
Nursyamira Izzati Mohd Nazir atau lebih dikenali sebagai Mira Nazir pernah memecahkan rekod pencarian Dewi Remaja kerana menjadi peserta berhijab pertama yang beraksi di pentas final.
Selepas menamatkan program pencarian Dewi Remaja 2019, rezeki Mira Nazir nampaknya lebih ke arah bidang pengacaraan kerana selepas menjadi hos dalam program bual bicara Infiniteen di stesen RTM, Mira kini menjadi hos bagi rancangan Mahir di siaran Didik TV.

“Alhamdulillah, selepas mengacarakan program remaja, Infiniteen, Mira kini diberi peluang untuk menjadi hos bagi program pendidikan pula. Mahir adalah sebuah rancangan pendidikan yang memaparkan pembelajaran secara teknikal dan kemahiran. Guru jemputan yang hadir tidak mengajar menggunakan slides atau white board, tetapi mereka perlu lebih memfokuskan pada teknik kemahiran dan kreativiti,”
“Rancangan ini meliputi semua subjek mata pelajaran di sekolah daripada peringkat tadika hinggalah Sekolah Menengah. Banyak yang saya pelajari sepanjang mengacarakan program ini kerana jika mahu dibandingkan dengan program pengacaraan sebelum ini, ia sangat berbeza kerana kini lebih tertumpu pada bidang pendidikan,” jelas Mira Nazir.
Buat ulangkaji semula
Mira juga mengakui bahawa tidak mudah untuk mengacarakan sebuah program pendidikan kerana baginya, dia perlu menjadi seorang yang bijak ketika berhadapan dengan kamera dan guru jemputan.
“Sebelum memulakan program siaran langsung, saya akan membuat ulang kaji serba sedikit dengan mencari tahu subjek pembelajaran terkini pelajar di sekolah. Bukan apa, saya ni boleh dikatakan sudah lama meninggalkan persekolahan, mungkin sistem pembelajaran dah tak sama seperti dahulu. Jadi, penting untuk saya untuk membuat research dan sedikit ulang kaji sebelum beraksi di kaca televisyen,”

“Saya juga akan bertanyakan kepada guru jemputan untuk memastikan segala informasi yang diperoleh dan pemahaman saya adalah betul atau tidak. Sekiranya ada kesalahan, guru tersebut akan memperbetulkan kesilapan itu sebelum kami memulakan penggambaran,” sambungnya lagi.
Ditanya apakah perbezaan mengacara program Infiniteen dan Mahir, Mira menjelaskan kedua-dua program tersebut seakan sama kerana ia dilakukan secara langsung. Namun, apa yang berbezanya adalah daripada segi pengisiannya.
“Daripada segi pengacaraan, program Infiniteen adalah lebih santai dan saya turut digandingkan bersama pengacara lain. Tetamu undangan pula dibuat secara dalam talian atau pun live di studio. Bagi Didik TV pula, saya ditugaskan secara berseorangan dengan seorang guru jemputan. Sudah tentu saya menonjolkan intelektual dan sentiasa alert dengan topik-topik pendidikan,”

“Namun, kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing. Saya senang untuk mengacarakan program-program tersebut dan bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi hos dalam dua program yang berbeza genrenya,”
“Mana tahu mungkin selepas ini rezeki saya untuk mengacarakan program jenayah atau pertanian pula kan?” kata Mira.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Lebih 450 Penyertaan Diterima, Ini Corat Coret Uji Bakat Dewi Remaja 2025

Setelah kali terakhir diadakan dua tahun lalu menyaksikan Nurel Bahrin dinobatkan sebagai juara, Pencarian Dewi Remaja 2025 telah pun membuka tirai dengan sesi uji bakat selama tiga hari yang berlangsung di The Saujana Hotel Kuala Lumpur.
Sepanjang sesi uji bakat, setiap peserta yang berjaya memasuki peringkat tiga diminta untuk mempersembahkan bakat mereka seperti lakonan, pengacaraan, nyanyian mahupun tarian. Di samping itu mereka turut diuji dengan pengucapan awam serta soalan-soalan pengetahuan am yang menguji minda.
Jom kita lihat corat-coret menarik sepanjang uji bakat berlangsung!
450 Penyertaan Diterima
Berdasarkan rekod, lebih 450 penyertaan diterima tahun ini. Menyaksikan lebih 112 terpilih untuk menyertai uji bakat tertutup menerusi borang dan video yang dihantar terlebih dahulu untuk dinilai manakala selebihnya yang tidak sempat mendaftar sebelum tarikh tutup secara atas talian hadir ketika sesi uji bakat terbuka yang diadakan pada Sabtu, 26 Julai 2025.

