Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Keinginan untuk menyambung legasi bapa saudaranya yang pernah bergelar jaguh sukan olahraga pada era 90-an hingga awal 2000 begitupun tidak datang bergolek. Kudrat terpaksa dikerah dan minat sentiasa perlu ditanam agar semangat tidak mudah luntur dari hari ke hari. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2022, Grace Wong Xiu Mei.
arahan seniFZ AIMMAN teksRUZIANA ZAINAL penyelaras REMAJA jurufotoREMY OTHMAN penerbit video MAYA DEEN & SHERFIQA SHARIDAN susunan grafikAZNIZA AZIZ persalinanNEW BALANCE
Nama Grace Wong Siew Mei mungkin masih kedengaran baharu dalam kepompong dunia sukan negara. Meskipun begitu, kelibat anak kelahiran Sarikei, Sarawak ini perlahan-lahan mula menagih perhatian ramai setelah dia mula menyinari sukan olahraga menerusi bakat dan kebolehannya dalam acara lontar tukul besi.
Grace, 22 pada pengiraan REMAJA ialah di antara penerus legasi kejayaan olahraga; certainly a fresh face to watch! Tidak ramai yang mengetahui akan sejarah keluarga Grace dalam dunia sukan. Bapa saudaranya, Wong Tee Kui merupakan atlet lagenda moden yang pernah menabur jasa dan mengharumkan nama negara di peringkat Sukan SEA secara berturut-turut. Pada edisi 1991, 1993, 1995, 1999 dan 2001, Tee Kui merupakan pemenang pingat emas bagi acara sama yang diwakili Grace iaitu lontar tukul besi.
Tidak hairanlah apabila Grace memenangi pingat emas di Sukan SEA ke-31 di Hanoi pada tahun ini, pemerhati sukan negara mulai sedar akan persamaan yang wujud di antara Tee Kui dan gadis yang diberi panggilan Amazing Grace ini.
“Pakcik saya pernah memenangi lapan pingat emas di peringkat Sukan Sea namun pada usia muda, saya tidak tahu-menahu mengenai kehebatan beliau itu. Saya perlahan-lahan bergiat dalam sukan olahraga di bangku sekolah rendah disebabkan saiz badan saya.
“Ya, badan saya lebih besar berbanding rakan-rakan sedarjah yang lain dan cikgu saya pada waktu itu ingin membantu saya pergi lebih jauh. Saiz badan ini adalah satu kelebihan, kata mereka. Jadi, ibu bapa pun membenarkan saya menyertai olahraga menerusi acara lontar peluru. Barulah saya sedar selepas beberapa tika yang pakcik saya juga pernah bergelar jaguh olahraga sebelum ini,” kongsinya sewaktu di set penggambaran.
Ads
Kehilangan Ibu
Di sebalik kejayaan meraih emas pertamanya di Sukan SEA sewaktu edisi Kuala Lumpur 2017, Grace terpaksa menelan lumrah kehidupan pada usia semuda 17 tahun apabila dia kehilangan insan paling disayanginya.
Ibu Grace, Lina Awaru yang berasal dari Papua New Guinea menghembuskan nafas terakhirnya empat bulan sebelum kejohanan tersebut. Berita pemergian beliau itu diterima Grace sewaktu dia berada di Korea Selatan bagi menjalani kem latihan selama dua bulan.
Dalam nada sebak, Grace mengakui tugasnya sebagai seorang atlet negara hadir dengan pengorbanan besar yang perlu ditanggungnya iaitu faktor masa bersama keluarga yang semakin menipis.
“Saya rasa semua (atlet) ada pengalaman seperti saya. Kami kekurangan masa untuk bersama dengan keluarga. Saya kehilangan ibu saya pada tahun 2017 dan saya rasa sedikit bersalah kerana tidak dapat menemaninya pada waktu tersebut.
“Atas faktor kehilangan itu juga, saya rasa saya perlu bekerja lebih keras untuk ke peringkat yang lebih tinggi agar dia tidak akan rasa kecewa.
“Saya rasa mendiang ibu saya berbangga kerana hingga sekarang, saya tidak berputus asa untuk memberikan yang terbaik untuk negara,” ujarnya. Berkat kesabaran dan kecekalan hati Grace itu juga, dia terus memacu langkah ke hadapan dan baru-baru ini telah lolos ke saingan akhir temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022, awal Ogos lalu.
Ads
Isu Pemotongan Elaun Atlet
Menyentuh mengenai rungutan pemotongan elaun atlet kebangsaan yang pernah diungkitkan tahun ini, penulis sempat mendapatkan pendapat pemegang rekod kebangsaan ini sama ada isu peruntukan dana ini benar-benar menyekat momentum seseorang atlet itu.
Grace melihat isu potongan elaun ini mempunyai efek domino yang akhirnya akan mempengaruhi prestasi di gelanggang.
