Bintang K-Pop lagenda, BIGBANG baru-baru ini mencuri perhatian peminat di seluruh dunia apabila mengumumkan bahawa mereka bakal mengadakan konsert jelajah dunia sempena ulang tahun ke-20 sekaligus menandakan kemunculan semula kumpulan berkenaan di pentas antarabangsa sebagai sebuah trio.
Menerusi sebuah pengumuman yang dikongsikan di YouTube, Pengasas dan Penerbit Eksekutif YG Entertainment, Yang Hyun-suk memaklumkan bahawa pihaknya telah bersetuju untuk menganjurkan siri konsert dan jelajah global bagi meraikan detik istimewa tersebut selepas perbincangan bersama anggota BIGBANG.
“Saya rasa sebab orang ramai merindui BIGBANG dan menunggu konsert mereka adalah kerana mereka mahu melihat dan mendengar semula lagu-lagu hit yang pernah dipersembahkan secara langsung di atas pentas”
“Secara ringkasnya, sempena ulang tahun ke-20 BIGBANG tahun ini, kami telah bersetuju untuk mengadakan konsert dan melancarkan jelajah global,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa hubungan kerjasama yang telah lama terjalin antara BIGBANG dan YG Entertainment akan membantu memastikan segala persiapan berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.
“YG Entertainment dan BIGBANG telah bekerjasama rapat untuk tempoh yang panjang, jadi saya tidak menjangka sebarang kesukaran besar. Semua kakitangan YG akan melakukan yang terbaik untuk menghasilkan persembahan yang indah, lengkap dan cemerlang,” jelasnya lagi.
Difahamkan, untuk jelajah kali ini, BIGBANG akan tampil sebagai trio yang terdiri daripada G-Dragon, Taeyang dan Daesung. Kumpulan ini sebelum ini debut dengan lima ahli pada tahun 2006, namun kini meneruskan perjalanan sebagai tiga anggota.
Sepanjang lebih dua dekad dalam industri muzik, BIGBANG telah melahirkan pelbagai lagu popular yang menjadi fenomena seperti Lies, Haru Haru, Last Farewell, Fantastic Baby, Monster dan Bang Bang Bang, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara ikon terbesar K-Pop era 2010-an.
Dalam perkembangan lain, BIGBANG juga dijadualkan bakal menghangatkan pentas Coachella Valley Music and Arts Festival pada 12 dan 19 April ini. Pentas berprestij itu dijangka menjadi pemanas badan sebelum kumpulan tersebut memulakan siri jelajah dunia mereka secara rasmi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sebentar tadi, kita menerima berita duka apabila seorang lagi penyanyi terkenal era 1980-an, Aman Shah meninggal dunia akibat serangan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 2.15 petang tadi.
Berita duka itu disahkan oleh anak sulung Allahyarham, Hadzly.
Aman Shah yang berusia 68 tahun merupakan anak seni berbakat besar dan pernah menempah kemasyhuran menerusi lagu Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan setiap kali sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan lagu Adikku Pandai Menari.
Dilahirkan di Johor Bahru pada 1954, ketika bergelar penyanyi, Allahyarham Aman Shah pernah bernaung di bawah syarikat rakaman EMI antara 1980 hingga 1987.
Allahyarham juga pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Darah Satria.
Untuk pengetahuan semua, penyakit jantung kini bukan hanya dihidapi oleh orang tua, malah jangan pelik sekiranya penyakit ini menyerang golongan yang lebih muda.
Memang ajal maut di tangan Tuhan, tapi tidak salah sekiranya kita mengambil tahu dan lebih prihatin terhadap kesihatan tubuh badan sendiri.
Antara tanda-tanda serangan jantung yang korang perlu tahu adalah seperti berikut:
• Sakit di tengah dada, menyucuk, rasa berat seperti dihempap batu, sakit merebak ke bahu dan kiri hingga rasa kebas
• Berdebar-debar
• Loya dan muntah
• Berpeluh-peluh
• Rasa nak pitam
Gambar hiasan
Siapa golongan berisiko mendapat penyakit jantung?
Menurut Sinar Harian, Pakar Jantung Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Beni Rusani memberitahu, fakta perubatan menunjukkan bahawa lelaki lebih ramai yang mendapat penyakit jantung. Faktor ini adalah disebabkan oleh penyakit kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi dalam tubuh, faktor usia, merokok, obesiti dan kurang bersenam, serta sejarah keluarga.
Tip elak serangan jantung
Jadi apa yang korang perlu buat, Ahli Jawatankuasa Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Dr Effarezan Abdul Rahman memberikan beberapa tip yang boleh dilakukan bagi mengelak daripada serangan jantung.
