
Pada usia 25 tahun, Meerqeen sudah memiliki apa yang mungkin menjadi impian ramai anak muda sebaya dengannya.
Daya populariti, kerjaya yang terus berkembang dan peluang berkolaborasi dengan jenama besar; rata-rata sudahpun berada dalam genggamannya. Namun bagi pelakon ini, setiap pencapaian tersebut bukanlah alasan untuknya mendabik dada. Sebaliknya, ia hanyalah permulaan kepada sasaran seterusnya.
ketua jenama FZ AIMMAN teks DARWISY FARAIN peletakan grafik ZULSAIFUL ABDUL AZIS penerbit video IZZUDDIN ISMAIL & ZUHDI ZAID pembantu penerbit SURIA NUR AMIRA juruvideo AFIQ NAQIUDDIN, IKRAM MASDY & EZZAT SHUKRI pembantu juruvideo ATIQAH MD AKHAIR foto EHSAN XIAOMI MALAYSIA
Istimewa untuk paparan Remaja edisi digital bagi September 2026 kali ini, Meerqeen secara rasmi ditampilkan sebagai duta siri REDMI Note 17 Series bagi pasaran Malaysia.
Kami mendekati Meerqeen secara eksklusif bagi mendalami aspirasi terbaru yang disemat olehnya (bayangan: Meerqeen memilih imej trofi Anugerah Akademi – Oscars sebagai screensaver!), kejayaan yang dinikmati selepas 6 tahun bertapak dalam industri seni hiburan dan tentunya, mengenai pemilihan REDMI Note 17 Series baharu yang kini menjadi sebahagian penting daripada rutin hariannya.

Tahun 2026 membuka satu lagi lembaran penting dalam perjalanan kerjaya Meerqeen apabila dia secara rasmi diperkenalkan sebagai duta model REDMI Note 17 Series bagi pasaran Malaysia.
Lebih istimewa, pelantikan ini mencatat satu pencapaian baharu buat Meerqeen apabila Xiaomi Malaysia merupakan jenama telefon pintar pertama yang pernah diwakili olehnya sepanjang kerjaya.
Hubungan bersama pihak Xiaomi Malaysia terjalin dengan cukup mudah apabila Meerqeen melihat ada persamaan antara prinsip yang dibawa oleh jenama itu dengan cara dia sendiri mendepani kehidupan dan kerjaya.
“Salah satunya adalah disebabkan oleh slogan yang mereka pilih sendiri iaitu ‘Cas Sekali Tahan Tiga Hari’ bagi merujuk kepada ketahanan bateri model telefon terbaru ini. Bila mereka memilih slogan berkenaan, they really mean it dan ia benar-benar dibuktikan. Saya sendiri adalah antara pengguna yang mengakuinya.
“Orang cakap, walk the talk and they really mean it. Slogan itu sendiri menunjukkan Xiaomi tidak main-main. Saya suka jenama yang jujur,” ujarnya.