“Disebabkan elaun rendah, ramai atlet tidak berkesempatan menyertai program PODIUM (program persediaan atlet elit berdedikasi negara di bawah Institut Sukan Negara (ISN) dengan objektif keseluruhan untuk mencapai kecemerlangan sukan untuk negara) dan menyebabkan mereka berputus asa atau mereka tersepit dengan faktor penurunan prestasi.
“Grace bertuah kerana mendapat bantuan daripada pihak IPT dan Kementerian Belia & Sukan. Namun tidak semua atlet mendapat peluang yang sama. Seseorang atlet memang sangat-sangat memerlukan bantuan wang berjaya. Kami korbankan masa kami demi sesi latihan sekaligus tiada peluang melakukan inisiatif lain untuk menjana pendapatan.
“Kerajaan sewajarnya mencari jalan terbaik untuk menyediakan peruntukan dana secukupnya untuk menampung keperluan atlet-atlet negara selain mendapatkan lebih banyak peluang bagi menyertai pertandingan di luar negara bagi mengukuhkan prestasi serta pengalaman kami,” tegasnya.
Tiga lagi penghias hadapan Remaja Ogos 2022 Edisi Digital terdiri daripada (dari kiri) Khai Bahar, Dr. Lavanya Sivaji dan Hawa Rizwana.
Makna Kebebasan
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 esok, penulis bertanya kepada Grace mengenai makna dan nilai kebebasan buat dirinya.
“Bagi saya, kebebasan itu sangat penting. Tanpa kebebasan bersuara, sukar untuk anak muda menjadi lebih ekspresif dan bersifat terbuka. Cumanya, janganlah kita bertindak di luar batasan dalam apa jua situasi,” jawabnya ringkas.
Ikuti makna menjadi seorang #RemajaMalaysia bersama Grace Wong dalam pautan video temubual REMAJA bersamanya.
Sertai pertandingan Penulisan Esei & pertandingan Pengucapan Awam yang dianjurkan oleh REMAJA dengan kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka bermula 8 Ogos 2022 hingga 18 September 2022. Klik pada pautan Peraduan untuk maklumat lanjut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Nama Soh Wai Ching mungkin tidak sepopular pemain sukan-sukan popular yang lain. Namun begitu, tahukah anda personaliti berusia 27 tahun ini sebenarnya sejak tahun 2017 lagi telah membawa nama negara dalam pertandingan Tower Running.
Untuk pengetahuan pembaca, tower running merupakan sukan yang menjadikan bangunan tinggi sebagai lapangan pertandingan. Peserta perlu berlumba-lumba mendaki tangga dan sampai dan menjadi orang yang pertama sampai ke puncak bangunan untuk dinobat sebagai juara.
Terbaharu, jejaka yang berasal dari Selayang, Selangor ini telah menjuarai pertandingan Fight for Air Climb NYC di Penn 1 Plaza, New York, Amerika Syarikat pada Sabtu lalu. Menjadikan kemenangannya lebih manis adalah apabila dia juga berjaya memecahkan rekod lama yang dibuat pada tahun 2013 oleh Tim Donahue.
Dalam temubual bersama media beliau berkata, ““Saya hadir di New York lapan hari lalu dengan misi untuk menyertai dua pertandingan, Tunnel to Towers Climb NYC di One World Trade Center dan Fight for Air Climb NYC di Penn 1 Plaza.
“Misi saya berjaya dipenuhi dengan memenangi kedua-dua pertandingan selain rekod baharu lapangan pada pertandingan kelmarin. Setakat ini, saya menang lapan daripada sembilan pertandingan tahun ini dengan satu penamat di tangga kedua.”
Menjadikan kejayaan yang dikecap lebih manis Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah kepadanya.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram Istana Negara, baginda berdua bertitah, “Tahniah Soh Wai Ching! No, 1 dunia jaguh lari menara negara.Semoga dilimpahi kejayaandan kecemerlangan berterusan.”
Selain mendapat perhatian daripada pihak Istana, kejayaannya juga turut mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia.
“Tahniah Soh Wai Ching kembali ke status No. 1 dunia. Jaguh lari menara negara kebanggaan kita kini mengesahkan statusnya sebagai nombor 1 di dunia selepas mengungguli kategori keseluruhan saingan Tunnel to Towers Climb NYC di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu.
“Keluarga Malaysia amat bangga dengan pencapaian Soh Wai Ching dan berharap akan terus mengekalkan momentum kejayaan ini. Jadikan kejayaan yang telah diukir oleh ahli keluarga kita sebagai inspirasi untuk sama-sama membina kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” ucap Datuk Seri Ismail Sabri menerusi Instagram rasminya.
Semoga dengan kejayaan yang dikecapi oleh Soh Wai Ching menjadi pembakar semangat kepada remaja Malaysia yang lain untuk turut serta mencipta visi dan misi yang terbaik dalam kehidupan. Bukan sahaja membanggakan negara bahkan mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sejarah sekali lagi bakal tercipta dalam buku kemajuan sains, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta dunia penyiaran negara apabila satelit kesepuluh Malaysia, Measat-3D bersedia untuk dilancarkan pada 23 Jun ini.
Measat-3D merupakan sebuah satelit komunikasi yang akan dilancarkan menggunakan roket Ariane 5 dari Pusat Angkasa Lepas Eropah di Kourou, French Guiana.
Pusat Angkasa Lepas Eropah di Kourou, French Guiana. Sumber Foto : ESA
Ia dimiliki syarikat swasta, Malaysia East Asia Satellite Global Berhad (Measat) dan dibangunkan oleh Airbus dengan kos sekitar RM1.2 bilion.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) iaitu Azlikamil Napiah, pelancaran akan disaksikan oleh delegasi dari Malaysia termasuklah wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), wakil Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan MYSA selaku peneraju angkasa negara.
Untuk pengetahuan korang, setiap satelit yang dilancarkan mempunyai jangka hayat masing-masing. Oleh sebab itu, mana-mana satelit perlu digantikan dari semasa ke semasa bagi kelangsungan rakyat.
Contohnya seperti satelit Measat-3D ini, ia dijangka mempunyai jangka hayat sehingga 18 tahuun dan bakal menggantikan satelit komunikasi Measat yang sudah tidak aktif dan brfungsi.
Ia juga merupakan satelit keenam Measat dengan dua lagi satelit masih aktif beroperasi buat masa ini; iaitu Measat-3A (dilancarkan pada 2009, dijangka beroperasi hingga 2024) dan Measat-3B (dilancarkan pada 2014, dijangka beroperasi hingga 2029).
Pandangan Pusat Angkasa Lepas Eropah di Kourou, French Guiana dari angkasa lepas. Sumber Foto : ESA.INT
Di antara kelebihan satelit Measat-3D ini adalah ia akan memberikan liputan komunikasi yang lebih meluas memandangkan kapasitinya telah ditambah. Selain itu, ia juga akan membantu dari aspek Internet of Thing (IoT) meliputi komunikasi, internet, kelajuan penghantaran data, data komunikasi dan telefon yang dipertingkatkan kapasitinya.
Selain itu, satelit Measat-3D ini juga akan menyediakan kapasi C dan Ku-Band konvensional untuk memastikan pertumbuhan dan kesinambungan perkhidmatan bagi penyiar terkemuka dunia serta televisyen satelit DHT kepada lebih 20 juta isi rumah di Malaysia, Indonesia dan India.
Mengenai apa yang bakal terjadi kepada tujuh satelit milik Malaysia yang sudah tidak aktif di angkasa lepas kini, Azlikamil berkata, negara akan terus memantaunya secara teliti bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku yang boleh menyebabkan bencana di angkasa.
Harapnya adalah siaran langsung sewaktu pelancaran Measat-3D kan! Nak juga tengok momen bersejarah itu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bencana banjir yang melanda negeri Selangor setelah hujan lebat berterusan pada hari Jumaat hingga Sabtu lalu mendapat perhatian Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengenangkan nasib rakyat jelata.
Menerusi paparan di akaun Facebook rasmi Selangor Royal Office sejak 19 Disember (Ahad) lalu hingga semalam (21 Disember), baginda dilihat telah berkenan untuk sama-sama turun padang bagi melawat mangsa banjir di Selangor dengan meredah kawasan kejiranan yang dinaiki air.
Di sana, baginda bertanyakan keadaan rakyat di samping menyerahkan bantuan kepada mangsa seperti sumbangan keperluan asas serta makanan.
Menariknya, Baginda turut dilihat membeli sendiri barangan keperluan di Pasaraya Checkers, Seksyen 15 Shah Alam dan kemudian mengedarkannya di kawasan bencana termasuklah di Taman Meru Jaya Klang (19 Disember), Padang Jawa (20 Disember) dan di Kampung Baru Hicom (21 Disember).
Umum mengetahui keadaan banjir yang lambat surut di sana. Lantas, Baginda telah diiringi pasukan 10 Briged Para Tentera Darat Malaysia yang disertai ahli sukarelawan semasa misi tinjauan dan menghantar bantuan sewaktu berada di lokasi yang dinaiki air banjir tinggi.
Rata-rata rakyat di ruangan komen Facebook berkenaan menyambut baik kehadiran Tengku Amir Shah yang mencemar duli ke lokasi bencana dan terhadap respon pantas Baginda untuk bersama-sama rakyat negeri Selangor.
“Semoga Allah sentiasa membantu Tuanku dalam membantu rakyat jelata dan negeri. Daulat Tuanku.”
“Raja Muda naik motosikal relax je. Ampun Tuanku, rakyat selangor menjunjung kasih.”
“Moga Allah Taala bantu negeri bawah jajahan takluk Tuanku. Kita redha ujian daripada Allah.”
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!