Terbaru, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkongsi satu pendedahan kes amang seksual melibatkan seorang remaja lelaki yang menjadi mangsa kepada seorang pendakwah selebriti.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Nurul Izzah berkongsi bahawa remaja terbabit yang masih bersekolah telah diajak oleh suspek ke negeri lain kononnya untuk menonton persembahan nasyid. Namun, ajakan tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri.
“Adik tak rasa curiga, sebab dia percaya – dalam fikirannya, ustaz itu adalah insan yang baik, dihormati, dan tokoh pembimbing agama,” tulisnya.
“Namun, malam itu segalanya berubah. Ustaz tu mula masukkan tangan dia dalam seluar adik… dan meraba-raba,” jelasnya lagi.
Ads
Disebabkan trauma dan ketakutan, remaja tersebut terpaksa mengurung dirinya di dalam tandas hotel selama lima jam sebelum berjaya melarikan diri setelah suspek tertidur. Dia kemudian segera menghubungi keluarganya dan membuat laporan polis.
Apa yang lebih mengejutkan, keluarga mangsa turut dimaklumkan bahawa terdapat beberapa laporan polis lain terhadap suspek yang sama sebelum ini, namun tiada tindakan tegas diambil terhadapnya.
Ads
Walau bagaimanapun, sebaliknya kini suspek pula menyaman keluarga mangsa atas dakwaan fitnah dan menuntut permohonan maaf secara terbuka di media.
Kredit foto: Facebook Nurul Izzah Anwar
“Beberapa hari lalu, keluarga ini pula disaman oleh ustaz tersebut dengan saman fitnah bernilai ratusan ribu ringgit, mereka diminta membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi siaran akhbar,” kata Nurul Izzah.
Ads
“Mereka adalah keluarga B40. Simpanan pun hampir tiada,” ujarnya.
Terangnya lagi, mangsa kini mengalami trauma mendalam, memerlukan rawatan psikologi secara berkala dan turut berdepan kemerosotan akademik akibat tekanan emosi yang berterusan.
Pada masa yang sama, Nurul Izzah turut memberi jaminan bahawa beliau dan pasukannya akan membantu dari segi sokongan guaman, kebajikan dan moral kepada keluarga mangsa dalam memperjuangkan keadilan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Selepas hampir tujuh tahun menuntut keadilan, ibu kepada mendiang model Belanda, Ivana Esther Robert Smit akhirnya memperoleh kemenangan dalam saman sivil yang difailkannya terhadap pihak berkuasa Malaysia.
Menurut laporan Harian Metro, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Julai 2025 memutuskan bahawa terdapat unsur kecuaian dalam siasatan kes kematian anaknya, dan kerajaan diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah RM1.1 juta.
Hakim Roz Mawar Rozain dalam penghakimannya menyatakan bahawa pihak polis telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka secara telus dan profesional, terutamanya dalam pengurusan tempat kejadian, pemeliharaan bukti dan pelaksanaan siasatan forensik. Kegagalan ini, menurut beliau, bukan sahaja menyebabkan keadilan terabai, malah turut memperlihatkan kelemahan serius dalam sistem siasatan jenayah negara.
Unsur kecuaian dalam siasatan kes
Saman sivil ini difailkan oleh ibu mendiang, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, pada 20 November 2020. Antara yang dinamakan sebagai defendan termasuk Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat Asisten Superintendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.
Lebih mengejutkan, mahkamah turut mendapati bahawa pihak polis tidak mematuhi perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada tahun 2019, yang mengarahkan siasatan semula dijalankan selepas keputusan inkues terdahulu diklasifikasikan sebagai “kemalangan”.
PEGUAM Datuk SN Nair pada sidang media selepas memenangi kes mendiang Ivana Esther Robert Smit terhadap Polis, Menteri Dalam Negeri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri
Mahkamah pada ketika itu telah menetapkan bahawa kes kematian Ivana perlu diklasifikasikan semula sebagai “kematian akibat perbuatan individu yang dikenali atau tidak dikenali”.
Dalam kes yang mendapat liputan luas antarabangsa ini, Ivana, yang ketika itu berusia 18 tahun, ditemui mati selepas jatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium di Kuala Lumpur. Sebelum kejadian, beliau dikatakan menghadiri satu parti bersama sepasang suami isteri warga asing. Namun, banyak persoalan timbul berhubung keadaan sebenar yang membawa kepada kematiannya, termasuk kegagalan pihak berkuasa mengambil kira bukti forensik seperti laporan toksikologi dan keterangan saksi utama.
