Baru-baru ini, beberapa wakil pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah tersendiri selepas berjaya membawa pulang tujuh (7) pingat emas menerusi pertandingan World Chefs Championship (WCC) 2026 yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru dari 21 hingga 23 Mei lalu.
Menerusi perkongsian Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI di Facebook, pencapaian membanggakan itu turut menyaksikan para pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Ekonomi Rumah Tangga) meraih enam anugerah ‘Excellent Gold’, lapan pingat perak serta tiga gangsa dalam pelbagai kategori kulinari dan hospitaliti bertaraf antarabangsa.
Difahamkan, kejayaan tersebut dicapai hasil bimbingan Penolong Pegawai Penyediaan Makanan FTV, Muhammad Hazwan Ibrahim yang memainkan peranan penting dalam membantu para pelajar mengasah bakat, kreativiti dan kemahiran teknikal sepanjang pertandingan berlangsung.
BACA: Pelajar UiTM Harumkan Nama Malaysia Di Pentas Kulinari Dunia, Raih Emas Di Young Chef International 2025
Sementara itu, menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, pencapaian itu membuktikan mahasiswa universiti berkenaan bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai daya saing tinggi dalam bidang kulinari dan hospitaliti di peringkat global.
“Keupayaan pelajar FTV UPSI meraih pelbagai pengiktirafan dalam pertandingan berprestij ini amat membanggakan universiti dan negara. Kejayaan ini mencerminkan komitmen tinggi, disiplin, kreativiti serta kesungguhan mereka dalam menghasilkan inovasi kulinari berkualiti tinggi,” katanya.
Antara penerima ‘Excellent Gold Medal’ ialah Fa’iqah Afifah Joanes menerusi kategori ‘Modern Free Style 3 Tier Wedding Cake’, Jordan Bell Angel Injol (Gingerbread House Showpiece), Nur Athirah Mohd Zailani (Petit Four and Praline), Nurul Syazwani Mukhtar (Thai Modern Main Course Fish or Seafood), Noorsyamimie Zulkifli (Malay Traditional Dessert) dan Nur Balqis Kamarulzaman bagi kategori ‘Thai Free Style Dessert’.

Pada masa yang sama, beberapa pelajar lain turut mencipta kejayaan tersendiri apabila membawa pulang pingat emas menerusi kategori berbeza termasuk Radin Wafa Syahirah Kamaruzaman, Nur Zarith Sofia Tugimun, Fatin Nur Aina Dzulkifli, Meishya Forchoa Frify dan Muhammad Haziq Mohd Azlan. Selain itu, Melviah Untong turut mencuri perhatian apabila berjaya memenangi dua pingat emas menerusi kategori Sambal Petai Udang dan Modern Free Style Indonesia Dessert.
Anda mungkin berminat dengan
Untuk info, kejohanan itu menghimpunkan peserta dari pelbagai negara termasuk Thailand, Brunei, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, Singapura, China, Peru, Kanada dan Vietnam sekaligus menjadikan WCC antara platform kulinari paling kompetitif di rantau ini.
Sumber: Facebook Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Dua murid sekolah rendah dari Putrajaya mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membawa pulang Anugerah Pencipta Muda Terbaik (Tahap Rendah) dan pingat emas dalam Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2025 (ITEX 2025).
Projek yang diberi nama Minedu AI, dibangunkan oleh Mohammad Parsa Parhizkar, 12, dan adiknya Mohammad Rohan Parhizkar, 9, dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1), mengetepikan 144 peserta lain dari 55 sekolah tempatan dan antarabangsa untuk muncul juara kategori Pameran Pencipta Muda Dunia.

Apa sebenarnya Minedu AI ini?
Minedu AI ialah sebuah alat pembelajaran interaktif yang dibina dalam game Minecraft, lengkap dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI). Tujuannya adalah untuk bantu pelajar sekolah rendah belajar subjek Sains, Biologi, dan Geografi dengan cara yang fun, engaging dan bukan sekadar baca buku teks sahaja.
Projek duo adik-beradik ini turut mendapat sokongan daripada Google Malaysia, dan kini sedang diuji di beberapa sekolah terpilih sebagai projek perintis.

