Pelajar Doktor Falsafah (PhD) (Pengurusan Awam) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menggegarkan pentas pencak silat dunia di Abu Dhabi, apabila meraih pingat emas baru-baru ini.
Siti Shazwana Ajak yang merupakan pesilat negara dinobatkan juara Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 bagi kategori Putri D (60-65 kilogram) selepas menumbangkan lawannya dari Thailand.
Kejayaan pelajar yang gemar dipanggil sebagai Wana itu, melayakkan dirinya membawa pulang pingat emas dan diangkat sebagai juara dunia sekaligus mendahului para peserta dari 55 negara seluruh dunia dalam perlawanan pada 18 hingga 22 Disember 2024.
Kredit: FB Azrul Affandi
“Kejohanan Dunia ini merupakan penampilan saya yang ketiga. Alhamdulillah, misi memburu pingat emas dapat direalisasikan yang mana sebelum ini saya hanya meraih pingat gangsa dan perak di edisi kejohanan dunia pada tahun 2018 dan 2022”
“Emas kali ini sangat bermakna untuk saya kerana perjuangan ini bukan saja untuk diri sendiri tapi buat Allahyarham mak, keluarga, jurulatih dan semua yang banyak membantu saya sepanjang persiapan ke kejohanan,” katanya dalam nada sebak.
Kredit: Sinar Bestari
Menyingkap perjuangannya, pelajar PhD dari UUM itu mengakui berdepan cabaran getir kerana undian yang diperolehi lebih kepada negara yang kuat dalam seni silat.
Ads
Selain itu, beliau juga perlu konsisten menampilkan aksi luar biasa dalam setiap pusingan dengan menewaskan pesilat Vietnam di suku akhir sebelum membenamkan pesilat Indonesia di separuh akhir. Dalam tiga perlawanan, paling sengit adalah Indonesia.
Seterusnya bertemu dengan Thailand, lawan yang terkenal dengan kekuatan fizikal dan strategi, namun dengan kepantasan, ketepatan dan kekuatan mental yang luar biasa, Wana berjaya mengatasi cabaran tersebut.
“Kejayaan ini menjadi bukti betapa pentingnya latihan yang konsisten dan semangat juang yang tinggi dalam mengejar impian,” katanya.
Kredit: Sinar Bestari
Jelasnya, silat merupakan salah satu seni mempertahankan diri yang perlu ada dalam diri seseorang memandangkan tekniknya mudah dipelajari dan sangat efektif untuk digunakan dalam saat yang tidak dijangka untuk mempertahankan diri.
Ads
Katanya, perkembangan positif dapat disaksikan dalam arena silat yang semakin berkembang pesat di samping menjadi platform kepada anak muda memasang impian untuk beraksi di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan ini juga mampu memberi inspirasi kepada semua atlet muda di Malaysia untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam sukan.
“Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan yang amat membanggakan kemenangan ini bukan sahaja kemenangan peribadi, tetapi juga simbol semangat juang bangsa Malaysia. Dengan kemenangan ini, Wana telah membuktikan bahawa Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia dan membawa pulang pingat emas yang membanggakan” katanya.
Kredit: Harian Metro
Beliau juga berharap semangat juang yang ditunjukkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan dalam bidang pencak silat serta membuka peluang untuk generasi baru mengukir nama di persada dunia.
Ads
“Keberanian Wana untuk terus mencabar dirinya di pentas dunia menginspirasi seluruh rakyat Malaysia. beliau membuktikan bahawa dengan kerja keras, komitmen dan keyakinan diri, tiada yang mustahil untuk dicapai,” ujarnya lagi.
Wana telah membuka mata dunia bahawa Malaysia hebat dalam pencak silat, kejayaan ini pasti akan memacu lebih banyak kejohanan dan pencapaian gemilang pada masa hadapan.
Sumber: Sinar Bestari
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, banyak kosa kata atau istilah baharu yang telah muncul. Secara tidak langsung, pandemik COVID-19 yang melanda negara kita ini telah memperkaya bahasa Melayu terutamanya pertambahan kata pinjaman. Selain itu, kosa kata yang jarang-jarang digunakan sebelum ini telah menjadi pilihan pengguna.
Kosa kata seperti pandemik, kontak rapat, penjarakan, meratakan lengkung, wad isolasi, ventilator, kuarantin, kluster, disinfeksi, nyah kuman, kebolehjangkitan, musuh berskala nanometer, kes sporadik, terowong sanitasi, Perintah Kawalan Pergerakan, rentas negeri, dan banyak lagi.
Dari segi sebutan, mereka mencampuradukkan sebutan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Gejala ini diperkatakan oleh ahli bahasa Melayu sebagai bahasa sekerat belut dan sekerat ular. Fenomena ini telah menyebabkan bahasa Melayu tercemar. Sebagai contohnya, banyak pengguna bahasa Melayu yang menyebut COVID-19 sebagai COVID nineteen. Mereka sepatutnya menyebut COVID Sembilan Belas. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita.
