Bintang aksi legenda Thailand, Tony Jaa, kini sedang melalui fasa paling mencabar dalam hidupnya apabila dilaporkan menjalani rawatan kanser pundi hempedu sejak didiagnosis pada Jun 2024.
Menurut laporan media Thailand, aktor terkenal itu pada awalnya mengalami sakit perut berpanjangan serta simptom jaundis yang berterusan. Keadaan tersebut mendorong beliau menjalani pemeriksaan lanjut sebelum doktor mengesahkan kehadiran kanser pundi hempedu.
Lebih membimbangkan, penyakit berkenaan dilaporkan telah berada pada tahap 3 dan hampir ke tahap 4 ketika diagnosis dibuat. Tahap ini lazimnya memerlukan rawatan segera dan agresif kerana risiko komplikasi yang tinggi serta kesan serius terhadap fungsi organ dalaman.

Situasi ini nyata mengejutkan peminat, memandangkan Tony Jaa dikenali sebagai figura yang sangat menjaga kecergasan fizikal dan disiplin latihan sejak awal pembabitannya dalam dunia seni mempertahankan diri.
Rawatan Agresif Tunjukkan Perkembangan Positif
Bagaimanapun, sumber terdekat memaklumkan bahawa Tony Jaa bertindak pantas dengan menjalani rawatan agresif, termasuk pembedahan dan beberapa sesi kemoterapi yang dirancang oleh pasukan perubatan pakar.
Langkah pantas itu kini menunjukkan perkembangan positif, sekali gus memberi harapan baharu dalam perjuangan melawan kanser pundi hempedu.
Laporan oleh Channel 3 Thailand menyatakan keadaan Tony Jaa kini berada dalam keadaan lebih stabil.
Walaupun begitu, beliau masih memerlukan pemantauan rapi dan rawatan susulan sepanjang tempoh pemulihan bagi memastikan kesihatannya terus terkawal.
Pasukan perubatan dilaporkan sentiasa memantau tahap tindak balas tubuhnya terhadap rawatan, terutamanya kesan kemoterapi terhadap stamina dan sistem imun.
Kebimbangan peminat mula tercetus selepas aktor itu kelihatan semakin kurus dalam beberapa hantaran di media sosial kebelakangan ini.

Perubahan fizikal tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi, lebih-lebih lagi apabila tiada kenyataan rasmi dibuat di laman Facebook rasminya mengenai masalah kesihatan sebenar.
Dalam muat naik terbaharu pada 31 Januari, Tony Jaa hanya berkongsi aktiviti penggambaran video muzik baharunya berjudul One More Round, tanpa menyentuh sebarang isu berkaitan kesihatan.
Usia 50 Tahun, Simbol Perjalanan Seorang Ikon
Tony Jaa, atau nama sebenarnya Tatchakorn Yeerum, baru sahaja menyambut ulang tahun ke-50. Usia tersebut cukup simbolik buat seorang figura yang terkenal dengan aksi fizikal ekstrem, keberanian melakukan aksi sendiri serta disiplin latihan luar biasa.
Bagi peminat, berita mengenai kanser pundi hempedu bukan sekadar kisah penyakit, tetapi ujian terbesar buat seorang legenda aksi yang selama ini sinonim dengan kekuatan luar biasa.
Nama Tony Jaa mula meledak di peringkat antarabangsa menerusi filem Ong-Bak (2003) yang menampilkan seni Muay Thai asli tanpa penggunaan stuntman atau CGI. Kejayaan itu membuka laluan besar ke industri filem Hong Kong dan Hollywood, sekali gus membina reputasi global sebagai ikon filem aksi Asia.
Antara karya besar yang mengukuhkan namanya termasuk Tom-Yum-Goong (2005), Furious 7 (2015), xXx: Return of Xander Cage (2017), Paradox (2017), Master Z: Ip Man Legacy (2018), Triple Threat (2019) dan Detective Chinatown 3 (2021).

Anda mungkin berminat dengan
Sokongan Keluarga & Doa Peminat
Sumber industri hiburan turut memaklumkan bahawa keluarga Tony Jaa sentiasa berada di sisi, memberikan sokongan penuh sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.
Buat masa ini, aktor itu memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesihatan berbanding komitmen lakonan.
Ruangan media sosial Tony Jaa kini dibanjiri ucapan semangat, doa dan sokongan daripada peminat seluruh dunia yang berharap ikon aksi itu kembali pulih sepenuhnya.
Sumber : Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Berita baik buat individu yang menetap di sekitar Lembah Klang, pawagam drive in pertama di Malaysia kini bakal ditayangkan di Kuala Lumpur.
Merupakan program dibawah anjuran TwoSpicy Entertainment Live dan MD Events Asia, pawagam drive in ini menggunakan konsep menonton daripada dalam kereta dan tayangan akan dilakukan di kawasan yang luas dan terbuka.
Ia akan diadakan di tempat letak kereta yang terletak bersebelahan MaTic di Jalan Ampang. Orang ramai akan duduk di dalam kereta mereka dan menikmati tayangan filem di skrin berukuran 9×4 meter berserta audio daripada radio player mereka sendiri yang disambungkan melalui Bluetooth atau Aux port.
Bagi kenderaan yang tidak mempunyai pilihan Aux port atau Bluetooth, speakers Bluetooth akan diberikan kepada mereka oleh pihak penganjur.
Penonton diberi pilihan mengikut keselesaan mereka dan pihak penganjur akan memastikan setiap kereta akan mendapat akses suara yang jelas.
Setiap hari, hanya dua tayangan diadakan iaitu sesi pertama berlangsung pada jam 7.30 malam hingga 9. Malam dan sesi kedua akan berlangsung jam 9 malam.

Hanya 50 kenderaan yang dibenarkan pada setiap tayangan dan jenis kereta sedan akan ditempatkan dibarisan hadapan serta dua lagi barisan dibelakang akan menempatkan jenis kenderaan MPV dan SUV untuk tidak menghalang pandangan penonton lain.
Antara filem yang ditayangkan adalah Titanic, Jangan Pandang Belakang dan Crazy Rich Asians.


Langkah-langkah keselamatan merangkumi pemeriksaan suhu dan penonton akan dibawa oleh petugas untuk ke tempat yang telah ditetapkan. Program ini juga semestinya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pawagam drive in ini juga khabarnya bakal dilancarkan pada 28 Julai 2020.
Sebelum tiket sold out, lebih baik korang serbu laman web mereka cepat. Hiks!
Selamat menonton!
Sumber: malaymail.com
∞
Aktres jelita, Tracie Sinidol berkongsi pengalaman peribadi yang pernah dilaluinya sehingga hampir kehilangan penglihatan pada mata kiri.
Tidak disangka, pengalaman tersebut akhirnya menjadi inspirasi buat dirinya untuk menjayakan watak dalam filem terbaharu lakonannya berjudul Malaikat Malam.
Menurut Tracie, kejadian itu berlaku kira-kira dua tahun lalu ketika dia sedang bermain badminton apabila mata kirinya terkena pukulan bulu tangkis sehingga menyebabkan penglihatannya hilang buat sementara waktu.

Pernah Hilang Penglihatan Sementara
Berkongsi mengenai detik mencemaskan itu, Tracie mengakui dia sempat berasa gementar apabila tidak dapat melihat menggunakan mata kirinya selepas insiden tersebut.
“Saya pernah berdepan satu situasi di mana penglihatan mata belah kiri akibat terkena bulu tangkis ketika bermain badminton.
“Waktu terkena bulu tangkis, ‘benda’ terakhir yang saya nampak adalah seperti satu pancaran cahaya berwarna putih yang sangat terang.
“Saya sangat gementar sebab penglihatan mata belah kiri saya memang hilang sampaikan saya terfikir adakah saya akan benar-benar buta sebelah mata.
“Bila ke hospital, doktor memang cakap ada kecederaan dan saya akan berdepan buta sebelah mata buat sementara waktu.
“Selepas seminggu, saya dapat melihat semula tetapi sepanjang proses untuk sembuh, saya merasai pengalaman bagaimana mereka yang kurang upaya rasai dan dari pengalaman itulah saya guna pakai untuk bawa karakter dalam filem ini,” katanya kepada Remaja.

Cabaran Bawa Watak Ratna
Dalam masa sama, juara Dewi Remaja 2022 itu turut mengakui watak Ratna yang dipegangnya memberikan pengalaman lakonan yang berbeza buat dirinya.
“Ini satu pengalaman baharu dan bermakna buat saya tapi waktu dapat tawaran saya berasa teruja dan gementar juga.
“Saya terfikir kalau-kalau tak dapat sampaikan kepada penonton sebab bukan senang nak bawa karakter ini.
“Sebab selama ini, bila berlakon kita akan ada ‘eye contact’ dengan pelakon lain tapi kali ini hanya menggunakan pendengaran saja,” kongsinya.

Pengalaman Yang Mengajar Erti Bersyukur
Dalam pada itu, Tracie turut mengakui pengalaman kehilangan penglihatan buat sementara waktu itu memberi pengajaran besar dalam hidupnya untuk lebih menghargai nikmat yang dimiliki.
“Pengalaman itu juga sangat menyentuh hati saya sebab selama ini kebanyakkan dari kita seakan ambil remeh dengan apa yang kita ada.
“Bila sesuatu nikmat itu sudah ditarik barulah kita nak belajar menghargai. Pengalaman itu juga sedikit sebanyak mengajar saya erti bersyukur,” ujarnya.

