Jaguh lumba muda sensasi negara, Putera Adam Halim Muazzam, baru-baru ini mencuri perhatian di pentas antarabangsa apabila menjuarai Perlumbaan 1 dan 2 Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah di Litar Barcelona, Sepanyol di mana kejayaan berganda ini bukan sahaja mengukuhkan reputasinya sebagai pelumba bertaraf dunia. Malah, ia membuka peluang besar untuk beliau mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama menjuarai keseluruhan kejuaraan berprestij tersebut.
Menerusi kemenangan tersebut, pelumba yang kini berusia 19 tahun itu telah mengumpul 94 mata, sekaligus berkongsi kedudukan teratas bersama dua pelumba Oregon Team, Enzo Geraci dan Josef Knopp.
“Minggu ini benar-benar luar biasa buat kami. Saya tidak menyangka mampu bersaing untuk gelaran juara keseluruhan pada tahun pertama penyertaan dalam Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo,” katanya.
Kredit foto: Putera Adam
Dalam pada itu, pada Perlumbaan 1, Putera Adam yang bergandingan dengan rakan sepasukan, Paul Levet, bermula di petak ketiga. Namun, kecekapan taktikal serta rentak konsisten membolehkan mereka mengekalkan kedudukan di kelompok hadapan meskipun diasak hebat oleh pesaing lain. Jentera Huracan EVO2 milik Vincenzo Sospiri Racing (VSR) yang dipandunya jelas memberi kelebihan dalam aspek kelajuan dan kawalan.
Seterusnya, di Perlumbaan 2 pula memperlihatkan kematangan luar biasa anak kelahiran Subang ini. Bermula dari petak ketujuh, beliau bijak mengelak kemalangan awal yang melibatkan beberapa pelumba lain, lalu melonjak ke kedudukan ketiga sebelum giliran pertukaran pemandu. Pada pusingan ke-16, Levet mengambil alih pemanduan dan mengekalkan keunggulan sehingga ke garisan penamat, sekaligus menghadiahkan kemenangan berganda buat pasukan VSR.
Ads
Kredit foto: Putera Adam
Sementara itu, kejayaan Putera Adam turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengucapkan tahniah atas pencapaian luar biasa ini menerusi sebuah perkongsian di Facebook miliknya.
“Menjuarai Perlumbaan 1 dan 2 Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah menjadikannya pelumba Malaysia pertama mencipta sejarah ini, kini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 94 mata”
Ads
“Tahniah Putera Adam atas kejayaan luar biasa ini. Di setiap selekoh litar Catalunya, bukan sekadar enjin yang bergema tetapi nama Malaysia turut disebut dengan bangga di seluruh Eropah,” tulis beliau.
Kredit foto: Putera Adam
Dengan hanya berbaki satu pusingan terakhir di Misano, Itali pada 6 hingga 7 November ini, semua mata kini tertumpu kepada Putera Adam dan Levet yang berpeluang besar menutup musim dengan gelaran juara keseluruhan. Namun, cabaran sengit dijangka hadir daripada Geraci dan Knopp yang turut mengintai peluang sama.
Ads
Sekiranya berjaya, Putera Adam bukan sahaja akan menutup tirai musim dengan penuh bergaya, malah mengukir sejarah baru buat Malaysia dalam dunia perlumbaan dan kejayaannya bakal menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa tiada halangan untuk anak tempatan mengaum di pentas dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Mempunyai status orang kurang upaya (OKU) pendengaran tidak menjadi penghalang bagi Nazihah Surati (25) untuk menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-68 yang berlangsung baru-baru ini.
Nazihah merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian Sains Komputer Dengan Kepujian yang mengalami masalah pendengaran sejak berumur enam tahun itu meluahkan rasa syukur dapat membuktikan bahawa golongan sepertinya mampu berjaya meskipun berdepan laluan sukar berbanding individu normal.
“Keluarga adalah pembakar semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh dan tabah menghadapi apa jua rintangan. Sokongan pensyarah juga amat dihargai kerana banyak membantu saya menyelesaikan kekangan yang dihadapi khususnya komunikasi”
“Saya menggunakan hearing aids yang dipasangkan secara plug and play di kedua pasang telinga. Namun ia masih memiliki banyak kelemahan dan kekurangan,” katanya.
“Selain itu, antara cabaran yang saya hadapi sepanjang tempoh pengajian di UTM adalah kuantiti pelajar yang ramai di dalam bilik kuliah, menyukarkan saya untuk membaca paparan pengajaran pensyarah di samping keterbatasan audio yang agak sedikit menyulitkan saya,” ujarnya lagi.
Menurut bekas atlet tenpin boling mewakili Johor pada Kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 itu berkata, dia merancang untuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi iaitu sarjana namun mahu mengumpul pengalaman kerja terlebih dahulu.
Nazihah ketika meraih pingat gangsa pada ‘New Academia Learning Innovation (NALI) 2024
Pada masa yang sama, gadis itu telah pun ditawarkan untuk menyambung pengajian, Nazihah masih lagi ingin meneruskan langkah ke peringkat Ijazah Sarjana di UTM. Beliau juga kini merupakan seorang pengujian perisian di salah sebuah bank di ibu kota Kuala Lumpur.
“Saya sudah mendapat tawaran menyambung pengajian sarjana di UTM. Tetapi saya mahu bekerja terlebih dahulu dan akan melihat kesesuaian belajar sambil bekerja. Mungkin akan sambung dalam tempoh setahun lagi,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Dalam pada itu, Nazihah berharap kejayaannya dapat dijadikan pencetus semangat kepada semua golongan OKU agar sentiasa berusaha memajukan diri dan tidak sesekali berputus asa walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan.
