Kejayaan menggenggam diploma dan mencipta sejarah sebagai graduan ke-100,000 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pastinya menjadi detik cukup bermakna buat Muhammad Aqmal Aref Omar.

Namun, di sebalik kegembiraan tersebut, terselit rasa sebak apabila insan yang paling banyak berkorban demi pendidikannya, iaitu arwah bapanya, sudah tiada untuk menyaksikan kejayaan yang dikecapi.

Menerusi laporan media tempatan, Aqmal yang merupakan graduan Diploma Teknologi Kejuruteraan dalam Penyelenggaraan Pesawat dari UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) berkata, bapanya telah meninggal dunia pada tahun lalu sebelum sempat melihat dirinya menamatkan pengajian.

Arwah Bapa Banyak Berkorban Demi Pendidikan Anak-Anak

Menurut Aqmal, bapanya yang bekerja sebagai pemandu bersama ibunya sentiasa berusaha memberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan dia serta adik-beradiknya mendapat pendidikan yang baik.

Malah, pengorbanan kedua-dua ibu bapanya menjadi antara dorongan terbesar buat dirinya untuk terus melangkah sehingga berjaya menamatkan pengajian.

“Bapa saya seorang pemandu. Dia dan mak memang kuat bekerja. Mereka memberikan komitmen sepenuhnya untuk menyokong saya, begitu juga kakak dan abang saya.

“Namun, arwah bapa meninggal dunia tahun lalu dan tidak sempat melihat saya bergraduasi. Jadi, perkara itu agak sukar bagi saya,” katanya kepada pemberita.

Ads

Bergelar Graduan Ke-100,000 UniKL, Aqmal Sebak Kenang Pengorbanan Arwah Bapa, Terima Tajaan Sambung Pengajian

Tidak Sangka Dipilih Sebagai Graduan Ke-100,000 UniKL

Dalam pada itu, Aqmal turut meluahkan rasa syukur apabila diberi pengiktirafan sebagai graduan ke-100,000 universiti berkenaan.

Jelasnya, dia langsung tidak menjangkakan akan menerima pengiktirafan istimewa tersebut memandangkan sepanjang tempoh pengajian, dirinya hanya menjalani proses pembelajaran seperti pelajar lain tanpa mengetahui mengenai pencapaian berkenaan.

“Sejujurnya, saya memang tidak menjangkakannya. Saya hanya memohon dan mengikuti proses pengajian seperti biasa tanpa menyedari perkara itu.

“Apabila sudah bergraduasi dan dimaklumkan mengenai pengiktirafan ini, saya berasa sangat bersyukur,” katanya.

Ads

Terima Tajaan Sambung Pengajian, Hadiah Sebuah Motosikal

Lebih manis, pengiktirafan yang diterima Aqmal bukan sekadar menjadi kenangan berharga, malah turut membuka peluang buat dirinya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda menerusi tajaan UniKL.

Selain itu, dia turut menerima sebuah motosikal tajaan Kumpulan Pantai Bharu bagi membantunya sepanjang tempoh menyambung pengajian.

Berkongsi lanjut, Aqmal mengakui pada awalnya dia tidak mempunyai perancangan untuk meneruskan pengajian disebabkan kekangan kewangan, lebih-lebih lagi selepas kehilangan bapanya.

Bagaimanapun, peluang tajaan yang diterima itu sedikit sebanyak mengubah perancangannya dan memberikan ruang untuk dia terus mengejar cita-cita dalam bidang diminati.

Ads

“Selepas mendengar saya mendapat tajaan untuk sambung belajar, memang saya akan teruskan pengajian.

“Sebelum ini, saya tidak terfikir untuk sambung belajar kerana memikirkan soal duit dan arwah bapa baru sahaja meninggal dunia. Tetapi apabila mendapat peluang ini, alhamdulillah, saya anggap ia sebagai rezeki,” katanya.

Berhasrat Jadi Mekanik Pesawat Bertauliah

Mengulas mengenai perancangan masa depannya, Aqmal menyimpan impian untuk bergelar mekanik pesawat bertauliah dengan memberi tumpuan khusus kepada bidang enjin.

Menurutnya, minat mendalam terhadap komponen enjin pesawat menjadi pendorong untuk dirinya terus mengembangkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang tersebut.

“Saya memang minat bahagian enjin. Jadi, sasaran saya adalah untuk menjadi mekanik pesawat bertauliah, khususnya dalam bidang itu,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik. SUMBER: Metro Online

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads