Pemergian tragik seorang pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, 13, terus menjadi tanda tanya besar dalam kalangan keluarga dan masyarakat.
Apa sebenarnya yang berlaku pada malam 17 Julai itu?
Menurut perkongsian yang menyentuh hati oleh seorang ahli keluarga mangsa dikenali sebagai Syira Leizel di Facebook, Zara disifatkan sebagai seorang anak yang lembut hati, taat solat, dan tidak pernah mengeluh meskipun dikatakan sering dibuli di sekolah.
“Kami menulis kronologi ini bukan dengan tangan yang kuat, tetapi dengan tangan yang menggigil sambil air mata menitis tanpa henti.
“Ini bukan sekadar catatan, tetapi helaian terakhir kasih sayang kami buat seorang anak yang tidak sempat kami selamatkan,” tulisnya penuh emosi.
Keluarga percaya bahawa pemergian remaja ini bukan disebabkan oleh kemalangan atau terjatuh sendiri, tetapi wujud unsur mencurigakan di sebalik insiden malang itu.
Mereka turut menegaskan bahawa perkongsian mereka bukan untuk menuding jari, sebaliknya demi menuntut keadilan buat arwah Zara.
“Kami merayu sepenuh jiwa kepada sesiapa yang membaca, tolong jangan tinggalkan komen yang menyakitkan. Tolong jangan persoalkan hal peribadi keluarga yang tiada kaitan. Kami terlalu sedih untuk menjawab anda. Kami hanya mahu anak kami dikenang dengan maruahnya.
“Kami reda. Tapi kami tidak akan berdiam. Zara, kami mandikanmu dengan air mata. Tapi kami akan bela maruahmu dengan kebenaran,” tambahnya.
Ads
“Zara Selalu Mengadu…”
Zara dikatakan seorang pelajar yang berdisiplin, sopan dan sangat tabah biarpun terpaksa berdepan tekanan di asrama. Antara pengalaman pahit yang didakwa dihadapi Zara termasuk kehilangan barang peribadi, dipaksa belanja, malah gangguan fizikal dan seksual daripada pelajar lain.
Difahamkan juga, Zara pernah memberitahu ibunya bahawa dia tertekan kerana terpaksa mencatat nama pelajar yang tidak solat, selain pernah dipanggil oleh pelajar senior tertentu.
“Zara sering memberitahu keluarganya bahawa pada pukul 2 hingga 3 pagi, ramai budak masih berjaga. Ada yang makan, berbual, berkumpul dalam bilik air atau ruang bawah untuk mendobi,” tulis Syira.
Pendedahan ini jelas bercanggah dengan dakwaan awal bahawa semua pelajar sedang tidur ketika kejadian berlaku. Maka, persoalan pun timbul: jika ramai yang masih bangun ketika itu, kenapa tiada siapa nampak atau dengar apa-apa?
Ads
“Zara Jatuh Dari Tingkat Tiga…”
Lebih menyayat hati, Syira menjelaskan bahawa sekitar pukul 3 pagi, ibu Zara telah menerima panggilan dari warden sekolah memaklumkan bahawa Zara terjatuh dan sedang koma.
“Ibu kandung diberitahu kaki dan tangan Zara patah. Tiada pengetua atau guru lain yang bercakap, warden yang menelefon. Zara jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama perempuan.
“Ketika dijumpai, kepala terkulai dalam longkang, kaki kanan terjulur lurus, manakala kaki kiri terlipat pelik dan tangan terlentang, muka menghadap ke depan dalam keadaan terlentang. Tiada darah kelihatan di kepala atau badan hanya darah di tapak kaki kiri yang luka terbelah,” jelasnya.
Buat keluarga, keadaan mayat Zara dan beberapa perkara lain menimbulkan keraguan yang sangat besar.
Ads
“Kami tidak percaya Zara jatuh sendiri. Zara mungkin didorong secara paksa, dipaksa keluar dalam ketakutan, dicampak dalam keadaan pengsan atau lebih memilukan, dia dicederakan terlebih dahulu dan kemudian dijatuhkan untuk menutup sesuatu.
“Apa pun kebenarannya, Zara mati dalam situasi yang tidak normal. Dan sekarang… semua orang bertindak seolah ini kematian biasa. Kami tidak akan benarkan itu berlaku,” tegas Syira.
Pihak Berkuasa Sedang Jalankan Siasatan
Kes yang berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di Sabah ini telah mencuri perhatian ramai selepas tular di media sosial. Zara yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Susulan kejadian, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut mengeluarkan kenyataan menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Beliau turut meminta agar masyarakat menghormati privasi keluarga mangsa dan memberi ruang penuh kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FB Syira Leizel
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini berdepan pertuduhan di mahkamah berhubung kematian seorang kadet, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin pada Julai tahun lalu.
Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata ketiga-tiga pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu didakwa di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh. Pertuduhan berlangsung pada jam 9 pagi tadi di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor.
