Prestasi gemilang pemain muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman, kini telah meningkat secara signifikan dengan nilai pasaran yang mencapai RM2.82 juta (550,000 euro), berbanding RM638,000 pada tahun sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dapat Jolokan ‘Messi Malaysia’, Fakta Arif Aiman Hanapi Yang Ramai Tak Tahu

Penilaian ini dikemaskini dan diterbitkan di laman sesawang transfermarkt.com. Kini, Arif Aiman diiktiraf sebagai pemain tempatan termahal dalam persaingan Liga Malaysia.
Menurut penilaian tersebut, nilai Arif lebih tinggi daripada penyerang import JDT, Bergson Da Silva, yang kini bernilai 450,000 euro (RM2.30 juta), dan juga penjaring terbanyak Liga Super, Ayron Del Valle, dengan nilai 400,000 euro (RM2 juta).

Dalam skuad JDT, Arif Aiman menduduki tempat keempat dalam senarai pemain termahal, setelah Jordi Amat, Takahiro Kunimoto, dan Fernando Forestieri, seperti yang dipaparkan di laman transfermarkt.

Peningkatan nilai pasaran Arif ini dalam tempoh dua tahun boleh diperhatikan melalui prestasinya yang cemerlang dalam Liga Super, Liga Juara AFC (ACL), dan penyertaannya bersama skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Prestasi cemerlang Arif Aiman turut menarik perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), yang mengenalpasti Arif Aiman sebagai pemain utama untuk Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Selain itu, nilai pasaran Arif Aiman dijangka dapat meningkat hingga melebihi RM7.5 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.
Anda mungkin berminat dengan
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
KREDIT FOTO/ARTIKEL: The Malaysia Gazette
∞
Banyak pengguna bahasa khususnya para pelajar bertanya tentang perbezaan antara kata “agen” dengan “ejen”. Pada kesempatan ini, kedua-dua kata akan dijelaskan agar pengguna bahasa faham dan tidak melakukan kesalahan bahasa pada masa akan datang.
Kedua-dua perkataan “agen” dan “ejen” merujuk perkataan daripada bahasa Inggeris yang sama iaitu agent. Namun, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kedua-dua perkataan ini merujuk bidang yang berbeza.
Ejen: Orang (syarikat dan sebagainya) yang menjalankan perniagaan untuk orang lain, orang yang diupah dan digunakan untuk mewakili dalam urusan jual beli.
Agen: Sesuatu yang menyebabkan berlakunya tindak balas (proses dan sebagainya)
Lihat perbezaan antara kedua-dua perkataan ini dalam ayat di bawah:
- Puan Rosnah ejen insurans yang dipercayai.
- Asid ialah agen kimia yang penting.
Secara ringkasnya, “ejen” merujuk manusia manakala “agen” merujuk bukan manusia. “Ejen” digunakan untuk orang, wakil syarikat dan sebagainya manakala “agen” kebiasaannya digunakan dalam bidang sains dan teknologi untuk menggambarkan berlakunya sesuatu proses atau tindak balas. Kesimpulannya, kedua-dua perkataan ini digunakan mengikut konteks dan bidang yang berbeza.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Atikel ini ditulis oleh NOR FAZILAH BINTI NOOR DIN
∞
Kanak-kanak yang pernah mencuri perhatian ramai kerana bergambar mesra bersama kerbau suatu ketika dahulu kini muncul dengan kisah baharu yang membanggakan.
Muhammad Syukur Khamis atau lebih dikenali sebagai Mowgli Malaysia, berjaya menamatkan pengajian dalam Kursus Teknologi Motosikal di GiatMara Hulu Terengganu selepas enam bulan bergelar pelajar.
Syukur diraikan dalam Majlis Graduasi GiatMara ke-38 yang berlangsung pada Rabu lalu.

“Syukur bukan sahaja serasi dengan hidupan dan alam malahan beliau cekap dalam kemahiran.
“Sentiasa menyertai pertandingan kemahiran dianjurkan, beliau sekarang ‘pomen muto’ menguruskan bengkel motosikal milik keluarga yang menjadi pilihan orang kampung dan rakan-rakan,” menurut kenyataan GiatMara Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook, Syukur menzahirkan rasa syukur atas kejayaannya menamatkan pengajian dalam bidang TVET.
“Alhamdulillah, terima kasih buat bonda tercinta, keluarga dan rakan taulan. Selamat maju jaya buat semua graduan,” tulisnya.
Sekadar info, Syukur mula menjadi perhatian dunia sejak 10 tahun lalu apabila kebolehannya berinteraksi dengan lebih 100 ekor kerbau peliharaan ayahnya, Khamis Jusoh, 63, tular di media sosial.

Malah, gambarnya bersama sekawan kerbau pernah diangkat sebagai juara peringkat Asia dan tersenarai antara 20 gambar terbaik dunia pada tahun 2019.

“Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Dalam apa jua bentuk pertandingan, tentunya ada yang akan muncul sebagai menang dan ada juga yang akan berada di blok kekalahan.
Begitu jugalah keadaan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Hanya ada seorang sahaja Perdana Menteri yang akan dilantik bagi memimpin Malaysia bagi lima tahun yang akan datang. Manakala calon-calon daripada gagasan lain pula selepas ini akan berkhidmat di blok pembangkang.
Dalam masa kurang sejam dari sekarang, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan bakal dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesepuluh setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Meskipun keputusan telah diumumkan, Seri Paduka Baginda tetap mengingatkan kepada semua pihak agar kekal bersederhana menunjukkan respon balas.
Yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua. Seri Paduka Baginda menitah agar semua pihak menghulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara.
Malaysia kata Seri Paduka Baginda bukan dimiliki oleh sesetengah pihak sahaja. Malaysia adalah ‘harta pusaka’ milik semua rakyat yang lahir di sini dan memanggilnya sebagai tanah air mereka, manakala para pemimpin pula hanyalah pemegang amanahnya dan akan mewariskannya kepada generasi muda.

Sebagai rakyat, sama-samalah kita berharap agar kita tidak lagi dibebani dengan kemelut politik seperti yang berlaku sepanjang lima hari parlimen Malaysia tergantung. Sebaliknya, rakyat wajar diberikan panduan dan laluan untuk menikmati kerancakan ekonomi dan pembangunan negara dalam masa lima tahun yang akan datangl. Semua ini hanya boleh terlaksana jika pemimpin negara memberikan perkhidmatan terbaik mereka kepada rakyat
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
e
∞