Pernah tak anda sangka sisa jagung yang selalu kita makan itu boleh dijadikan produk kecantikan? Itulah idea kreatif yang dicetuskan oleh sekumpulan pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah baru-baru ini apabila mereka menghasilkan produk yang diberi nama Co-Scrubber yang berfungsi sebagai penyental kaki unik yang diperbuat daripada tongkol jagung.
Tiga pelajar jurusan Kosmetologi KV Keningau iaitu Rosbianahlin Rosli, Zetty Sherlin, dan Farisyah Sahipin berkata mereka menyedari bahawa tongkol jagung yang biasanya dibuang selepas bijinya diambil, masih boleh digunakan.
Mereka menjalankan eksperimen sehingga akhirnya berjaya menghasilkan penyental kaki mesra alam yang lembut tetapi berkesan untuk membuang sel kulit mati dan melembutkan kapalan. Selain kepedulian terhadap alam sekitar dan semangat inovasi, tiga gadis hebat ini juga berjaya membuktikan bahawa kreativiti boleh mengubah bahan terbuang menjadi sesuatu yang bernilai.
Ads
Tidak seperti batu apung yang boleh menyebabkan kulit mengelupas secara berlebihan atau berisiko menyebabkan jangkitan, produk Co-Scrubber menawarkan alternatif yang lebih selamat dan semula jadi.
Dalam pada itu, idea hebat ini bukan sahaja menarik perhatian rakan-rakan di sekolah, malah ia turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa seperti Anugerah Perak dalam International Creative & Innovative Idea Competition (ICIIC) pada Februari 2025 dan mereka juga mendapat tempat kedua dalam pertandingan kitar semula di Taman Bandukan Music Festival pada November 2024.
Ads
Kredit: Facebook Kolej Vokasional Keningau
Pencapaian ini juga membuktikan bahawa inovasi hijau dan perusahaan sosial semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat global dan kalau anda nak tahu, walaupun Co-Scrubber ini kecil sahaja tapi ia mampu memberi impak yang besar kepada beberapa hal seperti berikut:
Ads
Mengurangkan Sisa Organik: Daripada menjadi sampah, tongkol jagung kini diberi ‘nafas baru’ sebagai produk yang lebih berfaedah.
Membantu Ekonomi: Para petani tempatan boleh menjual tongkol jagung yang biasanya tidak bernilai, sekaligus menambah pendapatan.
Menyokong Social Entrepreneurship: Menurut Rosbianahlin, Zetty, dan Farisyah, mereka berhasrat untuk menjadikan Co-Scrubber sebagai perusahaan sosial dengan bimbingan para guru di KV Keningau.
Kredit: Facebook Kolej Vokasional Keningau
Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, turut meluahkan rasa berbangga dengan pencapaian ini dan menekankan bahawa projek ini adalah bukti bahawa pelajar kolej vokasional juga mampu mencipta dan memberi perubahan besar kepada masyarakat.
Wah! Nampaknya dunia pada masa kini semua orang mampu mencipta pelbagai inovasi dan ia tidak terhad untuk saintis dan jurutera kan! Melalui idea kreatif dan semangat yang tinggi, anda juga boleh menghasilkan sesuatu yang luar biasa dan siapa tahu mungkin selepas ini, giliran korang pula!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Benih yang baik, dicampak ke darat menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau…
Jane Teoh atau nama sebenarnya Teoh June Jane memenangi gelaran Miss Universe Malaysia 2018 ketika berusia 20 tahun. Seiring dengan kemenangannya itu, dia mewakili negara di pentas antarabangsa.
Kredit foto: Instagram Jane Teoh
Walaupun tidak berjaya bergelar juara, namun kehadirannya membuatkan ramai yang terpesona dengan wajah putih porselin dan ketinggian yang dimiliki. Dengan ketinggian 178cm, dia sememangnya layak bergelar peragawati antarabangsa.