Juara Hero & Dewi Remaja Sebagai Juri
Jika kurang lima tahun dahulu mereka berdepan cabaran uji bakat, kini pelakon yang sedang meningat naik popularitinya, Mierul Aiman (Juara Hero Remaja 2021) dan Tracie Sinidol (Juara Dewi Remaja 2022) bertindak sebagai salah seorang panel juri disamping wakil editorial Majalah Remaja, wakil bahagian saluran Astro Ria dan wakil Produksi Televisyen dalam menilai peserta yang hadir.

Ramai Yang Memiliki Taraf Akademik Memberangsangkan
Bukan calang-calang peserta yang menyertai uji bakat. Selain ramai yang memiliki latar akademik dalam bidang teater, filem dan drama, ada juga peserta yang memiliki latar belakang seperti dalam jurusan perundangan, perubatan, perniagaan, psikologi, ekonomi dan sebagainya. Antaranya seperti Sharmaine Alexander yang kini merupakan Pupil in Chamber dan berada di semester akhir Ijazah Sarjana Undang-Undang.
Ada Juara WCOPA & Protégé Petronas
Salah seorang peserta uji bakat yang menarik perhatian juri adalah Emeraazwa Emeraldi yang mempersembahkan tarian tradisional sebagai bakatnya. Cukup memukau! Tidak hairlahlah, beliau merupakan pemenang pingat emas dan perak World Championship of Performing Arts yang berlangsung di Long Beach, California. Selain itu gadis asal Sabah ini merupakan Protégé Petronas kini.
Ada Yang Terbang Dari Perth!
Peserta terkahir yang melalui sesi uji bakat, Deena Salem, tekad terbang dari Perth, Australia untuk menghadiri uji bakat Dewi Remaja. Beliau yang merupakan penuntut dalam jurusan psikologi di salah sebuah universiti di bumi kanggaru itu, menonjolkan bakat dan personaliti menarik sehinga berjaya mengharungi cabaran ujibakat dan menerima kad passed menandakan namanya berada dalam senarai untuk dinilai sebagai finalis tahun ini.
Berakhir Jam 2 Pagi Setiap Hari
Bukan mudah untuk menjalankan uji bakat ini. Setiap hari, team Dewi Remaja memulakan hari seawal jam tujuh pagi dan sesi uji bakat berakhir sekitar jam dua pagi keesokannya. And it continued for the next three days! Namun, semuanya berbaloi kerana kami berjaya memperolehi peserta yang berbakat besar dan memiliki personaliti menarik.

Penilaian Bukan Sekadar Bakat
Peserta bukanlah dinilai berdasarkan bakat semata-mata, mereka turut dinilai dari segi daya komunikasi dan pengetahuan am. Namun begitu, sesi soal jawab soalan am dan sesetengah soalan pengucapan awam tidak dapat disiarkan kepada umum kerana kami tidak mahu soalan bocor antara peserta. Tak adil pula kepada yang menyertai uji bakat. Betul tak?

Alumni Hero & Dewi Remaja Turut Menyerikan Uji Bakat
Semangat alumni tidak pernah luntur. Beberapa orang alumni Hero Remaja dan Dewi Remaja turut memeriahkan suasana dan memberi semangat kepada para peserta yang hadir ke sesi uji bakat. Antaranya seperti Fazziq Muqris, Afiq Hamidon, Arena Wan, Nina Amin dan Bee Aishah. Thank you guys for the support!
Tangisan Kekecewaan Memecah Suasana
Daripada 450 penyertaan tidak semua akan berjaya ke peringkat seterusnya. Ada yang datang dengan harapan menggunung tinggi namun tidak berjaya melepasi peringkat ketiga. Apa yang penulis boleh kongsikan, jangan berputus asa. Ramai peserta Dewi Remaja sebelum ini mencuba nasib dua ke tiga kali sebelum berjaya bergelar finalis. Teruskan usaha!

