
The Beast, kenderaan rasmi Presiden Amerika Syarikat yang digelar ‘kereta paling selamat di dunia’, mencuri perhatian rakyat Malaysia apabila ia dilihat mengisi minyak di stesen minyak Petronas baru-baru ini.
Kenderaan yang membawa Donald Trump sempena lawatan rasminya ke Malaysia bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini menjadi tumpuan ramai apabila orang awam berpeluang menyaksikan sendiri kehebatan jentera yang digunakan oleh pemimpin negara kuasa besar itu.

Fakta Menarik Tentang The Beast – Kereta Paling Selamat Di Dunia
Dibina berasaskan trak Chevrolet Kodiak (GMT560), The Beast bukan sekadar simbol kekuasaan Amerika Syarikat tetapi juga hasil kejuruteraan luar biasa yang dicipta khas untuk White House dan United States Secret Service (USSS).
Sejak diperkenalkan pada tahun 2009 sewaktu era Presiden Barack Obama, ia kekal menjadi kenderaan rasmi Presiden Amerika Syarikat sehingga kini.

Tidak hairanlah apabila The Beast muncul di jalan raya Kuala Lumpur, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk merakam dan menyaksikannya secara dekat. Namun yang lebih menarik, kenderaan rasmi Presiden AS itu turut dilihat mengisi minyak di stesen Petronas!
The Beast & Petronas – Simbol Kepercayaan Dan Kebanggaan Malaysia
Foto The Beast di stesen Petronas dikongsikan oleh pengguna Threads, @hazrilhafiz dan ia telah menerima pelbagai reaksi warganet. Rata-rata menganggap ia sebagai sesuatu yang membanggakan apabila jenama minyak kebangsaan Malaysia mendapat kepercayaan negara berkuasa besar seperti Amerika Syarikat.

Perkara ini secara tidak langsung mencerminkan reputasi Petronas sebagai penyedia bahan api bertaraf dunia yang diiktiraf antarabangsa. Ada juga yang berseloroh, kononnya pasukan Donald Trump ingin menggunakan kuota subsidi rakyat Malaysia dengan meminjam MyKad Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hehe!
Spesifikasi Hebat The Beast
Untuk makluman, berat keseluruhan ‘kereta paling selamat di dunia’ ini dianggarkan sekitar 8 tan – hampir menyamai berat sebuah bas mini. Struktur badannya dibina menggunakan campuran keluli, aluminium, titanium, dan seramik yang mampu menahan letupan bom serta tembakan senjata berat.
Pintu kenderaan ini dikatakan seberat pintu pesawat Boeing 757 dengan ketebalan 8 inci. Cermin tingkapnya pula setebal 5 inci dan mampu menahan peluru sniper. Sementara itu, tayar The Beast diperbuat daripada bahan Kevlar, menjadikannya tahan peluru dan masih boleh dipandu walaupun pecah.

Sistem Komunikasi & Kos Pembuatan
The Beast turut dilengkapi sistem khas yang membolehkan Presiden berhubung terus dengan Pentagon dan White House dari mana-mana lokasi. Setiap versi baharu direka secara rahsia dengan spesifikasi keselamatan yang tidak pernah didedahkan sepenuhnya kepada umum.
Difahamkan, kos pembuatan sebuah unit The Beast dianggarkan antara AS$1.5 juta hingga AS$1.8 juta, bersamaan kira-kira RM7 juta hingga RM8 juta seunit. Tidak hairanlah ia dikenali sebagai ‘kereta paling selamat di dunia’ yang benar-benar layak membawa pemimpin paling berkuasa di planet ini.
Kemunculan The Beast di stesen Petronas bukan sekadar momen unik, tetapi simbol pertemuan dua jenama besar – kuasa dunia dan kebanggaan Malaysia!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










