokal bukan ajar teknologi rakaman audio.
“Sama juga dengan penyanyi G-Dragon yang baru-baru ini dilantik jadi pensyarah jemputan di Fakulti Kejuruteraan CIAST untuk ajar subjek kepimpinan bukan ajar teknologi kejuruteraan. Berpada-padalah mengutuk. Tahniah DS Siti Nurhaliza,” katanya.
Bagi pengguna Dem Rembul pula, pakar maksudnya seseorang yang ahli dalam sesuatu bidang sama ada dari aspek pengetahuan atau kemahiran, atau merangkumi kedua-duanya iaitu pakar ilmu dan praktis sekaligus.
“Seseorang yang sudah mengusahakan ladang durian dengan jaya selama 20 hingga 30 tahun boleh dianggap pakar perladangan. Tapi mungkin belum boleh dianggap pakar agrotani.
“Sebab kepakaran praktikal tidak sama dengan kepakaran ilmu yang menuntut asas saintifik yang lebih sistematik. Begitu juga. Seorang pakar sains agrotani berkelulusan PhD belum tentu layak dipanggil pakar perladangan.
“Kerana mempunyai ilmu tani yang tinggi, belum tentu memiliki kemahiran berladang yang efektif,” tulisnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!