Tidak silap percaturan, kini anak jati Bayan Lepas, Pulau Pinang ini sudahpun melebarkan sayapnya sebagai seorang peragawati antarabangsa yang berpangkalan di kota fesyen, Milan. Melihat kepada laman instagramnya, dia sudah pun bekerja untuk banyak jenama di sana.
Kredit foto: Instagram Jane Teoh
Bernaung di bawah agensi peragaan terkenal, 26models, Jane telah berjalan untuk beberapa jenama antarabangsa. Julai lalu dia telah menjadi salah seorang peragawati untuk Roma Fashion Week, bahkan dia menjadi wakah pembuka segmen untuk jenama-jenama yang dipersembahkan.
“Diberikan kesempatan untuk membuka beberapa segmen pertunjukan di ALTA ROMA #RomaFashionWeekadalah satu pengalaman yang hebat biarpun dengan segala ketegangan dan huru-hara yang berlaku di belakang tabir,” ujarnya dalam satu hantaran di Instagram.
Ketika bergelar Miss Universe Malaysia 2018. Kredit foto: Facebook Miss Universe Malaysia
PENTINGKAN PELAJARAN
Walaupun dia sebelum ini sibuk dengan dunia ratu cantik dan kemudiannya terjun dalam dunia peragaan. Gadis berusia 25 tahun ini tidak sekali-kali pengabaikan pelajaran. Buktinya Mac lalu dia telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari HELP University.
“Datang ke Kuala Lumpur seorang diri dan menyesuaikan diri dengan persekitaran hidup dan pembelajaran yang baru bukanlah perkara yang mudah. Walau bagaimanapun, saya sangat berusyukur kerana dapat menampung diri saya dengan hasil peragaan, kerja media sosial dan sebagainya semasa belajar untuk ijazah yang agak mencabar.
Kredit foto: Instagram Jane Teoh
“Segala puji-pujian bagi tuhan, semua jatuh bangun telah menjadikannya lebih bermakna, ia benar-benar satu rahmat. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada HELP University dan organisasi Miss Universe Malaysia untuk biasiswa yang diberikan.
“Sebelum ini saya menangguhkan pengajian saya untuk meneruskan minat saya dalam pertandingan ratu cantik,” ujarnya berkongsi cerita di sebalik kejayaan menggenggam segulung ijazah.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Benih yang baik dicampak ke laut, jadi pulau akhirnya…
Kekangan pembelajaran ketika pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat Chong Jia Xin untuk berjaya dalam pengajiannya. Graduan dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Sistem Komputer) ini cemerlang apabila dia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pro-Canselor ketika Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang kali ke-17.
Berkongsi mengenai cabaran pengajiannya, “Saya masih ingat lagi, pada waktu itu kami diwajibkan menghadiri kelas secara dalam talian. Ia menyebabkan kekurangan dalam komunikasi secara bersemuka.”
Namun perkara tersebut tidak menjadi satu halangan buat dirinya, sebaliknya Jia Xin menggunakan kaedah tersendiri bagi memahami sesi pembelajaran yang diajar oleh pensyarah. Kongsinya, “Untuk mengatasi masalah itu, saya akan menonton rakaman video kuliah dengan berulang kali dan bertanyakan kepada penyarah jika mempunyai sebarang pertanyaan.”
Jia Xin sangat konsisten dalam pengajiannya, dia bukan sahaja mendapat anugerah dekan setiap semester bahkan dia pernah meraih Anugerah Emas ketika mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) sebelum ini. Dia yang aktif dalam bidang penyelidikan turut pernah meraih pingat Perak dalam 12th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX 2022).
Turut aktif dalam bidang kokurikulum, Jia Xin diberi kepercayaan untuk memegang jawatan seperti Ketua Bahagian Teknologi Kejuruteraan Institusi Jurutera Malaysia Seksyen Pelajar, Naib Presiden, Persatuan Bahasa Mandarin, Ketua Peraturan di UMP IEM’VENTION’21 dan lain-lain lagi.
Anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini mendedikasikan anugerah tersebut kepada kedua ibu bapanya yang telah banyak berkorban dan memberikan sokongan untuk melihat dia berjaya. Bapanya yang bekerja sebagai seorang mekanik semestinya bangga dengan pencapaian anak perempuannya itu.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Hari-harinya dipenuhi dengan tuntutan kerja yang bersilih ganti tanpa henti. Namun itu tidak menjadi penghalang buat pendatang baharu industri seni, Malle Christian Anderson Barlus untuk terus positif mencari rezeki yang halal.
REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023, Malle Christian.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gayaFZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teksADRIANA SYAURAH jurufotoAKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan CHE WAN persalinanSUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Sebaik sahaja pertandingan Dewi Remaja 2022 menutup tirainya, Malle Barlus segera mengatur langkahnya untuk lebih dikenali sebagai seorang anak seni. Menginjak ke usia 25 tahun, dirinya yang sering menghabiskan masa muda dengan menceburi pertandingan ratu cantik suatu ketika dahulu mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sebelum bergelar ‘Dewi’.
Selaku rakan kongsi kepada sebuah agensi bakat bernama MNB Studio di Kota Kinabalu dan di Kuala Lumpur, Malle mula sedar kepentingan mengasah potensi baru agar industri seni kekal diwarnai dengan individu-individu berbakat serta berkualiti tinggi.
Kini setelah menamatkan pencarian Dewi Remaja 2022, wajah jelita Malle juga tidak lekang menghiasi naskah dan karya tempatan yang bakal menjadi tontonan penonton di layar skrin kelak.
Sewaktu ditemui Remaja baru-baru ini di set penggambaran kempen Saya #RemajaMalaysia, kami berkesempatan mengorek perkembangan terbaru Malle setelah menjadikan Kuala Lumpur sebagai rumah utama.
“Buat masa sekarang, Malle lebih fokuskan kepada tugasan harian selaku pencipta kandungan (content creator) tetapi pada masa yang sama; ada juga berlakon secara sampingan. Sememangnya, saya amat teruja menantikan tayangan drama 1 Million Dollar Voice yang merupakan drama tempatan pertama melibatkan saya sebagai salah seorang wataknya. Saya juga terlibat dalam sebuah telefilem yang bakal dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Paling penting, Malle sekarang tengah fokus untuk memperluaskan lagi agensi saya di Kuala Lumpur. Maklumlah saya merupakan rakan kongsi kepada MNB Studio,” kongsinya.
Tunduk Sebelum Dongak Ke Langit
Rupa paras sememangnya merupakan salah satu rezeki pemberian Ilahi. Dalam konteks kerjaya, Malle bagaimmanapun memilih untuk enggan dikenali hanya disebabkan rupa paras yang dimilikinya sahaja. Bagi Malle, keperibadian dan usaha keras seseorang adalah sesuatu yang lebih utama.
Disebabkan itulah, Malle selalu akan terus tunduk sebelum mendongak ke langit kerana itulah yang dipelajarinya menerusi pengalaman lampau menyertai pertandingan ratu cantik Miss Grand Malaysia 2018, Unduk Ngadau 2021 dan Dewi Remaja 2022.
Melalui pengalaman-pengalaman berharga inilah, banyak ilmu baharu lagi bernilai yang dicedok oleh gadis asal Kudat, Sabah ini termasuklah mengenai kepentingan profesionalisme dan enggan menjadi seperti kacang lupakan kulit.
Melalui Unduk Ngadau, Malle mendekati adat resam sukunya iaitu Suku Rungus dan Dusun dengan lebih teliti. Malah, dia juga menyeru anak muda untuk pulang ke kampung halaman dan menabur bakti kepada masyarakat setempat.
“Sejujurnya banyak ilmu baharu yang saya pelajari menerusi Unduk Ngadau. Meskipun saya membesar di Sabah, saya akui selama ini saya kurang arif tentang adat warisan suku sendiri. Kini, barulah saya ketahui dengan lebih jelas mengapa kami menyambut Pesta Keamatan dan adat resam suku saya sendiri,” jelasnya.
Sumbangan Generasi Z
Sempena sambutan hari kemerdekaan yang kian hampur, kami bertanyakan apakah definisi Saya #RemajaMalaysia kepada diri Malle sendiri.