Banyak lagi perkataan yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 disebut bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris seperti yang berikut:
(i) Korona virus -sepatutnya virus korona (ii) Frontliners – sepatutnya petugas barisan hadapan (iii) memakai mask – sepatutnya memakai pelitup muka (iv) mencuci tangan dengan hand sanitizer – sepatutnya mencuci tangan dengan pensanitasi tangan (v) mengamalkan social distancing – sepatutnya mengamalkan penjarakan fizikal (vi) melaksanakan PKP three point zero – sepatutnya melaksanakan PKP tiga perpuluhan kosong.
Punca berlakunya fenomena ini ialah pihak media yang menjadi pengguna utama bahasa seperti ini. Hal ini menyebabkan masyarakat mengikut atau meniru penggunaan bahasa pihak media tersebut. Yang paling menyedihkan ialah pemimpin politik yang berpengaruh juga memasyhurkan penggunaan bahasa sekerat belut dan sekerat ular ini. Oleh sebab media dan tokoh politik mempunyai pengaruh yang kuat, apa-apa sahaja perkataan yang disebut atau digunakan akan menjadi ikutan orang ramai.
Sebagai kesimpulannya, semua pengguna bahasa perlu menyedari peranan masing-masing untuk memelihara kesempurnaan dan keindahan bahasa Melayu. Dalam hal ini, setiap rakyat perlu ada perasaan cinta dan sayang akan bahasa kita. Oleh sebab bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, kita wajar memartabatkan bahasa ini supaya bahasa Melayu terus dihormati dan terpelihara. Ingatlah bahawa bahasa jiwa bangsa.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Abdul Ghalib bin Yunus
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dalam penulisan karangan atau esei, kita kerap menggunakan kata sendi nama “dalam” dan “di dalam”. Adakah penggunaan kedua-dua kata sendi itu boleh ditukar ganti sewenang-wenangnya?. Semestinya tidak. Hal ini kerana konteks penggunaan kata sendi nama “di dalam” dan “dalam” adalah berbeza.
Kata sendi nama “di dalam” digunakan di hadapan frasa nama yang mempunyai ruang manakala kata sendi nama “dalam” pula digunakan di hadapan frasa nama yang tidak mempunyai ruang.
Kata sendi nama “di dalam” digunakan dengan betul dalam ayat yang berikut:
1. Adik menyimpan semua hadiah pemberian ibu di dalam kotak biru. (Kotak biru ada ruang)
2. Semua orang di dalam bilik mesyuarat itu memandang ke arah Johny. (Bilik mesyuarat ada ruang)
3. Emak merebus sebungkus spageti di dalam periuk. (Periuk ada ruang)
Kata sendi nama “dalam” digunakan dengan betul dalam ayat yang berikut:
1. Semua orang diam membisu dalam mesyuarat itu. (Mesyuarat tidak ada ruang)
2. Ayah seolah-olah sudah dapat membaca perkara yang berlegar-legar dalam fikiran kakak.
(Fikiran tidak ada ruang)
3. Azri melibatkan diri secara aktif dalam perbincangan itu. (Perbincangan tidak ada ruang)
Berdasarkan penerangan di atas, jelas ternyata bahawa “di dalam” dan “dalam” digunakan dalam konteks yang berbeza serta tidak boleh ditukar ganti sewenang-wenangnya.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Rabahyah binti Tahir
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom kembali mencuri perhatian apabila berjaya meraih juara acara keirin lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025, sekaligus menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia menerusi pecutan bertenaga pada saat akhir perlumbaan, pada Khamis.
Pelumba berusia 24 tahun itu beraksi di Velodrom Hua Mark, Bangkok dan sempat berdepan tekanan hebat daripada wakil tuan rumah termasuk juara Sukan Asia 2018, Jai Angsuthasawit, dalam perlumbaan yang berlangsung sengit sejak kayuhan awal.
Bagaimanapun, ketika kemenangan dilihat seakan memihak kepada Thailand, Ridwan mempamerkan ketenangan serta taktikal perlumbaan yang tepat apabila melancarkan pecutan terakhir yang kemas untuk memintas pencabar tuan rumah di garisan penamat.
Dalam pada itu, kejayaan tersebut juga menjadi bukti pingat emas acara keirin kembali menjadi milik Malaysia, serta mengukuhkan status negara sebagai antara kuasa utama dalam disiplin berkenaan di peringkat Asia Tenggara.
Sementara itu, pingat gangsa dimenangi pelumba Thailand, Norasetthada Bunma, manakala seorang lagi wakil negara, Muhammad Fadhil Zonis di kedudukan keempat selepas gagal mengekalkan momentum pada pusingan akhir perlumbaan.
Emas berkenaan turut menjadi pencapaian tertinggi Ridwan di pentas antarabangsa selepas beberapa kali menaiki podium tanpa bergelar juara, sekaligus membuktikan peningkatan prestasi konsisten atlet kelahiran Malaysia itu.
Kejayaan bersejarah ini juga membawa makna besar buat skuad berbasikal trek negara yang sebelum ini menunggu detik kebangkitan dalam acara keirin selepas beberapa edisi tanpa penyertaan.
Terdahulu, acara keirin tidak dipertandingkan dalam tiga edisi Sukan SEA sebelum ini, dengan kali terakhir Malaysia memenangi emas menerusi Datuk Azizulhasni Awang pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, ini menjadikan kejayaan Ridwan sebagai simbol kesinambungan legasi keirin negara.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!