Hakim Roz Mawar turut menyifatkan bahawa siasatan yang dilakukan adalah “jauh daripada piawaian yang sepatutnya dijangka daripada seorang pegawai penguat kuasa undang-undang.” Tambahnya lagi, tindakan pihak polis dalam kes ini merupakan satu bentuk “penyalahgunaan kuasa dalam jawatan awam” (misfeasance in public office), yang menunjukkan betapa pentingnya integriti dan ketelusan dalam menjalankan siasatan.
Mahkamah juga mengarahkan:
Pegawai penyiasat sedia ada disingkirkan daripada pasukan petugas.
Polis menyambung semula siasatan kes.
Laporan perkembangan siasatan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan.
Sebagai generasi muda, kita perlu sedar bahawa sistem keadilan bukanlah kebal daripada kesilapan. Tetapi dengan ketegasan, keberanian dan fakta yang jelas, kebenaran tetap boleh ditegakkan, walau mengambil masa bertahun.
Tahniah diucapkan kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana diiktiraf sebagai universiti ke-71 terbaik dunia bagi kategori di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024.
Ranking terbaru itu meletakkan kedudukan UUM naik 24 anak tangga jika dibandingkan pada tahun lalu iaitu di tempat ke 95.
Pengiktirafan itu juga meletakkan nama UUM sebagai universiti awam di bawah usia 50 tahun terbaik di Malaysia.
Kredit: Universiti Utara Malaysia Today
Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras warga universiti yang sentiasa berusaha meletakkan universiti itu di peringkat lebih tinggi.
Ia juga, bukan sesuatu yang mudah apabila UUM perlu bersaing dengan universiti terkemuka lain untuk berada di kedudukan tertinggi.
“Sempena UUM yang kini berusia 40 tahun, keputusan ini menunjukkan kita terus unggul di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang pengurusan, perniagaan dan perakaunan serta sains sosial”
“Ini secara tidak langsung meletakkan imej dan nama UUM sebaris universiti ternama dunia yang mencipta rekod tersendiri,” jelasnya lagi.
Kredit: Universiti Utara Malaysia Today
THE Young University Rankings 2024 menggunakan 17 indikator dalam lima kategori iaitu pengajaran (29.5%), kualiti penyelidikan (30%), persekitaran penyelidikan (29%), pandangan antarabangsa (7.5%) dan pendapatan industri (4%).
THE Young University Rankings 2024 yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan lebih 673 universiti seluruh dunia yang disenaraikan bagi penarafan 2024.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Hasil mendidik anak-anak bangsa selama ini membuahkan hasil apabila guru prasekolah dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Lurah Bilut, Pahang, Neermala Doraisamy (43) dianugerahkan Guru Terbaik 2024 kategori Pendidikan Prasekolah dalam majlis Asian Education Awards 2024 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Beliau yang telah 19 tahun mencurah bakti dalam dunia pendidikan, merupakan seorang guru yang gigih dan berdedikasi.
Selain itu, pengalaman luas mendidik generasi muda membuktikan keikhlasan beliau dalam mencorak masa depan anak bangsa.
Cikgu Neermala meluahkan rasa syukur atas penganugerahan yang diberikan Asia Education Conclave (AEC).
“Saya berbesar hati menerima anugerah Guru Terbaik 2024 kategori Pendidikan Prasekolah daripada AEC. Platform ini menyatukan para pendidik dari seluruh dunia dan menonjolkan peranan penting kami sebagai guru dalam membentuk masa depan”
“Saya bersyukur kepada Tuhan atas rahmat, petunjuk dan peluang yang diberikan. Sesungguhnya, diri ini sangat gembira kerana dapat berdiri sebaris dengan pendidik dan pemimpin yang berdedikasi dalam bidang masing-masing,” kata Cikgu Neermala.
Menurut anak kelahiran Temerloh, Pahang ini berkata, sudah 14 tahun dirinya mengajar peringkat prasekolah di mana murid-muridnya berumur lima dan enam tahun.
“Saya mengajar berdasarkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dan anugerah diterima bukti kepada usaha kolektif semua pihak yang bekerja keras meningkatkan pendidikan awal kanak-kanak,” ujarnya lagi.
“Justeru itu, saya berhasrat untuk terus memberikan impak positif dalam pendidikan di peringkat ini,” jelasnya.
Sementara itu, Cikgu Neermala turut merakam penghargaan dan ucapan terima kasih kepada suami tercinta, Youva Raj, ahli keluarga, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bentong, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pentadbir dan rakan-rakan sekerja di SJKT Lurah Bilut kerana sentiasa memberi sokongan, dorongan dan bantuan yang tidak pernah pudar untuknya meneruskan perjuangan.
Sumber: Sinar Bestari
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!