“Kami suka Minecraft dan mahu menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan,” kata Rohan.
“Penggunaan AI dapat membantu pelajar memahami pelajaran secara lebih mendalam sambil bermain,” tutur Parsa pula.
Menariknya, plugin Minedu AI ini bukan sembarangan plugin, ia dilengkapi dengan chatbot pintar berasaskan Google Gemini AI yang boleh memberi respon secara langsung kepada pelajar berdasarkan interaksi mereka dalam game.
Kemenangan besar di ITEX 2025 itu turut membuka jalan buat dua beradik ini menubuhkan startup sendiri, juga dinamakan Minedu AI. Dengan ini, mereka secara rasmi bergelar antara founder startup termuda di Malaysia!
Sekarang, syarikat mereka dah mula jana pendapatan melalui pelesenan plugin dan bengkel latihan AI untuk pelajar sekolah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Suara Merdeka
∞
Bagi anda yang gemar melayari kandungan di platform Tiktok, mungkin kelibat siaran langsung Nur Rafidah atau lebih dikenali sebagai @JungleGirl sudah pasti sering muncul di ‘FYP’ menjual minyak Minyak 1001 Khasiat Jungle Girl.
Wanita suku Jahut yang berasal dari Kampung Penderas, Kuala Krau, Temerloh, Nur Rafidah Man (26) itu bijak menggunakan pengetahuannya tentang herba tradisional kini mampu tersenyum selepas produk herba serta makanan dan penjagaan kulit menjana pendapatan lumayan melalui penjualan produk seperti minyak herba, jamu, dan madu yang dihasilkan sendiri.
Menurut Rafidah atau lebih mesra disapa Fida, segalanya bermula selepas beliau mengubah minat untuk mendalami ilmu herba tradisional menjadi perniagaan.

Menggunakan sumber hutan seperti kacip fatimah, tongkat ali, dan madu sebagai bahan utama, Fida memulakan perniagaan Minyak 1001 Khasiat Jungle Girl sejak November tahun lalu.
“Saya tidak menjangka percubaan itu berhasil dan tidak pernah terfikir mampu menjana pendapatan lebih banyak berbanding pekerjaan dahulu,”
Sebelum ini, beliau pernah bekerja sebagai pembantu kantin sekolah dan tidak menyangka disebabkan kerap menghasilkan video mengenai adat resam Orang Asli dan pemandangan suasana di kampung tempat tinggalnya menerusi aplikasi TikTok, ia mampu memperluaskan lagi pintu rezeki buat dirinya.

Rafidah yang juga ibu kepada seorang anak perempuan berusia enam tahun, kini memiliki 177,000 pengikut dan lebih 384,000 likes di TikTok itu bagaimanapun awalnya meragui kemampuannya tetapi kekal yakin selepas melihat hasil pertama yang memberangsangkan.
Jelasnya lagi, segalanya bermula selepas dia mengikuti bengkel multimedia dan perniagaan digital anjuran guru pendidikan khas integrasi Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Kuala Krau, sekitar Jun dan Ogos tahun lalu.
Di situ, Fida mempelajari cara merakam dan menyunting video, memilih tajuk kandungan yang menarik, serta menggunakan peralatan seperti mikrofon, lampu dan tripod. Ilmu berkenaan membantunya dalam menghasilkan video menarik di TikTok, yang akhirnya meraih perhatian ramai pengikut.