Hanya 44 Peserta Uji Bakat Dapat Kad ‘Passed’
Daripada 450 penyertaan yang diterima, hanya 44 peserta uji bakat berjaya mendapat kad ‘passed’ menandakan nama mereka berada dalam senarai untuk dinilai oleh panel juri. Tahun ini menyaksikan 12 peserta bakal dipilih untuk bergelar finalis Dewi Remaja 2025.
Siapakah mereka? Sama-sama kita nantikan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Finalis Dewi Remaja 2022 Sudah Diumum, Siapa Pula Idola Mereka Antara Dewi Sisters?

16 orang finalis telahpun diumumkan sebagai peserta pencarian Dewi Remaja 2022 menerusi sebuah sidang media yang dilangsungkan baru-baru ini. Mereka ini dipilih menerusi empat sesi uji bakat yang telah diadakan sepanjang bulan Mac lalu iaitu di Johor, Sabah, Pulau Pinang dan Selangor.
BACA: Tampil Dengan Konsep Berbeza, Perkenalkan 16 Finalis Dewi Remaja 2022

16 orang finalis tahun ini sekali lagi bakal meneruskan legasi Dewi Remaja yang telah melahirkan ramai selebriti-selebriti wanita berbakat antaranya Aleeza Kassim, Umie Aida, Didie Alias, Scha Al Yahya, Neelofa, Izara Aishah, Anzalna Nasir, Raysha Rizrose, Shaza Bae dan ramai lagi.
Setiap kali pencarian baharu bermula, pastinya para finalis mengambil inspirasi daripada dewi-dewi terdahulu untuk meneruskan misi dalam Dewi Remaja. So guys, jom kita lihat siapa agaknya idola dewi mereka bagi finalis tahun ini.
Auni

Izara Aishah – “Saya lihat Izara seorang yang bijak kerana setiap kali menjawab soalan wartawan ayatnya begitu tersusun dan penuh keyakinan”
Fifi

Scha Al Yahya – “Dia tidak mementingkan kecantikan, dia berani tunjukkan dir dia sebenar tanpa perlu berselindung. Dia juga seorang yang fun, seperti mana yang saya tonton dia di Dewi Remaja, begitulah perwatakannya di luar”
Keeran

Neelofa – “Neelofa seorang yang pandai membawa diri dalam industri hiburan dan dia juga sangat berusaha keras untuk meletakkan diri atas kejayaan yang dikecapinya hari ini”
Reezlyn

Raysha Rizrose – “Raysha masih muda tetapi dia berusaha untuk belajar dan explore tentang dunia hiburan, Buktinya, Raysha kini antara heroin Malaysia yang berbakat”
Dina

Neelofa – “Cara dia bercakap sangat elegan, sangat tepat dan bila dia bercakap kita tahu dia seorang yang bijak. Saya juga suka cara dia menggendalikan kontroversi”
Melissa

Neelofa – “Dia memberi saya vibe ‘women empowerment’, dimana dia seorang yang berdikari dan kini menjadi seorang ibu yang penuh dengan ciri-ciri keibuan”
Hyeley

Neelofa – “Dia seorang yang confident. Neelofa ada misi dan apa yang dia nak dia akan kecapi. Dia juga seorang yang ada target dalam hidup”
Malle

Haneesya Hanee – “Saya suka cara dia handle soalan personal dan saya suka lihat keyakinan dirinya. Saya hormat dia walaupun sebelum ini dia diulit kontroversi tetapi saya sangat salute cara dia handle isu tersebut”
Bee Aishah

Neelofa – “Dia bukan sahaja berbakat dalam bidang seni, tetapi Neelofa juga pandai dalam menguruskan perniagaan. Kalau boleh, saya juga ingin menjadi seperti dia”
Zafira

Shaza Bae – “Shaza bukan sahaja seorang yang cantik tetapi dia bijak dan pandai bawa diri dalam industri hiburan”
Eiman