“Jangan biarkan aura negatif menghalang perjalanan anda menuju puncak kejayaan. Jadikan segala cabaran dan kritikan sebagai batu loncatan untuk terus melangkah ke hadapan. Ingatlah, jika kita sudah memulakan sesuatu, bertanggungjawablah untuk menyelesaikannya.” pesan Nazihah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, seorang bekas pelajar Maktab Tentera Diraja, Eusoff Azman mula mencuri perhatian apabila berjaya menunaikan ibadah haji seorang diri pada usia 18 tahun, sekaligus menjadikan beliau antara jemaah termuda bagi musim ini.
Lazimnya, pada usia yang masih bergantung kepada keluarga, remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu membuktikan bahawa pendedahan awal dan disiplin diri mampu membentuk keberanian untuk menggalas tanggungjawab besar seperti menunaikan Rukun Islam kelima.
Menurut Eusoff, peluang ke Tanah Suci pada usia muda tidak datang secara kebetulan, sebaliknya ia adalah hasil perancangan awal ibu beliau yang mendaftarkannya dengan simpanan Tabung Haji sejak beliau masih kecil.
“Mak saya daftarkan saya seawal tahun 2008, sejak saya masih bayi. Alhamdulillah tahun ini nama saya dipilih dan saya datang seorang diri,” katanya.
Tambah Eusoff, simpanan untuk tujuan tersebut dikumpul secara berperingkat sejak kecil termasuk melalui duit raya dan wang poket, selain mendapat sokongan berterusan daripada ibu bapanya.
Mengulas pengalaman berada di Tanah Suci, Eusoff mengakui tidak berdepan kesukaran besar untuk menyesuaikan diri meskipun pertama kali ke luar negara tanpa keluarga, memandangkan pengalaman tinggal di asrama sebelum ini banyak membantu dirinya untuk berdikari.
“Saya tidak terlalu gementar, cuma ini pengalaman baru sebab pertama kali berjauhan dengan keluarga di luar negara,” ujarnya sambil menambah hubungan baik dengan rakan sebilik yang jauh lebih berusia turut memberi banyak manfaat sepanjang berada di sana.
Sementara itu, Eusoff sempat merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya atas pengorbanan mereka serta berharap lebih ramai ibu bapa mengambil inisiatif mendaftarkan anak-anak ke Tabung Haji sejak kecil agar peluang menunaikan ibadah haji pada usia muda dapat direalisasikan.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Akhir-akhir ini, banyak pertandingan pidato atau syarahan dijalankan secara dalam talian seiring dengan norma baharu. Walaupun tidak dapat dijalankan secara bersemuka, pertandingan seumpama ini sebaliknya lebih dimasyarakatkan kerana pelbagai video pertandingan dapat ditonton menerusi medium elektronik.
Keadaan ini sebenarnya satu perubahan yang baik kerana lebih ramai murid yang akan didedahkan kepada pertandingan kebahasaan seumpama ini. Namun begitu, pada masa yang sama, kepincangan yang dilakukan oleh para peserta, khususnya dalam penggunaan bahasa yang kurang bermutu juga semakin menonjol.
Rata-ratanya pemidato gemar menggunakan kata atau ayat yang nampak “canggih” tetapi menyalahi konteks penggunaannya.
Oleh itu, dalam rencana pada kali ini akan memaparkan dua kesilapan penggunaan kata yang kerap dilakukan oleh peserta.
Contoh yang pertama ialah penggunaan kata “indikator.” Dalam pertandingan pidato dan syarahan, peserta sering menggunakan kata “indikator”. Peserta telah menyalahgunakan perkataan “indikator” dalam teks pidato mereka seperti contoh yang berikut:
Para hadirin sekalian, indikator saya yang pertama, “keluarga bahagia, negara sejahtera.”
Indikator saya yang kedua di bawah kata kunci “kekuatan mental remaja menjanakan kemajuan Negara.”
“Indikator” yang ingin dimaksudkan oleh pemidato dalam kedua-dua ayat di atas ini sebenarnya merujuk kepada isi atau hujah yang hendak disampaikan. Namun begitu, menurut Kamus Dewan Perdana (2020), “indikator” bermaksud petunjuk atau alat yang dapat memberikan maklumat khusus tentang kedudukan atau keadaan sesuatu.
Jelas sekali bahawa peserta gemar menggunakan kata pinjaman yang kedengaran bombastik tetapi tidak mengetahui maksud dan cara penggunaannya.
Selain perkataan “indikator”, kata “pragmatik” juga sering disalah guna oleh peserta pidato dan syarahan. Contoh:
Maka, hayatilah pragmatik yang pertama, “Institusi Keluarga Diperkasa (sepatutnya “Diperkasakan”), Integriti Terpelihara.”
Hadirin sekalian, pragmatik kedua, penerokaan ilmu mampu menjana minda bangsa.
Menurut Kamus Dewan Perdana, “pragmatik” merupakan satu kata adjektif yang membawa makna lebih mementingkan atau mengutamakan keadaan atau kesan yang sebenar daripada teori ataupun idea, iaitu keadaan sesuatu yang lebih praktikal.
Kesimpulannya, hormatilah bahasa kita dengan menggunakan bahasa yang gramatis dan tetapi menepati kontek. Salam Bahasa Jiwa Bangsa.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Alex Leong Jun Wei.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Personaliti media sosial, Andika Putera berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaan anak perempuannya, Alisha Puteri yang baru sahaja menjalani pembedahan mata.
Menerusi satu hantaran di TikTok,...