Malaysia tidak pernah ketandusan bakat muda berbakat besar. Malah, kemunculan generasi genius tempatan dari semasa ke semasa terus membuktikan negara ini memiliki aset insan berpotensi tinggi yang mampu bersaing di peringkat global, asalkan diberi ruang, sokongan dan latihan sewajarnya.
Sebelum ini, beberapa nama anak tempatan telah berjaya mengharumkan nama negara, antaranya Saintis Astronomi, Prof Madya Dr Nur Adlyka Ainul Annuar menerusi kajian berkaitan lohong hitam serta Izz Imil Shahrom, kanak-kanak genius yang mencipta sejarah apabila bergelar mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Universiti Malaya (UM) pada usia hanya 12 tahun.
Terbaharu, muncul pula seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, Muhammad Khawarizmi Muhamad Kamalrul Zaman, yang mencuri perhatian apabila menunjukkan kebolehan luar biasa dalam bidang pengekodan, pengaturcaraan dan kejuruteraan sejak usia muda.
Bapanya, Muhamad Kamalrul Zaman, 41, berkata minat mendalam anak sulungnya itu dapat dikesan dengan jelas ketika Muhammad Khawarizmi berusia 10 tahun.
“Minat mendalam anak sulung saya terhadap perkara teknikal bukan sekadar teori, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan dan inisiatif sendiri.
“Antara detik yang membuka mata ialah ketika dia (Muhammad Khawarizmi) menghadiri bengkel ‘Keterujaan STEM (Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) Melalui ModelRocketry dan 3D Printing.
Ads
“Saya melihat anak sulung saya ini secara sukarela membantu peserta lain terdiri daripada pelajar sekolah menengah memahami penggunaan perisian ‘Autodesk Fusion 360’ walaupun ketika itu usianya jauh lebih muda daripada peserta lain,” katanya.
Menurut beliau, pada usia 12 tahun, Muhammad Khawarizmi mula mempelajari pengekodan secara serius menggunakan ‘Visual Studio’ dengan bahasa pengaturcaraan.
“Dia melakukan eksperimen dengan mesin maya dan mencuba pelbagai sistem operasi Windows yang pernah wujud.
“Pada usia yang sama, dia juga mempelajari bahasa C dan C++ (bahasa pengaturcaraan komputer).
“Lebih membanggakan, Muhammad Khawarizmi turut berjaya membangunkan projek Mesin Pemampat Bahan Api Pepejal bagi menghasilkan bahan api pepejal roket secara konsisten,” katanya.
Ads
Tambahnya, projek tersebut menjadi projek pertama yang menggabungkan pembangunan mesin dan perisian, selain masih digunakan sehingga hari ini.
Untuk rekod, Muhammad Khawarizmi kini sedang terlibat dalam satu projek berimpak tinggi berkaitan keselamatan hasil kerjasama dengan sebuah syarikat swasta tempatan, dengan peranannya sebagai pengaturcara. Projek yang bermula sejak 2024 itu disifatkan sebagai antara yang paling mencabar pernah diusahakan, namun perinciannya tidak dapat didedahkan atas faktor kerahsiaan.
Dalam pada itu, Muhamad Kamalrul Zaman turut memaklumkan bahawa anaknya menyimpan hasrat untuk mendalami bidang teknologi pertahanan dan bercita-cita melanjutkan pengajian di Jerman.
Ads
“Sekiranya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dapat menawarkan peluang tertentu dengan meletakkan Muhammad Khawarizmi dalam persekitaran yang mampu mengupayakan lagi kemahirannya, saya sebagai bapa akan menyokong sepenuhnya,” katanya.
Namun begitu, beliau mengakui cabaran tetap wujud, termasuk keperluan untuk memahami teknologi yang dikuasai anak-anaknya serta kekangan kewangan berikutan kos projek eksperimen yang tinggi.
Walau berdepan pelbagai cabaran, beliau melihat penularan kisah Muhammad Khawarizmi dari sudut positif sebagai satu sumber inspirasi kepada generasi muda lain agar berani meneroka minat yang bermanfaat secara mendalam dan konsisten.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Metro Online
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Segala idea perancangan untuk majlis perkahwinan pasangan badminton kebangsaan, Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie ditolak sebentar ke tepi demi memberi fokus kepada perjuangan di atas gelanggang demi Malaysia.
Bercakap kepada Bernama semasa ditemui di Terbuka India dekat New Delhi, mereka hanya akan memikirkan mengenainya selepas Sukan Olimpik Paris 2024.
Untuk pengetahuan, Soon Huat, 32 telahpun melamar Shevon, 29 untuk dijadikan suri hatinya ketika mereka berada di Maldives baru-baru ini.
Biarpun beregu kebangsaan itu kini berbahagia sebagai tunang masing-masing, tumpuan sepenuhnya diberikan oleh mereka untuk mengumpul mata kelayakan ke temasya Olimpik yang bakal berlangsung kira-kira satu tahun tujuh bulan dari sekarang.