Haneesya Hanee – “Eiman pilih dia bukan kerana apa yang dia buat, tapi Eiman lihat bagaimana dia boleh bangkit daripada kesilapan dia walaupun ramai netizen memberi kecaman hebat”
Kimberly

Scha Al Yahya & Shaza Bae – “Dua-dua mempunyai personaliti yang saya suka kerana mereka sangat confident dan pandai bawa diri sendiri selepas tamat Dewi Remaja”
Alyssa

Scha Al Yahya – “I love her kerana dia berdiri atas bakat yang dia ada dan bukannya bergantung pada gosip untuk menempatkan diri dalam industri hiburan”
Tracie

Scha Al Yahya – “Bagi saya Scha seorang selebriti yang berbakat, banyak perkara yang saya boleh belajar daripada kak Scha tentang bagaimana untuk menonjolkan diri dalam bidang hiburan”
Rasyiqah

Raysha Rizrose – “Karakter Raysha ada sedikit persamaan dengan saya kerana dia seorang yang ‘reserved’ dan bercakap bila perlu. Walaupun masih muda, tetapi saya lihat Raysha seorang selebriti wanita yang matang”
Janani

Scha Al Yahya – “Cara dia bawa diri dari dulu hingga sekarang, Scha nampak begitu merendah diri dan itu yang paling saya suka tentang personaliti yang ditonjolkannya itu”
BACA: Tak Hanya Kejar Populariti. Ada Misi Penting Finalis Top 16 Dewi Remaja 2022, 5 Tahun Akan Datang
Pencarian Dewi Remaja 2022 bakal ditayangkan menerusi lapan (8) episod bermula 16 Julai, pada setiap hari Sabtu jam 9 malam di saluran Astro Ria. Korang juga boleh mengundi Dewi Favorite 2022 di laman web rasmi REMAJA di https://www.remaja.my/dewi/
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Autentik Cara Nurel Baharin, Dewi Remaja 2023 – Isu Digital Februari 2024

Pertama kali saya bersua muka bersama figura jelita ini, sejujurnya saya dapat merasakan ada aura juara yang sudah tersemat pada dirinya.
Mencuba nasib menerusi pencarian Hero Dewi Remaja 2023, siapa sangka tuah sememangnya ditakdirkan menjadi miliknya. Tanggal 29 Disember 2023 menjadi saksi anak jati Bumi Kenyalang ini dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2023 sekaligus meletakkannya sebaris dengan 11 juara terdahulu.
teks FATH ABU BAKAR fotografi HAIKAL SHUIB konsep FZ AIMMAN arahan seni & susunan grafik AZNIZA AZIZ penolong penyelaras ADRIANA SYAURAH suntingan foto HEZRY ROKMAN penerbit & suntingan video SURIA NUR AMIRA videografi SUFYAN MARHABAN & EZZAT SHUKRI solekan ARY MUZAMER dandanan AYANG KAMELL persalinan SACOOR BROTHERS, SACOOR BLUE, MONKI & ZAIMI ZULKAFLI lokasi SOL STUDIO

