Pelajar Universiti Malaya (UM), Mifzal Salihin memenangi Anugerah Menteri Pengajian Tinggi dan dinobatkan sebagai ‘Tokoh Siswa Kebangsaan’ sempena Majlis Anugerah Pelajar Terbaik 2022 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tanggal 20 Mac yang lalu.
Jejaka berusia 22 tahun yang merupakan pelajar tahun tiga Fakulti Kejuruteraan itu telah terpilih menerima anugerah tersebut hasil penglibatan cemerlang dalam bidang keusahawanan yang memberi manfaat kepada rakan sekerja di universiti.
Menurut laporan portal UM, Mifzal berkongsi yang dia telah mewujudkan kelas bimbingan dalam talian yang dikenali sebagai AfterKelas.com sejak tiga tahun lalu yang melibatkan penyertaan antara 40 hingga 50 pelajar UM setakat ini.
“Mereka ini merupakan tutor aktif yang mengajar subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Boleh dianggarkan pendapatan bulanan mereka antara RM1,000 dan RM1,500,” kongsinya mengenai penglibatan pelajar UM.
Ads
Berikutan kemenangannya itu, Mifzal membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000 berserta trofi utama, biasiswa dan sijil disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dalam tinjauan REMAJA ke laman linkedin milik Mifzal, menerusi satu hantaran dia berkongsi perasaannya sejurus menerima anugerah tersebut.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berbesar hati dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Kebangsaan 2022 sempena Majlis Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022 anjuran KPT. Saya berasa sangat merendah diri untuk diiktiraf dalam kalangan begitu ramai lagi individu yang berbakat dan bekerja keras.
“Saya percaya anugerah ini bukan semata-mata untuk meraikan dedikasi dan kerja keras yang diberikan kepada Afterkelas.com. Ini adalah mesej kepada semua pelajar untuk mencipta, berinovasi dan terus mencipta nilai kepada individu lain dan komuniti sekeliling,” ujarnya panjang.
Ads
Mifzal pernah bergelar felo perdana di Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Malaysia.
Anugerah Tokoh Siswa KPT menjadi wadah menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam pelbagai bidang termasuk akademik, sahsiah dan kokurikulum. Anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu turut berkongsi cita-cita untuk menjadi usahawan berjaya selepas tamat pengajian.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tiada angin tiada ribut, tahu-tahu hendak kahwin sudah.
Bapa kepada Aiman Tino, Yusri Ishak mendedahkan bahawa anaknya yang juga merupakan seorang penyanyi dan pelakon bakal menamatkan zaman bujangnya pada 27 April 2023 bersamaan sambutan Hari Raya keenam.
Beliau turut memaklukan kepada Kosmo! bahawa Aiman juga sama seperti bakal pengantin lelaki lain merasai perasaan berdebar sebelum hari bahagianya tiba esok.
“Biasalah, setiap bakal pengantin terutama lelaki akan berdepan pelbagai perasaan menjelang hari akad nikah. Jadi, itu perkara biasa yang saya katakan pada Aiman.”
– BAPA –
“Saya yakin dia sudah bersedia menggalas amanah sebagai suami,selain pada masa sama rancak mengatur persediaan untuk majlis pernikahan dan resepsi mereka,” jelas Yusri.
Persoalannya, siapakah suri hati yang berjaya memikat hati penyanyi Ku Rela Dibenci ini?
Aiman Tino sebagai penghias Majalah Remaja edisi Mac 2017 bersama Alvin Chong dan Nik Qistina.
Haa, gadis tersebut dikenali sebagai Syarah Haifa dan mereka berdua diperkenalkan oleh rakan sendiri sekitar tahun 2019 sebelum masing-masing sepakat menjadi rakan perniagaan.
Dari situlah, mereka dipercayai melangkah ke alam percintaan.
Tentunya, peminat setia Aiman juga masih ingat mengenai kenyataan Aiman sendiri sekitar awal Februari lalu yang mana dirinya sudahpun bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Majlis akad nikah dijadualkan berlangsung esok di sebuah dewan acara di daerah Segambut, Kuala Lumpur pada jam 5 petang sebelum beralih ke majlis resepsi pula di Shah Alam, Selangor membabitkan kedua-dua belah keluarga pada 6 Mei kelak.