Gambar hiasan
1. Makan secara sihat. Pelbagaikan pemilihan makanan dan sukatan yang betul. Separuh pinggan diisi dengan sayur dan buah-buahan, suku pinggan diisi protein yang kurang lemak dan suku terakhir dengan karbohidrat.
3. Tidak merokok atau vape, ia boleh merosakkan paru-paru dan menambah risiko serangan jantung, angin ahmar dan kanser.
4. Menangani stress, kawal perasaan marah untuk mengurangkan tekanan.
Diharap selepas ini sama-samalah kita mengambil berat tentang tahap kesihatan diri masing-masing. Lakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi mengetahui kondusi tubuh badan korang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Berakhir penantian buat aktres, Datin Atikah Suhaime apabila dia selamat melahirkan cahaya mata sulung di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, pada petang Sabtu.
Bayi perempuan seberat 2.9 kilogram itu dilahirkan secara normal pada pukul 5.17 petang.
Teruja dengan kehadiran puteri pertamanya, Atikah turut berkongsi nama indah yang dipilih buat si kecil iaitu Lyla Mulan Teh.
“Alhamdulillah. Anak mummy yang cantik. Lyla Mulan Teh. Rasa sangat teruja dan tak sangka saya dah ada bayi.
“Lega sangat sebab rasanya macam dah lama hamil,” tulisnya dalam Instagram.
Pelakon kelahiran Singapura itu juga memuat naik video momen pertama kali melihat wajah puterinya.
Sekadar info, Atikah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh pada Januari tahun lalu.
Pada September 2024, dia mengumumkan kehamilannya selepas video mukbang yang memaparkan dirinya kelihatan lebih berisi menarik perhatian ramai.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: IG Atikah Suhaimie
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Susulan konflik yang kian meruncing di Asia Barat, proses membawa pulang rakyat Malaysia dari beberapa negara menemui sedikit kesukaran.
Ini berikutan penutupan ruang udara di beberapa buah negara, bahkan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa juga dilaporkan menghentikan operasi buat sementara waktu di lokasi terjejas bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penumpang.
Kementerian Luar melaporkan 641 rakyat Malaysia masih terkandas di beberapa buah negara di rantau tersebut setakat 8 Mac manakala 24,568 rakyat Malaysia telah berdaftar menerusi sistem e-Konsular setakat 7 Mac.
Finalis Dewi Remaja Antara Yang Tersekat Perjalanan Pulang
Ada di antara mereka yang berada di luar negara atas urusan ibadah Umrah di tanah suci. Ada juga yang tersekat perjalanan pulangnya ke tanah air setelah selesai tempoh bekerja atau bercuti di luar negara.
Salah seorang daripada mangsa keadaan konflik di Asia Barat ini ialah pelakon dan penyanyi, Tengku Shatirah Amanda binti Tengku Ahmad Badrulddin.
Pelakon dan penyanyi, Shatirah Amanda.
Shatirah Amanda, 25 yang berada di Paris selama lebih dari seminggu bagi penggambaran sebuah projek filem ketika dihubungi REMAJA berkata, keberadaannya di sana mengikut perancangan asal hanyalah untuk tempoh pendek sahaja.
Namun, pengalaman berlakon dalam projek antarabangsa itu bertukar cemas apabila dia masih tidak dapat berbuat apa-apa untuk pulang ke Asia sejurus tamat kerja di sana.
“Penggambaran bermula di Jakarta dan kemudiannya di Perancis. Saya sepatutnya berada di sini (Paris) untuk beberapa hari sahaja bagi menyiapkan beberapa babak terakhir. Tiada perancangan pun untuk melanjutkan penginapan.
“Namun konflik yang berlaku menjadikan pengalaman ini antara pengalaman paling menggoncang emosi saya sepanjang saya hidup,” ujar pemenang tempat kelima pencarian Dewi Remaja 2019 itu.
“Sejurus selesai penggambaran, muncul berita mengenai konflik berterusan AS-Iran diikuti dengan berita gangguan jadual penerbangan. Naluri pertama saya adalah untuk panik!
“Saya terus terfikir, ‘Aku kena pulang secepat mungkin’. Namun saya hanya boleh merancang, Allah yang menentukan. Semua perkembangan terbaru terjadi dengan terlalu pantas. Satu-persatu penerbangan antarabangsa dibatalkan, beribu-ribu penumpang yang cuba mengubah rancangan perjalanan mereka terkandas.”
“Bersendirian di negara asing, kesihatan terganggu dan tidak tahu bila saya boleh pulang.
“Ia mewujudkan satu ketakutan yang belum pernah saya alami sebelum ini. Saya jadi trauma.”
“Apabila semua ini terjadi, saya yang bersendirian dan jauh dari tanah air menjadi takut. Sesungguhnya saya amat takut,” kongsi Amanda.
