Para pendebat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mengharumkan nama institusi hebat itu apabila berjaya bergelar juara bagi dua kategori di pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pendidikan Tinggi yang berlangsung kelmarin.
Bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, dua kategori yang berjaya dimenangi oleh pendebat UKM adalah kategori Debat Bahasa Melayu (Utama) dan Debat Bahasa Melayu (Muda).
Menjadikan kemenangan mereka lebih manis, gelaran pendebat terbaik bagi kedua-dua kategori ini turut dimenangi oleh pendebat UKM.
Bagi kategori Bahasa Melayu (Utama), pasukan debat UKM yang berada di kerusi pembangkang telah berjaya mengalahkan pasukan debat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam sesi debat bertajuk, “Dewan ini akan memberi keutamaan kepada pembinaan tenaga kerja manusia berbanding pembangunan kecerdasan buatan”.
Ads
UKM diwakili empat pendebat hebat iaitu Muhammad Iman Azhar, Sharifah Umairah Syed Mustaffa, Muhamad Badrul Naim Mohd Besri dan Hafiz Hafizi Norapendi yang turut dinobatkan sebagai pendebat terbaik.
Pendebat UKM, Hafiz Hafizi Norapendi pendebat terbaik kategori Bahasa Melayu (Utama)
Manakala dalam kategori Bahasa Melayu (Muda) pula, pasukan debat UKM yang diwakili oleh Kasih Aerysa, Muhammad Adli Ikhwan Azli, Abu Bakr’ Abdul Rahman dan Muhammad Farris Suhaimi berjaya mengalahkan pasukan debat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Dalam usul perdebatan “Dewan ini menyokong nasionalisasi syarikat-syarikat telekomunikasi” itu, pendebat UKM Muhammad Farris Suhaimi dinobatkan sebagai pendebat terbaik.
Selain kategori bahasa Melayu, kategori Debat Bahasa Inggeris (Utama) dimenangi oleh pasukan debat UiTM manakala bagi kategori Debat Bahasa Arab (Utama) pula di menangi oleh pasukan debat Universiti Malaya.
Ads
Menjadikan kejayaan mereka lebih manis, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan mencemar duli dan menyempurnakan upacara penyampaiaan hadiah kepada pemenang.
Sumber foto: Facebook UKM
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Setiap orang di dunia ada impian untuk berjaya dalam hidup. Seperti Dang Suria Zainal Abidin, gadis berusia 26 tahun yang kini merupakan pramugari syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) memiliki kisahnya tersendiri dalam mengejar kerjaya yang diidamkan.
Saat ditemu bual oleh REMAJA, Suria cukup bersahaja orangnya. Kalau bahasa pasar, orang panggil sempoi. Cukup mudah berbicara dengannya dan dia tidak lokek berkongsi kisah bagaimana dia boleh berjaya bergelar seorang pramugari pada percubaan kali ke-13!
Amazing! Kalau orang lain percubaan ketiga atau keempat sudah mengalah.
Berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, Suria menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan kemudiannya memilih untuk terus bekerja. “Niat untuk sambung belajar tu ada, tetapi saya lebih suka bekerja sebab saya suka adventure life dan bebas seperti arwah ayah saya,” kongsinya.
Bergelar pramugari membawa Suria ke pelbagai negara.
Suria kemudiannya menambah yang dia memang sudah lama bercita-cita untuk bekerja di awan biru. Ujarnya, “Memang cita-cita saya hendak menjadi pramugari. Saya masih ingat lagi ketika ditanya cikgu apa cita-cita saya ketika di sekolah, saya list down pramugari, model dan askar! Sebelum bergelar pramugari, saya pernah bekerja sebagai barista di Starbucks dan kalau nak tahu saya pernah juga menghadiri temu duga untuk menjadi tentera darat di Port Dickson.”
Bekerja di Starbucks selama lebih kurang dua tahun menjadikan dia seorang yang berdisiplin dan semestinya tahu etika melayan pelanggan. Dalam masa sibuk menjalankan tugas sebagai barista, gadis manis ini mengambil inisiatif untuk menghadiri temu duga sebagai pramugari.
Dia berkongsi cerita, “Saya pergi ke temu duga bermacam-macam jenama syarikat penerbangan seperti penerbangan dari timur tengah dan juga AirAsia. Kalau nak tahu saya pergi temu duga sebanyak 12 kali namun tidak berjaya. Percubaan kali ke-13 di Malaysia Airlines sebenarnya percubaan pertama saya untuk syarikat tersebut. Alhamdulillah! Saya diterima.”
Suria juga berkongsi kalau bukan disebabkan emaknya mungkin dia tidak bergelar pramugari MAS. Ini kerana pada hari yang sama, ada juga temu duga di AirAsia dan dia ingin ke sana. Namun ibunya menyuruh dia menghadiri temu duga di MAS. “Kalau ibu tak suruh, mesti saya tak jadi kot pramugari hari ini. Waktu tu saya dalam dilema, saya nak ke AirAsia dan ibu suruh ke MAS. Memang agaknya itu berkat seorang ibu, saya berjaya dalam sesi temu duga bersama MAS,” tambahnya. Kini sudah hampir lima tahun Suria bergelar pramugari.
TAK KENAL ERTI KALAH
Kagum dengan sikap tidak mengalah, REMAJA cuba menggali karakter dan juga sikap positif yang dimiliki oleh Suria. “Apa yang membuatkan saya tak mengalah sebab saya suka berangan. Orang kata berangan tidak elok, namun bagi saya lain orang lain pendirian. Saya jenis berangan dan agan-angan itu saya cuba jadikan realiti.
“Dahulu saya sangat plain jane tak macam sekarang, sehingga kini pun saya masih tidak begitu mahir bersolek. Saya belajar untuk terus brush up skill saya. Ketika saya ditolak oleh salah satu syarikat penerbangan pun kerana saya tidak pandai bersolek,” kongsinya panjang lebar.
Menghadiri temu duga sebanyak 12 kali sebelum berjaya sebagai pramugari MAS, Suria akui dia pernah berkecil hati dengan maklum balas yang diberikan kepadanya.
“Tapi dalam banyak perkara yang terjadi, tiada satu pun membuatkan saya mengalah. Bagaimana mereka beri feedback sampai saya kecil hati saya tak mengalah, sebab saya tahu kalau rezeki saya pasti akan jadi milik saya. Kita akan ada peluang yang sangat cerah kalau kita tak mengalah lebih-lebih lagi dalam perkara yang baik nak capai cita-cita. Allah SWT akan permudahkan. Bak kata pepatah kalau nak seribu daya tak hendak seribu dalih,” ujarnya.
Suria juga berkongsi yang bergelar pramugari memberi dia peluang untuk menonton konsert BTS secara langsung di Singapura. Ia merupakan satu hasrat yang sudah lama dia pendam, akhirnya tercapai. Kalau pembaca REMAJA nak tahu, Suria cukup gemarkan muzik K-pop.
ABAI KATA-KATA NEGATIF
Suria turut berkongsi ada sahaja kata-kata sinis yang sebelum ini tidak percaya dia boleh bergelar seorang pramugari. Apabila ditanya tentang hal ini, dia berkata, “Memang ada, saya dulu pakai braces dan ada masalah gigi. Ada yang tak percaya pramugari sebab saya plain jane. Orang tengok pun mcm mehh. Tapi saya jenis tak kisah, saya tahu yang diri saya boleh buat dan saya akan capai dan jayakan apa yang perlu dengan restu dariNya.”
Suria menambah lagi bahawa kehidupan ini terlalu singkat untuk kita pedulikan kata-kata negatif orang. Life is big, walaupun dunia ini kecil, kita perlu berfikir secara luas dan berpandangan jauh serta berfikir di luar kotak.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, wakil pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Klana Putra, Lenggeng, Negeri Sembilan berjaya meraih perhatian selepas berjaya mengangkat nama Malaysia di persada dunia apabila inovasi pinggan mesra alam berasaskan daun serai yang dinamakan Ecosera mendapat pingat emas dalam sebuah pertandingan inovasi peringkat antarabangsa di Bali. Kejayaan itu sekaligus membuka mata ramai pihak terhadap kemampuan golongan muda mencipta solusi lestari melalui sumber semula jadi yang mudah didapati.
Memetik laporan Sinar Bestari, idea kreatif tersebut dihasilkan oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Dua hingga Tingkatan Empat bersama dua guru pembimbing iaitu Cikgu Noor Shariffah Mohd Jaafar (42) dan Nur Syafiqah Nadiah Farid (30). Walaupun hanya menggunakan daun serai sebagai bahan utama, projek berkenaan telah membuktikan bahawa inovasi berkualiti tinggi tidak semestinya bergantung kepada bahan atau peralatan berteknologi tinggi.
Pertandingan yang menghimpunkan lebih 700 penyertaan dari seluruh dunia itu turut menyaksikan bagaimana inovasi tempatan ini mampu bersaing secara kompetitif di pentas global. Hal ini secara tidak langsung menonjolkan potensi besar produk hijau buatan Malaysia untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Proses Penghasilan Pinggan Serai Ecosera
Bercakap mengenai proses penghasilan, pinggan mesra alam Ecosera mengambil masa hampir dua bulan. Menariknya, para pelajar telah memulakan penyelidikan awal sebelum pelajar melalui pelbagai siri percubaan bagi mendapatkan hasil terbaik sehingga usaha gigih itu akhirnya membuahkan hasil apabila pinggan tersebut berjaya memikat panel juri antarabangsa.
“Mulanya kami rancang untuk menghasilkan sesuatu daripada kulit durian, tetapi disebabkan buah ini bermusim, saya cuba fikir sesuatu yang boleh dihasilkan dari daun serai.”
