
Terbaru, jaguh lumba berbasikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengharumkan nama negara apabila masing-masing berjaya merangkul pingat emas dalam acara pecut pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai.
Kejayaan itu sekaligus mengesahkan dominasi Malaysia dalam saingan berbasikal trek serantau, dengan kedua-dua pelumba mempamerkan prestasi konsisten dan berintensiti tinggi sepanjang kejohanan berprestij berkenaan.
Dalam acara pecut elit lelaki, Muhammad Ridwan menunjukkan semangat juang luar biasa apabila menewaskan pelumba Korea Selatan, Kim Geunwoo, dalam final yang berlangsung sengit dan mendebarkan.

Pertarungan dua pelumba itu menyaksikan keputusan terikat 1-1 selepas dua perlumbaan awal, sebelum Muhammad Ridwan bangkit lebih bertenaga dalam pusingan penentuan untuk mengesahkan kemenangan sekali gus meraih emas buat Malaysia.
Sementara itu, Nurul Izzah Izzati meneruskan kecemerlangan kem negara apabila menguasai acara pecut elit wanita, menewaskan wakil Hong Kong, Yeung Cho Yiu, selepas dua perlumbaan di peringkat akhir.
Persembahan bertenaga Nurul Izzah Izzati membuktikan tahap kesediaan tinggi atlet wanita negara, selain mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelumba pecut terbaik di rantau ini.

Di samping itu, kejayaan Malaysia tidak terhenti di situ apabila Nur Aisyah Mohamad Zubir turut menyumbang pingat emas menerusi acara penyingkiran wanita, sekaligus melengkapkan pencapaian cemerlang skuad negara dalam kejohanan tersebut.
Dalam acara penyingkiran itu, pelumba Uzbekistan, Kozieva Nafosat, meraih pingat perak manakala atlet China, Chen Ning, membawa pulang gangsa, menutup tirai saingan dengan penuh persaingan di Velodrom Nasional.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!













