“Saya mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku. Saya tak mahu hidup dalam teka-teki.” – Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarham Zara Qairina.
Kematian tragis seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, terus menjadi tanda tanya buat seluruh rakyat Malaysia. Bagi ibunya, Noraidah Lamat, 45, pemergian anak tunggalnya bukan sahaja menyayat hati, tetapi turut membangkitkan pelbagai persoalan yang belum terjawab hingga kini.
Menurut Berita Harian, selepas dua minggu pemergian itu, Noraidah tampil dengan tuntutan yang tegas dan penuh keazaman kubur anaknya perlu digali semula untuk menjalankan bedah siasat pertama, demi merungkai punca sebenar kematian Zara Qairina.
Remaja 13 Tahun Maut Jatuh Dari Asrama: Apa Sebenarnya Berlaku?
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, ditemui dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sekolah kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada keesokan harinya.
Pada awalnya, kematiannya dianggap akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama. Namun, pelbagai spekulasi mula timbul termasuk dakwaan wujud unsur buli dan gangguan, menambahkan lagi kekeliruan serta tekanan kepada keluarga arwah.
Ads
“Saya Mahu Bedah Siasat. Saya Mahu Jawapan.”
Menurut Noraidah, pengebumian anaknya pada 17 Julai dilakukan tanpa bedah siasat kerana tiada sebarang cadangan dari pihak berwajib pada ketika itu. Namun, selepas mendengar pelbagai cerita dan melihat keadaan fizikal anaknya ketika di hospital, beliau dan keluarga mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.
“Saya telah melantik dua peguam bagi menguruskan permohonan menggali semula kubur Zara Qairina untuk menjalankan bedah siasat pertama. Saya tak boleh terus hidup dengan persoalan,” tegas beliau.
Beliau turut meminta agar polis menjalankan siasatan telus dan menyeluruh, termasuk meneliti semula semua aspek kejadian.
Polis Rakam 60 Keterangan, Termasuk Nama-Nama Yang Dikaitkan
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, sebanyak 60 individu telah dirakam keterangan, termasuk pelajar, guru dan staf sekolah. Nama seperti ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ turut disebut sebagai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Ads
Kes ini kini diserahkan kepada Bukit Aman untuk analisis lanjut dan penilaian forensik yang lebih mendalam.
Arwah Pernah Cerita Diganggu Di Asrama
Satu pendedahan penting dibuat oleh ibu arwah, Zara Qairina pernah mengadu menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang pelajar. Kes tersebut dilaporkan kepada guru kaunseling dan tindakan telah diambil. Namun, Noraidah tidak pasti jika kejadian itu ada kaitan dengan tragedi yang berlaku.
Ads
“Arwah seorang pelajar bijak dan ceria. Dia dapat masuk ke sekolah asrama penuh kerana prestasi cemerlangnya. Ramai mengenalinya di Sipitang,” katanya.
“Apa pun hasil bedah siasat nanti, saya reda. Tapi saya mahu tahu kebenaran yang sebenar.” – Noraidah.
Kes Zara Qairina membuka mata ramai tentang isu buli, gangguan seksual dan keselamatan di asrama. Sebagai remaja, kamu berhak untuk rasa selamat, dihormati dan dilindungi di mana-mana, terutamanya di sekolah.
Jika kamu pernah diganggu, dibuli, atau menyaksikan rakan dalam situasi mencurigakan, jangan diam. Laporkan kepada guru, kaunselor, ibu bapa, atau pihak berwajib. Suara kamu mungkin menyelamatkan nyawa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan Parti Konservatif dalam Pilihan Raya Umum (PRU) negara itu yang berlangsung pada 4 Julai 2024 (waktu tempatan).
Rishi, 44 yang juga merupakan Perdana Menteri UK berketurunan Asia-Inggeris pertama yang pernah dilantik dalam sejarah pemerintahan negara itu mengaku kalah kepada pemimpin parti pembangkang, Keir Starmer yang mewakili Parti Buruh dan menyifatkan semalam sebagai ‘malam paling sukar’ buatnya.