Sebagai generasi pelapis keamanan Malaysia, baginya setiap individu memikul tanggungjawab masing-masing dalam memastikan negara kita kekal aman, harmoni dan maju.
“Menurut Malle, Saya #RemajaMalaysia bukan sahaja merujuk kepada aspek umur tetapi juga menyentuh kepada aspek lain apa yang mampu disumbangkan oleh generasi muda kita terutamanya generasi Z kepada negara.
“Kita mahukan anak-anak muda yang peka dengan amanah yang diturunkan oleh nenek moyang terdahulu demi memastikan negara kekal aman tanpa sebarang peperangan dan kemunduran,” jelasnya dengan penuh semangat.
“Kenapa saya amat menyintai Malaysia? Jawapannya mudah. Malaysia ialah rumah saya dan tempat kelahiran saya. Usahlah kita menjadi kacang yang melupakan kulitnya dengan melihat kemajuan di negara lain dan terus melupakan apa yang kita sendiri miliki di sini,” luahnya.
Kibar Sayap Lebih Luas
Lambakan anak muda yang memilih kerjaya pempengaruh sebagai kerjaya pada zaman digital ini muncul bak cendawan selepas hujan. Manakan tidak, rata-rata kita semua yang bergelar warganet dan mengisi masa senggang di media sosial sentiasa dimomok dengan gaya hidup glamor yang sering ditonjolkan oleh pempengaruh tempatan serta antarabangsa sehingga ia menjerat pemikiran bahawa kerjaya sebagai pempengaruh adalah jalan mudah untuk memperolehi kehidupan mewah.
Sebaliknya, ramai tidak sedar bahawa kejayaan dalam mana-mana bidang kerjaya tidak akan datang bergolak sekiranya seserang sekadar goyang kaki dan ‘menjual persepsi’ kehidupan di media sosial.
Selaku seorang pempengaruh sendiri, Malle merasakan gaya hidup mewah yang kerap dipamerkan golongan pempengaruh muda Malaysia di media sosial bukanlah suatu perkara yang boleh dipercayai seratus peratus.
Anak muda bagi Malle tetap harus cakna bahawa jaminan masa hadapan yang cerah masih terletak kepada sejauh mana mereka benar-benar dahagakan ilmu hingga ke menara gading dan akhirnya, memperoleh segulung ijazah.
“Saya sedar ada sesetengah lepasan SPM yang terus enggan melanjutkan pelajaran dan menghabiskan masa merakam video klip pendek untuk dimuat naik ke media sosial demi dijadikan punca pendapatan. Situasi ini amat merisaukan kerana untuk mengejar pendapatan sebagai pempengaruh tidaklah semudah itu. Mereka tetap perlu mempelajari strategi di sebalik kejayaan sesebuah akaun dan penjenamaan diri serta kandungan mereka.
“Nasihat Malle untuk remaja yang lebih muda daripada Malle adalah utamakan ipelajaran terlebih dahulu. Banggakan ibu ayah di kampung dengan segulung ijazah di tangan. Setelah menamatkan pengajian dan ingin meneruskan cita-cita sebagai pencipta kandungan, model dan selebriti, teruskanlah. Kesemua itu adalah punca rezeki yang bagus namun ia perlu digenggam dengan ilmu terlebih dahulu.
“Untuk menjadi seseorang yang dikenali ramai bukanlah sesuatu yang mudah. Anda perlu berani dan jangan takut dengan bayang masing-masing. Jadikan kegagalan mahupun rejection itu sebagai pembakar semangat tidak putus semangat dalam membangunkan nama masing-masing.
“Gagal atau berjaya itu belakang kira. Paling penting, anda cuba terlebih dahulu,” simpulnya.
Update terkinitentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
JALEN Star Chef 2 menyaksikan persaingan semakin sengit apabila peserta Taylor’s University berdepan cabaran masa, tekanan kamera dan kreativiti dalam menghasilkan hidangan terbaik menuju Grand Finale.