Bakal Temui Penonton 26 Mac Ini
Untuk info, Tracie memegang watak Ratna yang merupakan seorang gadis kurang upaya penglihatan dalam filem Malaikat Malam.
Selain Tracie, filem arahan Nazifdin Nasrudin itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Syafiq Kyle, Que Haidar, Amir Nafis dan Kodi Rasheed.
Filem terbitan Viper Studios dengan kerjasama Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 Mac ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Kali terakhir penyanyi Malaysia menyanyikan semula lagu asal berbahasa Korea ke dalam bahasa Malaysia adalah menerusi lagu Sonata Musim Salju nyanyian Hazami dan lagu Ku Juga Mencintaimu nyanyian Saiful.
Namun, jarang sekali penyanyi Malaysia yang mengalih bahasa lagu asal nyanyian mereka kepada bahasa Korea. Inilah keistimewaan projek terbaru oleh penyanyi bervokal lantang, Aina Abdul.
Single terbarunya, Sepi telah dialih bahasa ke bahasa Korea dan ia bakal menemui peminat tidak lama lagi.
Sepi versi bahasa Korea ini adalah langkah permulaan Aina untuk mencuba pasaran muzik di luar Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN : Aina Abdul Cover Lagu How You Like That, Orang Korea Beri Pujian Sebutan Memang Jelas – REMAJA
Satu faktor yang menyakinkan Aina mencuba projek ini adalah disebabkan pertolongan seorang rakan kolejnya bernama Alice. Alice kini bermastautin di Korea Selatan dan berkhidmat di salah sebuah syarikat label Korea sebagai penulis lagu.
“Sejak zaman belajar, Alice gemar kongsikan perihal muzik K-pop kepada Aina hingga membuatkan Aina berminat mendengar muzik K-pop dan seterusnya memuat naik beberapa video cover lagu K-pop.
“Aina hubungi Alice untuk meminta pertolongannya menerjemah lirik Sepi ke dalam bahasa Korea. Dari situ, terhasillah versi baharu ini,” kongsinya semasa ditemui di sidang media pengumuman kolaborasi Aina Abdul bersama jenama kosmetik tempatan, Trulooks.

Sejak mencuba rangkaian produk penjagaan kulit Truskin selama tiga bulan secara konsisten, Aina telah melihat perubahan ketara pada kulit wajahnya.
Ia tidak lagi berminyak seperti dahulu yang menjadi punca kulit Aina dinaiki jerawat dan berdepan isu kulit tidak sekata.
Mana Datang Keyakinan?
Berbalik semula kepada percubaan Sepi versi bahasa Korea ini, Aina sedar respon yang diterima daripada pendengar mungkin boleh berbelah bahagi.
Sebelum ini pun jika ada penyanyi tempatan yang cuba menyanyi dalam bahasa asing, pasti ada yang menyokong dan akan ada juga yang mengecam penguasaan bahasa asing penyanyi tersebut yang lemah.
Baginya, itu tidak sama sekali dijadikan penghalang untuk dia melancarkan Sepi versi bahasa Korea ini.
“Sebenarnya, Aina pandai mengajuk bahasa asing seperti bahasa Korea. Jadi dari situ Aina yakin untuk mencuba projek baharu ini.”

“Lagipun, kalau kita amati muzik Korea pun ada menyelitkan bait lirik berbahasa Inggeris dalam lagu mereka.
“Biarpun sebutan bahasa Inggeris penyanyinya tidaklah sempurna, pendengar masih boleh menerima lagu tersebut kerana bahagian bahasa Inggeris itu terselit kemas dalam lagu. It fits the song.
“Pada masa yang sama, Aina telah mengumpulkan sekelompak pengikut berbangsa Korea yang menyokong video nyanyian cover yang pernah Aina muat naik. Projek baharu ini Aina anggap sebagai satu penghargaan di atas sokongan mereka selama ini,” katanya lagi.
Tambah menarik apabila penyanyi Sumpah ini turut menghasilkan sebuah klip video istimewa bagi Sepi versi bahasa Korea.
Klip video tersebut bakal dilancarkan pada 5 April ini di saluran YouTube rasmi Aina Abdul dan ia turut menyelitkan sarikata ‘romanized’ bahasa Korea agar para Ainations mudah menyanyi bersama-sama.
Tak sabar rasanya nak tunggu!
BACA LAGI : ‘Topi Kanak-Kanak & Kesan Luka Merah’, Mendalamnya Makna Gaun AJL Aina Abdul – REMAJA
Tapi sebelum ini, jom tonton persembahan lagu istimewa yang dirakamkan Aina Abdul bersama Waris dan DJ Fuzz untuk jenama Trulooks.
∞