
Masih belum sampai seminggu selepas majlis perkahwinan anak kepada pemuzik popular Indonesia, Ahmad Dhani iaitu Al Ghazali dan Alyssa Daguise berlangsung dengan meriah di Jakarta. Namun, suasana damai itu tiba-tiba dicemari semula dengan kontroversi lama.
Walaupun kehadiran Ahmad Dhani dan bekas isterinya, Maia Estianty dalam satu majlis yang sama dilihat cukup menyatukan, bagaimanapun kisah lama antara mereka dan Mulan Jameela kembali menghantui keluarga ini apabila ramai peminat mula memberikan komentar di media sosial.
Terbaru, adik bongsu Al Ghazali, Shafeea Ahmad (14) menerima kecaman hebat daripada warga internet selepas memuat naik petikan Surah Al-Hujurat ayat 12 menerusi Instagram Story tetapi ramai percaya hantaran itu seakan-akan sindiran balas terhadap komen negatif mengenai ibunya, Mulan Jameela.



Perkongsian itu telah mencetus pelbagai reaksi sehingga mengakibatkan pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Shafeea, termasuk gelaran tidak wajar seperti ‘anak gundik’ dan menyalahkan ibunya kerana didakwa merampas suami orang. Walhal, Shafeea hanyalah seorang remaja yang cuba menyuarakan pandangan dari sisi yang berbeza.
Sungguhpun demikian, ada juga segelintir pihak yang tampil mempertahankan gadis tersebut dan mengatakan bahawa Shafeea tidak sepatutnya dihukum atas kesilapan orang tuanya yang berlaku hampir dua dekad lalu.


Sekadar info, kisah cinta tiga segi antara Ahmad Dhani, Maia Estianty dan Mulan Jameela pernah menjadi antara skandal terbesar industri muzik Indonesia sekitar awal 2000-an. Setelah Mulan dikaitkan dengan perpisahan Dhani dan Maia, reputasi penyanyi wanita itu terjejas teruk sehingga hari ini.
Walaupun Ahmad Dhani akhirnya berkahwin dengan Mulan secara tertutup selepas perceraian dengan Maia pada tahun 2008, hubungan dingin antara mereka bertiga masih terasa hingga kini, meskipun berada dalam acara perkahwinan putera kesayangan.

Majlis perkahwinan Al Ghazali yang berlangsung Isnin lalu turut memperlihatkan beberapa momen janggal antara Ahmad Dhani dan kedua-dua bekas isterinya. Namun, Ahmad Dhani tetap tenang melayan mereka secara profesional demi menghormati hari bahagia anaknya.
Intihanya, isu lama ini sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa kesan dari kisah silam tidak akan pernah benar-benar hilang, lebih-lebih lagi apabila ia terus dibincang secara terbuka di media sosial. Akan tetapi, kali ini generasi baru pula yang menjadi mangsa perdebatan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!



















