Baru-baru ini, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut dirempuh sebuah kereta dalam satu kejadian tragis di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas, Kota Bharu.
Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Azmir Damiri memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 2.15 petang.
Menurut beliau, insiden itu turut mengakibatkan seorang lagi pelajar mengalami kecederaan parah dan kini sedang dirawat di zon merah Hospital Raja Perempuan Zainab II, manakala pemandu kenderaan terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ads
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 1.50 tengah hari apabila pemandu wanita terbabit dipercayai tertekan pedal minyak lalu terbabas sehingga melanggar dua pelajar yang sedang memakai kasut sekolah di hadapan surau itu serta tiang batu surau terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pelajar yang maut dilaporkan mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian secara rasmi.
Ads
Dalam pada itu, pihak polis memaklumkan kes tersebut kini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ads
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya di kawasan sekolah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menjalankan kajian semula UPSR dan PT3 pada tahun ini sebelum sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan sistem peperiksaan negara dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Langkah ini sekali lagi meletakkan isu sistem pentaksiran pendidikan negara dalam perhatian ramai, khususnya ibu bapa dan pendidik yang ingin mendapatkan kejelasan mengenai hala tuju peperiksaan utama di sekolah rendah dan menengah.
KPM Perlukan Masa Jalankan Kajian Menyeluruh
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian memerlukan sedikit masa bagi menjalankan kajian secara menyeluruh dan terperinci bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat adalah bersesuaian dengan keperluan semasa sistem pendidikan negara.
Menurut beliau, kajian semula UPSR dan PT3 ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan dasar pendidikan jangka panjang serta kesan langsung kepada pelajar di seluruh negara.
Kajian Libatkan Majlis Penasihat Pendidikan
Menurut Fadhlina, mandat rasmi untuk menjalankan kajian semula UPSR dan PT3 telah diberikan kepada Majlis Penasihat Pendidikan, selain mengambil kira pandangan yang telah dikumpulkan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Beri sedikit masa kepada kami kerana kajian ini sedang dijalankan dan mandat telah diberikan kepada Majlis Penasihat Pendidikan.
“Kita akan laksanakan kajian pada tahun ini dan membentangkannya kepada Jemaah Menteri secepat mungkin untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya ketika sidang akhbar sempena majlis pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent Elmina.
Beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas dapatan kajian diperhalusi secara menyeluruh.
KPM Mansuh Peperiksaan
Pentaksiran Holistik Kekal Menjadi Keutamaan
Mengulas dakwaan bahawa sistem pentaksiran sedia ada tidak mencukupi, Fadhlina menegaskan bahawa pendekatan yang diguna pakai ketika ini memberi penekanan kepada penilaian secara holistik.
Penilaian tersebut bukan sahaja melibatkan pencapaian akademik, malah turut merangkumi aspek sahsiah, kemahiran insaniah dan perkembangan keseluruhan pelajar.
Namun begitu, beliau mengakui pandangan serta permintaan ibu bapa yang mahu UPSR dan PT3 dikembalikan turut menjadi antara faktor penting yang sedang diteliti dalam kajian semula UPSR dan PT3 ini.
CALON SPM mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan bertulis SPM 2025 di SMK Kiaramas, Kuala Lumpur. FOTO Raihana Mansor
Apa Implikasi Kajian Ini Kepada Pelajar?
Bagi pelajar, kajian semula UPSR dan PT3 ini tidak bermakna peperiksaan akan diperkenalkan semula dalam masa terdekat. Sebaliknya, ia bertujuan menilai keberkesanan sistem pentaksiran sedia ada serta memastikan tahap penguasaan akademik pelajar berada pada tahap yang baik.
Selain itu, sebarang perubahan yang bakal dicadangkan dijangka mengambil kira keseimbangan antara prestasi akademik, kesejahteraan mental serta persediaan pelajar menghadapi peringkat pendidikan seterusnya.
Langkah berhati-hati ini dilihat penting bagi memastikan pelajar tidak terdedah kepada tekanan berlebihan dalam proses pembelajaran.
