Ketika penulis berkesempatan menemu bual figura muda yang seorang ini, ada keistimewaan yang dimiliki oleh anak jati negeri di bawah bayu, Sabah ini.
Adam Shamil, pendatang baharu yang bukan sekadar ‘menjual’ wajah di dunia media sosial, walakin jelas menggenggam bakat yang dikurniakan Ilahi buatnya.
Menginjak ke usia 28 tahun, ada matlamat yang ingin dilunaskannya dalam industri seni hiburan tanah air. Bertatih perlahan-lahan, lama kelamaan pasti jernih jua hasilnya. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023, Adam Shamil.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gayaFZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teksFATH ABU BAKAR jurufotoAKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan AYANG KAMELL dandanan CHE WAN persalinanSUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Nama Adam Shamil relatifnya sudah dikenali di negeri kelahirannya. Kini, tiba masanya untuk pengikut di Semenanjung Malaysia pula meminatinya. Berbekalkan kandungan-kandungan segar di media sosial sebagai seorang pempengaruh, nama Adam semakin masyhur.
Bagi Adam, terma ‘remaja’ bukan sekadar merujuk kepada usia semata. Sebaliknya, ‘remaja’ mewakili idea segar, satu perlambangan karakter dan personaliti menarik.
“Sudah semestinya, remaja membawa maksud luas. Dahulu bila sebut tentang ‘remaja’, usia seseorang dijadikan rujukan. ‘Sekiranya melebihi usia 26 tahun, masih remaja kah?’. Bagi saya pula, remaja kini merujuk kepada golongan muda yang berfikiran matang dan mampu mencetuskan idea baharu.
“Saya ambil contoh penyanyi tanah air, Aina Abdul. Walaupun usianya hampir mencecah 30 tahun, Aina dilihat mempunyai lebih ramai peminat dalam kalangan remaja. Bagi saya, asalkan seseorang itu mengetengahkan idea yang segar selain membawa imej untuk menarik perhatian remaja, ‘yes, you are remaja juga’. Remaja bukan sekadar umur, tetapi ia melambangkan karakter, imej dan personaliti,” katanya.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
Bangga membawakan identiti sebagai seorang anak jati Sabah di Semenanjung Malaysia, Adam menyifatkan rasa puas cukup terasa setiap kali membawa nama baik negeri kelahiran menerusi projek seninya.
“Sebagai seorang rakyat Sabah yang berusia 28 tahun, saya sangat berbangga dapat mengangkat nama negeri sendiri; bukan sahaja sebagai seorang penyanyi ‘baru nak up‘ tetapi juga sebagai seorang pengacara serta pempengaruh yang boleh membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada penonton yang menonton video saya,” ujarnya lagi.
Uniknya Sabah Terletak Pada Dialeknya
Sedia maklum, jika kita mengunjungi negeri Sabah, antara tarikan utamanya selain panorama indah dan barangan yang ditawarkan di sana adalah kepelbagaian lebih seratus etnik serta bahkan dialek yang membuatkan Sabah unik.
Ads
Adam sendiri memiliki darah kacukan tnik Sino-Kadazan mengalir di dalam dirinya. Kendatipun negeri Sabah berbilang etnik, warna kulit dan tempat tinggal, Adam menyifatkan masyarakat di sana hidup secara tenang dan harmoni.
“Di Sabah, dialek kami memang amat unik. Apabila bertutur dalam bahasa Melayu, kedengarannya berbeza jika dibandingkan dengan masyarakat di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Orang di Sabah memang bercakap laju (ketawa) tetapi kami masih memahami antara satu sama lain apabila berkomunikasi.
“Jika di Semenanjung, majoritinya terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India namun di Sabah, kami mempunyai lebih seratus etnik. Memang banyak! Itulah keunikan hidup secara harmoni di sini,” tuturnya.
Pengacaraan Jiwa Adam Shamil
Bagi anda yang merasakan suara perbualan Adam seakan biasa didengari, anda sama sekali tidak salah. Baru-baru ini, Adam ‘dilamar’ sebagai hos di majlis resepsi perkahwinannya di Kuala Lumpur.
