Suasana pilu menyelubungi kawasan Sungai Korok di Jalan Datuk Kumbar pagi Isnin apabila satu tragedi menyayat hati meragut enam nyawa sekeluarga selepas kenderaan dinaiki mereka ditemui tenggelam di dasar sungai itu.
Kenderaan jenis Perodua Alza yang dipercayai dinaiki sepasang suami isteri bersama empat anak mereka, termasuk seorang bayi berusia enam bulan, dikesan berada kira-kira 30 meter dari tebing sungai oleh pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Shukri Ibrahim, operasi mengeluarkan mangsa dijalankan dengan penuh cermat bagi memastikan keselamatan pasukan penyelamat serta menjaga maruah mangsa.
“Setakat ini, beberapa mangsa berjaya dibawa naik dan disahkan meninggal dunia. Usaha mengeluarkan baki mangsa dan kenderaan sedang giat diteruskan,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.
Ads
Kehilangan Enam Sekeluarga Disedari Sejak Sabtu
Kisah kehilangan enam beranak ini mula mendapat perhatian selepas Sinar Harian melaporkan pasangan suami isteri, Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, dan isterinya, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, bersama empat anak mereka berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun, dilaporkan hilang sejak Sabtu.
Menurut adik kepada Mohd Azim, Nur Adliah Shuhada, abangnya sekeluarga datang bermalam di rumahnya di Taman Aman, seperti kebiasaan, pada Jumaat lalu. Namun, keganjilan timbul apabila mereka tidak pulang ke rumah di Jerlun dan gagal dihubungi keesokan harinya.
“Kami cuba hubungi mereka berkali-kali tetapi telefon tidak dapat dihubungi. Mulanya kami ingat mereka singgah ke mana-mana, tapi apabila sampai malam masih tiada khabar berita, kami mula risau,” katanya dalam nada sebak.
Ads
Tular di Media Sosial
Penemuan tragis ini turut mendapat perhatian meluas di media sosial. Ramai netizen meluahkan rasa simpati serta mendoakan kekuatan buat ahli keluarga mangsa.
Majlis pengebumian dan proses pengesahan identiti mangsa dijangka dilakukan sebaik semua mayat berjaya dikeluarkan dan disahkan oleh pihak hospital.
Kami di Majalah Remaja mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa. Semoga mereka diberi ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian berat ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
124 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah dilaporkan mengalami trauma selepas pemergian tragis rakan mereka, Allahyarham Zara Qairina. Susulan insiden yang mengejutkan negara itu, pihak berkuasa kini menjalankan proses intervensi bagi membantu pelajar yang terkesan pulih daripada tekanan emosi.
Menurut laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, pihak polis mengambil pendekatan proaktif dengan menghantar pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) JSJ untuk mengendalikan intervensi tersebut. Langkah ini melibatkan elemen psikiatri, kaunseling dan sokongan psikososial bagi memulihkan keyakinan pelajar yang terjejas.
“Seramai 124 pelajar kita kesan mengalami trauma akibat insiden ini. Intervensi ini adalah proses untuk memulihkan keyakinan supaya tahap keyakinan mereka kembali pulih dan perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” jelas beliau.
Untuk rekod, pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu sekolah tersebut, ditemui tidak sedarkan diri di longkang asrama sekitar jam 3 pagi. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia, meninggalkan kesedihan yang mendalam buat keluarga, rakan dan seluruh warga sekolah.
Bagi rakan-rakan sekolah yang rapat dengan arwah, kehilangan ini bukan sahaja memberi kesan emosi, malah mengubah suasana harian di asrama dan bilik darjah. Program intervensi yang dijalankan memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi perasaan, mengurangkan rasa takut, dan mendapatkan bimbingan daripada pakar kesihatan mental.
Kes ini menjadi peringatan kepada semua remaja tentang pentingnya menjaga kesihatan mental, peka terhadap persekitaran, dan saling menyokong antara satu sama lain. Jika berdepan tekanan atau masalah, remaja disarankan untuk bercakap dengan guru, kaunselor atau ahli keluarga yang dipercayai, agar emosi tidak terpendam dan membebankan diri.
