Debaran menyelubungi suasana di Istana Kehakiman, Putrajaya apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir bagi prosiding rayuan terakhir membabitkan sabitan kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu tiba di pekarangan mahkamah sekitar jam 8.55 pagi dalam keadaan tenang sebelum memasuki bangunan mahkamah bagi mengikuti prosiding yang dinanti-nantikan.
Ringkas, Namun Sarat Harapan
Sebelum melangkah masuk ke dewan mahkamah, Syed Saddiq sempat meluangkan masa bertemu kumpulan pengamal media yang telah berkumpul sejak jam 7.30 pagi.
Dalam kenyataan ringkasnya, beliau hanya mengharapkan agar keputusan yang bakal diumumkan berpihak kepada kebenaran.
“Saya harap keadilan dan kebenaran. Doakan,” katanya ringkas.
Keluarga Setia Beri Sokongan
Turut mencuri perhatian ialah kehadiran ahli keluarga yang tidak putus-putus memberikan sokongan moral kepada Syed Saddiq.
Ads
Bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Alsagoff, ketika ditemui media di pekarangan mahkamah berkata seluruh keluarga sentiasa mendoakan yang terbaik buat anaknya.
“Bagi pihak keluarga, kami berikan restu dan doa sebanyak mungkin untuk beliau dan Insya-Allah karier beliau sebagai Yang Berhormat akan diteruskan. Amin,” katanya ringkas.
Selain ibu beliau, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, tunang Syed Saddiq iaitu Bella Astillah turut hadir bagi memberikan sokongan.
Ads
Keputusan Rayuan Akhir Jadi Tumpuan
Mahkamah Persekutuan dijadualkan menyampaikan keputusan sama ada Syed Saddiq akan kekal bebas atau dijatuhi hukuman berhubung empat pertuduhan membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Prosiding keputusan itu sebelum ini ditangguhkan pada 30 Jun lalu selepas seorang daripada tiga hakim panel mengambil cuti sakit.
Panel tiga hakim yang akan menyampaikan keputusan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Sepanjang prosiding rayuan, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Pendakwaan sebelum ini merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu merupakan Penolong Bendahari ARMADA, melakukan pecah amanah terhadap dana ARMADA berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan dana RM120,000 milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise, selain dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan transaksi pemindahan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.
Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bakal menjadi penentu sama ada Ahli Parlimen Muar itu kekal bebas atau berdepan hukuman atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tragedi yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak terus mencuri perhatian rakyat Malaysia.
Namun, hasil laporan awal siasatan oleh Kementerian Pengangkutan memberi sedikit pencerahan, tiada bukti kegagalan sistem mekanikal pada bas yang terlibat dalam nahas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam kenyataan media berkata bahawa pemeriksaan awal oleh PUSPAKOM menunjukkan komponen utama seperti sistem brek dan suspensi bas berada dalam keadaan baik.
“Tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada dram brek mahupun kenipisan pada pelapik brek selain tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” jelasnya.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas tayar juga menunjukkan ketebalan bunga tayar masih mematuhi piawaian ditetapkan JPJ.
“Komponen bahagian ‘steering’ dan suspensi secara menyeluruh adalah dalam keadaan memuaskan,” tambahnya lagi.
Disebabkan semua komponen penting berada dalam keadaan baik, faktor lain seperti kesilapan manusia atau keadaan jalan raya kini dilihat sebagai kemungkinan besar punca nahas menyayat hati itu.
Anthony Loke turut memberi jaminan bahawa langkah penambahbaikan akan dilakukan selepas laporan penuh siasatan siap, demi meningkatkan lagi keselamatan jalan raya.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kami.
“Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu, dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketat secara berterusan,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa yang terlibat dan memberi jaminan bahawa keadilan akan ditegakkan.
Sebagai makluman, dalam nahas menyayat hati yang berlaku Isnin lalu, sebuah bas sewa khas yang membawa pelajar UPSI dari Jertih ke kampus utama di Tanjung Malim terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Alza.
Insiden itu telah mengorbankan 15 nyawa, manakala 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan penumpang MPV tersebut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bandar Baru Nilai dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila seorang pelajar lelaki warga China ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium pada pagi Rabu. Kejadian yang berlaku sekitar jam 7 pagi itu menggemparkan penduduk setempat yang menemui mayat remaja berusia 18 tahun itu terbaring di aras lima bangunan berkenaan.