Bagaikan satu mimpi, dia turut menyifatkan peluang itu sebagai satu pencapaian yang besar, membanggakan dan adalah sebuah batu loncatan buat dirinya dalam mengendali majlis-majlis berskala besar.
“Sebenarnya, saya memangnya tidak jangka akan mendapat peluang ini apabila Dr. Amalina sendiri yang approach menerusi Instagram. Saya amat terkejut tetapi peluang untuk mengacarakan majlis resepsi beliau dan pasangan tercinta jujurnya adalah di luar imaginasi saya.
Ads
“Ada juga saya bertanya, mengapa beliau memilih saya? Katanya, dia menerima cadangan daripada warganet siapakah pengacara majlis resepsi bersesuaian di Kuala Lumpur. Bagi saya, ia merupakan rezeki yang sama sekali tidak saya jangkakan.
“Istimewanya pada majlis Dr. Amalina, ia dihadiri oleh Pak Nil (Datuk Aznil Hj Nawawi) dan beliau sempat memberi pujian terhadap potensi saya. Ia sememangnya hari yang saya tidak akan lupakan,” katanya yang juga menjadikan Che Puan Sarimah Ibrahim bagi bahasa Inggeris dan Datuk Aznil Hj. Nawawi bagi bahasa Melayu sebagai idola dalam bidang pengacaraan.
“Saya mula menjinakkan diri dalam aliran pengacaraan sejak peringkat sekolah. Saya percaya, pengalaman mengajar kita dan idola yang saya sebutkan itu sedikit sebanyak memberikan inspirasi untuk menambah baik skil sendiri,” katanya.
“Mansau.. kalau orang Sabah tidak tahu, tidak sah!”
Bukan sahaja memiliki bakat pengacaraan, personaliti media sosial ini juga boleh menyanyi dengan baik ya!
Adam Shamil pernah meluncurkan beberapa buah lagu yang menerima respon positif daripada pendengar termasuklah Mansau yang tular di media sosial apabila ramai menggunakan lagu tersebut sebagai runut lagu bunyi video mereka; terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial di Sabah. Ini setelah ia mencecah lebih sembilan juta tontonan di YouTube.
Ads
Terbaharu, Adam Shamil tampil dengan lagu berjudul Bantu.
Berkisarkan tentang penghargaan terhadap seseorang terutama yang bergelar ibu mahupun nenda tercinta, Adam menitipkan perasaan syukur dan terharu apabila dipilih merakamkan lagu Bantu memandangkan ia merupakan lagu pertamanya yang dihasilkan menerusi syarikat rakaman di Kuala Lumpur untuk diarus perdanakan.
“Pastinya saya berbangga apabila peluang menyanyikan lagu ciptaan Omar K hadir. Saya bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan insan-insan hebat ketika menjayakan lagu ini.
“Omar K, pastinya saya rasa bangga berpeluang itu tidak datang selalu. Saya juga bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan insan-insan yang hebat dalam menjayakan lagu ini.”
Usia muda hakikatnya hanyalah nombor. Adam Shamil telah membuktikannya apabila berjaya ‘melayarkan bahtera’ dalam bidang seni yang diminati.
“Saya mula menjinakkan diri dalam bidang hiburan menerusi media sosial seawal tahun 2016. Saya juga bermula sebagai seorang YouTuber bagi memperkenal Sabah dan Sarawak menerusi kandungan menarik dan bakat nyanyian.
“Jadi, jika ada yang bertanya bagaimana saya melakukan semua itu pada waktu yang saya, saya merasakan tiada rahsia tertentu melainkan pembahagian masa yang bijak. Ada masanya saya benar-benar memberikan tumpuan terhadap sesuatu perkara dan ada masanya saya perlu mengenepikannya sebentar. Cuma, kata kuncinya adalah konsistensi,” simpul Adam.
