
Kemenangan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) bukan sekadar pencapaian peribadi buat Iskandar Ismail, sebaliknya hadir bersama tanggungjawab dan niat murni untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
Menurut penyanyi berusia 47 tahun itu, dia sudah pun memasang hajat sejak awal untuk menyalurkan sebahagian daripada wang kemenangan kepada golongan kurang berkemampuan, khususnya anak-anak yatim.

“Saya dah buat hajat sebenarnya, sebahagian daripada hadiah, saya ingin beri kepada mereka yang memerlukan seperti anak-anak yatim.
“Saya tidak kisah, kalau boleh tolong di Singapura, di Malaysia pun saya boleh tolong. Insya-Allah memang doa dan hajat saya untuk melakukan perkara itu.
“Dulu saya pernah menjadi juara dalam satu pertandingan di Singapura dan saya menderma sebahagian wang kemenangan kepada Yayasan Kanser,” ujarnya kepada Remaja.

Iskandar berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert akhir GV12 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor, pada malam Ahad.
Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Singapura ini turut meluahkan rasa syukur dan terharu apabila diberi peluang berduet bersama penyanyi hebat, Jaclyn Victor yang juga merupakan juara Gegar Vaganza musim ke-9.

“Saya sangat berbesar hati dapat berduet dengan Jac, saya kenal dia sejak tahun 2005 ketika membuat satu persembahan.
“Bila pertama kali jumpa dia pada ketika itu, saya lihat dia dan dengar suaranya… Dia mempunyai suara yang sangat sedap.
“Kemudian bila kami jumpa berkali-kali pun masih belum dapat berduet bersama. Jadi bila dapat duet pada malam akhir GV12 ini, saya rasa macam mimpi jadi kenyataan.
“Walaupun kami tidak mmepunyai banyak sesi latihan bersama jadi bila atas pentas kami lakukan yang terbaik. Dia merupakan seorang penyanyi yang sangat profesional,” jelasnya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










