
Pasangan kembar tidak seiras, Puteri Sofea Nabeela Haris dan Puteri Sofea Nabeeha, mencipta kenangan manis apabila kedua-duanya menerima Anugerah Graduan Terbaik UiTM 2026 sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-105 hari ini.
Lebih membanggakan, kejayaan itu diraih ketika mereka masing-masing berusia 24 tahun dan merupakan graduan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dalam bidang Sarjana Muda Statistik.
Anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang juga Canselor UiTM, sekali gus menjadikan detik berkenaan sebagai kenangan bermakna buat kedua-dua beradik itu.
Kekalkan CGPA 3.7 Ke Atas Sejak Diploma
Bagi Puteri Sofea Nabeela dan Puteri Sofea Nabeeha, pencapaian tersebut bukanlah sesuatu yang diraih dalam sekelip mata. Sebaliknya, kejayaan itu hadir hasil kesungguhan mereka dalam pelajaran serta sokongan berterusan daripada ibu bapa, pensyarah, rakan-rakan dan pihak universiti.
Menurut pasangan kembar itu, peluang mengikuti pengajian di universiti bersama-sama merupakan satu keistimewaan, lebih-lebih lagi apabila mereka berpeluang meraikan kejayaan masing-masing di pentas konvokesyen yang sama.
Puteri Sofea Nabeela berkata, antara pendekatan yang diamalkan sepanjang pengajian adalah dengan mengadakan sesi belajar bersama dan bertukar-tukar idea bagi membantu mereka memahami sesuatu subjek dengan lebih baik.
Kaedah itu turut memudahkan mereka menyiapkan tugasan serta membuat persediaan sebelum menghadapi ujian dan peperiksaan.
Malah, kedua-duanya berjaya mengekalkan purata nilai gred kumulatif (CGPA) melebihi 3.7 pada setiap semester sejak di peringkat diploma.

Tidak Segan Mendapatkan Bantuan Pensyarah
Walaupun belajar bersama memberikan kelebihan kepada mereka, Puteri Sofea Nabeela mengakui bahawa terdapat juga topik pembelajaran yang memerlukan penjelasan lanjut daripada tenaga pengajar.
Justeru, mereka tidak teragak-agak untuk mendapatkan bantuan pensyarah apabila berhadapan dengan subjek yang sukar difahami.
“Apabila berdepan topik sukar, kami memang akan mendapatkan bantuan pensyarah,” katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah itu di Dewan Agung Tuanku Canselor di UiTM di sini hari ini.
Aktif Dalam Aktiviti Universiti Selain Akademik
Di sebalik komitmen untuk mengekalkan prestasi akademik, pasangan kembar itu turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di luar bilik kuliah.
Menurut Puteri Sofea Nabeela, mereka aktif menyertai kelab fakulti dan program di peringkat universiti, termasuk aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), kesukarelawanan serta penganjuran program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Penglibatan tersebut membolehkan mereka menimba pengalaman di luar bidang akademik, di samping menyumbang kepada komuniti sepanjang tempoh pengajian.
Kejayaan Puteri Sofea Nabeela dan Puteri Sofea Nabeeha membuktikan bahawa usaha berterusan, disiplin dan sokongan insan sekeliling mampu menjadi pemangkin kepada pencapaian yang membanggakan.
Lebih istimewa, perjalanan menuntut ilmu yang ditempuhi bersama sebagai pasangan kembar kini menjadi satu lagi kenangan berharga apabila kedua-duanya berjaya mengukir pencapaian tertinggi di universiti yang sama.

— fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
