Update terkinitentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, kehadiran jaguh muda negara, Aruwin Salehhuddin di Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 sekali lagi membuktikan bahawa sempadan geografi bukan penghalang untuk atlet Malaysia mencipta nama di pentas dunia.
Meskipun Malaysia dikenali sebagai negara beriklim tropika, kisah Aruwin Salehhuddin Olimpik Musim Sejuk menjadi simbol keberanian dan keazaman luar biasa.
Sebagai wakil tunggal negara, Aruwin membawa harapan besar serta mesej jelas bahawa impian luar kebiasaan juga wajar dikejar. Kehadirannya bukan sekadar mengisi slot penyertaan, sebaliknya mencerminkan perjuangan panjang seorang atlet yang memilih laluan sukan yang asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
Kredit foto: IG Aruwin Salehhuddin
Kembali Ke Pentas Olimpik
Memetik laporan Bernama, kembalinya atlet ski alpine yang kini berusia 22 tahun ini ke temasya Olimpik bukan sekadar pengulangan sejarah, sebaliknya satu fasa baru lebih matang dan realistik. Berbekalkan pengalaman dari Beijing 2022, Aruwin kini tampil dengan persediaan mental dan fizikal yang lebih tersusun.
Pengalaman lalu memberinya gambaran jelas tentang tekanan, cabaran dan realiti sebenar berada di pentas Olimpik. Justeru, pendekatan kali ini lebih terarah dan praktikal, selari dengan matlamat jangka panjangnya sebagai atlet profesional.
“Pengalaman kali ini terasa lebih realistik dan memang sudah dijangka berbanding kali pertama. Ia masih mengekalkan elemen magis, namun saya kini lebih tahu apa yang perlu dijangkakan,” katanya.
Kredit foto: IG Aruwin SalehhuddinKredit foto: IG Aruwin Salehhuddin
Cabar Diri Dalam Acara Berintensiti Tinggi
Di Milano Cortina 2026, Aruwin dijadualkan beraksi dalam acara giant slalom dan slalom, dua disiplin yang menuntut ketahanan fizikal, fokus mental serta keberanian yang tinggi. Setiap kesilapan kecil boleh membawa risiko besar, menjadikan sukan ini antara yang paling mencabar di Sukan Olimpik Musim Sejuk.
Bagi memastikan prestasi berada pada tahap optimum, Aruwin memilih pendekatan lebih strategik termasuk menjauhkan diri daripada suasana sibuk Perkampungan Olimpik. Langkah ini diambil bagi mengekalkan fokus, mengurangkan gangguan serta memastikan rutin latihan dan rehat berjalan dengan baik.
Kejayaan Diukur Melalui Perkembangan Diri
Bagi Aruwin Salehhuddin Olimpik Musim Sejuk bukan semata-mata tentang pemburuan pingat. Sebaliknya, fokus utamanya kini tertumpu kepada peningkatan kendiri serta sejauh mana beliau berkembang sebagai atlet sejak empat tahun lalu.
Beliau melihat penyertaan kali ini sebagai platform untuk menguji tahap kematangan, konsistensi dan ketahanan mental dalam menghadapi tekanan global. Setiap perlumbaan menjadi ukuran sejauh mana usaha dan pengorbanannya selama ini membuahkan hasil.
Kredit foto: IG Aruwin Salehhuddin
Kenali Aruwin Salehhuddin
Di sebalik pencapaian di pentas Olimpik, Aruwin membawa kisah latar belakang yang cukup unik. Dilahirkan di Amerika Syarikat dan mula bermain ski sejak usia kecil, beliau mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama Malaysia beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.
Dibesarkan dalam keluarga yang aktif bersukan, Aruwin turut mewarisi semangat kompetitif daripada bapanya yang juga merupakan bekas atlet Olimpik. Pendedahan awal kepada pelbagai cabang sukan menjadi asas kukuh sebelum beliau memilih ski alpine sebagai laluan utama kerjayanya.