Walaupun tragedi ini sukar untuk dilupakan, dengan bimbingan dan kasih sayang daripada komuniti sekolah serta keluarga, diharapkan semua pelajar yang terjejas dapat kembali bangkit, meneruskan pelajaran, dan menjadikan pengalaman ini sebagai kekuatan untuk masa depan.
Pasangan pengasas perniagaan fesyen e-dagang, FashionValet Sdn Bhd, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzarudin Shah Anuar berdepan pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta pada enam tahun lepas.
Dalam pertuduhan yang dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Rosli Ahmad, Vivy, 37 dan Fadza, 36 didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd telah melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.
Vivy Yusof dan Fadza Anuar.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Public Bank Berhad cawangan Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018. Justeru, pertuduhan hari ini dilakukan mengikut Sesyen 409 Kanun Keseksaan dibaca beersama Sesyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Setelah dibenarkan oleh Hakim Rosli, Vivy dan Fadza setiap seorang telah diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin. Menurut pihak pendakwaan, nilai ikat jamin itu munasabah dan bukan punitif (yang menekan-nekan tertuduh) setelah mengambil kira keseriusan kes dan demi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.
Pasangan tertuduh juga diberikan dua syarat tambahan di mana mereka perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan. Pasangan tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Menurut pihak pendakwaan, kedua-dua syarat tambahan ini ditetapkan kerana isu pecah amanah adalah kesalahan yang serius dan pasangan tertuduh mempunyai flight risk atau risiko melarikan diri.
Seperkara lagi, pasangan tertuduh turut dihalang menganggu serta mempengaruhi saksi dalam kes ini sehingga kes selesai. Ini memandangkan kebanyakan saksi terlibat dalam perniagaan FashionValet.
Hakim Rosli menetapkan 22 Januari 2025 untuk sebutan kes.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, industri hiburan Korea Selatan tanpa henti menunjukkan kreativiti dan inovasi bagi menarik perhatian penggemar dan peminat muzik K-Pop utamanya.
Salah satu syarikat hiburan terkenal, SM Entertainment sekali lagi kembali dengan mencipta hal baru inovatif dan bakal memikat hati para peminat melalui kerjasama bersama syarikat Jinaem mengumumkan akan membina Hotel K-Pop yang dibangunkan khas untuk peminat K-Pop di seluruh dunia.
Kolaborasi ini rasmi diumumkan pada 29 Julai lalu ketika Jinaem dan Kreation Music Rights (KMR) yang merupakan anak syarikat kepada SM Entertainment menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk membangunkan hotel residensi bagi peminat K-Pop, penulis lagu/lirik, penerbit lagu yang datang dari seluruh negara.
“Kolaborasi ini adalah contoh dari kesan hubungan baik antara investor dan syarikat yang menerima investasi. Selain itu, kami juga dapat mencipta ‘angin baru’ dari pembinaan Hotel K-Pop ini”
KMR juga akan turut menyediakan pelbagai bahan sokongan muzik dan penciptaan kandungan. Sementara itu, Jinaem yang merupakan syarikat baru dalam bidang gaya hidup dan kesihatan akan mengelola projek ini termasuk dari segi perancangan, operasi dan perkembangan dari masa ke semasa.
Mengikut perancangan awal, Hotel K-Pop ini akan dibina di bandar Seoul dengan kapasiti 20-30 buah bilik. Hotel ini juga dijangka akan menjadi pusat budaya bagi penggemar agar mereka dapat menikmati muzik dari pelbagai komposer KMR selain mendapat keistimewaan tambahan yang lain.
Dalam pada itu, menurut laporan Global Hallyu Status bagi tahun 2023. Jumlah penggemar budaya Hallyu secara global telah mencapai sehingga 225 juta pada Disember lalu dan ia menunjukkan peningkatan 24 kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya sejak Korean Wave pertama mendapat sambutan pada tahun 2012.
Melalui pembinaan hotel ini juga, mereka berharap akan memberi suasana baru dalam industri K-Pop. Malah, para peminat juga dapat menikmati pengalaman muzik dan budaya K-Pop dengan lebih dekat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!