
Kedudukan jaguh beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik baru-baru ini melonjak ke tempat ketiga dunia berbanding di tangga kelima sebelum ini selepas ranking itu dikemaskini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa.
Peningkatan itu susulan kejayaan Aaron-Wooi Yik yang muncul sebagai juara dalam Terbuka Thailand 2025 pada Ahad lalu dengan mengumpul 83,170 mata untuk berada di belakang beregu profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dengan 91,090 mata.
Pada masa yang sama, gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen tetap kekal mengungguli ranking utama dunia.
Manakala, beregu wanita negara Pearly Tan-Thinaah kekal di kedudukan keempat dunia dengan 82,466 mata di belakang pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee yang mengumpul 87,500 dan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun kedua dengan 92,932 mata.
Bagi pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning unggul di ranking utama setelah mengumpul 103, 734 mata.
Sementara itu, pada aksi final Terbuka Thailand 2025, Aaron-Wooi Yik muncul juara kejohanan Super 500 itu selepas mengalahkan Wiiliam Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dari Denmark 20-22, 21-17, 21-12 manakala Pearly-Thinaah merangkul gelaran pertama mereka musim ini selepas menewaskan wakil Korea Selatan Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-16, 21-17.
Kedudukan terbaru ini bukan sahaja membuktikan peningkatan prestasi pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, malah turut mengukuhkan kedudukan beregu negara dalam persaingan antarabangsa.
Kejayaan di Terbuka Thailand 2025 juga diharapkan menjadi pemangkin semangat untuk Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah terus mengekalkan prestasi cemerlang serta menyumbang kejayaan lebih besar untuk Malaysia pada kejohanan akan datang.
Menerusi momentum yang semakin menggalakkan, para pemain negara dijangka berdepan cabaran lebih sengit dalam usaha mencapai puncak dunia. Walau bagaimanapun, sokongan padu peminat dan badan sukan amat penting untuk memastikan atlet-atlet negara terus diberi peluang dan motivasi dalam memburu kejayaan yang lebih gemilang di pentas antarabangsa.
Sumber: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.