“Hari ini, kuasa akan bertukar tangan secara aman dan teratur di semua pihak. Parti Buruh memenangi PRU ini dan saya telah menelefon Keir Starmer untuk mengucapkan tahniah atas kemenangannya,” katanya ketika masih dalam tempoh penantian keputusan penuh PRU.
Setakat tengah hari tadi (waktu Malaysia), tinjauan menyaksikan Parti Buruh hampir memenangi 410 kerusi iaitu lebih dua kali ganda berbanding yang pernah ia menangi pada PRU terdahulu. Sekaligus, Parti Buruh menerima majoriti 170 kerusi di Dewan Rakyat.
“Rakyat Britain menyampaikan keputusan yang serius malam ini dan saya bertanggungjawab atas kekalahan ini.
“Kepada calon-calon Konservatif yang baik dan bekerja keras, yang kalah pada malam ini… saya minta maaf,” ulasnya.
Selain daripada Parti Buruh dan Parti Konservatif, terdapat dua lagi parti utama yang bertanding bagi PRU United Kingdom ini iaitu Parti Liberal Demokrat dan Parti Reform UK.
Sebagai info, Rishi Sunak dilahirkan pada tahun 1980 di Southampton, United Kingdom kepada ibu bapa kelahiran India yang bermastautin dari Afrika Timur pada tahun 1960-an.
Mendapat pendidikan awal di Kolej Winchester, Rishi kemudian melanjutkan pengajian ke Kolej Lincoln, Oxford dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi. Sewaktu di Oxford, beliau menjalani latihan di Pejabat Pusat Konservatif dan terus menjadi ahli Parti Konservatif sehingga sekarang.
Beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Stanford, California. Sebelum bergelar ahli politik pada tahun 2015, beliau pernah berkhidmat terlebih dahulu di syarikat Goldman Sachs.
Pada pemilihan kepimpinan Parti Konservatif tahun 2022, Rishi Sunak bertanding untuk jawatan kepimpinan dan beliau dipilih tanpa bertanding sebagai pemimpin Konservatif sekaligus menjadi Perdana Menteri.
Biarpun memegang posisi terpenting dalam dunia politik UK, kehidupan politik Rishi tidak pernah surut daripada isu-isu berbangkit termasuklah krisis kos sara hidup di UK dan krisis bekalan tenaga.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Isu buli dalam kalangan remaja bukan perkara baharu. Namun, setiap kali ada kisah yang tular, hati kita tetap tersentak. Inilah yang berlaku kepada seorang pelajar berusia 10 tahun yang sebelum ini berjuang melawan kanser hidung, tetapi kini terpaksa menanggung trauma selepas dibuli hingga disahkan mengalami gegaran otak.
Kes ini membuktikan bahawa buli bukan sekadar ejek-mengejek atau usikan kecil. Ia mampu meninggalkan kesan yang begitu mendalam pada fizikal dan mental seorang pelajar.
Dari Lawan Kanser, Jadi Mangsa Buli
Kisah bermula pada 21 Februari lalu apabila mangsa dipukul, ditendang, dihentak kepala dan lebih memalukan, dipaksa menanggalkan pakaian oleh seorang murid Darjah Enam. Semua itu hanya berpunca daripada rasa tidak puas hati pelaku selepas lamaran cintanya ditolak oleh kakak mangsa.
Akibat serangan, pelajar tersebut terpaksa dirawat di hospital swasta hampir dua minggu. Doktor mengesahkan dia mengalami gegaran otak dan memerlukan rawatan berterusan. Kesannya, dia kini sukar fokus dalam pelajaran, tidak lagi aktif bersukan, malah berisiko mengalami sawan jika jatuh atau pengsan.
Lebih memilukan, pada Ogos lalu, dia sekali lagi menjadi sasaran buli di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai. Seolah-olah tiada siapa yang benar-benar melindunginya.
Kenapa Buli Masih Berlaku?
Dalam dunia remaja, isu buli sering dianggap ‘main-main’. Hakikatnya, buli adalah satu bentuk keganasan. Ia boleh berlaku secara fizikal, verbal, mahupun melalui media sosial. Statistik juga menunjukkan kes buli di sekolah semakin meningkat, terutama selepas sesi persekolahan bersemuka kembali.