Latar Belakang Pemansuhan UPSR dan PT3
Untuk rekod, UPSR dimansuhkan pada tahun 2021 manakala PT3 dimansuhkan pada 2022. Kedua-dua peperiksaan tersebut digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menilai pelajar secara berterusan sepanjang tempoh pembelajaran.
Kajian semula UPSR dan PT3 ini dilihat sebagai usaha kerajaan memastikan sistem pendidikan negara sentiasa relevan, seimbang dan mampu melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing pada masa hadapan.
Baru-baru ini, tular sebuah video ceramah pendakwah terkenal, Ustaz Abdul Somad susulan khabar mengenai pemergian suami kepada pelakon Indonesia Jennifer Coppen, Dali Wassink yang dibakar jenazahnya walaupun sudah bergelar mualaf.
Menerusi video tersebut, Ustaz Abdul Somad berkongsi ilmu mengenai hukum dari segi agama apabila seseorang itu memilih untuk dibakar jenazahnya setelah mati.
Selain pilihan individu itu sendiri, jika si mati tidak diketahui keislamannya walaupun sudah bergelar mualaf namun tetap dibakar jenazah dan bukannya ditanam, satu kampung atau masyarakat disitu akan menanggung dosa.
“Bila ada seorang muslim di mana ibu bapanya tidak tahu dia sudah muslim tetapi jenazahnya dikremasi (dibakar), maka satu kampung akan tanggung dosa”
“Itu makanya dinamakan fardhu kifayah. Kifayah bermaksud jika sudah dillaksanakan oleh satu orang atau sebahagian daripada masyarakat, maka gugurlah kewajiban tersebut daripada seluruh masyarakat”
“Jika sudah mengucap dua kalimah syahadah, anda perlu berikan maklumat peribadi di pusat mualaf termasuk alamat tempat tinggal, info keluarga dan saudara-mara,” katanya lagi.
Susulan itu, Ustaz Abdul Somad turut memesan agar para mualaf di luar sana untuk mencatat atau memaklumkan identiti dengan lengkap supaya dapat memudahkan proses pengebumian setelah meninggal suatu hari nanti.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, individu yang didapati membuang sampah di tempat awam bakal berdepan hukuman lebih tegas apabila Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 mula dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2026.
Menerusi pelaksanaan akta berkenaan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 selain Perintah Khidmat Masyarakat selama tempoh maksimum 12 jam sebagai langkah penguatkuasaan dan pencegahan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed memaklumkan bahawa undang-undang tersebut terpakai kepada semua pihak tanpa sebarang pengecualian, termasuk pelancong asing yang berada di negara ini.
Kredit foto: Jurnalis Shah AlamGambar sekadar hiasan (Kredit foto: KKM)
Tambah beliau, pendekatan perintah khidmat masyarakat diperkenalkan bukan semata-mata untuk menghukum, sebaliknya sebagai usaha mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan awam.
Pada masa yang sama, langkah itu juga dilihat sebagai satu inisiatif jangka panjang untuk membentuk sikap masyarakat supaya tidak lagi membuang sampah secara sewenang-wenangnya, sekaligus mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan selesa.
“Kami ada anggota yang akan pantau dan berada di kawasan-kawasan awam sama ada dalam bentuk penyamaran. Tolonglah jaga dan buang sampah dalam tong disediakan dan jangan buang merata-rata,” katanya.
Gambar sekadar hiasan (Kredit foto: KKM)
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu melibatkan semua pihak termasuk pelancong asing dan kanak-kanak bagi memastikan pelaksanaannya bersifat menyeluruh, dan ia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa dan kebersihan awam.
Sementara itu, antara bentuk perintah khidmat masyarakat yang boleh dikenakan kepada pesalah termasuk aktiviti mengutip sampah, mencuci tandas serta longkang, selain diwajibkan memakai ves khas tertera perkataan ‘khidmat masyarakat’ sepanjang tempoh hukuman dijalankan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!