“Saya kemudian buat pembacaan di media sosial, meneliti beberapa tesis universiti dan mendapatkan pandangan rakan-rakan, dari situ timbul idea untuk menghasilkan pinggan daripada daun serai,” katanya.
Kerja Manual Dalam Pembentukan Ecosera
Di samping itu, memandangkan tiada mesin digunakan, proses pembuatan Ecosera dilakukan secara manual. Daun serai perlu direndam selama dua minggu bagi mengeluarkan serat sebelum disisir untuk membuang lendiran dan dipotong mengikut saiz yang ditetapkan.
Proses tersebut telah mengambil masa kerana keseluruhan kerja dilakukan secara manual. Serat daun tersebut kemudiannya dicampur bersama kanji yang diperbuat daripada tepung ubi.
Seterusnya, campuran itu dibentuk menjadi pinggan sebelum dijemur di bawah cahaya matahari selama satu hari. Setelah kering sepenuhnya, permukaannya disapu dengan lilin madu bagi memastikan pinggan tersebut menjadi lebih mampat dan kukuh.
Potensi Masa Depan Inovasi Ecosera
Menurut Cikgu Noor Shariffah, pinggan serai Ecosera ini mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan, lebih lagi Lenggeng sememangnya terkenal dengan tanaman serai seperti varieti serai peha ayam. Jika dibangunkan dengan bantuan teknologi dan mesin yang bersesuaian, inovasi ini berpotensi mewujudkan peluang pendapatan baharu kepada pengusaha serai tempatan.
Beliau juga mendedahkan bahawa sudah ada pihak universiti yang menyatakan minat untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) lanjut bagi mengkomersialkan produk tersebut.
“Ini projek pertama kami dan banyak lagi yang boleh ditambah baik. Jika ada peluang, saya berhasrat nak komersialkan pinggan serai ini.”
“Selalunya bahagian buangan serai selepas dituai hanya dibakar, tapi dengan inovasi ini, mampu memberikan sumber pendapatan baharu kepada pengusaha,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak penyelidik universiti telah menunjukkan minat untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengkomersialkan produk berasaskan serai ini, sekaligus membuka peluang yang baik kepada pihak sekolah.
Sumber: Sinar Bestari
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
‘Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa’
Tidak seperti kebanyakan ibu bapa, penoreh getah Jaliusih Madakol terpaksa meminjam wang dari orang kampungnya untuk menghadiri pengumuman keputusan STPM anak perempuannya di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.
Namun segala penat lelahnya untuk menyara pelajaran anak perempuannya tidak berakhir dengan sia-sia apabila anak perempuannya, Arnie Jaliusih meraih purata mata gred kumulatif (CGPA) 4.0 untuk peperiksaan STPM.
Arnie yang merupakan pelajar SMK Tun Fuad Stephens adalah antara 75 pelajar yang menerima penghargaan daripada timbalan pengarah Pendidikan (Perancangan dan Pengurusan Sektor PPD) Sabah Mohd Zaini Yanin di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.
Penoreh getah itu turut berkata, dia sanggup berusaha dengan pelbagai cara untuk memastikan Arnie, dirinya dan isteri tetap hadir meraikan pencapaian membanggakan tersebut.
“Saya hanya ada motosikal dan Proton Saga yang selalu rosak. Kereta saya dari era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 1990-an.
“Paling jauh yang ianya boleh capai adalah sehingga ke pekan Tamparuli, kira-kira 30 minit dari rumah kami,” katanya sambil menambah mereka terpaksa menyewa teksi dari pekan itu untuk menyambung perjalanan ke sekolah tersebut.
Jaliusih yang berasal dari Sinansag Kiulu di Tamparuli hanya memperoleh pendapatan antara RM200 dan RM300 sebulan. Manakala kos tambang teksi untuk pergi dan balik dari sekolah tersebut mencecah RM120.
“Saya tiada pilihan lain selain meminjam wang daripada beberapa orang kampung semata-mata untuk memastikan kami berjaya sampai ke sini. Ia adalah satu majlis yang menggembirakan.
“Tetapi apabila Arnie melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, memandangkan dia bercita-cita menjadi seorang guru, kami sekeluarga perlu mendapatkan sokongan kewangan daripada saudara-mara yang lain,” katanya.
Arnie, anak ketiga daripada lima beradik, merupakan pelajar tunggal SMK Tun Fuad Stephens yang mendapat 4.0 dalam peperiksaan STPM.
Sekadar info, seramai 7,618 calon mendaftar untuk peperiksaan STPM di Sabah namun hanya 7,001 yang mendudukinya. Manakala, 59 sekolah mencapai kadar kelulusan 100 peratus tahun lepas.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: NST & Astro Awani
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
redONE Mobile terus menyokong bakat muda melalui penglibatan dalam Dewi Remaja 2025, memberikan inspirasi, peluang dan dorongan kepada finalis untuk terus menyerlah dalam industri hiburan.