
Suasana di lokasi kejadian nahas kemalangan membabitkan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) setelah bertembung dengan sebuah kenderaan jenis MPV benar-benar menyayat hati.
Menurut saksi di lokasi; tangisan, raungan dan laungan meminta tolong jelas kedengaran di tengah malam sunyi ketika tragedi yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI itu berlaku, awal pagi tadi.
BACA: 15 Pelajar UPSI Maut, Bas Bertembung Dengan MPV – Remaja
Selepas kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi di Lebuhraya Gerik–Jeli berhampiran Tasik Banding, Perak; Razali, 45 yang tinggal di Jeli menjadi salah seorang individu terawal yang tiba di lokasi.
“Saya tiba di lokasi sekitar jam 1.50 pagi dan ketika itu, anggota bomba dan ambulans sudah sampai.
“Sangat menyedihkan melihat kejadian di depan mata,” kata Razali yang menyifatkan situasi pada waktu itu cukup tragis.
Menurutnya; terdapat mangsa dalam keadaan tersepit, ada yang menangis kesakitan malah ada juga yang tak putus harapan cuba membimbing rakan mereka mengucapkan dua kalimah syahadah walaupun mereka menyedari rakannya itu sudah tidak bernyawa.
“Jasad mangsa yang meninggal dunia disusun, manakala pasukan perubatan berusaha memberi bantuan kepada mangsa yang cedera,” tambahnya.
Razali turut memaklumkan bahawa ada mangsa yang tersepit sehingga anggota bomba terpaksa memotong bahagian bas untuk mengeluarkan mereka.
“Saya turut membantu apa yang patut dan pulang semula ke Jeli sekitar jam 3 pagi,” katanya.
Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut manakala tujuh lagi cedera parah dalam tragedi ini.
Insiden ini nyata meninggalkan kesan mendalam buat keluarga, rakan-rakan mangsa dan seluruh warga UPSI.
BACA: Nahas Bas Babitkan Pelajar UPSI – “Sepatutnya Saya Pulang Dengan Bas Itu…” – Remaja
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Metro Online