Dalam pada itu, selepas melihat hasil komisen yang baik, dia juga turut memberanikan diri berniaga secara ‘affiliate’ (menjadi ejen) dengan membabitkan aktiviti promosi dan jualan secara langsung produk lain seperti makanan dan penjagaan kulit untuk mendapatkan komisen sampingan.
Apa yang menarik, hasil pendapatan yang diperoleh Jungle Girl membolehkan dirinya dan suami memiliki rumah impian pada Mei lalu. Memang terbaik semangat macam ini!
Sumber: Sinar Plus
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Apakah maksud “ikon”?
“Ikon” ialah gambar, lukisan, imej,atau gambaran. Selain itu, “ikon” ialah lukisan atau gambar yang dianggap sebagai keramat atau orang yang mulia.
Apakah pula maksud “remaja”?
“Remaja” pula ialah mereka yang mulai dewasa, sudah akil baligh atau sudah cukup umur untuk berkahwin.
Jika perkataan “ikon” dan “remaja” digabungkan, rangkai kata yang terbentuk ialah “frasa” iaitu “ikon remaja”atau “remaja ikon”.
Apakah maksud “ikon remaja” dan “remaja ikon” tersebut?
Untuk mengetahui maksud kedua-dua frasa tersebut, kta perlu mengetahui binaan frasa. Frasa terdiri daripada binaan inti + penerang. Sebagai contohnya:
“Ikon remaja” ialah frasa nama yang terdiri daripada ikon sebagai inti, manakala remaja sebagai penerang. Oleh sebab “ikon remaja” ialah frasa, maka frasa ini dapat diperluas menjadi ikon kepada remaja atau ikon yang perlu dijadikan contoh kepada remaja. Dalam konteks ini, makna “ikon” ialah seseorang yang dianggap terbaik dan dapat dijadikan contoh kepada remaja. Lihat ayat contoh yang di bawah ini:
1. Penyanyi muda itu layak menjadi ikon remaja kerana personalitinya yang baik sesuai menjadi suri teladan kepada remaja.
Remaja ikon pula ialah frasa nama yang terdiri daripada remaja sebagai inti, manakala ikon sebagai penerang. Oleh sebab remaja ikon ialah frasa, maka frasa ini dapat diperluas menjadi remaja sebagai ikonatau remaja yang dapat dijadikan sebagai ikon atau contoh kepada remaja yang lain. Lihat ayat contoh yang di bawah ini:
2. Kami akan memberikan Anugerah Remaja Ikon kepada beliau kerana beliau merupakan remaja yang berjaya dalam bidang perniagaan dan dapat dijadikan contoh kepada remaja yang lain.
Sama juga halnya denga frasa “ikon guru” atau “guru ikon”.
Ikon guru ialah frasa nama yang terdiri daripada ikon sebagai inti, manakala guru sebagai penerang. Oleh sebab ikon guru ialah frasa, maka frasa ini dapat diperluas menjadi ikon kepada guru atau ikon yang perlu dijadikan contoh kepada guru. Dalam konteks ini, makna ikon ialah seseorang yang dianggap terbaik dan dapat dijadikan contoh kepada guru. Lihat ayat contoh yang di bawah ini:
3. Guru berpengalaman itu sering dijadikan sebagai ikon guru kerana kesungguhan dan kegigihannya mendidik murid dengan menggunakan pelbagai inovasi sering menjadi contoh kepada guru yang lain.
Guru ikon pula ialah frasa nama yang terdiri daripada guru sebagai inti, manakala ikon sebagai penerang. Oleh sebab guru ikon ialah frasa, maka frasa ini dapat diperluas menjadi guru sebagai ikon atau guru yang dapat dijadikan sebagai ikon atau contoh kepada guru yang lain. Lihat ayat contoh yang di bawah ini:
4. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mewujudkan Anugerah Guru Ikon untuk diangerahkan kepada guru yang dapat dijadikan sebagai ikon atau contoh kepada guru yang lain.
Sebagai kesimpulannya, frasa ikon remaja dan remaja ikon serta ikon guru dan guru ikon merupakan frasa yang betul tetapi membawa makna yang berbeza.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh ENCIK GHALIB BIN YUNUS
∞