Bukan hanya handal beraksi di layar skrin, si pemilik nama penuh Nurelyana binti Baharin ini juga dianugerahkan pakej serba-serbi yang dikurniakan Ilahi, maka tidak hairanlah dia berjaya mencipta sejarah tersendiri di gelanggang finale.
Memiliki personaliti yang cukup unik dan berbeza berbanding finalis lain, selain gelak tawanya yang mencetuskan warna-warni momen menarik sepanjang pengambaran, REMAJA raikan Nurel Baharin sebagai juara Dewi Remaja 2023.
Bukan Untuk Nampak Hebat
Seperti yang ramai sudah sedia maklum, Nurel merupakan peserta sulung yang menjulang kemenangan bagi warga Sarawak menerusi pencarian Dewi Remaja. Bukan hanya gadis berusia 22 tahun ini sahaja yang meluahkan rasa bangganya menerusi pencapaian yang didambakan olehnya itu.
Bahkan, warga Sarawak lain terutamanya anak muda kelahiran negeri itu turut bangga melaungkan kegembiraan mereka di seantero media sosial pada malam keramat itu.
Tenang ditata rias oleh jurudandan, Ayang Kamell pada pagi penggambaran, Nurel mendedahkan bukan mudah untuknya menggenggam takhta Dewi Remaja 2023. Ini memandangkan tiada kejayaan yang tidak berputik daripada pelbagai onak duri, pahit dan getir yang harus ditelan.
“Saya telah membuatkan Sarawakian bangga dengan saya. Sebagaimana anda menonton aksi saya di kaca televisyen sepanjang dua bulan itu, begitulah juga cara saya menyahut segala yang mendatang dalam bidang seni selepas ini. Saya sentiasa percayakan bahawa Sarawakian boleh!
“Awal-awal lagi, saya berpesan kepada diri sendiri bahawa saya hendaklah kental hati selalu, bersabar dan redha. Saya percaya jika ada orang Sarawak yang sertai, dia bakal menjadi the next winner. Dan kata-kata itu itu bertukar realiti,” katanya membuka bicara.

Bagaikan mimpi indah yang dimaterialisasi, Nurel menzahirkan kegembiraan menggondol gelaran juara itu berlipat kali ganda apabila dirinya dimahkotakan pula oleh ‘sumandak’ Sabah yang juga merupakan Dewi Remaja 2022, Tracie Sinidol.
Sempat bertanya sekiranya dirinya merasakan layak untuk meneruskan legasi selaku Dewi Remaja, Nurel berkata,
“Sudah tentu. Saya percaya segala kerja keras dan kesungguhan dalam apa-apa bidang akan berbayar jua satu hari nanti.”
“Hanya Tuhan tahu perasaan apabila saya dimahkotakan oleh Tracie. Ini kerana saya sendiri menyaksikan kesungguhannya sewaktu dalam pencarian Dewi Remaja 2022. Sehingga sekarang, Tracie belum pernah gagal membawakan nilai positif dalam apa jua yang dilakukannya.
“Saya berada di sini juga bukan untuk nampak hebat, jauh sekali ingin lebih menyerlah berbanding sesiapa. Saya gembira kemenangan berpihak kepada gadis Borneo untuk dua edisi berturut-turut and may both of us succeed,” ujar Nurel.
Kuasa Wanita Dalam Keluarga
Dibesarkan di Kuching Sarawak, Nurel sudah pun bertatih perlahan-lahan dalam industri seni sejak di bangku sekolah rendah lagi apabila dia aktif menceburi bidang tarian sekitar usia sembilan tahun. Tidak hairanlah Nurel memilih untuk berdansa sebagai persembahan pembukaan tempoh hari.
Minat Nurel dalam bidang seni semakin membuak-buak sebaik sahaja melangkah ke sekolah menengah dengan bergiat aktif menerusi kelab teater pula.
Siapalah kita tanpa ibu di sisi… begitu juga sentimen yang dirasai olehnya. Kongsi Nurel, ibunya yang lebih mesra disapa sebagai Umi adalah tulang belakang utama dalam mengejar cita-cita murninya untuk bergelar seorang anak seni.
“Umi sokong sahaja apa yang saya lakukan pada ketika itu. Sehinggalah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya memaklumkan kepada Umi keinginan saya untuk menyambung pelajaran berkaitan dengan teater atau lakonan.
“Kalau nak diikutkan, keluarga saya yang menceburi bidang seni ini adalah dari belah nenek Umi. Menariknya, beliau merupakan seorang mak andam yang juga berbakat dalam nyanyian. Mungkin dari situ, saya belajar untuk mencintai bidang ini,” katanya.