Tahniah REMAJA ucapkan kepada Aiman dan pasangan!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Jika ingin melihatkan kepada tahap kecemerlangan pelajar, sewajarnya kita melihat dahulu kepada prestasi tenaga pengajarnya.
Tentunya, warga Universiti Utara Malaysia (UUM) turut berbangga dengan kejayaan Profesor Pemasaran dan E-Niaga di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Ts Norazah Mohd Suki tersenarai dalam ‘World’s Top 2% Scientists’ seperti yang diumumkan oleh Universiti Stanford, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Dr Norazah sekaligus mengekalkan pencapaiannya untuk berada dalam kalangan dua peratus itu sejak tahun lalu setelah beliau dinobatkan untuk kali keempat (wow!) sebagai penerima kategori Pencapaian Tahunan dan dinobatkan untuk kali kedua sebagai penerima kategori Pencapaian Sepanjang Kerjaya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan olehnya setelah menerima anugerah ini, Dr Norazah berkata beliau berterima kasih kerana anugerah tersebut secara tidak langsung mencerminkan kualiti penerbitan dan penyelidikan.
Profesor Ts Norazah Mohd Suki
“Alhamdulillah, saya bersyukur di atas pengiktirafan ini dan berharap dapat terus membanggakan UUM di peringkat global.
“Dinobatkan sebagai salah seorang daripada ‘2 peratus Saintis Terbaik Dunia’ mencerminkan kualiti penyelidikan dan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi dan bidang pemasaran dan e-dagang,” katanya.
Untuk pengetahuan korang, pengiktirafan ‘2 peratus Saintis Terbaik Dunia’ ini merupakan pengiktirafan antarabangsa yang paling berprestij di mana ia ditentukan berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Elsevier BV, Universiti Stanford sejak tahun 2019.
Dr Norazah yang juga merupakan seorang profesor pemasan dan e-dagang di berharap kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada semua dan membuka lebih banyak peluang untuk universiti tempatan bekerjasama serta membentuk rangkaian (networking) antarabangsa.
Menurut laporan, setakat ini Dr Norazah diletakkan pada kedudukan keempat di Malaysia dalam bidang perniagaan dan ekonomi. Beliau juga telah menerbitkan lebih 300 kertas kerja dengan ‘SCOPUS h-index’ sebanyak 28.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam (MAPUM) berusaha membantu menyelesaikan setiap aduan yang diterima daripada mahasiswa yang tinggal di asrama. Ini termasuk dalam menaik taraf kemudahan internet, penggunaan peralatan elektronik dan waktu keluar masuk asrama.
Pengerusi MAPUM, Prof. Dr Mohd Sazili Shahibi semasa menghadiri Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Asrama Peringkat Kebangsaan (SPARK) 2024 berkata, setiap aduan tidak akan diselesaikan dengan cara yang sama dan ia bergantung kepada keadaan universiti dan mahasiswa terbabit.
Beliau turut tidak menafikan ada kolej kediaman yang terpaksa berdepan masalah air membabitkan beberapa negeri.
Kredit: Sinar Harian
“Aduan itu bersifat subjektif, tetapi pihak universiti sentiasa melihat perkara itu dari aspek yang perlu dititikberatkan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar”
“Perancangan dibuat dari masa ke masa untuk menghadapi kekangan berkenaan kerana turut membimbangkan ibu bapa”
“Pihak universiti biasanya akan membuat perbincangan dengan wakil kerajaan negeri bagi membantu menyelesaikan masalah itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengarah Hal Ehwal Pelajar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Hirman Awang berkata, KPT berusaha memastikan fasiliti yang disediakan dapat memberi keselesaan kepada mahasiswa dan sentiasa menyokong sebarang usaha yang dilakukan dalam memperkasakan pengurusan asrama atau kolej kediaman.
Kredit: UPM
“Seminar seperti ini banyak melibatkan amalan terbaik dan SPARK antara usaha untuk menangani masalah mahasiswa di asrama,” katanya.
Menurutnya, penganjuran SPARK merupakan salah satu usaha untuk menangani masalah mahasiswa di asrama kerana ia melibatkan pengetua asrama, felo dan juga mahasiswa itu sendiri.
Tambah beliau, sehingga 31 Disember 2023, purata keseluruhan yang tinggal di kolej kediaman ialah 57 peratus membabitkan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda di seluruh negara.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!