Bagi Meerqeen, kata-kata perlu hadir bersama bukti. Prinsip tersebut tidak jauh jika dibandingkan dengan caranya membentuk perjalanan kerjaya selama ini. Angan-angan sahaja tidak akan membawa seseorang ke mana-mana sekiranya ia tidak disertakan dengan keberanian untuk mencuba serta kesungguhan untuk merealisasikannya.
Peluang yang hadir ini bukan sekadar menyatukan dua nama besar menerusi sebuah kempen. Bahkan, ia dibina atas dasar hubungan, keyakinan dan kepercayaan terhadap apa yang mereka wakili untuk dipersembahkan kepada pasaran di Malaysia.
BILA TEKNOLOGI JADI SEBAHAGIAN RUTIN
Sukar untuk menafikan keperluan telefon pintar dalam kehidupan seharian pada zaman ini.
Daripada urusan kerja dan komunikasi shinggalah sebagai sumber hiburan, informasi dan bagi memperkasakan gaya hidup peribadi; sebahagian besar rutin harian dilakukan dengan bantuan gajet yang sentiasa berada dalam genggaman.
Sebagai seorang selebriti yang sentiasa bergerak aktif (kongsinya, dia perlu berlepas ke Bangkok Thailand pula selepas penemuan kami ini!), keperluan untuk memiliki telefon pintar yang efisien itu lebih terasa.
Ada waktunya telefon diperlukan untuk kerja. Tidak kurang juga keperluan telefon untuk dijadikan sebagai kamera berkredibiliti bagi merakam konten baharu yang ingin dikongsikan kepada pengikutnya.
Di sebalik gaya hidup yang serba pantas itu, Meerqeen turut mendedahkan satu tabiat dirinya yang membuatkan aspek ketahanan telefon menjadi faktor penting untuk memiliki REDMI Note 17 Series. Siapa sangka, selebriti kegemaran anda ini merupakan seorang yang clumsy!
“Kadang-kadang telefon saya terjatuh, kadang-kadang pula saya tertumpah air ke atas skrin,” selorohnya sebelum memuji, “Masuk dalam air pun tak rosak. Kalau terjatuh pun, walaupun kita tengah shooting for ads, kita campak banyak kali pun, dia still maintain. Campak-campak terus boleh guna semula seperti biasa.”
“Seperkara lagi, the battery is so powerful. This is my first time using this kind of technology..
“Sebelum REDMI Note 17 Series, belum pernah lagi bateri telefon saya boleh bertahan selama tiga hari berturut-turut. Seperti yang anda dapat lihat sekarang (menunjukkan paparan skrin telefonnya) baterinya masih bertahan sebanyak 29 peratus.
“So I can say with REDMI Note 17 Series; the camera is good, the audio is good and the battery is complete. Itu merupakan tiga perkara yang saya utamakan apabila memilih telefon pintar baharu,” jelasnya.
MASIH BANYAK FASA YANG INGIN DIKEJAR
Jika mengamati langkah Meerqeen yang bermula sebagai pemenang tempat ketiga pencarian Hero Remaja 2020, ya, telah banyak yang berubah mengenai sosok jejaka tampan ini.
Rata-rata perubahan yang kami perhatikan dari jauh lebih terjurus ke arah cara dia mengendalikan langkah seterusnya bagi menempatkan diri di aras yang lebih tinggi.
Kata-kata khalayak mengenai mungkin bercampur baur antara yang manis dan tidak kurang jika yang menyinggung – another downside of being a public figure – sukar untuk kita menutup mulut orang, bukan? But like he said, action definitely speaks louder than words.
Seribu kata cacian mampu ditutup dengan satu kejayaan dan Meerqeen pada fasa ini memilih untuk fokus kepada pencapaian.
Satu demi satu peluang yang hadir membolehkan portfolio dan perhatian ke arahnya berkembang melangkaui dunia hiburan di Malaysia.
Dengan segala yang sudah berada dalam genggamannya, mudah untuk seseorang menganggap Meerqeen mendabik dada. Realiti yang sebenar jauh dari telahan orang ramai di mana kejayaan tidak pernah dijadikan sebagai titik penamat buat Meerqeen.
“Untuk saya, perjalanan kerjaya saya masih belum lengkap. Dalam diri ini, sentiasa ada rasa dahagakan pencapaian yang lebih banyak dan memperbaiki diri pada setiap hari.”
“I’m a risk taker… a hard worker. What I want, I will get it.”
Setiap kejayaan yang berpihak kepada Meerqeen dijadikan dorongan untuknya menyasarkan sejauh mana lagi dirinya mampu pergi.

Apabila kami menyifatkan pencapaiannya hari ini sebagai satu bentuk ‘benchmark’ buat generasi muda yang mengikuti perjalanannya pula, Meerqeen sedikit keberatan untuk menerima label sebesar itu.
“Benchmark is a big word. Kalau orang rasa macam itu, Alhamdulillah.
“Apa yang saya tahu, saya sentiasa bersedia untuk meletakkan sasaran seterusnya. Tidak pernah puas dengan kejayaan yang dicapai setakat ini. I always try to aim to be the first person to do a thing. Ia salah satu cara saya mengawal mindset saya sendiri untuk sentiasa mempunyai rasa ‘lapar’ mengejar impian,” simpulnya.
Ringkas namun cukup kuat menerangkan bagaimana Meerqeen berdepan dengan aspirasi kerjaya dan kehidupan. Dia berani mengambil risiko, tahu apa yang dimahukan dan apabila sasaran sudah tercapai, dia terus beralih kepada perkara lain yang perlu diusahakan olehnya pula.
Daripada seorang remaja belasan tahun yang sedang mencari ruang dalam industri enam tahun yang lalu, hari ini, Meerqeen berdiri dengan deretan pencapaian termasuk menggalas peranan baharu sebagai duta REDMI Malaysia. Semua itu bagaimanapun tidak menoktahkan keinginnya untuk terus bergerak, mencabar diri dan mengejar sesuatu yang lebih besar.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
View this post on Instagram
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

