Siswazah lepasan Diploma Teater daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana ini turut mendedahkan bahawa nenda kesayangannya itu adalah insan yang menjadi penyokong utama dalam mencapai impiannya selama ini.
“Ketika Jiddah (nenek) masih hidup, beliaulah insan yang akan sentiasa berikan sokongan dari A ke Z. Saya pula ketika kecil dibesarkan oleh Jiddah saya.
“Kata-kata beliau dan ilmu yang pernah beliau turunkan dahulu masih saya pegang erat hingga ke hari ini.”
“Sebelum Jiddah meninggal dunia, beliau sempat memberitahu kakak saya yang beliau ingin sungguh melihat saya berada di kaca televisyen.”
“(Sebak) Apa yang diharapkan beliau sudah pun menjadi kenyataan dan ini hanyalah permulaan. Beliau mahu saya ‘hidup’ dalam bidang ini. Akan saya bawa semangat Jiddah untuk terus berjaya selepas ini,” kongsi Nurel.
Selepas pemergian nenda tercinta, Uminya pula menjadi ‘orang kuat’ di belakang Nurel dengan mengatur setiap jadual seni selain mendapatkan peluang pekerjaan buatnya.
“Untuk job iklan, lakonan dan rancangan di televisyen, Umi yang carikan. Umi jugalah yang mencadangkan untuk saya mencuba uji bakat Hero Dewi Remaja 2023 selepas saya menamatkan pengajian peringkat diploma.”

Konsisten Tidak Terperi
Cukup menarik untuk saya imbas kembali memori dari episod pertama sehingga ke peringkat separuh akhir dalam program Hero Dewi Remaja 2023. Nurel merupakan sebilangan kecil finalis yang tidak pernah berada pada kedudukan terendah tidak kiralah apa juga cabaran yang dilontarkan ke arahnya.
Konsisten di gelanggang dan pernah juga terpilih sebagai The Best Actor menerusi episod Acting Challenge, pasti ada rahsia di sebalik kejayaan Nurel untuk Nurel kongsikan kepada para peminatnya yang setia menyokong sedari awal.
Dedah Nurel, sebagai seorang yang boleh dikatakan sudah lama mengenali dunia seni ini, dirinya cukup mengenali permainan produksi pencarian sebegini yang tidak lekang dengan cabaran berbeza. Al maklumlah, sebagai graduan bidang teater Nurel sendiri sudah terbiasa dengan selok-belok pentas.
“Ya, saya antara peserta yang tak pernah menduduki tangga terendah. Bagaimana saya maintain.. mungkin kerana saya sudah agak lama dalam industri ini baik di hadapan kamera mahupun bekerja di belakang tabir juga.
“Kosongkan minda agar saya mudah tangkap apa yang pihak juri expect daripada saya. Saya kekalkan mindset, ‘Aku buat ini bukan nak jadi better daripada dia tetapi aku buat ini untuk tunjuk kepada khalayak di luar sana apa yang aku boleh offer’. Saya cuma lakukan sehabis baik, itulah yang saya mahu,” katanya.

Sabah & Sarawak Seperti Garam & Gula Apabila Disebatikan
Pasti kamu acap kali terdengar mengenai kelincahan anak muda dari Borneo dengan darah seni yang mengalir dalam diri mereka. Kalau menyanyi mesti sedap, berlakon dan menari mesti cekap. Begitu jugalah Nurel yang berharap agar sesi uji bakat Dewi Remaja mahupun Hero Remaja seterusnya untuk dibawa ke negeri kelahirannya pula selepas ini.
“Borneo mempunyai banyak lagi bakat luar biasa. Mereka yang menanti peluang untuk mencungkil potensi dan diberikan peluang. Saya berani untuk katakan kepada kamu, pergilah ke mana-mana kampung pun di Sarawak, beri mereka mikrofon! (Ketawa) Rata-rata lunak suaranya dan mereka tidak gentar untuk menghiburkan orang di sekeliling.”

“Bagi saya, warga Sabah dan Sarawak berbeza sama sekali. Seperti garam dan gula apabila disebatikan. Masing-masing saling melengkapi dengan kualiti dan daya usaha yang tinggi. Saya berharap kita dapat bertandang ke Sarawak pula bagi musim-musim seterusnya. Harap team Remaja ke Sarawak pula ya. Mesti buat!” pelawanya mengakhiri perbualan kami.
ARTIKEL BERKAITAN: Perjuangan Ikhlas Aiman Ameer, Hero Remaja 2023 [Isu Digital Februari 2024] – REMAJA
BACA LAGI: Nurel Baharin Dinobatkan Dewi Remaja 2023 – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