Setelah melalui episod duka ini, Amanda semalam selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dari Perancis lalu disambut oleh ahli keluarganya. Namun, apa yang berlaku selama lebih dari seminggu ini jelas memberi kesan kepada selebriti itu.
Beberapa hari terawal selepas konflik berlaku menjadi antara detik paling sukar buat Amanda.
Apabila perasaan tertekan, takut dan kecewa bergabung pada waktu yang sama, dia yang menghabiskan masa di dalam bilik hotel sambil cuba mencari penerbangan pulang mengakui berdepan situasi kegoyahan emosi.
Kadangkala tangisan mengalir di pipi, kadangkala badan merasa lemah setelah tenaga fizikal dan mental banyak digunakan. Hanya doa dan kudrat yang menyakinkan Amanda untuk terus cuba kembali ke pangkuan keluarga yang berada beribu-ribu kilometer daripadanya.
Shatirah Amanda di set filem Rose Pandan Wangi ketika penggambaran di Jakarta, Indonesia.
“Produksi cuba untuk melakukan yang terbaik untuk kami sepasukan yang berada di Paris. Cuma apabila konflik antarabangsa tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut, semua orang panik membeli tiket penerbangan mengikut destinasi masing-masing.
“Saya fikir jika saya terus menunggu, keadaan mungkin menjadi lebih buruk. Lagipun, kos sara hidup di Paris boleh dikatakan tinggi dan banyak wang Ringgit telah dibelanjakan.
“Jadi seperti ahli produksi yang lain, saya cuba mengatur sendiri perjalanan pulang. Tiket memang mahal tapi terpaksa juga. Berulang kali saya menyemak laman web syarikat penerbangan.
“Tiket saya sahaja dibatalkan sebanyak tiga ke empat kali dan setiap kali ia berlaku, kemungkinan untuk saya dapatkan tiket baharu amatlah sukar. Boleh memakan masa beberapa hari sehingga seminggu.
“Keluarga saya di Malaysia turut khuatir dengan keadaan saya dan mereka terus menghubungi Wisma Putra bagi mendapatkan bantuan,” ujar Amanda.
Hasilnya, pihak Wisma Putra pantas meneliti kes Amanda dalam masa beberapa jam dan Amanda segera dihubungi oleh kedutaan Malaysia di Paris.
“Saya tak dapat gambarkan betapa leganya perasaan saya selepas beberapa hari bergelut keseorangan. Walaupun saya jauh di Paris, saya dapat rasakan negara saya dan keluarga saya ada bersebelahan dengan saya di waktu-waktu sukar seperti ini,” katanya.
Di saat kita tiada punca kebergantungan melainkan Yang Maha Esa dan keluarga, tentunya hati meronta-ronta untuk meminta bantuan dan ingin melihat hasilnya.
Biarpun emosi Amanda sedikit terganggu, sedikit sebanyak bantuan dari ahli keluarganya dan kedutaan Malaysia di Paris membuatkannya gigih mencari solusi.
“Saya tidak berhenti menelefon (VC) ibu saya terutamanya, bahkan sewaktu ingin tidur pun kami masih berhubung.
“Fokus saya sekarang hanyalah untuk pulang ke Malaysia dengan selamat. Untuk rapatkan diri dengan keluarga semula dan kembalikan tenaga saya yang telah hilang akibat insiden ini.
“Tak sabar rasanya untuk berehat dan recover sebelum meneruskan kerja-kerja yang tertangguh. Sesungguhnya, pengalaman ini telah mengajar saya betapa bernilainya hubungan kekeluargaan dan tanah air kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amanda tahu bukan hanya dirinya yang melalui perasaan ‘terperangkap’ di negara asing tanpa mengetahui perancangan untuk pulang.
Mohonnya agar mangsa-mangsa keadaan konflik Asia Barat ini kekal kuat dan jangan mudah berputus asa. Situasi sebegini akan terasa membebankan apabila seseorang jauh daripada orang yang mereka sayangi. Namun ketahuilah setiap permasalahan mempunyai solusinya.
“Keluarga anda sedang menunggu anda, kucing anda menunggu untuk dibelai oleh anda. Jangan putus asa. Kekal berhubungan dengan keluarga dan terus hubungi kedutaan negara sekiranya anda perlukan bantuan.
“Saya berharap kita semua yang terkandas akan menemui jalan pulang dengan selamat. Doakan yang terbaik,” simpul pelakon dan penyanyi itu.
Terdahulu, ketegangan di Asia Barat semakin memuncak sejak 28 Febuari susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel ke atas Iran. Ia diikuti serangan balas Tehran terhadap beberapa buah negara teluk berkepentingan AS termasuklah di Abu Dhabi, Qatar, Iraq, Lubnan dan Kuwait.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan operasi membawa pulang rakyat Malaysia digerakkan segera dengan kerjasama rapat Kementerian Luar melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara yang terjejas.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!