Kini, empat tahun selepas Beijing, Aruwin kembali sebagai atlet yang lebih yakin dan berpengalaman meskipun berdepan cabaran berterusan termasuk kecederaan serta kekangan kewangan. Realiti ini tidak melemahkan semangatnya, malah menjadikan beliau lebih kental dan berdisiplin.
Lebih daripada pencapaian peribadi, kehadiran Aruwin Salehhuddin Olimpik Musim Sejuk di Milano Cortina membawa mesej besar bahawa atlet Malaysia juga mampu bersaing di arena yang asing dan mencabar. Kisahnya menjadi inspirasi bahawa dengan keberanian, perancangan rapi dan ketekunan, batasan tradisional boleh ditembusi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Nama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi menjadi sebutan apabila salah seorang atletnya, Ahmad Dani Amir Fariz dari Fakulti Undang-Undang, berjaya menamatkan cabaran IRONMAN 70.3 Langkawi 2025. Satu pencapaian yang membanggakan seluruh warga UKM!
Menurut laporan daripada Pusat Sukan UKM, kejayaan luar biasa ini turut melayakkan Ahmad Dani untuk menyertai Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 2026 yang akan berlangsung di Nice, Perancis.
Pencapaian itu sekali gus membuktikan semangat juang dan ketahanan fizikal serta mental yang tinggi dalam kalangan mahasiswa UKM.
Pengerusi Jawatankuasa Pusat Sukan UKM, yang turut diberi mandat membuat pelaporan khas bagi program Jejak Juara tahun ini, telah memaklumkan kejayaan tersebut kepada Ahli Parlimen UKM, sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan dedikasi Ahmad Dani.
Bukan itu sahaja, acara IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi 2025 kali ini berlangsung penuh semangat dengan penyertaan 1,888 atlet dari 68 negara, yang menguji ketahanan diri melalui tiga disiplin utama iaitu renang, berbasikal dan larian di sekitar pulau legenda, Langkawi.
Menariknya, antara nama lain yang turut mencuri tumpuan ialah Syed Saddiq, yang berjaya menamatkan cabaran penuh dalam tempoh kurang 13 jam, seperti dilaporkan oleh media tempatan.
Kejayaan Ahmad Dani bukan sahaja mengharumkan nama UKM, tetapi juga menjadi inspirasi buat anak muda lain untuk terus mencabar diri dan membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil bila semangat dan disiplin digabungkan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Satu demi satu kejayaan yang diraih oleh pelajar di negara kita apabila seorang murid berusia 12 tahun memenangi Double Gold Award dan Chairman’s Special Recognition Award-Young Ambassador of Innovation di pertandingan ciptaan dan inovasi berprestij di United Kingdom.
Maryam Muzamir murid Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Kuantan Pahang memperoleh kejayaan hasil ciptaan inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan YAM 2.0.
Ini merupakan kejayaan kali kedua buat Maryam selepas meraih tiga pingat emas dalam Pertandingan Ciptaan, Inovasi Antarabangsa Keenam di Toronto, Kanada pada Ogos tahun lalu.
Jelasnya lagi, walaupun pertandingan ini diadakan secara dalam talian, kejayaan yang diterimanya itu amat bermakna untuknya memastikan YAM 2.0 diiktiraf. Kejayaan anak muda itu diketahui selepas menerima emel daripada penganjur pada 27 Jun lalu, manakala pingat dan sijil hanya diterima Rabu lalu.
Menurut bapa Maryam, Prof Madya Dr Muzamir Hasan berkata, Chairman’s Special Recognition Award yang diterima anak sulungnya itu disifatkan pencapaian terbaik kerana pertandingan ini tidak mempunyai had umur.
Wah, terbaik adik Maryam! Kecil-kecil lagi dah berbakat dan berkebolehan. Semoga terus menjadi pelajar cemerlang dan mengharumkan nama negara di peringkat dunia. Diharap dengan kejayaan yang diperoleh Maryam ini juga dapat menyuntik semangat anak-anak muda lain untuk terus berjaya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!