Menurut laporan Sinar Harian, mangsa yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta di Nilai dikatakan tinggal di unit kondominium tersebut bersama seorang rakan senegara. Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang melihat kejadian sebelum menghubungi talian kecemasan 999.
Tiada Unsur Jenayah Dalam Tragedi Pelajar China di Nilai
Seorang pelajar lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai pada Rabu.
Menurut Superintenden Abdul Malik, hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian. Pemeriksaan pasukan Forensik IPK Negeri Sembilan menunjukkan tiada kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa, kecuali sedikit pendarahan di telinga dan ruam pada badan.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada barangan peribadi mangsa dilaporkan hilang dan lantai di lokasi kejadian didapati basah, dipercayai akibat mangsa terkencing semasa kejadian. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes Diklasifikasikan Sebagai Mati Mengejut (SDR)
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. “Kami minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai di talian 06-7902222,” jelasnya.
Gambar Hiasan
Reaksi Awam dan Rakan Senegara Mangsa
Berita tragedi pelajar China di Nilai ini turut mengundang rasa simpati ramai, terutama dalam kalangan pelajar dan rakan senegara mangsa yang menzahirkan ucapan takziah di media sosial. Ramai meluahkan rasa sedih serta menyeru agar masyarakat lebih peka terhadap isu keselamatan pelajar asing yang tinggal di bangunan tinggi.
Fokus Terhadap Kesihatan Mental Pelajar Luar Negara
Kejadian tragis ini bukan sekadar kehilangan nyawa, tetapi juga menjadi peringatan penting tentang kesejahteraan mental dan tekanan hidup dalam kalangan pelajar luar negara. Jauh dari keluarga, berhadapan dengan budaya baharu dan beban akademik boleh menimbulkan tekanan yang sukar diungkap.
Maka, penting untuk rakan-rakan, pihak kolej dan komuniti tempatan memainkan peranan aktif dalam memberi sokongan emosi serta ruang selamat untuk mereka berkongsi masalah. Langkah pencegahan awal dan kesedaran masyarakat boleh membantu mengurangkan risiko tragedi seumpama ini daripada berulang.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Walaupun diuji dengan masalah kemurungan sehingga perlu mendapatkan rawatan psikologi di hospital, ianya tidak menjadi penghalang buat pelajar, Siti Bayu Mohd Ridzuan (18) untuk mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan semalam.
Siti Bayu yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian , terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II mengakui bersyukur dengan keputusan itu selepas mengharungi pelbagai cabaran akibat kemurungan sejak 2019 lagi.
Kredit: Sinar Harian
Katanya, menghidap kemurungan ketika bergelar seorang pelajar bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi berkat sokongan ibu bapa, guru dan kekal positif menjalani rawatan menjadi kunci utama kejayaannya.
“Sebenarnya saya tidak sangka dapat 9A(2A+ ,7A), sebab ketika percubaan tempoh hari saya memperoleh C untuk subjek Matematik. Bagaimanapun, Alhamdulillah, hasil usaha saya membuat latih tubi, akhirnya saya memperoleh A bagi subjek ini”
“Disebabkan kemurungan ini juga saya terpaksa bertukar-tukar sekolah sehingga akhirnya selesa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 1. Terima kasih kepada semua guru mengajar kerana memahami keadaan saya yang sebenar”
Kredit: Sinar Harian
Menurut Siti Bayu, keadaannya kini semakin membaik dan berharap dirinya boleh terus kuat kerana selepas ini lebih banyak yang ingin dicapai termasuk berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.
Pelajar cemerlang itu berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam jurusan perundangan dan mempunyai cara tersendiri ketika mengulangkaji pelajaran iaitu dengan membuat latihan atau nota menggunakan pen merah supaya lebih mudah diingati.
“Sebulan sebelum menduduki peperiksaan SPM, saya akan bangun seawal jam 4 pagi untuk mengulangkaji pelajaran kerana berasa lebih segar dan tenang untuk belajar sehinggalah azan Subuh berkumandang”
Kredit: Sinar Harian
“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada semua doktor yang merawat saya di HRPZ II, terutama kepada Dr Suria yang paling rapat dan sering memberi dorongan serta sokongan yang tidak putus-putus”
Dalam pada itu, Siti Bayu juga berharap melalui prestasinya ini, ia boleh memberi semangat kepada rakan-rakan lain yang senasib selain membuktikan bahawa mereka yang kemurungan boleh sembuh seterusnya berjaya seperti orang lain.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 bakal berlangsung dengan penuh meriah apabila pelbagai genre muzik serta barisan nama popular industri hiburan tempatan bakal...