Lebih membimbangkan, mangsa buli biasanya tidak berani bersuara kerana takut diejek atau tidak dipercayai. Akhirnya, mereka menyimpan sendiri trauma yang boleh menjejaskan prestasi akademik, hubungan sosial malah kesihatan mental.
Apa Yang Remaja Perlu Tahu?
Kes ini seharusnya menjadi wake-up call buat kita semua, khususnya remaja. Buli bukan tanda hebat, sebaliknya tanda lemahnya empati dalam diri. Jika anda pernah melalui situasi dibuli:
Jangan diam diri. Cari guru, kaunselor atau keluarga yang boleh dipercayai.
Jangan salahkan diri. Anda tidak bersalah hanya kerana menjadi sasaran.
Bersuara di media sosial atau saluran rasmi. Zaman sekarang ada banyak platform untuk melawan buli dengan cara yang selamat.
Dan jika anda pernah membuli orang lain, hentikan sekarang. Ingat, kesannya boleh menghancurkan masa depan orang lain, dan mungkin juga menjejaskan hidup anda.
Suara Untuk Generasi Kita
Kisah pelajar yang sudah pun diuji dengan kanser, kemudian dibuli hingga trauma ini adalah cerminan bahawa masyarakat kita masih belum cukup serius menangani isu buli. Sebagai remaja, kita perlu jadi sebahagian daripada perubahan bukan sebahagian daripada masalah.
Buli bukan trend, bukan hiburan. Ia adalah luka yang boleh menghancurkan hidup seseorang.
Baru-baru ini, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) di atas sumbangan dalam memperkasa serta memartabatkan seni warisan budaya pada peringkat antarabangsa.
Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-100 di Dewan Agung Tuanku Canselor, kampus induk UiTM, Shah Alam pada 13 November, Rabu.
Sultan Ibrahim ketika bertitah pada istiadat berkenaan turut menzahirkan ucapan tahniah terhadap pencapaian Tunku Azizah yang juga adinda Seri Paduka Baginda, kepada industri seni kreatif negara.
Kredit: UiTMKredit: UiTM
Dalam pada itu, turut berangkat pada Istiadat hari ini ialah Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib.
Shahrin ketika mempersembahkan anugerah memaklumkan penganugerahan itu sebagai mengiktiraf sumbangan meluas Tunku Azizah dalam bidang seni tekstil dan seni kraf tradisional antaranya menerusi penglibatan aktif dalam menaungi beberapa organisasi di dalam dan luar negara bagi memartabatkan seni warisan negara itu.
Beliau berkata, sumbangan signifikan Tunku Azizah dalam memasyhurkan Kain Tenun Pahang Diraja telah diiktiraf melalui Anugerah Ikon Kraf 2019 daripada Majlis Kraf Dunia di India sekaligus mengangkat martabat kesenian warisan tradisi negara ke tahap yang tinggi.
Kredit: UiTMKredit: UiTM
“Pada 2006, Tenun Pahang telah mendapat pengiktirafan diraja dan kini dikenali dengan nama Tenun Pahang Diraja sekaligus mengangkat martabat seni tekstil ini pada peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Sumbangan Tunku Azizah turut terbukti melalui penubuhan Institusi Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Afzan terletak di Kompleks Budaya Pulau Keladi, Pekan, Pahang yang berperanan untuk memberi ilmu kepada generasi muda agar seni tradisi itu tidak hilang ditelan zaman.
Kredit: UiTM
Selain itu, kemahiran seni tangan Tengku Ampuan Pahang itu turut diterjemahkan melalui Projek Tenun Pahang yang telah diperluas kepada penghuni penjara Penor dan Bentong serta beberapa penjara lain.
Susulan itu juga, minat Tunku Azizah yang mendalam ini juga telah membawa kepada penubuhan syarikat yang menghasilkan kain tenun, dikenali ‘Che Minah Sayang’ bagi menggalakkan masyarakat menghasilkan karya yang bermutu untuk dikomersialkan.
Sumber: Bernama & UiTM
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!