Bagaimanapun, mengikut perkembangan terkini, ketiga-tiga tertuduh iaitu Mejar Mohd Azmi Abu Bakar (40), Kapten Muhammad Bahauddin Ab Rasid (30), dan Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan (41), mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hayda Faridzal Abu Hasan.
Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian pelatih PALAPES UTM itu dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian mangsa. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Sementara itu, menurut Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif, kesalahan di bawah Seksyen 304(a) adalah tidak boleh dijamin. Namun pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
kredit foto: Harian Metrokredit foto: Kosmo
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam serta serahan dokumen. Sebaik prosiding selesai, Mohd Azmi mewakili dua lagi tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan telah berkhidmat lebih 20 tahun dalam ATM.
“Kami sudah berkhidmat lebih 20 tahun, kami tidak pernah dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
“Sebagai penjawat awam, kami bekerja dengan ikhlas, siang malam jaga kadet kami. Kami ada anak isteri. Kami akan pastikan kami akan hadir ke mahkamah, itu janji kami,” jelasnya lagi.
Hakim bagaimanapun menjelaskan tuduhan dihadapi adalah berat sebelum menurunkan jumlah jaminan kepada RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Untuk rekod, kes ini sebelum ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sebelum Jabatan Peguam Negara mengarahkan siasatan semula sebagai kes bunuh susulan bedah siasat kedua yang menemukan kesan kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa. Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi, Johor selepas menjalani latihan di Lapangan Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kes kematian tragis pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina, terus menjadi perhatian seluruh negara. Terbaharu, melalui laporan Berita Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan bahawa pengetua, penolong kanan hal ehwal murid (PK HEM) serta warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha telah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sehingga siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Menurut kenyataan KPM, keputusan ini diambil selepas PDRM mengumumkan bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman akan mengambil alih siasatan kes berprofil tinggi ini. KPM turut menegaskan bahawa pihak mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses siasatan dilakukan secara menyeluruh, telus dan teliti.
Langkah ini juga dilihat sebagai usaha untuk mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan, selain memastikan pihak sekolah kekal fokus kepada pengurusan pelajar lain. Dalam masa yang sama, ia menimbulkan persoalan besar tentang keselamatan dan kebajikan murid di sekolah berasrama, yang sepatutnya menjadi tempat selamat dan kondusif untuk pembelajaran.
Bagi remaja di luar sana, kes ini bukan sekadar berita sensasi. Ia adalah peringatan tentang kepentingan keberanian untuk bersuara jika menjadi mangsa atau saksi kepada sebarang bentuk buli atau penderaan. Satu laporan atau tindakan kecil mungkin mampu menyelamatkan nyawa dan mencegah tragedi daripada berulang.
Kini, semua pihak menunggu hasil siasatan PDRM dengan harapan keadilan dapat ditegakkan buat arwah Zara Qairina dan keluarganya. Semoga insiden ini menjadi titik tolak perubahan dalam sistem pendidikan negara, agar kebajikan dan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.
Baru-baru ini, KDPB Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDPB Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dikurniakan cucunda apabila YHM Tengku Puan Bendahara Tengku Natasya Puteri selamat melahirkan seorang puteri pada Khamis, semalam.
Menerusi sebuah perkongsian dari media sosial rasmi Kesultanan Pahang, seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang menzahirkan ucapan tahniah dan merafak sembah kepada Sultan Pahang serta Tengku Ampuan Pahang atas keputeraan cucunda perempuan puteri yang dilahirkan.
Difahamkan, cucunda perempuan baginda dilahirkan pada jam 3.35 petang di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan selamat diberi nama Tengku Nadine Amina Zahra. Beliau merupakan puteri kepada YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan YHM Tengku Puan Bendahara.
Dalam hantaran sama, Majlis Kesultanan Pahang turut berkongsi kegembiraan seluruh warga istana yang menyambut khabar istimewa itu dengan penuh rasa syukur, selain mendoakan agar keluarga diraja sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
“Seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang turut menzahirkan rasa syukur atas khabar gembira ini serta bersama-sama menadah tangan memohon ke hadrat Allah SWT agar mengurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan, keberkatan dan perlindungan kepada bayi yang baharu diputerakan, serta dipermudahkan segala urusan YAM Tengku Arif Bendahara dan YHM Tengku Puan Bendahara,” tulisnya.
Sementara itu, perkongsian berkenaan menerima pelbagai ucapan tahniah daripada pengguna di media sosial yang turut sama berkongsi kegembiraan atas kelahiran cucunda baharu Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang, selain mendoakan agar Tengku Nadine Amina Zahra membesar dengan sihat, sejahtera serta menjadi insan yang berbakti kepada keluarga dan negeri.
Untuk rekod, YHM Tengku Puan Bendahara Tengku Natasya Puteri mendirikan rumah tangga bersama YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah pada 24 Oktober 2024 dalam sebuah istiadat penuh adat yang berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan. Kelahiran Tengku Nadine Amina Zahra kini melengkapkan kebahagiaan pasangan diraja itu apabila mereka menimang cahaya mata sulung.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!