“Kami mahu layak ke Sukan Olimpik dulu, kemudian baru merancang mengenainya (perkahwinan).” – Shevon Lai Jemie.
Pasangan beregu campuran itu telahpun digandingkan sejak tahun 2016 lagi dan hanya mendedahkan percintaan mereka kepada umum pada tahun 2021. Buat masa ini, mereka sedang menduduki ranking ketujuh dunia.
Terdahulu, Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie tersingkir awal daripada saingan Terbuka India setelah tewas pada pusing pertama kepada gandingan dari China Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 21-11, 21-7.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Malaysia sememangnya banyak melahirkan model berpotensi besar, mempunyai pakej menarik dan inginkan peluang melebarkan sayap ke pentas peragaan antarabangsa.
Ya, tidak mudah untuk model kelahiran Malaysia menggapai cita-cita tersebut; tidak semudah memetik jari. Ini memandangkan terlalu ramai saingan yang hadir daripada berlainan negara dan bangsa. Hanya yang benar-benar komited dan berbekalkan sedikit tuah atau luck yang mampu menjengah ke luar industri fesyen tempatan.
Namun, itu tidak bermakna angan-angan tersebut tidak boleh bertukar menjadi realiti.
Buktinya, seorang model kelahiran Malaysia yang dikenali sebagai Ridzman Zidaine telahpun membuat kemunculan di pentas peragaan Minggu Fesyen London, Milan & Paris 2023, baru-baru ini.
Model berusia 22 tahun yang diwakili oleh agensi Topboi Citizen di Malaysia ini juga ‘beraksi’ untuk rumah fesyen yang bukan calang-calang pengaruhnya.
Di Milan & Paris, antara jenama mewah yang melantik Ridzman sebagai model termasuklah Louis Vuitton, Hermès, Casablanca, Ermenegildo Zegna, Issey Miyake dan Wooyoungmi.
Hello gorgeous! Ridzman mempergakan sut menarik rekaan Louis Vuitton.Di pertunjukan fesyen Hermes di Milan.
Wooyongmi boy, indeed.Model yang diwakili oleh Topboi Citizen sejak usia 19 tahun ini turut berjalan bagi jenama Casablanca.Bagi jenama Homme Plisse oleh Issey Miyake.
Bukan itu saja, Ridzman turut memperagakan busana kreatif daripada pereka di London seperti Rpbyn Lynch, Voli.Idn, Juoyu Wang dan Herra. Hebat!
Jujurnya, REMAJA tumpang berbangga dengan kejayaan Ridzman dan beberapa lagi wajah kelahiran Malaysia yang berpeluang melebarkan sayap ke pentas peragaan antarabangsa,
Moga-moga, ramai model muda tempatan yang memperoleh inspirasi daripada kejayaan mereka ini untuk meneruskan minat dalam dunia peragaan. Tiada apa yang mustahil ya!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Ahad lalu telah berlangsungnya acara akhir Pertandingan Debat Diraja Antara Institut Pengajian Tinggi 2022 kategori Bahasa Melayu yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu.
Dalam pertandingan akhir kategori Bahasa Melayu, pasukan debat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang bertindak sebagai kerajaan telah menentang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang duduk di kerusi pembangkang.
Dengan usul Dewan Ini Akan Memperkenalkan Sistem Parlimen Penggal Tetap Di Malaysia, pasukan UIAM memberikan hujah yang mampan sekaligus menarik perhatian para juri. Mereka menempah tiket kejuaraan sekaligus mencipta hatrik kemenangan.
Sebelum ini, UIAM telah memenangi pertandingan ini bagi tahun 2019 dan 2021, tahun 2020 pertandingan tidak diadakan dek kerana pandemik Covid-19.
Menarik perhatian REMAJA sepanjang debat ini berlangsung adalah kepetahan dan kecerdasan Muhammad Ilham Hafiz Azmi yang berjaya menggondol anugerah Pendebat Terbaik peringkat akhir dan keseluruhan bagi kategori Bahasa Melayu.
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, jejaka berusia 22 tahun yang merupakan pelajar jurusan Undang-Undang di Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Laws UIAM mencipta sejarah apabila dua tahun berturut-turut dinobatkan sebagai pendebat terbaik.
Seiring dengan kemenangannya, Ilham Hafiz menerima hadiah wang tunai bernilai RM1000 dan juga piala iringan. Manakala pasukan debat UIAM pula membawa pulang wang tunai bernilai RM5000 berserta piala iringan.
Selain Ilham Hafiz, pasukan debat Bahasa Melayu UIAM dibarisi oleh Nur Syahirah Balqis Binti Shahrulnizam, Muhammad Luqman Ismail Zawawi dan Muhammad ‘Aqil Mujahid Mukhtar.
Pada majlis penutupan tersebut, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Pertandingan Debat Diraja Antara Institut Pengajian Tinggi telah diadakan sejak tahun 1995 kira-kira 27 tahun yang lalu dengan format ala parlimen.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!